Menjadi parti yang berkuasa dan selamatkan negara

Presiden
Typography

SAYA tidak perlu cerita panjang. PAS pernah memerintah tahun 1999. Saya dilantik menjadi Menteri Besar masa itu, banyak benda yang kita buat. Di antaranya ialah kita hapuskan cukai pintu rumah kediaman. Rumah kediaman tempat duduk di kawasan bandar dihapuskan.

Yang kena bayar cukai ialah hotel, rumah perniagaan sahaja. Walaupun kita tahu penduduk kawasan bandar banyak orang Cina, mereka lebih banyak merasai bagaimana kita hapuskan cukai pintu rumah kediaman. Kerana rumah kediaman adalah rukun hidup manusia, mesti ada rumah. Kita hapus cukai peniaga-peniaga kecik kita hapuskan. Kita beri geran tanah kepada rakyat tidak kira kaum apa termasuk orang Cina.

Di sana ada Kampung Baru Cina di Bukit Berangan, Batu Lima Dungun, di Air Puteh Kemaman, mereka dikurung oleh British dulu di situ. Walaupun kita sudah merdeka, kerajaan tak beri geran tanah sehingga kita memerintah, kita beri geran tanah kepada mereka. Dan kita bantu sekolah-sekolah rakyat termasuk sekolah Cina, sekolah Tamil, kita tolong, ini kerana hak pelajaran, hak pendidikan adalah hak semua manusia menggunakan bahasa dia.

Barangkali tuan-tuan masih ingat bila kita buat banyak perkara ini, kerajaan pusat rampas minyak, rampas royalti minyak petroleum kerana nak cekik, nak halang kita buat benda-benda yang begini. Walaupun demikian kita boleh memerintah sehingga lima tahun. Caranya ialah kita naikkan cukai orang-orang kaya, cukai balak, cukai kilang, cukai orang kaya kita naik, cukai pintu terus kita tak kenakan. Ini cara pemerintahan kita.

Islam mengajar kita kerana PAS ini parti Islam, walaupun kita berbeza agama, berbeza bangsa, manusia semua adalah satu keluarga. Manusia asal daripada Adam dan Hawa, ayah dan ibu yang satu. Kemudian jadi macam-macam bangsa, dan manusia tak boleh hidup bangsa masing-masing, puak masing-masing, mesti ada hubungan tolong menolong di antara satu sama lain. Ada bangsa yang bercucuk tanam, ada bangsa yang berniaga, ada bangsa jadi tukang besi, jadi kilang, macam-macam. Barulah kita boleh hasil pakaian, makanan, dan sebagainya. Walaupun kita berbeza dari segi ajaran agama, halal dan haram, tetapi hak hidup sebagai rakyat tidak ada beza, mesti dilayan dengan adil. Ini pemerintahan yang kita nak perkenalkan kepada rakyat.

Kalau kita diberi kuasa lagi memerintah, banyak lagi benda yang kita akan buat, yang kita akan tunaikan. Dan Islam mengajar pengikut-pengikut dia hat ini orang Islam sungguh bukan Islam tak sungguh, bukan Islam pelawok, Islam yang sungguh-sungguh, di mana saudara kaum Cina, kaum India, merasai bagaimana mereka boleh hidup di kampung Melayu. Boleh berkedai di kampung Melayu, boleh hidup kedai satu keluarga orang Cina, di mana sahaja di tengah kampung Melayu, di Kelantan, di Terengganu, di Kedah, di Perlis.

Ketika berlakunya huru-hara kaum 13 Mei, Terengganu tak ada 13 Mei, Kelantan tak ada 13 Mei, Kedah tak ada 13 Mei. Huru-hara berlaku di Pulau Pinang, berlaku di Singapura, bergaduh kaum. Tempat yang orang Islam sungguh-sungguh pegang dengan Islam tak ada gaduh dan tak ada huru-hara.

Hari ini PAS dalam memperkenalkan kepada rakyat cara politik baru, politik, Budaya Politik Matang dan Sejahtera. Politik kita boleh berbalah, boleh berkelahi tapi tak boleh berperang, tak boleh bergaduh. Beza pendapat boleh, tetapi bergaduh tidak boleh. Kita nak halang segala sebab-sebab yang boleh menimbulkan pergaduhan. Ini yang kita nak perkenalkan kepada rakyat.

Kita cuba di Kelantan, cuba di Terengganu, cuba di Kedah, tapi kita tak dapat kuasa yang lebih. Kalau boleh kita nak kuasai sampai kerajaan pusat. Dalam pilihan raya ini PAS akan bertanding 130 kerusi, PAS akan bertanding 130 kerusi. Kerana untuk memerintah negara, kita memerlukan 112 kerusi. 130 kerusi kita akan bertanding. Kalau menang 112, PAS boleh memimpin negara, ini benda yang kita nak akan buat, kita akan lakukan.

Maka kaum Cina, kita minta supaya memberi kepercayaan kepada PAS pula, terus beri kerajaan kepada kita, bukan sahaja Terengganu, kita nak sampai ke peringkat Malaysia. Kita mahu menjadi parti yang kuat, parti yang gagah, yang boleh menghalang orang nak buat huru-hara dan nak buat kacau dalam negeri kita ini.

(Transkrip oleh Pengarang HarakahDaily, IZWAN ABDUL HALIM dari Ucapan Presiden PAS dalam Jamuan sempena Tahun Baharu Cina 2018 bersama Presiden PAS pada petang tadi di hadapan pejabat penyelaras Parlimen PAS Kuala Terengganu) - HARAKAHDAILY 22/2/2018