Sidebar

Kerja amal, kuatkan jiwa Mohammad Ishtiaq

Muhasabah
Typography

ANAK kelahiran Ipoh, Perak ini mula terlibat dengan kerja-kerja sukarela sejak berusia 18 tahun apabila terlibat dengan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia  sebagai penyelamat. Pelbagai pengalaman dilaluinya dalam membantu masyarakat, yang dianggap 'anugerah' daripada Allah yang tidak ternilai kepadanya dalam mengharungi kehidupan.

Pengalaman membantu mangsa kemalangan melibatkan bas dan trak Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Lebuh Raya Karak pada 28 Februari 1990 dan tragedi runtuhan Highland Tower di Hulu Kelang pada 1993 terakam kemas dalam kotak ingatannya.{mprestriction ids="1,2,3,4,5"}

Begitu juga dengan tugasan menyelamat dan misi kemanusian mangsa tsunami Aceh, Indonesia pada 2004, gempa bumi Pakistan pada 2005 dan gempa bumi Yogjakarta, Indonesia pada 2006 yang menjadi sebahagian daripada catatan pengalamannya sebagai sukarelawan.

Bagi Mohammad Ishtiaq Abdul Shukor, 47, beliau berpegang dengan kata-kata, "jadilah orang yang memberi manfaaat kepada orang lain dan jangan menjadi orang yang menagih manfaat daripada orang lain".

Justeru itulah, setiap sumbangan tenaga dihulurkannya seupaya mungkin demi menyelamatkan nyawa mangsa yang terlibat.

Ketua Medik dan Penyelamat Jabatan Amal Malaysia  Kawasan Pandan, Selangor ini juga melihat setiap tragedi yang berlaku  satu peringatan  kepada dirinya dan menunjukkan betapa berkuasanya Allah yang menentukan hidup atau mati manusia.

Mesra disapa dengan panggilan 'Bro Is' dalam kalangan rakan-rakan dalam Jabatan Amal Malaysia, beliau juga bijak membahagikan masa dalam menjalankan aktiviti sukarela dengan tugas hakikinya sebagai  Pembantu Perawatan Kesihatan di Fakulti Perubatan  dan Sains Kesihatan, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim).

Anak kepada pasangan Allahyarham Abdul Shukor Niaz Mohd dan Khalifa Mohamed Sharif ini juga pernah menjadi peserta program Kapal Belia Asia Tenggara di Jepun pada 1997 dan membantu pendakian sekumpulan orang buta ke Gunung Kinabalu yang dianjurkan Persatuan Orang Buta Malaysia pada 1998.

Aktif dengan program-program belia,  Mohammad Ishtiaq  juga pernah bertindak sebagai jurulatih belia dan sukan dengan membantu mengendalikan program belia dan sukan bersa persatuan-persatuan dan Jabatan Belia dan Sukan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Selain terlibat dengan aktiviti belia dan kemasyarakatan, bekas pelajar Sekolah Rendah Jalan Shaw (2) dan Sekolah Menengah  Jalan San Peng, Kuala Lumpur  ini juga berbakat dalam bidang seni.

Beliau pernah terlibat dengan kumpulan teater di Kuala Lumpur yang dikenali sebagai Anak Opera Kuala Lumpur. Bagaimanapun beliau banyak terlibat dengan tugas-tugas di belakang pentas.
Kursi, Pemakaman Kaduk, dan Mayat merupakan antara persembahan teater yang pernah dijayakannya. Bakat lakunannya turut dicungkil  di dalam drama televisyen bertajuk Sisa dan Meor.

Usahanya dalam membantu masyarakat juga mendapat perhatian pihak kerajaan apabila menerima Anugerah Belia Negara 2001, Kategori Kemasyarakatan,  Peringkat Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur. Beliau juga dikurniakan pingat Khidmat Cemerlang Masyarakat (PMC), sempena Hari Keputeraan D.Y.M.M Yang Pertuan Negeri Sembilan, yang ke 69 pada Januari yang lalu.

Walaupun pernah mendapat pengiktirafan dan anugerah yang menghargai sumbangannya di dalam masyarakat, Mohammad Ishtiaq  tidak menganggap ianya sebagai sesuatu yang perlu dibanggakan.

Sebaliknya ia memberi keinsafan kepadanya untuk merenung segala kelemahan dan kekurangan diri di samping bersyukur dengan semangat dan kekuatan yang telah diberikan Allah kepadanya.

Beliau juga turut  menerapkan di dalam dirinya agar tidak mudah berputus asa, apatah lagi di dalam perjuangan Islam sudah tentu akan diuji Allah tentang sejauh mana keikhlasan hamba-Nya.

Sedikit kata-katanya kepada rakan-rakan seperjuangan sebelum mengakhiri perbualan dengan Harakah,"Berilah sokongan kepada jemaah atau sahabat dalam sesuatu tugas yang diamanahkan kepadanya, jangan kita memilih meninggalkannya ketika dia menghadapi masalah".{/mprestriction}