Sidebar

Bekerja juga merupakan ibadat kepada Allah

Muhasabah
Typography

SOALAN: Ada orang kata, "bekerja juga merupakan ibadat kepada Allah." Boleh Ustaz jelaskan pengertian bekerja kerana Allah itu.  

Jawapan: Apa-apa pun, kita sudah beritahu seperti yang kita sebut dalam perjanjian kita ketika permulaan selepas takbir, "Inna solati wanusuki wamahya ya wamamati lillah hirobbil alamin", sesungguhnya sembahyangku, segala ibadahku, hidupku dan matiku, "lillah", kerana Allah Robbil alamin. Segala-galanya kerana Allah subha nahu wataala. Makan kerana Allah, tidak makan pun kerana Allah. Bekerja kerana Allah baharulah kerja kita jadi ibadat.{mprestriction ids="1,2,3,4,5"}

Ada orang kata, "Kita kerja ibadat juga." "Kerja ini masuk ofis ibadat juga." Tapi ke surau tidak pergi, masjid tidak pergi. Dia kira ibadat kerja sahaja. Tidak jadi macam itu. Sudah betullah kerja itu ibadat, tetapi Tuhan beri kepada kita kerja untuk kita jadikan sebagai suatu alat sahaja untuk mencapai kesenangan beribadat kerana tujuan penciptaan kita bukan kerja. "Wama kholaktu jinna wal innsa illa liya'budu al-ayyah", tidak Aku cipta jin dan manusia melainkan untuk beribadat kepada Aku.

Kita hendak beribadat dengan dapat kesenangan, keluasan, kemudahan dan kelapangan ialah dengan ada harta. Pada kebiasaannya, hendak dapatkan harta kena ada pekerjaan, maka kita bekerja kerana Allah supaya mempunyai pendapatan. Dengan pendapatan itu memudahkan kita menjadi hamba Allah. Dengan ada kereta boleh digunakan untuk pergi ke surau. Dengan ada motorsikal boleh dibawa untuk pergi ke tempat orang ceramah. Dengan ada wang boleh kita gunakan untuk pergi umrah, pergi haji. Itu baharulah betul.

Suami 'beruk'

Soalan: Sesetengah muda-mudi yang berkahwin sekarang agak menyedihkan. Mereka tidak tahu hukum-hakam dalam Islam langsung. Bagaimana pandangan Ustaz dalam hal ini.

Jawapan: Sebab itu ini kadang-kadang tiada persediaan yang sebenarnya. Bila tengok budak-budak perempuan kahwin sekarang, gerun kita tengok. Tidak tahu ke apa. Hukum syarak tidak tahu apa, makrifat pun tiada. Tidak kenal Tuhan, tidak kenal Nabi, tidak tahu halal haram. Haid pun tidak tahu apa. Istihadah, suci di antara dua haid, sekurang-kurang haid, selama-lama haid, tidak tahu ke benda. Sedar-sedar, sudah berkahwin. Elok-elok kelihatan membonceng motorsikal dengan lelaki ke situ ke sini. Sedar-sedar beranak pinak. Tapi rosak habis kerana tidak tahu hukum-hakam. Suami pula sama. Tidak tahun apa. Suami pakai rantai di tengkuk macam 'beruk' hendak naik pokok kelapa. Padanlah suami isteri. Suami macam 'beruk'.

Sepatutnya kalau suami yang macam itu, semasa majlis kahwin, dihidangkan dengan air kelapa sahaja. Tidak patut dihidangkan air teh. Jadi yang mana suami yang pakai rantai di tengkuk, jangan dihidangkan air teh semasa menyambut menantu. Elok dihidangkan dengan air nyior (kelapa) sahaja. Bila dia tanya, "Dah kenapa buat air nyior tu? Kan saya suruh buat air teh?" Eloklah isteri jawab, "Dah abang 'beruk' kan?" Kena kata macam itu, baru padan dengan dia. Baru dia faham.  

Saham yang paling menguntungkan

Soalan: Boleh Ustaz jelaskan, apakah saham yang paling menguntungkan kita untuk hari akhirat nanti?

Jawapan: Jadi sifat kedekut itu duduk pada orang perempuan. Makna kedekut, tidak boros belanja harta suami tidak menentu. Suami sifatnya murah tangan, suka menderma, suka tolong orang. Kalau makan minum cepat hendak bayar. Kalau jenis yang kedekut kalau waktu hendak bayar, dia buat berpusing mata ke atas, dia buat tengok ke belakang, bila orang tidak tengok, baharulah dia keluarkan wang. Dia pun kerling tengok atas meja, beres. Tidak perlu bayar makan minum orang lain lagi. Dia duduk 'main' macam itu saja. Ada yang jenis macam itu.

Kalau dia masuk ke kedai kopi dulu, orang lain tidak datang lagi, dia bayar dulu. Air satu, roti canai satu, RM1.50. Belum makan lagi, dia sudah bayar dulu. Kalau bayar lambat takut nanti orang ramai datang, dia takut dia pula yang kena bayar. Tidak pasal-pasal nanti 'mampus' RM3.00. Dia kira macam itu. Jangan 'main' RM3.00. Kalau RM3.00 sehari, kalau enam tahun, bukankah sudah boleh pergi ke Mekah? Jenis orang kedekut, memang macam itulah. Bodohlah kalau orang macam itu. Kalau haji, 'haji bodoh'lah itu. Jangan. Jangan kedekut. Walaupun sebutir kurma kita beri kepada orang, ibadat yang dibuat oleh orang itu dengan sebab dia makan kurma yang kita berikan kepada dia itu, jadi darah daging dia, pahala ibadat dia itu akan dapat kepada kita juga.

Apatah lagi kalau sepinggan nasi. Sepinggan nasi yang kita berikan kepada seseorang itu, menjadi darah daging dalam tubuh dia. Dia sembahyang dua rakaat, dua rakaat juga sampai kepada kita. Walaupun kita tidak sembahyang, tapi dia makan nasi yang kita berikan kepada dia, jadi daging jadi darah jadi tulang dia, kita pun akan dapat juga pahala sembahyang yang dilakukannya itu.

Kita duduk meniarap atas meja snooker sahaja, duduk shot bola hitam, tapi oleh kerana kita yang beri makan kepada dia, jadi darah jadi daging dia, dia ibadat dapat juga sedikit sebanyak kepada kita. Itulah orang pandai, orang dulu-dulu. Inilah saham yang paling menguntung. Ini tidak, bila waktu makan ramai-ramai, buat lupa bawa dompet, tertinggal dalam kereta, macam-macam gaya jenis orang kedekut. Kita tengok muka pun benci kalau yang jenis perangai macam itu. Terus kita tidak suka hendak dijadikan kawan kalau dengan jenis orang kedekut. Jadi jangan kedekut. Kalau kita bersifat kedekut, kalau kita mengaji pun tidak berkat. Disebabkan sifat kedekut, kalau kita buat ibadat pun, Tuhan tidak pandang. Sifat kedekut sebenarnya, "Sarrul lahun", Tuhan kata dalam al-Quran, adalah sifat yang buruk yang balik keburukan itu kepada kita sendiri.{/mprestriction}