ELOK juga dasar hotel Yahudi antarabangsa menguatkuasakan larangan bertudung bagi pekerja wanitanya di front depannya di Malaysia.
     
Tindakan itu menyirap semangat beragama orang Islam termasuk yang kurang peduli beribadat selama ini.
     
Menteri Nazri Aziz, Menteri Pelancongan tidak diketahui zuhudnya, sekadar orang awam Islam yang berpendirian liberal – bukan Islam liberal – telah memberi reaksi keras kedepan. Baiklah bertudung dari mereka bertelanjang. Satu sindiran tajam dan mantik yang tinggi.
      
Jika mufti dan tok guru begitu reaksinya adalah biasa. Tetapi kalau umat awam yang tidak diketahui isteri dan anak-anaknya bertudung bangkit mengherdik orang atau dasar mencabar hak umat Islam beramal dengan agamanya, maka ia tanda pantang agamanya dicabar.
     
Semua naik semangat. Peka ia melanggar semangat perlembagaan, menyanggah hak asasi Islam, tdak peduli amalan kebebasan beragama dan lain-lain.
     
Kita tahu rangkaian hotel besar dunia adalah milik Yahudi atau Yahudi ada kepentingan. Yahudi ini bukan saja Islam dikacaunya. Kristian, Budha, Hindu dan lain-lain pun dikacaunya. Bukan ia tidak tahu, Islam marah dengan tindakannya. Akan tetapi fahaman agamanya adalah mengacau sekalian yang bukan Yahudi. Bila semua bercelaru, maka senang ia menguasai dunia.
      
Pengacau macam itu tidak makan saman, tak indah protes, tiada peduli akan kecaman. Padannya diketuk saja kepalanya.    

Islam ini dikacaunya sejak Nabi SAW menjadi Rasul. Bukan ia tidak tahu nabi itu telah disebut dalam Taurat. Tapi ia lebih suka jadi pengacau. Iblis ada bagi mengacau Adam dan manusia, Yahudi ada bagi mengacau Nabi Muhammad SAW dan Islam. Maka semuanya jadi ujian dan ingatan bagi orang beriman.
      
Bagusnya hotel pengaruh Yahudi buat begitu kepada pekerja wanita Islamnya menyebabkan terpanggil semangat Islam kepada semua termasuk umat Islam yang nipis imannya. Ia mencabar tanggungjawab dakwah masing-masing. Memberi kesempatan kepada semua termasuk bukan Islam betapa bertudung bagi wanitanya bukanlah pilihan tetapi ia wajib.
     
Umat Islam mesti bertudung. Bukan ia untuk umat awam saja. Bukan bagi isteri dan anak-anak Nabi saja. Isteri-isteri sultan, puteri-puteri raja apabila baligh dan mumayiz. Neraka tidak bakar wanita awam yang tidak bertudung saja. Isteri-isteri sultan dan puteri-puteri yang tidak bertudung nescaya jadi bahan bakar api neraka.
      
Tok-tok guru sudah sampaikan dakwah itu di masjid-masjid sejak masjid ada. Tetapi bila dakwah itu hendak disampai ke istana-istana. Mufti-mufti sejak selepas Khalifah ar-Rasyidin tidak berani buka mulut bila isteri dan anak khalifah tidak bertudung. Apa lagilah zaman Raja Melayu yang tidak jadi khalifah. Tidak siapa berani tegur raja yang isterinya tidak bertudung.
      
Ustaz Zamihan, ketua persatuan ahli sunnah wal jamaah pun tak berani.
      
Dengan hotel milik Yahudi dunia yang banyak di Malaysia buat zalim pada pekerja wanita Islam, maka terbuka peluang bagi menyampai dakwah kepada semua bahawa bertudung bagi wanita Islam adalah wajib dan nerakalah tempat pulang kekal bagi yang tidak bertudung. Itu juga sebabnya gereja menetap petugas wanita gereja beruniform menututp aurat.
      
Semua orang alim dan orang jahil kata bertudung wajib bagi wanita. Wanita itu termasuklah isteri-isteri raja, anak-anak raja, bonda dan sekalian waris-warah raja.
      
Maka terbuka menolong mufti menyalurkan mesej itu ke istana.
      
Peluang sekarang terbuka bagi Dato Jamal Yunos, ketua Umno Sungai Besar, jika betul anak jantan pergi ke pejabat MAS dan AirAsia suruh pramugari bertudung. - HARAKAHDAILY 21/11/2017

POLITIK matang dan sejahtera yang digagas TG Haji Abdul Hadi Awang dipraktik oleh Perdana Menteri Najib dengan mengujungi musuh politik ketatnya TS Anwar Ibrahim yang menjalani rawatan di hospital.

Perdana Menteri dan isterinya disambut oleh Ketua Pembangkang, Dr. Wan Azizah Ismail di wad suaminya Anwar.

Memang politik tinggi, dan matang pada pandangan setengah, seorang ketua kerajaan ziarah seorang yang mahkamah sabitkan layak jadi banduan, seorang politik besar yang uzur di hospital. Mungkin boleh disamakan dan tindakan matang al-Marhum Sultan Kedah ziarah pusara as-syahid Ibrahim Libya dan rakan-rakan yang jamaah ulama rasmi Kerajaan Kedah dapati bughah – penderhaka.

Mana mungkin Sultan ziarah pusara penderhaka dan di mana kunjung banduan yang mahkamah sabitkan jenayah yang tak terkata? Melainkan matang yang payah difaham.

Hikmahnya mungkin ada, menenangkan suasana yang tegang.

Besar pahala tak terkira ziarah orang yang uzur.

Saya mendengar kaset riwayat TG Haji Abdul Hadi Awang puluhan tahun dulu, betapa 70 ribu malaikat sentiasa berada di sisi seseorang pesakit. Apabila datang pelawat, maka sekalian malaikat mendoakan keampunannya.

Melupakan segala yang terjadi, logiknya besar pahala Najib dan isteri beroleh dari ziarah ke atas seteru politik utamanya.

Tuhan yang tahu ziarah itu ibadat atau semata-mata suka-suka?

Akan tetapi sesiapa yang didoakan keampunannya oleh malaikat tentu beroleh bahagia. Doa malaikat tentulah diterima Allah kerana malaikat itu tidak buat hal-hal yang tidak diizin Allah.

Maka sedap membanyak takwil atas apa jua yang dilihat ibadat.

Yang jelas kunjungan Najib itu tidak memberi apa-apa kesan kepada politik Anwar Ibrahim. Itulah hebat dan lebihnya Anwar dengan yang lain.

Tiada siapa akan kata keduanya sudah berpakat. Tiada akan kata Anwar akan masuk UMNO dan akan kembali bersama kerajaan.

Belum tentu tiada spekulasi sekiranya Najib ziarah juga yang selalu masuk hospital itu. Adalah yang orang akan desuskan.

Tok Guru Haji Hadi, dengan zuhudnya patutnya kebal dengan unsur fitnah. Tapi beliau tidak sekebal Anwar. Orang tak akan ada apa-apa bila Najib mengunjungi Anwar.

Tapi apabila Najib mengunjungi Haji Hadi di hospital dan mengunjungi al-Marhum Dr. Haron Din di hospital dulu, heboh orang kata PAS hendak masuk UMNO dan Guan Eng pula yakin sangat PAS sudah bersatu dengan Najib.

Tidak sekadar yakin sangat TG sudah dan PAS sudah masuk UMNO, percaya juga PAS telah dibagi duit RM90 juta.

Percaya pula kebanyakannya PAS sudah dijual kepada UMNO. Semua penafian tidak dipercaya. Katakanlah TG Haji Hadi bersumpah junjung Quran, pun mereka tidak percaya.

Mungkin sampai mati pun mereka tidak percaya.

Najib pun tidak pernah percaya dan tidak penah memikirkan PAS dan Tok Gurunya Haji Hadi akan membawa penyokongnya masuk UMNO. Apa yang Najib mahu bukan PAS dan TG masuk UMNO, tetapi kalau semua orang boleh kata dan percaya beliau sudah bersama UMNO, maka itulah yang Najib suka.

Tidak perlu PAS berbaik dengan UMNO. Cukup dengan semua orang kata PAS sudah bersama UMNO.

Akan tetapi Najib tahu dan tak mahu Anwar bersama UMNO, dia percaya orang tidak percaya Anwar akan masuk UMNO, tetapi dengan dia mengunjung Anwar dia dapat melihat Anwar, ketuanya dulu. Lepas rindu. – HARAKAHDAILY 20/11/2017

PAS tidak tularkan siapa waris Haji Yusof Rawa dan waris Ustaz Fadzil Noor yang masih bersama PAS. Tidak diketahui selepas mini tsunami PAS tiga tahun lalu, siapa yang masih tinggal.
      
Semasa pimpinan Ustaz Fadzil pernah mesyuarat pusat menyentuh anak-anak pemimpin PAS tidak berapa muncul dalam barisan depan parti itu dan tidak nampak ada dalam pelapis.
      
Antara yang ditimbulkan anggota mesyuarat, adalah menjadi hasrat mana-mana pemimpin Islam mahu melihat anak masing-masing dapat menggantikan mereka satu masa kelak, jika pun tidak sebagai pimpinan utama biarlah di tengah saf pimpinan.
     
Ibu bapa boleh dorongkan ke arah itu tetapi dalam sistem non-monarki masing-masing tidak upaya jadikan anaknya gantinya. Anak-anak itu sesudah mumayiz memilih cenderung masing-masing jika boleh dapat menggantikan bapanya.
     
Setakat ini anak al-Marhum Nik Abdullah Arshad, Dato Nik Amar baru jadi Naib Presiden PAS. Dan anak TG Nik Aziz, Nik Abduh dan anak TG Haji Abdul Hadi Awang sudah ada di  tengah gelanggang. Sama-sama kita lihat perkembangannya.
      
Tahniah kepada ibu bapa yang anaknya sudah di medan perjuangan. Tidak semestinya penyertaan itu sebagai panglima saja. Jadi jundullah biasa seperti Khalid ibni Walid ketika dilucutkan jawatan panglimanya telah memberi sumbangan besar. Jika gugur dalam medan darjat syahidnya sama dengan syahid panglima.
     
Jika tidak jadi pejuang yang aktif atas sebab tertentu, ada bersama jamaah juga dapat memberi peranan.
     
Masyarakat menghormati, Islam dan demokrasi membenarkan setiap mukalaf membuat pilihan terutama yang berpendidikan tinggi agama. Tetapi paling minima biarlah dalam jamaah pimpinan bapanya.
     
Waris Ustaz Fadzil biar ada bersama PAS paling kurang. Bila berada dalam medan sekalipun sebagai ahli biasa, mudah diketengahkan ke depan jika takdir menghendakinya. Ustaz Fadzil adalah pimpinan yang cemerlang yang disanjung oleh semua agar ada warisnya dapat menjadi sepertinya, seperti masing-masing hendak melihat waris TG Nik Aziz dan TG Haji Hadi seperti mereka satu hari nanti.
     
Masing-masing tentu gundah jika tiada waris yang bersama. Kita sudah tidak nampak penampilan waris Dr. Abbas Alias, Dr. Burhanuddin al-Hilmy, Prof. Zulkifli Mohamad dan Dato Asri. Seelok-elok waris Ustaz Fadzil tidak tercicir dan jauh jamaah.
     
Pemimpin-pemimpas PAS itu semuanya sejarah. Sejarah itu tidak sekadar dirakam tetapi ada masanya diingati sebagai satu kegiatan menghidup dan membesarkan PAS. PAS pernah mencari dan membawa waris Dr. Burhanuddin dan waris Prof. Zulkifli Mohamad ke perjumpaan PAS semasa mengenang peranan mereka. Tidak janggal kerana mereka tidak dalam kumpulan lain dan tidak membuang PAS.
     
Payah untuk mereka dalam majlis memperingati tokoh jika sudah hilang dari PAS. Sebagai orang Melayu hubungan timur itu cukup halus dan lembut. Kenduri mati mahu bersama. Walaupun penghormatan Melayu kini tidak seperti Hang Tuah menghormati raja tetapi budi dan jati diri Melayu itu terletak pada budi kepada pimpinan yang dikasihi.
     
Jika boleh semua digotong royong kenduri dan kematian warisnya. PAS tentu mahu warisnya dikuburkan bersamanya. Kubur Ustaz Fadzil terletak di kawasan kawalan PAS. PAS tentu tawarkan sekubur dengannya.
     
Jika ketika itu sekaliannya renggang dari PAS sekalipun tiada jurang dalam kematian, tetapi canggungnya tetap kedapatan. Payah ada. Tetapi PAS mesti menghormati pemimpinnya. Macam mana hendak buat?
     
Sebelum ia terjadi, elok dan patut sekalian warisnya bersama PAS demi kemuliaan Ustaz FAdzil! - HARAKAHDAILY 15/11/2017

MAKA pembangkang Harapan dijejek Perdana Menteri Najib kerana memasukkan BR1M sebagai satu produk dalam bajet 2018nya.
     
Tempelak Perdana Menteri, dulu ia dikatakan pemberian yang tidak betul, tetapi dengan Harapan menjanjikannya pula dalam bajetnya, logiknya betul pula.
     
Demikian kesimpulan Perdana Menteri, sedekah BR1M yang pula negara atas angin mengiranya satu pemberian yang baik kepada rakyat.
     
Subki 2Saya tidak berpolitik bersama Harapan. Jika Harapan memasukkannya dalam bajetnya, tetap ia belum dikira sedekah yang terbaik. Barang kali ia terpaksa diterima kerana umpan politik pilihan raya BN itu memukau orang awam justeru mereka tidak berkecukupan pendapatannya.
     
Jika yang berprinsip dan bermaruah tidak terima tetapi majoriti orang awam tidak pernah cukup  duit terima yakni makan umpan. Seolah-olah menjadikan yang berprinsip bodoh. Tersepitlah Harapan. Jika ditolak juga BRIM, nescaya kuranglah undi orang awam untuknya.
     
Mungkin Harapan menerima maksud fikah, jika tidak dapat semua undi orang awam, jangan hilang semua.
   
Mungkin pemberian itu pada masa sesudah ada GST ini suatu yang betul, tetapi ketika ia dimulakan dulu adalah tidak betul.
     
Diragui ia dimulakan dulu kerana memikirkan rakyat terdesak. Rakyat memang hendak duit, bukan justeru sesak itu ia diberi, tetapi justeru pilihan raya yang dekat. Sejurus selepas pemberian pertama itu, saya ingat TPM Muhyiddin Yassin kata ia akan dibagi lagi. Ia pun dibagi.
     
Diragui ia ada dasar yang kukuh.
     
Negara kita bukan kukuh kewangan dan pendapatannya. Tidak sekukuh pentadbiran Umar Abdul Aziz dan negara-negara Scandinavia – Denmark, Norway dan  Sweden – yang boleh tanggung penduduk tiada pendapatan. Umar Abdul Aziz terpaksa cari orang untuk menghabiskan zakat tahun pentadbirannya.
      
Negara kita hidup dengan hutang. Bukan sekadar rakyat patut terima zakat, kerana negara berhutang, ia patut diberi zakat.
      
Jika negara kita lumayan ia tidak hapuskan subsidi. Jika ia kukuh ia tidak bergantung pada GST.
      
Sekarang orang awam kira BR1M adalah haknya. Jika ia tidak bagi lagi nescaya bertambah payah Umno dan Najib hendak meneruskan kuasa.
     
Maka sekarang Najib sedang justifikasikan pemberian itu betul atau cuba membetulkan apa yang mulanya tidak betul. Seperti Sukan Olimpik. Ia bermula di Yunanistan – Greece – semua atlit telanjang bulat. Ia amalan tidak betul. Sekarang ia dibetulkan tetapi masih separuh bogel.
     
Pemberian yang betul bukan memberi lauk kepada yang tidak berlauk tetapi memberinya kail. Zakat diberi pada yang layak, moga-moga mereka tidak layak lagi selepas itu. Subsidi diberi ketika ia diperlukan dengan harapan dan rancangan kehidupan bertambah baik, bolehlah subsidi ditarik. Kita batalkan subsidi bukan kerana kehidupan bertambah baik tetapi bajet kerajaan sempit.
     
Bantuan terbaik setakat ini adalah subsidi. Subsidi yang adil, nikmat dirasa semua; sikit sama sikit, banyak sama banyak. Belum tentu semua yang berhak dapat BR1M. Ia bermula dengan yang menyokong krajaan. Siapa dan apa sistem yang menentukan seorang layak? Dan sampai bila?
     
Jabatan amil ada senarai fakir miskin. Apa kata kalau senarai itu dikemas kini dan manfatkan amil sebagai penyalurnya dengan mentransformasi tugas amil tidak menyelia zakat fitrah setahun sekali tetapi kerja tempat menyalurkan BR1M. Bukan Islam berdaftar di bawahnya. Zakat fitrah untuk Islam saja, BR1M untuk semua.
     
Jika amil menyalurkaan BR1M kepada semua, ia mendekatkan semua kepada amil dan barulah Islam itu dilihat tidak menyalurkan kebajikan kepada Islam saja. - HARAKAHDAILY 14/11/2017

SAYA tidak pasti apa yang PM Najib sebenarnya mahu bagitahu di Perhimpunan Agung MCA tentang Dr. Mahathir dalam perkara skandalnya.
     
Tapi kesimpulan yang mudah difaham maksudnya, Mahathir itu dikatakan si skandal yang cukup besar. Contoh yang diberitakan skandal terbesar itu ialah dia perintah tangkap dan tahan puluhan/ ratusan aktivis berbagai lapangan dalam Operasi Lalang tanpa bicara.
     
Ikut faham orang awam, perintah macam itu, arahan Sultan Melaka bunuh Hang Tuah, perintah  Namrud bakar Nabi Ibrahim atau arahan Stalin hapuskan Leon Trotsky tidak dirasakan skandal. Ia zalim dan kejam. Yang dikira skandal ialah kaki betina, kacau rumah tangga orang, bersubahat rasuah, rompak duit kerajaan, jadikan perbendaharaan negara macam pusaka mak bapaknya, antara contohnya.
     
Mungkin faham hakim lain dan faham pengarang kamus lain. Jahat Opersi Lalang itu tidak sama dengan dosa jadikan anak bini orang macam bininya, gunakan duit negara macam pusaka tok neneknya. Apapun semuanya dosa besar, bukan dosa yang wastiyah dan bukan yang maqasid syariah ajar.
     
Mungkin Operasi Lalang itu skandal terbesar tetapi main betina, ambil bini orang, curi duit kerajaan skandal juga dan wajib dikutuk dan dihukum juga. Belum tentu semua Perdana Menteri dan menteri-menteri sebelum dan selepas Mahathir lebih bersih daripada Mahathir, Cuma Mahahir saja si skandal terbesar. Skandal kecil skandal juga, semuanya keji dan terkutuk.
     
Skandal yang dikatakan oleh Mahathir itu belum ditribunal dan diputus sang-sang hakim, baru satu bab saja disuruhanjaya dirajakan iaitu niaga mata wang asing Bank Negara. Itupun belum diputuskan lagi. Segala dakwaan tentang Mahathir baru dibicarakan di mahkamah masyarakat yang semua orang boleh jadi pendakwa dan semuanya boleh jadi hakim.
    
Nasib Mahathir kurang baik justeru usianya panjang. Saranan Almarhum Ustaz FAdzil Noor, biar usianya panjang nescaya dia dapat hadapi segala gara-gara kelemahannya sebagai si berkuasa. Yang lain sebelumnya, mati tak lama selepas tidak berkuasa tak sempat masuk mahkamah masyarakat. Dan yang selepasnya sudahpun diajukan ke mahkamah masyarakat tetapi mahkamah masyarakat belum bebas bersidang, maka pendakwa jadian belum dapat bentangkan kesnya.
      
Adapun fail sekalian Almarhum tidak pernah dibuka. Selamat dan bertuahlah mereka. Manakala yang selepasnya failnya jadi pelepah atas. Pelepah Mahathir di bawah dan sudah jatuh. Pelepah atas janganlah suka sangat tengok pelepah bawah jatuh.
     
Najib yang dakwa Mahathir si skandal terbesar berada dalam kabinet Mahathir sepanjang pentadbirannya. Apabila dia diam dalam setiap skandal Mahathir ertinya  dia setuju. Tidak seperti DS Anwar Ibrahim yang dipercayai  tidak pernah senang dengan penyelewangan Mahathir. Dia tahu dan sedia terima risiko tidak diam atas kerenah Mahathir.
     
Tetapi Najib seolah ikut sunnah Nikita Krushchev, diam semasa besama Stalin jadi diktator Soviet, selepas mati Stalin baru didedahkan semua keburukan Stalin, mengeluarkan tulangnya dari pusara pahlawan, memasukkannya dalam bakul sampah sejarah.
     
Adapun ISA yang Najib kira skandal telah penggubal akta ingatkan TPM Tun Razak betapa ia mudah disalah guna. Tetapi Tun Razak berkeras mahu macam itu juga. Jika ia skandal, semua PM termasuk Mahathir telah skandalkannya. Berdosalah sekalian yang menyalahgunanya. Apa hendak dikata pada perancang akta atas dosa setiap si skandal.
     
Jika Najib mansuhkan ISA, ia tidak membersih dosa setiap sang skandal. Kelemahan Mahathir ialah berhukum atas akta yang disediakan penyelewengan. – HARAKAHDAILY 12/11/2017

ENTAHLAH! Bajet Negara 2018 yang dibentang itu bajet sendiwarakah, bajet purbawara! Tetapi semua isi antara langit dan bumi hendak dibagi menerima kewangan kepada rakyat.

Seperti kaya dan pemurah sangat. Sejak mengenal saya akan apa yang dikatakan bajet itu kata-kata menteri tidaklah seindah rupa. Seolah-olah macam mendengar guruh di langit.

Dua minggu selepas bajet yang sedap didengar itu, pergilah saya ke hospital. Rutin sejak beberapa tahun ke belakangan ini berulang ke situ, beberapa bulan sekali bagi mendapatkan nasihat doktor dan membaharui ubat. Justeru kenyang dengan ubat itu. Alhamdulillah, dengan izin Allah terkawal gangguan kesihatan itu.

Harapan saya ia semuanya senang dengan semangat bajet yang terbaru itu. Tetapi saya terganggu dengan layanan terbaru hospital, ubat percuma bagi warga emas yang tidak berpencen, kais minggu makan minggu, ubat hanya dibekalkan bagi sebulan saja. Baharuilah ia bulan demi bulan.

Mula saya berulang ke situ ubat dibekal untuk dua bulan. Rayuan hospital itu jauh dari rumah, orang kurang sihat payah ke situ jika tidak dihantar, yang hendak menghantar pun payah kerana anak cucu semua bekerja, jalan macet, pakir payah, maka mengizin pegawai farmasi membekalnya empat bulan.

Setahun lalu kemurahan itu diketat. Untuk dua bulan tetap. Rayuan ditiadakan. Ubat yang dua jenis sekali makan ditukar dengan sebuji sekali makan. Kata doktor kerajaan kurang duit terpaksa sesuaikan ubat dengan keperluan penyakit supaya berjimat.

Fahamlah saya kerajaan tidak berduit. Bukan ikan kembung, minyak masak, tepung dan teh tarik saja melambung, ubat-ubatan pun terpaksa dicatu. Kebimbangan semua tentang kuat kuasa GST dulu ialah layan perkhidmatan perubatan akan terjejas. Sejak musim GST inilah berlaku catuan ubat-ubatan.

Saya ke hospital kali ini dengan semangat baru atas janji bejet itu, percaya senanglah kita sekali ini. Umumnya janji bajet itu berkuatkuasa serta merta. Rupanya janji itu belum sampai ke kaunter farmasi hospital.

Patutnya limpahan bajet mula terasa, tapi yang terasa layanan perubatan mulai memayahkan. Apakah ia terus begitu dengan demi, demi dan demi kian payahnya?

Macam terasa sedap bajet itu dengan sedapnya janji skim cepat kaya atau pasaran pelbagai aras. Sebagai mana sedapnya janji skim cepat kaya, seolah demikianlah sedapnya janji bajet. Jika bajet yang terbaru itu disangka ibu segala bajet, takut janji bajet itu jadi ibu kepada propaganda skim cepat kaya.

Tak sukanya saya ke hospital itu sekarang, bukanlah kerana di situlah berkumpul pasukan malaikat maut, tetapi sulit dan lecehnya urusan mengambil ubat dengan segala masalah yang dihadapi oleh hospital dengan alam sekitarnya.

Mungkin ziarah oang sakit di hospital berbeza dengan ulang alik setiap bulan untuk mengambil ubat. Di tepi katil pesakit sedia 70,000 malaikat menunggu kedatangan pelawat setiap masa mendoakan keampunan bagi penziarah. Sekalipun masa ziarah itu sekitar antara lima dan sepuluh minit, tetapi janji rahmat yang Allah sediakan bagi menggugurkan segala dosa wajar direbut.

Walaupun kepayahan dan leceh berulang unk mengambil ubat, bukan  kerana jumpa doktor, adalah satu ujian kesabaran, tetapi membanyak dan mengacapkan ujian kepada pesakit luar oleh kereajaan dan hospital tentulah bukan suatu yang disuruh.

Adalah ok bagi ujian kesabaran sesekali sekala; dua bulan atau tiga bulan sekali, tiap-tiap bulan adalah mendera. Si sakit tidak wajar didera. - HARAKAHDAILY 7/11/2017

SAYA setuju dengan peguam Datuk Ambiga yang namanya disebut oleh pihak pembela dalam saman Presiden PAS TG Haji Abdul Hadi Awang terhadap Sarawak Report supaya biarkan mahkamah di England menguruskan perkara itu dulu.
     
Peri nama Ambiga disebut dalam perbicaraan itu telah jadi isu ribut dalam negara, menuntut supaya dia membuat penjelasan.
     
Ramai yang mengambil kesempatan untuk menyusahkan Ambiga.
     
Saya kira tidak bijak orang di luar mahkamah campur tangan dan urusan perbicaraan itu sebelum mahkamah menyelesaikan tugasnya. Kiranya orang di luar PAS mengambil kesempatan untuk memanaskan masalah Ambiga itu, lantak merekalah, tetapi orang PAS sepatutnya diam dulu dan biarkan mahkamah menguruskan perkara itu.
     
Kita  mesti menerima hakikat mana-mana nama yang disebut dalam sesuatu perbicaraan, belumlah sah kesnya sebagai yang disebutkan itu. Ia mungkin betul dan mungkin tidak betul. Biarlah mahkamah menggunakan kearifannya menentukan perkara itu.
     
Kalau Ambiga merasa dirinya telah difitnah, maka dia tentu akan bertindak mengikut saluran yang betul bagi membersihkan dirinya.
     
Peguam kedua pihak tentu tidak membiarkan Ambiga lepas begitu saja kerana  dia sekarang sudah boleh dijadikan saksi  dan mereka tentunya mahu menang dalam perbicaraan, maka mereka boleh mengambil kira penampilannya membantu kemenangan masing-masing.
     
PAS tidak ada sebarang kerugian apabila nama Ambiga disebut. Kiranya betul dia jadi sumber/punca laporan Sarawak Report itu, maka kita bertambah dekat dengan pihak yang memulakan perkara itu.
     
Peguambela yang mahukan kesnya menang tentu akan akan mengguna semua sumber bagi membuktikan laporan Sarawak Report itu berasas.
     
Maka kita sekarang sudah bertambah dekat dengan apa yang dicari kiranya pembelaan pengarang itu betul. Peguam tentu akan dapatkan daripada Ambiga siapa yang memberitahunya.
    
Apapun Ambiga jika boleh jadi saksi tentu sebagai peguam akan memberi kerjasama kepada mahkamah, betul atau tidak betul dia berkata begitu kepada pengarang media itu. Jika dia menafikannya, maka ia akan jadi masalah antaranya dengan pengarang itu.
    
Biarkanlah mereka menyelesaikan masalah mereka. PAS tiada rugi apa-apa, sebaliknya dapat menonton apa hendak jadi atas perkara itu.
     
PAS tidak perlu berprasangka dengan Ambiaga. Kena gayanya dia membantu PAS bagi mengetahui siapa yang memberitahunya? Jika dia yang mereka perkara itu, maka Sarawak Reportlah yang akan menghadapinya pula. PAS tidak perlu susah dengan Ambiga. Soal utama bagi PAS sekarang ialah mahu membuktikan Sarawak Report memfitnahnya dan bagaimana dia dapat cerita itu?

Kita pula hendak  tahu sumbernya. Sekutu-sekutu PAS sesama Pakatan Rakyat dulukah? Atau DAP kah. Atau Umno sendiri? Atau mungkin orang PAS sendiri khususnya yang lari parti itu. Orang PAS yang setianya tidak berbelah bagi kepada jemaah tidak akan khianat pada partinya.
    
Dan mungkin juga yang kencang membalun Ambiga atas sebutan di mahkamah England itu yang memberitahu demikian kepada Ambiga dan gelabah kalau Ambiga dengan bukti cukup memberitahu melalui saluran betul dialah sumbernya.
      
Jika PAS sabar dan diikuti dengan solat hajat, Amiga boleh jadi kawan dalam mencari kebenaran dan keadilan semasa menghadapi saman yang difailkannya itu. – HARAKAHDAILY 3/11/2017

SEORANG kawan menelefon saya suruh baca sebuah akhbar Inggeris. Payah mencari akhbar itu, tapi akhirnya dapat juga.

Ia penuh dengan laporan tentang budak saudagar Jho Low dan 1MDB yang dikatakan menipu duit kerajaan berbilion-bilion.

Subki 2Itulah kali pertama saya mengetahui Jho Low dan 1MDB. Saya tidak ingat sudah berapa lama. Tapi orang yang menelefon saya itu sudah lama mati.

Lepas itu kecohlah alam ini dengan apa yang dirasakan rompakan ke atas khaznah negara dan ibu segala skandal buat negara.

Gerangan apa ia dikatakan skandal? Kerana Perdana Menteri Najib bertanggungjawab penuh atas 1MDB dan 1MDB itu syarikat Kementerian Kewangan hingga Menteri Kewangan Kedua masa itu Dato Hanazlah tidak ia ditubuhkan dan apa operasinya.

Demikianlah lamanya si Jho Low dikatakan penyangak dan mungkin lebih terror penyangak mata wang dunia George Soros yang meruntuhkan sistem kewangan Malaysia semasa pentadbiran Dr. Mahahir dulu.

Sejak itu si Jho dihebohkan sebagai penyangak dan PM Najib dilibatkan sebagai penanggungjawab. Apa orang kata tentang penyangat itu dan apa yang disyak hubungan PM Najib dengannya, Perdana Menteri diam dan buat dak saja.

Negara kita ini bagai hendak runtuh atas gema rompakan itu. PM Najib buat tahu saja.

Boleh dikira tiada tohmahan dan sangka buruk yang lebih buat Malaysia selain kejadian itu.

Lazimnya apa jua fitnah jauh kecilnya dari 1MDB dan Jho Low yang dikaitkan itu, secepat kilat pemimpin yang dikaitkan akan melenting, bukan saja marah akan fitnah itu bertindak segera bertindak bagi membersihkan nama baik dan maruah kerajaan yang dipimpinnya.

Tetapi Najib seolah-olah menunjukkan sabarnya, diam, tenang macam mengalahkan sabar Nabi Ayub. Sekalian nabi dan rasul itu tinggi sabarnya, tetapi sabar Nabi Ayub lebih dari yang lain. Dekat macam itu sabarnya Najib.

Bukan pembangkang yang menjalankan tanggungjawabnya peka dan riuh atas petaka itu, bahkan kerajaan Obama ikut terharu justeru yang dikatakan jenayah itu dikatakan berlaku di kedaulatan Amerika juga.

Kerajaan tubuhkan badan siasatan khas diketuai oleh Peguam Negara, Tan Sri Gani Patail. Lain-lain ahlinya Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim, Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar. Seekor pun sudah tiada di jawatan masing-masing.

Najib terus tercegat macam patung berhala dibina di lapangan, begitulah dia tidak kisah ditimpa hujan lebat dan panah terik matahari.

Setelah bertahun-tahun alam gempita dengan puaka 1MDB dan orang yang disyaki penyangak tadi, setengah dari yang peka mari belaka, maka berkatalah kerajaan Najib, sebenarnya Jho Low tak apa-apa.

Orang kata saja dia begitu dan begini. Dia seolah-olah diburuk-burukkan. Najib, kerajaannya dan ssitem di bawah pemerintahannya kata bedebah itu bersih. Jika bayi adalah brsih, dia lebih bersih dari bayi. Jika salji iu putih ia lebih putih dari salji.

Nyata bodohnya semua. Hingga Jabatan Kehakiman Amerika pun dirasakan bodoh juga.

Semuanya diajar. Mati itu benar. Soal Munkar Nakir itu benar. Syurga itu benar dan neraka itu benar. Tiba-tiba semuanya dikatakan tidak benar. Tidakkah gila sekalian dengannya.

Mungkin begitulah reaksi semua bila Jho Low dikatakan bersih.

Adakah Perdana Menteri kita itu orang betul atau patung kaku ditimpa hujan dan dijemuri panas terik dan teruk? – HARAKAHDAILY 31/10/2017

BERKATA setiap pemimpin UMNO, PM Najib, Zahid Hamidi dan lain-lain UMNO mesti menang PRU14 demi menjamin masa depan anak cucu orang Melayu.

Ertinya orang Melayu sudah tidak selamat sekalipun UMNO sudah berkuasa sejak 28 Julai 1955.

Kalah kalahlah UMNO habis mampuslah orang Islam dan orang Melayu.

Itulah yang cakap dalam setiap kempen pilihan rayanya. Bahkan sebelum ditubuhkan UMNO setiap pembesar yang menyokong Dato Onn Jaafar berarak ke setiap istana dan berkumpul di bandar-bandar seluruh Semenanjung Malayan Union mesti ditentang demi menyelamatkan bangsa Melayu.

Maka mampuslah Malayan Union gara-gara unjuk rasa sekalian si penunjuk rasa itu. Orang-orang inilah yang menubuhkan UMNO. Sesudah tiada Dato Onn dan orang-orang yang penting yang menubuhkan UMNO, UMNO berubah kepada perjuangan kemerdekaan.

Antaranya juga demi menjamin masa depan anak cucu orang Melayu. Dapatlah ia membentuk kerajaan sendiri tahun 1955 dan kemerdekaan tahun 1957. Mari PRU pertama tahun 1959, ia kalah di Terengganu dan Kelantan tetapi dengan kempen demi menjaga masa depan anak cucu orang Melayu ia menang besar di lain-lain negeri Parlimen.

Mengapa agaknya ia kalah di Terengganu dan Kelantan? Agaknya mereka tidak percaya janji kempennya itu?

Setiap kali PRU UMNO berjanji untuk menyelamat dan menjamim masa depan anak cucu orang Melayu. Bermati-matianlah orang Melayu menyokongnya dengan harapan selamat masa depan anak cucunya, kecuali orang Melayu Kelantan yang tidak yakin UMNO cukup jantan untuk membela masa dengan orang Melayu.

Sekarang menjelang PRU14 setelah beberapa pemimpin UMNO yang tidak mabuk dedak meninggalkan UMNO, jika PAS terus tidak bulo’ dengan UMNO seperti yang al-Marhum Ustaz Fadzil Noor pernah kata, maka seakan-akan UMNO jadi telur di hujung tanduk.

Berkata lagi pemimpin-pemimpin UMNO, UMNO mesti menang lagi kali ini, tidak tidak, habislah masa depan anak cucu orang Melayu!

Mengapa UMNO bercakap begitu? Teruk benarkah orang Melayu jika UMNO kalah kali ini akan hilang Melayu di dunia? Hang Tuah pun nescaya tidak diingat lagi.

Mungkin UMNO berkata betul. Betul Melayu sudah tiba ajak seperti bangsa Babilon yang sudah tidak ada dan Kurdistan yang ada nama tapi tiada wilayah.

Kalau gerangan itu diberi UMNO menang lagi dan ia berkuasa lagi, apa jaminan ia mampu dan tahu menyelamatkan masa depan anak cucu Melayu?

Ia sudah dibagi kuasa sejak tahun 1955, orang Melayu tidaklah terancam sangat masa itu. Calon UMNO di Pulau Pinang, al-Marum SM Zainal Abidin menang PRU tahun itu. Betul Melayu berdaulat jika terus dijajah. Tetapi sebaik saja Inggeris cau sudah berdaulat.

Meskipun Malaya dipaksa jadi bangsa majmuk, tetapi kehadiran bukan Melayu ketika itu samalah seperti kehadiran Bani Israil di Mesir di zaman Firaun, tidak mengancam bangsa Kibti, bumiputera Mesir.

Ertinya memberi mandat kepada UMNO, seperti memberi bunga kepada beruk. Beri kuasa lagi, tak beri kuasa lagi, tiada masa depan anak cucu Melayu.

Tetapi kalau beri kuasa itu kepada PAS, Insya Allah, Allah beri taufik kepadad orang beriman dan taqwa untuk menyelamatkan masa depan anak cucu orang Islam dan jaminan aman bagi anak cucu masyarakat majmuk.

Allah berjanji siapa yang berpandu kepada al-Quran dan sunnah nescaya diberi petunjuk. Kata Syed Qutub, sistem tidak Islami ialah jahiliyah sekalipun watannya Islam. Jahiliyah tetap tidak diberi petunjuk.

Undi PAS, tolak UMNO. – HARAKAHDAILY 27/10/2017

SYAIKH Zamihan Mohd Zain, ketua persatuan Ahli Sunnah Wal Jamaah telah ditarik tauliah mengajaar di surau dan masjid, setakat ini untuk Negeri Selangor dan Johor ‘ala kulihallah justeru ceramahnya menimbulkan kemurkaan.
      
Subki 2Tanggapan saya Syaikh Zamihan mungkin seorang bahasa Kelantan gedebe dari segi sikap/pendirian dalam agama. Seperti pernah ada orang menyebut pada saya betapa al-Marhum TG Nik Aziz Nik Mat dikira ulama gedebe dalam pegangan agamanya.
      
Mungkin sebelum dunia mengenali Daesh dan IS, pendiriannya itu boleh dikira ekstremis. Tetapi tidaklah sampai macam Daesh dan IS. Tidak segan dan silu menyatakan pandangannya, tiada takut sesiapa selain dari Allah.
     
Macam Saidina Umar al-Khatab, setelah memeluk Islam dimakluminya yang mutlak ditakuti hanya Allah. Harimau, Malikat Maut, samseng Quraisy dan Maharaja Rom tak digeruninya. Ketika lain-lain assabiqun takut berdakwah berterangan di Baitullah, beliau seorang diri tampil menyeru orang kepada Islam. Semangat itu dipercayai ada pada Syaikh itu.
     
Itulah cara seorang Islam, ulama dan pahlawan pula. Maka orang kurang pengetahuan agama jangan pandang sebelah mata ilmunya. Ramai yang mengira keperluan tauliah merendahkan ilmu mereka. Al-Marhum bapa saya enggan memohon tauliah. Kerana rakan-rakannya mufti, kadhi besar Perak, mereka panggilnya ke pejabat agama, mereka beri tauliah tanpa rintihan.
     
Tuan Zamihan tiada ego tentang tauliah. Beliau menerima tauliah adalah keperluan dan penting untuk berkuliah di masjid dan surau bagi mengelakkan orang mengajar ilmu sesat.
     
Tauliah adalah urusan pentadbiran boleh dibatalkan atas sebab-sebab tertentu. Mungkin wajar tauliahnya dibatalkan. Jika telah disabitkan beliau melanggar syarat-syarat dan pantang larang, tidak apa yang wajar dibantah.
      
Jika beliau sudah diberi layanan keadilan sepenuhnya, maka tidak berbangkit soal pembelaannya.
     
Negara kita ada sistem undang-undangnya yang terkini, tidak seperti undang-undang zaman Hang Tuah dulu. Ketika itu apabila ada yang mengatakan Hang Tuah itu begitu dan begini, Raja Melaka tidak perlu tanya saksi dan tidak minta Hang Tuah membela diri, maka dia terus dihukum sekalipun dia seorang Laksamana, satu kedudukan tinggi di sisi istana.
      
Zamihan adalah seorang ulama. Ilmunya melayakkan diberi tauliah. Ilmu seorang ulama amat diperlukan oleh semua orang selagi ia tidak menyampai ilmu salah. Jika beliau telah terbabas, maka tindakan disiplin boleh dikenakan.
      
Apa-apa kesalahannya wajar ditegur supaya kesilapan itu boleh dibetulkan dan ia tidak diulangi. Jika semua teguran tidak diindahkan, ia keras kepala juga, tidak cara melainkan mengenakan tindakan disiplin.
     
Sebelum tindakan diambil, seseorang yang dituduh mesti diberi ruang dan peluang membela diri. Tiada adil mana-mana mahkamah tidak memanggil yang didakwa membela diri.
     
Mahkamah hanya berkuasa tidak memanggil yang dituduh membela diri kerana mengira dia tidak bersalah.
      
Tauliah mengajar adalah isu dalam pentadbiran Islam. Perkara dalam Islam sebagai agama yang adil perlu bertindak lebih adil dari lain-lain keadilan dunia dan ciptaan manusia.
      
Saya tidak melihat beliau lebih besar dan istimewa dari orang lain, tetapi hukuman tanpa peluang padanya membela diri adalah satu kemalangan bagi keadilan. Saya tidak mahu kata ia satu kezaliman, tapi apa bahasa yang boleh digunakan bila hak pembelaan diri tidak diberi? - HARAKAHDAILY 26/10/2017
     
    

LEBIH dari sekali Tok Guru Haji Abdul Hadi Awang menyeru Dr. Mahathir supaya bertaubat dalam masa beberapa bulan belakangan ini.

Pertama setelah Mahathir dikatakan tidak dapat memberi jawapan yang memuaskan orang yang bertanya tentang isu Memali dalam majlis terbuka Bersatu dia ditanya dan dia jawab semua.

Hal itu rebut dan Tok Guru saran dia taubat tentunya tentang peristiwa Memali itu. Dan yang terbaru disarankan pula taubat atas kesilapan pentadbiran yang panjang tanpa memperincikan kelemahannya.

Tok Guru tentulah tidak bersih dari sebarang dosa tetapi sebagai ulama tentulah beliau segera taubat sebaik saja sedar akan kesilapannya dan sama ada beliau sedar atau tidak kesilapannya, orang Islam diajar supaya sentiasa taubat.

Apabila Mahathir disaran taubat, tidaklah bererti lain-lain pemimpin dan perdana menteri sebelum dan selepasnya tidak perlu taubat. Mahathir disaran taubat kerana dia sedang lantang semua di gelanggang politik terbuka. Kit Siang dan Anwar Ibrahim tidak di saat ini patut menegurnya kerana mereka sudah sebaris di pentas yang satu.

Apakah seruan Tok Guru itu dikira tidak patut atau satu kesalahan pula?

Apapun bunyinya saja macam bom meletup tetapi Tok Guru membuat nasihat yang biasa. Sekalipun Mahathir itu orang politik terbilang tetapi dia adalah orang Islam dan Islam itu adalah agama nasihat, wajar seorang Islam itu dinasihat termasuk menyeru taubat baik dia salah atau tidak.

Semuanya patut terbuka dan positif atas ingatan taubat. Mahathir tidak wajar melihatnya sebagai satu tempelak tetapi ambillah sebagai satu nasihat, jika dia terasa dia ada kesalahan, ini adalah peluang untuk mengaku dan taubat. Jika dia rasa dia tidak salah dan tidak silap, bertaubat juga, bahkan mendapat pahala besar jika ia diterima Allah.

Dan Allah berjanji sedia menerima taubat dan mengampun kesalahan hambaNya yang taubat dan minta ampun atas sesiapa saja yang dikehendakiNya.

Memandangkan maksiat Namrud dan Firaun adalah begitu besar, bahkan Firaun mengaku dirinya tuhan, satu maksiat yang iblis tak sanggup lakukan, eloknya tidak perlu Nabi Ibrahim dan Nabi Musa menemui mereka mintanya berhenti menentang Allah dan menerima Allah sebagai Tuhan Yang Esa.

Kedurjanaan mereka itu eloklah diperonyokkan ke neraka saja, tetapi Allah sunnahkan Nabi-NabiNya menyampai amaran kepada manusia jembalang itu.

Wajar mereka didakwah dulu. Jika mereka memilih melawan juga, ia adalah masalah mereka. Ingatan dan nasihat itu patut disampaikan kepada semua, dan Tok Guru sebagai Tok Guru telah menjalankan dakwahnya menasihatkan Mahahir bertaubat.

Mahathir pula boleh dikira bertuah, kerana ada orang yang sedia mengingatkannya supaya bertaubat dan dengan bertaubat itu jika diperkenan Allah, nescaya menjadikan Mahathir orang yang bahagia di dunia dan bahagia di akhirat.

Mungkin Tun Razak dan Tun Hussein Onn tidak sebertuah Mahahir. Tidak kira ketahui ada orang yang mengingat mereka supaya bertaubat secara terbuka. Tiada orang yang berani menyampaikan seperti yang dibuat oleh Tok Guru kepada Mahathir itu.

Taubat amat senang dibuat. Teringat saja ada melakukan dosa, terus bertaubat saja, tak perlu di tikar sembahyang saja. Masa hendak tidur, masa bersukan. Atas dosa-dosa yang biasa, tak perlu diketahui orang dan tak perlu menjerit. Allah mendengar sekalipun berbisik.

Tetapi dosa politik yang melibat rakyat dan negara taubat itu dibuat di khalayak umum. Ini tidak diketahui Mahathir pernah buat. – HARAKAHDAILY 24/10/2017

ANTARA istilah syarak yang diperkenalkan politik dan pentadbiran Perdana Menteri Najib ialah Maqasid Syariah selain dari wasatiyah.
      
Kira-kira ia termasuk dalam rangka transformasi yang pentadbiran itu mahu adakan dari aspek keagaman iaitu Islam.
      
SubkyLatifDari mula disebut ia sekadar mampu didengar, hanya lepas sambutan ulang tahun kemerdekaan ia baru diiklan di TV. Rukun maqasid yang lima itu ialah menjaga agama, menjaga nyawa, menjaga akal, menjaga keluarga/keturunan dan menjaga harta.
       
Inilah yang menyebabkan Islam cepat berkembang bermula dari pembentukan Negara Islam Madinah sebaik saja hijrah Rasul dan tiada lagi yang layak menerima zakat di bawah pentadbiran Khalifah Umar Abdul Aziz hingga khalifah terpaksa mencari apa hendak digunakan dengan pungutan zakat yang bertimbun-timbun justeru kemiskinan berjaya dibasmi.
      
Ia adalah maqasid terlaksana sepenuhnya.
      
Kita hanya mampu mendengar maqasid syariah dan kegemilangan Umar Abdul Aziz saja. Tetapi tidak dapat menghirup nikmatnya kerana nikmat itu tiada di sekitar kita.
     
Sejak maqasid disebut adakah agama/aqidah Islam terjaga? Atau sekurang-kurangnya reda?
     
Ajaran sesat menjadi-jadi. Dari orang Islam ada Ayah Pin memimpin kerajaan dari langit, ada nabi Melayu, kerunthan akhlak dan penyaki sosial menjadi-jadi bukan saja di kalangan bukan Islam tetapi di kalangan Islam.
      
Umat diserang anti hadis dan ancaman Islam liberal dan plural. Islam ada tetapi tak dapat menjaga orang murtad dan bermaksiat. Ia tanda agama dan akidah tak terjaga.
     
Adakah nyawa rakyat dan pelancong terjaga? Hari-hari kita baca berita orang terbunuh kerana dibunuh dan kecelakaan jalan raya. Nyawa melayang kerana jenayah dan melayang kerana keselamatan tak terkawal. Bukan nyawa rakyat tak selamat, pekerja asing juga tak selamat sesama pekerja asing.
     
Banyak kejadian pelancong diculik. Nyawa berisiko jika tebusan tak tertunai. Bukan nyawa saja tak selamat, mayat pun tak selamat hingga diletup berkecai. Anak bunuh ibu/bapa dan cucu bunuh nenek benda biasa sekarang.
      
Adakah sistem kita menjamin keselamatan otak?
      
Minum arak tidak menjadi kesalahan. Arak berlesen boleh dapat di pasaraan terbuka. Bukan saja ia boleh diedar dan dijual, ia boleh dikilang. Maqasid bukan sekadar hendak menjaga otak orang Islam. Otak semua orang perlu dijaga.
      
Otak yang dibinasakan oleh dadah tidak mampu dikawal. Sekarang ia mula masuk ke sekolah. Bukan arak dan dadah yang merosakkan otak, fikiran yang menysatkan manusia juga banyak mencelarukan otak orang Islam hingga kesatuan fikrah tidak wujdu di kalangan sesama Islam sesama mazhab yang jadi anutan raja-raja bercelaru.
      
Adapun kesucian keluarga dan keturunan yang jadi kebanggaan umat Islam sejak Islam tiba ke Melaka tahun 1409 terancam oleh pergaulan bebas dan keruntuhan akhlak yang melanda sekarang. Bilangan anak tak sah status meningkat setiap masa.
      
Mungkin peratusnya kurang dari 0.09 peratus tetapi maqasid mahu ia tiada lansung. Kita tak mahu sekalipun dua tiga orang, tetapi apabila sudah tak terbilang, ia tanda keturunan yang rosak. Nak lari dari ibu/bapa dan ibu/bapa tidak dapat mengenakan peraturan kepada anak dan cucu, bukti rukun keluar dan keturunan tidak terjaga.
      
Yang terakhir harta. Yang dikehendaki adalah harta diperoleh secara sah baik dari faraid dan hasil dari usaha masing-masing. Harta yang tidak bersih lagi haram bukan kemahuan maqasid. Dan apa jaminan harta selamat?
     
Ia tidak sekadar diancam perompak dan pencuri, bahkan terdedah kepada rempit di jalan-jalan. Tidak dipastikan siapa antara kita penyangak yang boleh menukar milik akaun bank dan gedung-gedung perniagaan.  Bukan sekadar harta individu penyangak rompak. Pemimpin dan menteri jadi penyangat harta kerajaan.
      
Banyaknya tangkapan oleh SPRM akhir-akhir ini adalah kerana maqasid syariah sekadar jadi cerita yang menyedapkan telinga, tetapi tiada yang hendak menjalankannya.
     
Ia adalah gara-gara fitnah memerangi syariah dalam semua sudut dan dari  semua sudut, hingga yang mewar-warkan maqasid itu masih jadi sebahagian dari tok pawang memecah timba.
     
Bolehkah maqasid berkesan dalam masyarakat yang tidak mengiktiraf hudud dan bagaimana ia hendak dikuat kuasa jika hudud tidak ada? - HARAKAHDAILY 19/10/2017