Maqasid syariah belum bermula

Kolumnis
Typography

ANTARA istilah syarak yang diperkenalkan politik dan pentadbiran Perdana Menteri Najib ialah Maqasid Syariah selain dari wasatiyah.
      
Kira-kira ia termasuk dalam rangka transformasi yang pentadbiran itu mahu adakan dari aspek keagaman iaitu Islam.
      
SubkyLatifDari mula disebut ia sekadar mampu didengar, hanya lepas sambutan ulang tahun kemerdekaan ia baru diiklan di TV. Rukun maqasid yang lima itu ialah menjaga agama, menjaga nyawa, menjaga akal, menjaga keluarga/keturunan dan menjaga harta.
       
Inilah yang menyebabkan Islam cepat berkembang bermula dari pembentukan Negara Islam Madinah sebaik saja hijrah Rasul dan tiada lagi yang layak menerima zakat di bawah pentadbiran Khalifah Umar Abdul Aziz hingga khalifah terpaksa mencari apa hendak digunakan dengan pungutan zakat yang bertimbun-timbun justeru kemiskinan berjaya dibasmi.
      
Ia adalah maqasid terlaksana sepenuhnya.
      
Kita hanya mampu mendengar maqasid syariah dan kegemilangan Umar Abdul Aziz saja. Tetapi tidak dapat menghirup nikmatnya kerana nikmat itu tiada di sekitar kita.
     
Sejak maqasid disebut adakah agama/aqidah Islam terjaga? Atau sekurang-kurangnya reda?
     
Ajaran sesat menjadi-jadi. Dari orang Islam ada Ayah Pin memimpin kerajaan dari langit, ada nabi Melayu, kerunthan akhlak dan penyaki sosial menjadi-jadi bukan saja di kalangan bukan Islam tetapi di kalangan Islam.
      
Umat diserang anti hadis dan ancaman Islam liberal dan plural. Islam ada tetapi tak dapat menjaga orang murtad dan bermaksiat. Ia tanda agama dan akidah tak terjaga.
     
Adakah nyawa rakyat dan pelancong terjaga? Hari-hari kita baca berita orang terbunuh kerana dibunuh dan kecelakaan jalan raya. Nyawa melayang kerana jenayah dan melayang kerana keselamatan tak terkawal. Bukan nyawa rakyat tak selamat, pekerja asing juga tak selamat sesama pekerja asing.
     
Banyak kejadian pelancong diculik. Nyawa berisiko jika tebusan tak tertunai. Bukan nyawa saja tak selamat, mayat pun tak selamat hingga diletup berkecai. Anak bunuh ibu/bapa dan cucu bunuh nenek benda biasa sekarang.
      
Adakah sistem kita menjamin keselamatan otak?
      
Minum arak tidak menjadi kesalahan. Arak berlesen boleh dapat di pasaraan terbuka. Bukan saja ia boleh diedar dan dijual, ia boleh dikilang. Maqasid bukan sekadar hendak menjaga otak orang Islam. Otak semua orang perlu dijaga.
      
Otak yang dibinasakan oleh dadah tidak mampu dikawal. Sekarang ia mula masuk ke sekolah. Bukan arak dan dadah yang merosakkan otak, fikiran yang menysatkan manusia juga banyak mencelarukan otak orang Islam hingga kesatuan fikrah tidak wujdu di kalangan sesama Islam sesama mazhab yang jadi anutan raja-raja bercelaru.
      
Adapun kesucian keluarga dan keturunan yang jadi kebanggaan umat Islam sejak Islam tiba ke Melaka tahun 1409 terancam oleh pergaulan bebas dan keruntuhan akhlak yang melanda sekarang. Bilangan anak tak sah status meningkat setiap masa.
      
Mungkin peratusnya kurang dari 0.09 peratus tetapi maqasid mahu ia tiada lansung. Kita tak mahu sekalipun dua tiga orang, tetapi apabila sudah tak terbilang, ia tanda keturunan yang rosak. Nak lari dari ibu/bapa dan ibu/bapa tidak dapat mengenakan peraturan kepada anak dan cucu, bukti rukun keluar dan keturunan tidak terjaga.
      
Yang terakhir harta. Yang dikehendaki adalah harta diperoleh secara sah baik dari faraid dan hasil dari usaha masing-masing. Harta yang tidak bersih lagi haram bukan kemahuan maqasid. Dan apa jaminan harta selamat?
     
Ia tidak sekadar diancam perompak dan pencuri, bahkan terdedah kepada rempit di jalan-jalan. Tidak dipastikan siapa antara kita penyangak yang boleh menukar milik akaun bank dan gedung-gedung perniagaan.  Bukan sekadar harta individu penyangak rompak. Pemimpin dan menteri jadi penyangat harta kerajaan.
      
Banyaknya tangkapan oleh SPRM akhir-akhir ini adalah kerana maqasid syariah sekadar jadi cerita yang menyedapkan telinga, tetapi tiada yang hendak menjalankannya.
     
Ia adalah gara-gara fitnah memerangi syariah dalam semua sudut dan dari  semua sudut, hingga yang mewar-warkan maqasid itu masih jadi sebahagian dari tok pawang memecah timba.
     
Bolehkah maqasid berkesan dalam masyarakat yang tidak mengiktiraf hudud dan bagaimana ia hendak dikuat kuasa jika hudud tidak ada? - HARAKAHDAILY 19/10/2017