Tok Guru seru Mahathir taubat

Kolumnis
Typography

LEBIH dari sekali Tok Guru Haji Abdul Hadi Awang menyeru Dr. Mahathir supaya bertaubat dalam masa beberapa bulan belakangan ini.

Pertama setelah Mahathir dikatakan tidak dapat memberi jawapan yang memuaskan orang yang bertanya tentang isu Memali dalam majlis terbuka Bersatu dia ditanya dan dia jawab semua.

Hal itu rebut dan Tok Guru saran dia taubat tentunya tentang peristiwa Memali itu. Dan yang terbaru disarankan pula taubat atas kesilapan pentadbiran yang panjang tanpa memperincikan kelemahannya.

Tok Guru tentulah tidak bersih dari sebarang dosa tetapi sebagai ulama tentulah beliau segera taubat sebaik saja sedar akan kesilapannya dan sama ada beliau sedar atau tidak kesilapannya, orang Islam diajar supaya sentiasa taubat.

Apabila Mahathir disaran taubat, tidaklah bererti lain-lain pemimpin dan perdana menteri sebelum dan selepasnya tidak perlu taubat. Mahathir disaran taubat kerana dia sedang lantang semua di gelanggang politik terbuka. Kit Siang dan Anwar Ibrahim tidak di saat ini patut menegurnya kerana mereka sudah sebaris di pentas yang satu.

Apakah seruan Tok Guru itu dikira tidak patut atau satu kesalahan pula?

Apapun bunyinya saja macam bom meletup tetapi Tok Guru membuat nasihat yang biasa. Sekalipun Mahathir itu orang politik terbilang tetapi dia adalah orang Islam dan Islam itu adalah agama nasihat, wajar seorang Islam itu dinasihat termasuk menyeru taubat baik dia salah atau tidak.

Semuanya patut terbuka dan positif atas ingatan taubat. Mahathir tidak wajar melihatnya sebagai satu tempelak tetapi ambillah sebagai satu nasihat, jika dia terasa dia ada kesalahan, ini adalah peluang untuk mengaku dan taubat. Jika dia rasa dia tidak salah dan tidak silap, bertaubat juga, bahkan mendapat pahala besar jika ia diterima Allah.

Dan Allah berjanji sedia menerima taubat dan mengampun kesalahan hambaNya yang taubat dan minta ampun atas sesiapa saja yang dikehendakiNya.

Memandangkan maksiat Namrud dan Firaun adalah begitu besar, bahkan Firaun mengaku dirinya tuhan, satu maksiat yang iblis tak sanggup lakukan, eloknya tidak perlu Nabi Ibrahim dan Nabi Musa menemui mereka mintanya berhenti menentang Allah dan menerima Allah sebagai Tuhan Yang Esa.

Kedurjanaan mereka itu eloklah diperonyokkan ke neraka saja, tetapi Allah sunnahkan Nabi-NabiNya menyampai amaran kepada manusia jembalang itu.

Wajar mereka didakwah dulu. Jika mereka memilih melawan juga, ia adalah masalah mereka. Ingatan dan nasihat itu patut disampaikan kepada semua, dan Tok Guru sebagai Tok Guru telah menjalankan dakwahnya menasihatkan Mahahir bertaubat.

Mahathir pula boleh dikira bertuah, kerana ada orang yang sedia mengingatkannya supaya bertaubat dan dengan bertaubat itu jika diperkenan Allah, nescaya menjadikan Mahathir orang yang bahagia di dunia dan bahagia di akhirat.

Mungkin Tun Razak dan Tun Hussein Onn tidak sebertuah Mahahir. Tidak kira ketahui ada orang yang mengingat mereka supaya bertaubat secara terbuka. Tiada orang yang berani menyampaikan seperti yang dibuat oleh Tok Guru kepada Mahathir itu.

Taubat amat senang dibuat. Teringat saja ada melakukan dosa, terus bertaubat saja, tak perlu di tikar sembahyang saja. Masa hendak tidur, masa bersukan. Atas dosa-dosa yang biasa, tak perlu diketahui orang dan tak perlu menjerit. Allah mendengar sekalipun berbisik.

Tetapi dosa politik yang melibat rakyat dan negara taubat itu dibuat di khalayak umum. Ini tidak diketahui Mahathir pernah buat. – HARAKAHDAILY 24/10/2017