Beri peluang Zamihan bela diri

Kolumnis
Typography

SYAIKH Zamihan Mohd Zain, ketua persatuan Ahli Sunnah Wal Jamaah telah ditarik tauliah mengajaar di surau dan masjid, setakat ini untuk Negeri Selangor dan Johor ‘ala kulihallah justeru ceramahnya menimbulkan kemurkaan.
      
Subki 2Tanggapan saya Syaikh Zamihan mungkin seorang bahasa Kelantan gedebe dari segi sikap/pendirian dalam agama. Seperti pernah ada orang menyebut pada saya betapa al-Marhum TG Nik Aziz Nik Mat dikira ulama gedebe dalam pegangan agamanya.
      
Mungkin sebelum dunia mengenali Daesh dan IS, pendiriannya itu boleh dikira ekstremis. Tetapi tidaklah sampai macam Daesh dan IS. Tidak segan dan silu menyatakan pandangannya, tiada takut sesiapa selain dari Allah.
     
Macam Saidina Umar al-Khatab, setelah memeluk Islam dimakluminya yang mutlak ditakuti hanya Allah. Harimau, Malikat Maut, samseng Quraisy dan Maharaja Rom tak digeruninya. Ketika lain-lain assabiqun takut berdakwah berterangan di Baitullah, beliau seorang diri tampil menyeru orang kepada Islam. Semangat itu dipercayai ada pada Syaikh itu.
     
Itulah cara seorang Islam, ulama dan pahlawan pula. Maka orang kurang pengetahuan agama jangan pandang sebelah mata ilmunya. Ramai yang mengira keperluan tauliah merendahkan ilmu mereka. Al-Marhum bapa saya enggan memohon tauliah. Kerana rakan-rakannya mufti, kadhi besar Perak, mereka panggilnya ke pejabat agama, mereka beri tauliah tanpa rintihan.
     
Tuan Zamihan tiada ego tentang tauliah. Beliau menerima tauliah adalah keperluan dan penting untuk berkuliah di masjid dan surau bagi mengelakkan orang mengajar ilmu sesat.
     
Tauliah adalah urusan pentadbiran boleh dibatalkan atas sebab-sebab tertentu. Mungkin wajar tauliahnya dibatalkan. Jika telah disabitkan beliau melanggar syarat-syarat dan pantang larang, tidak apa yang wajar dibantah.
      
Jika beliau sudah diberi layanan keadilan sepenuhnya, maka tidak berbangkit soal pembelaannya.
     
Negara kita ada sistem undang-undangnya yang terkini, tidak seperti undang-undang zaman Hang Tuah dulu. Ketika itu apabila ada yang mengatakan Hang Tuah itu begitu dan begini, Raja Melaka tidak perlu tanya saksi dan tidak minta Hang Tuah membela diri, maka dia terus dihukum sekalipun dia seorang Laksamana, satu kedudukan tinggi di sisi istana.
      
Zamihan adalah seorang ulama. Ilmunya melayakkan diberi tauliah. Ilmu seorang ulama amat diperlukan oleh semua orang selagi ia tidak menyampai ilmu salah. Jika beliau telah terbabas, maka tindakan disiplin boleh dikenakan.
      
Apa-apa kesalahannya wajar ditegur supaya kesilapan itu boleh dibetulkan dan ia tidak diulangi. Jika semua teguran tidak diindahkan, ia keras kepala juga, tidak cara melainkan mengenakan tindakan disiplin.
     
Sebelum tindakan diambil, seseorang yang dituduh mesti diberi ruang dan peluang membela diri. Tiada adil mana-mana mahkamah tidak memanggil yang didakwa membela diri.
     
Mahkamah hanya berkuasa tidak memanggil yang dituduh membela diri kerana mengira dia tidak bersalah.
      
Tauliah mengajar adalah isu dalam pentadbiran Islam. Perkara dalam Islam sebagai agama yang adil perlu bertindak lebih adil dari lain-lain keadilan dunia dan ciptaan manusia.
      
Saya tidak melihat beliau lebih besar dan istimewa dari orang lain, tetapi hukuman tanpa peluang padanya membela diri adalah satu kemalangan bagi keadilan. Saya tidak mahu kata ia satu kezaliman, tapi apa bahasa yang boleh digunakan bila hak pembelaan diri tidak diberi? - HARAKAHDAILY 26/10/2017