Najib kata, Mahathir si skandal terbesar

Kolumnis
Typography

SAYA tidak pasti apa yang PM Najib sebenarnya mahu bagitahu di Perhimpunan Agung MCA tentang Dr. Mahathir dalam perkara skandalnya.
     
Tapi kesimpulan yang mudah difaham maksudnya, Mahathir itu dikatakan si skandal yang cukup besar. Contoh yang diberitakan skandal terbesar itu ialah dia perintah tangkap dan tahan puluhan/ ratusan aktivis berbagai lapangan dalam Operasi Lalang tanpa bicara.
     
Ikut faham orang awam, perintah macam itu, arahan Sultan Melaka bunuh Hang Tuah, perintah  Namrud bakar Nabi Ibrahim atau arahan Stalin hapuskan Leon Trotsky tidak dirasakan skandal. Ia zalim dan kejam. Yang dikira skandal ialah kaki betina, kacau rumah tangga orang, bersubahat rasuah, rompak duit kerajaan, jadikan perbendaharaan negara macam pusaka mak bapaknya, antara contohnya.
     
Mungkin faham hakim lain dan faham pengarang kamus lain. Jahat Opersi Lalang itu tidak sama dengan dosa jadikan anak bini orang macam bininya, gunakan duit negara macam pusaka tok neneknya. Apapun semuanya dosa besar, bukan dosa yang wastiyah dan bukan yang maqasid syariah ajar.
     
Mungkin Operasi Lalang itu skandal terbesar tetapi main betina, ambil bini orang, curi duit kerajaan skandal juga dan wajib dikutuk dan dihukum juga. Belum tentu semua Perdana Menteri dan menteri-menteri sebelum dan selepas Mahathir lebih bersih daripada Mahathir, Cuma Mahahir saja si skandal terbesar. Skandal kecil skandal juga, semuanya keji dan terkutuk.
     
Skandal yang dikatakan oleh Mahathir itu belum ditribunal dan diputus sang-sang hakim, baru satu bab saja disuruhanjaya dirajakan iaitu niaga mata wang asing Bank Negara. Itupun belum diputuskan lagi. Segala dakwaan tentang Mahathir baru dibicarakan di mahkamah masyarakat yang semua orang boleh jadi pendakwa dan semuanya boleh jadi hakim.
    
Nasib Mahathir kurang baik justeru usianya panjang. Saranan Almarhum Ustaz FAdzil Noor, biar usianya panjang nescaya dia dapat hadapi segala gara-gara kelemahannya sebagai si berkuasa. Yang lain sebelumnya, mati tak lama selepas tidak berkuasa tak sempat masuk mahkamah masyarakat. Dan yang selepasnya sudahpun diajukan ke mahkamah masyarakat tetapi mahkamah masyarakat belum bebas bersidang, maka pendakwa jadian belum dapat bentangkan kesnya.
      
Adapun fail sekalian Almarhum tidak pernah dibuka. Selamat dan bertuahlah mereka. Manakala yang selepasnya failnya jadi pelepah atas. Pelepah Mahathir di bawah dan sudah jatuh. Pelepah atas janganlah suka sangat tengok pelepah bawah jatuh.
     
Najib yang dakwa Mahathir si skandal terbesar berada dalam kabinet Mahathir sepanjang pentadbirannya. Apabila dia diam dalam setiap skandal Mahathir ertinya  dia setuju. Tidak seperti DS Anwar Ibrahim yang dipercayai  tidak pernah senang dengan penyelewangan Mahathir. Dia tahu dan sedia terima risiko tidak diam atas kerenah Mahathir.
     
Tetapi Najib seolah ikut sunnah Nikita Krushchev, diam semasa besama Stalin jadi diktator Soviet, selepas mati Stalin baru didedahkan semua keburukan Stalin, mengeluarkan tulangnya dari pusara pahlawan, memasukkannya dalam bakul sampah sejarah.
     
Adapun ISA yang Najib kira skandal telah penggubal akta ingatkan TPM Tun Razak betapa ia mudah disalah guna. Tetapi Tun Razak berkeras mahu macam itu juga. Jika ia skandal, semua PM termasuk Mahathir telah skandalkannya. Berdosalah sekalian yang menyalahgunanya. Apa hendak dikata pada perancang akta atas dosa setiap si skandal.
     
Jika Najib mansuhkan ISA, ia tidak membersih dosa setiap sang skandal. Kelemahan Mahathir ialah berhukum atas akta yang disediakan penyelewengan. – HARAKAHDAILY 12/11/2017