Seronokkah PAS dipuji Najib?

Kolumnis
Typography

TELAH saya tulis sebelum ini, tidaklah PAS selesa bila dipuji dan disangka baik oleh Perdana Menteri Najib.
      
Lebih selesa ia jika seteru politiknya terus menerus mengutuknya seperti istiqamahnya Dr. Mahathir bersangka buruk pada parti itu.
      
Demikianlah adanya UMNO itu selamanya tidak merasa senang dengan PAS. Mungkin orang PAS tidak pernah seronok dengan segala caci maki UMNO padanya selama ini. Tiada apa yang PAS buat itu ada eloknya.
      
Tetapi itu adalah lebih baik bagi PAS.
      
Seperti yang selalu pimpinan PAS dari dulu pesan kepada penyokongnya, jangan gembira bila dipuji musuh! Musuh itu sifatnya tidak pernah selesa dengan musuhnya. Bila musuh kata kita baik, maka perkara pertama yang perlu diperhatikan mengapa ia dipuji musuh?
      
Kita kena kaji kemungkinan adanya yang tidak betul dari kita bila dipuji musuh. Tidak baiknya jadi persepsi pertama. Kebaikannya jadi perkara kedua.
     
Dua kali Najib dalam masa dua bulan ini memuji PAS. Pertama dalam ucapan dasar di Perhimpunan Agung UMNO yang lalu. Ketika dia mengecam pembangkang diselitkannya sebaris pujiannya kepada PAS. Dalam mesej tahun barunya pula diulangi kematangan politik PAS itu baik baginya dan baik bagi negara.
     
Padanya pembangkang lain itu tidak guna semuanya.
      
Budaya politik matang dan sejahtera yang PAS layari sekarang memanglah suatu yang baik tetapi bila dipuji Najib menyebabkan ia boleh tidak seronok. Yang PAS mahu ia digemari oleh sekalian rakyat dan rakyat menyokongnya.
      
Telah saya sangka bila PAS dipuji Najib, maka bertambah sangkalah ia dicurigai oleh musuhnya yang lain. Memang selepas ia bersendirian ia dipelupuh bekas sekutunya dalam PRU13 dulu dan pelarian PAS. Bila Najib pula puji bertambahlah celaan mereka.
      
PAS tidak minta Najib memujinya. Bukan salah PAS bila dipuji Najib. Sepatutnya Najiblah yang disalahkan kerana pujiannya yang dua kali mnyebabkan seteru PAS yang lain bertambah marah kepadanya.
      
PAS tidak marah pada yang lain bila mereka marah PAS dan tidak boleh kecil hati dengan Najib bila pujian Najib itu menyusahkan PAS. Pada PAS, Najib kekal berkuasa tidak menguntungkan PAS dan rakyat dan Najib dikalahkan oleh Harapan pun tidak menguntungkan PAS dan rakyat.
     
Pertukaran hanya orang tapi sistemnya sama. Islam tidak dapat apa jua.
     
Apa yang PAS buat seperti Nabi Musa, tidak boleh tukar Firaun tetapi seru Firaun tukar sistem. Jika Firaun setuju, Firaun kekal berkuasa tetapi Nabi Musa berperanan dalam kerajaan. Bila Firaun  enggan, Firaun akan temui natijahnya.
     
Sebelum itu di Mesir juga Nabi Yusuf berdepan dengan pentadbiran al-Aziz sebagai wazirnya yang isterinya, Zulaikha berperanan. Nabi Yusuf memilih dipenjara. Dari sana Nabi Yusuf ke Istana, tidak menukar Firaunnya, Raja Rayyan yang di bawah pemerintahannya baginda dipenjara.
     
Tetapi Nabi Yusuf tidak menggulingkan Raja Rayyan. Raja kekal, pentadbiran diserah kepada Nabi Yusuf. Firaun masa itu kekal tapi sistem bertukar.
      
Jika Najib tidak dapat ditukar, tetapi rela sistem ditukar, ia adalah pilihan matang. Dengan PAS boleh dapat antara 40 dan 80 kerusi saja, Najib tak boleh dibuang, Harapan tidak dapat dinafikan, pilihan PAS ialah siapa sedia tukar sistem dengan PAS sebagai penentu?
    
Terbaik bagi Firaun tukar sistem dengan Nabi Musa berperanan. Raja Rayyan setuju tukar dengan  Nabi Yusuf berperanan. Jika Najib jadi Raja Rayyan, Islam berperanan, itulah yang terbaik. – HARAKAHDAILY 6/1/2018