Untung Melayu bila BN kalah

Kolumnis
Typography

SEORANG dermawan menyumbang cat hujau tua di bahagian tertentu sebuah masjid. Tidaklah sepenuh bangunan itu dicat dengan warna syurga itu.

Beberapa ketika kemudian orang Umno tidak senang kerana ia dikatakan warna PAS. Jawatankuasa masjid yang dipengerusikan oleh Umno tidak senang dengan hijau itu memutuskan masjid di bahagian hijau dicat kuning muda.

Ahli khariah tidak hirau ia hijau atau kuning. Tetapi masjid sudah menggunakan wang sumbangan mingguan orang ramai bagi menukar cat sedang masjid perlu wang demi berbagai kegiatan dan kebajikan. Banyak bangunan syiar Islam di dunia berwarna hijau tetapi pemimpin kecil Umno tidak tahan dengan hijau. Bagaimana dia di syurga nanti sedang sekitarnya adalah kehijauan?

Tentunya dia tidak selesa dengan syurga yang demikian warnanya.

Mengapa tidak tunggu PRU yang tidak sampai seminggu lagi? Dalam PRU itu Umno kalah. PAS tidak menang tetapi ia seri dengan Umno. PAS dapat dua negeri – Kelantan dan Terengganu. Umno pun tinggal dua negeri juga – Perlis dan Pahang.

Manifesto Harapan menjanjikan memulangkan royalti minyak kepada negeri yang berhak. Dua negeri PAS itu berminyak belaka, sedang dua negeri Umno tidak berduit. Dulu negeri Umno yang tidak berduit disokong kerajaan pusat. Kerajaan pusat sekarang di bawah Harapan.

Justeru semua negeri dulu Umno yang punya kecuali Kelantan, maka merajalela diskriminasi Umno dan semua bidang. Pejabat agama Umno kuasai, semua jawatankuasa masjid/surau monopoli Umno. PAS layak jadi makmum saja. JKKK semua Umno. Guru PAS ditukar ke sana sini, pegawai yang dikenali PAS terhalang kenaikan pangkat.

Sekalipun Kelantan berkerajaan PAS tetapi kerajaan pusat Umno mengisi jawatan dan jabatan persekutuan dengan Umno yang kerjanya memencilkan PAS.

Berlaku perpecahan orang Melayu/Islam yang amat teruk dalam semua perkara. Semuanya kerana PAS dan Umno. Bukan Umno dan PAS yang menyebabkan perpecahan tetapi diskriminasi Umno punca ketidakadilan itu.

Sekarang Umno sudah kalah di pusat dan negeri kecuali Perlis dan Pahang. Kerajaan pusat Harapan yang berperdana menterikan Mahathir tentu tidak akan membuatkan kerajaan Perlis dan Pahang memonopoli semua institusi masyarakat.

Umno sudah tidak menguasai pejabat agama. Masjid dan JKKK mesi dikongsi bersama Umno, PAS dan Harapan.

PAS tidak kalah sangat dalam PRU tetapi Umno tak menang. Kalahnya Umno menyebabkan ia tidak ranggi lagi, tidak lagi boleh memadam cat hijau pada bangunan dan menebang pokok berdaun hijau.

Di setiap tempat setiap malam dalam kempen PAS bermunajat moga-moga Allah yang memberi kuasa kepada sesiapa yang dikehendakiNya dan mencabut kuasa dari sesiapa yang dikehendakiNya mencabut kuasa itu dari Umno/BN dan gantikan dengan PAS.

Dalam PRU itu Allah kabulkan sebahagian dari doanya dan tangguh dulu sebahagiannya. Kuasa Umno iu Allah cabut, tapi kuasa belum dibagi sepenuhnya kepada PAS, sebaliknya diberi kepada Harapan.

Setakat ini keputusan adil untuk Islam dan Melayu, kerana Umno tidak lagi bolrh monopoli institusi masyarakat dan pemerintahan. Umno dan PAS boleh berkongsi dalam semua perkara. Ia menyekat Umno dari meneruskan kezaliman dan kedua-duanya boleh bersama menegakkan keadilan. Harapan jangan pula gantikan Umno menindas PAS dan Umno.

Walaupun Umno rasa sakit dengan kekalahan teruknya tetapi ia mengajar Umno untuk mengenali keadilan. Kalau Umno itu sudah lama dulu kalah, maka perpecahan umat itu tidaklah teruk sangat.

Doa para mufti mahu Islam bersatu terkabul dengan kekalahan Umno sekarang. – HARAKAHDAILY 19/5/2018