Tersenyum tengok Anwar cium tangan

Kolumnis
Typography

SETELAH mendapat pengampunan dan bebas di bawah langit terbuka DS Anwar Ibrahim mengadap Orang-Orang Bergelar di istana-istana.

Saya tengok dalam TV Anwar cium tangan orang bergelar. Saya senyum sendirian.

Lebih 30 tahun lalu semasa Anwar berpolitik non-partisan dia pernah kritik gambar pemimpin saya kerana membongkok kepada seorang bergelar di negara di atas angina.

Ini bukan cara pemimpin Islam, katanya. Saya senyum mendengarnya seperti saya senyum melihatnya mencium tangan seorang bergelar.

Saya tidak tahu adab seorang pemimpin, khususnya pemimpin Islam mengadap orang bergelar. Saya tidak tahu bagaimana Jaafar bin Abu Talib, muhajirin di Habsyah bila dipanggil Najasyi yang masih jahiliyah Nasrani. Adakah dia bersalam saja? Atau berdiri tegak tidak membongkok? Atau membongkok juga macam pemimpin yang dikritiknya?

Nabi SAW banyak menghantar utus sahabat menemui raja-raja jahiliyah menyeru mereka menerima Islam. Cara mana mereka berdepan dengan pembesar asing itu?

Sepanjang Tunku Abdul Rahman Putra menjadi Perdana Menteri saya tidak melihatnya mengangkat sembah raja-raja yang ditemui. Dia tunduk membongkok saja. Mungkin dia pun anak raja juga.Tun Razak pun tidak menyembah. Membongkok saja.

Saya melihat video TG Nik Aziz mengangkat sumpah jadi Menteri Besar Kelantan. Lazimnya pembesar istana mengadakan raptai bagi acara seperti itu.

Tun Datu Mustapa, Ketua Menteri Sabah dulu memberitahu saya, ulama memahamkan kepadanya mengkat dua tangan menyembah orang bergelar tdak dibenarkan Islam. Dia minta Tun Razak memaklumkan kepada sekalian raja. Tun Razak enggan tetapi ayuh kiranya Tun Mustapa sanggup.

Tun Mustapa sanggup. Katanya, mula-mula dia mengadap al-Marhum Sultan Pahang. Baginda tiada masalah tapi tidak sedia bercakap mengenainya dengan lain-lain raja. Beliau mengadap pula Sultan Selangor. Reaksinya positif.

Lepas itu Tun mengadap Raja Perlis. “Aku kena marah,” terang Tun Mustapa. “Lepas itu aku tidak berani lagi,” ujarnya.

TG Haji Hadi pernah membangkitkan isu semasa menjadi Menteri Besar Terengganu. Istana dikatakan tiada masalah tetapi belum bersedia memulakan perbincangan. Mufi Terangganu ketika berpendapat menyembah tidak berdosa tapi tidak berpahala. Bagi TG Haji Hadi, biarlah semua yang kita lakukan berpahala.

Tetapi mencium tangan orang yang dihormati bukanlah satu isu. Keturunan Arab yang dirasakan dekat dengan adab Islam. Peka bagi yang berpangkat muda mencium tangan yang peringkat tua. Bahkan orang sosialis juga mencium tangan orang tua.

Kata Pak Melan, tak biasa anaknya mencium tangannya. Tetapi katanya tentang seorang sosialis Melayu yang pernah didakwa komunis, setiap kali anaknya dan keluarganya yang berpangkat muda mencium tangannya.

Saya pun serba salah kerana setengah penceramah di masjid mencium tangan saya.

Justeru sekalian yang bertemu Khomeini mencium tangannya, peliklah kalau saya terkecuali. Tapi saya kekal mazhab Syafie.

Tidak jadi isu Anwar cium tangan orang bergelar, tetapi ia lebih ketara dari sekadar membongkok. Membongkok tidak seberat menyembah. Jauh lebih ringan dari mencium tangan.

Kritiknya itu 40 tahun dulu. Masa itu politik non-partisan. 40 tahun kemudian politik reformasi pula. Mungkin cium tangan itu gara-gara reformasi yang sudah 20 tahun sekarang.

Jangan transformati sudahlah! – HARAKAHDAILY 8/6/2018