Dua watak Dol Keropok selepas PAS

Kolumnis
Typography

DOL Keropok adalah watak penting yang pernah menjadi pimpinan penting semasa dalam PAS dan selepas keluar dari PAS menjadi jurucakap lawan mengenai PAS.

Ada dua Dol Keropok yang seakan-akan sama wataknya dalam sepanjang sejarah PAS.

Mula-mulanya disangka satu watak itu saja yang terjadi kira-kira selepas tahun 1964 dulu. Rupanya menjelang patahnya kuasa Barisan Nasional ada juga watak itu lagi. Peranannya dalam politik lebih kurang sama.

Dol Keropok yang pertama boleh dikira orang penting mempromosikan PAS selepas tertubuhnya Parti Islam Se-Tanah Melayu itu. Dia pernah menjadi pentadbir utama parti itu dan pernah juga mengepalai jentera publisitinya yang penting.

Memang dia orang penting yang berjasa yang dikenal oleh semua dan disegani oleh semua. Hebatnya perjuangannya hingga terpilih menjadi anggota Parliman PAS dalam PRU tahun 1959.

Dalam PRU pertama sebelum merdeka dia sudah menjaadi seorang dari sebelas calon parti itu. Semua tahu seorang saja calon PAS menang iaitu Tuan Guru Haji Ahmad Tuan Husein di Kerian.

Tahun 1959 dia dicalonkan lagi. Masa itu PRU tidak serentak. Pilihan raya Negeri-Negeri dulu. Selepas itu baru PRU pusat. Keputusan PRN itu PAS berjaya di Pantai Timur saja. Beberapa orang penting dari Pantai Barat diletakkan di Kelantan dan Terengganu termasuklah Dol Keropok. Ini mencerminkan pentingnya Dol Keropok dalam PAS. PAS dari Pantai Barat diterima jadi calon di Pantai Timur dan dia menang.

Dia seorang diri pembahas rang undang-undang pembentukan Malaysia.

Lepas itu dia keluar PAS dan Umno terima pula jadi calon Perikatan. Nasib memihak kepadanya.

Sebagai MP Perikatan kerjanya mengganti Umno mentakwil PAS baik dalam Dewan Rakyat dan di luar dewan. Senanglah Tunku Abdul Rahman Putra sebagai Perdana Menteri dan timbalannya Tun Razak kerana kerja utamanya seolah-olah mempertikai hujah MP PAS.

Boleh dikira penyokong Perikatan yang penting di Parlimen menghujah buah fikiran MP PAS.

Hingga Dato’ Asri Muda sebagai seorang MP PAS pernah menyindir, betapa Yang Berhormat itu adalah jurucakap kerajaan tentang PAS.

Setelah lama Dol Keropok tiada ada lagi orang penting PAS jadi Dol Keropok yang baru, macam patah tumbuh hilang berganti. Watak kedua ini pun penting dalam PAS. Seperti Dol Keropok yang pertama, memilih sendiri untuk berada di luar PAS.

Tidak dipastikan Dol Keropok pertama mengira dia menyambung perjuangan Islam melalui wadah lain, tetapi watak kedua Dol Keropok meletak keutamaan kepda perkhidmatan kepada rakyat.

Oleh kerana Umno sudah hilang peranan selepas PRU14 tiada apalah sejarah Umno untuk diperkata. Yang ada sebagai penyokong kerajaan baru pula untuk dijawab ialah PAS juga.Kebetulan PAS jadi pembangkang juga baik dalam kerajaan lama mahupun kerajaan baru.

Bila PAS buka mulut Dol Keropak baru pun komen. Jurucakap lawan terhadap hal ehwal PAS juga.

Hari-hari akhir Dol Keropok suka kalau dapat bercakap selalu dengan al-marhum Ustaz Hassan Shukri, orang penting PAS yang mati dalam PAS. Dia dikatakan lebih senang berkongsi pandangan dengan rakan PAS lamanya.

Watak kedua baru dalam pengalamannya. Allah saja tahu masa depannya. – HARAKAHDAILY 10/6/2018