Beraidilfitri di negeri Umno

Kolumnis
Typography

BIASANYA Hari Raya Aidilfitri kedua saya sekeluarga berhari raya di kampung barang dua tiga hari. Tetapi tahun ini hari kedua itu kami ke Pahang kebetulan ipar yang paling kanan tinggal di Kuantan.

Di samping mahu berhari raya bersama keluarganya, saya memilih Pahang kali ini ialah untuk berhari raya di negeri yang masih diperintah Umno. Di situ saja di samping sebuah negeri lagi iaitu Perlis dimenangi Umno /BN dalam PRU14 lalu.

60 tahun negara ini dan kebanyakan negerinya diperintah Umno/BN kecuali Kelantan dan Pulau Pinang. Pada PRU kali ini seminggu sebelum puasa habis berguguran kecuali di Pahang dan Perlis saja, dua negeri yang paling rendah pendapatannya mengikut suasana ekonomi sekarang.

Dulu ia bersama Terengganu dan Sarawak sebagai negeri termiskin tetapi Terengganu dan Sarawak negeri yang berminyak yang jika ditunaikan royaltinya 5 peratus nescaya jadi negeri yang berada dan jika ditunaikan manifesto Harapan hendak memberi 15 peratus royalti maka lebih makmurlah ia.

Akan tetapi Pahang yang dipercayai jutaan tahun dulu antara wilayah bergunung berapi kerana tanah sekeliling Beserah adalah jenis tanah yang ada gunung berapi. Maka hidup Pahang selepas merdeka ditampung oleh pemerintahan bapa angkatnya Barisan Nasional yang berkuasa di pusat.

Tetapi sekarang bapa angkat itu sudah kalah di pusat dan negeri-negeri lain selain dari Pahang dan Perlis. Dan jika Harapan pula jadi macam BN selama 60 tahun lalu menganak tiri kerajaan bukan BN seperti yang dialami Kelantan dan Terengganu 1999-2004, maka nescaya mengemislah Pahang kecuali Adun Umno itu beramai-ramai meninggalkan Umno dan masuk Harapan.

Suasana sekarang sudah tiada BN lagi. Yang tinggal adalah Umno dan Pahang sekarang adalah negeri terakhir Umno. Umno pula nasibnya lebih teruk dari PAS. Umno dan PAS sama-sasma dapat dua kerajaan negeri, tapi negeri yang dapat dua-duanya berminyak. Pahang dan Perlis terpaksa ikat perut.

Maka eloklah beraya di Pahang untuk melihat keadaan di Pahang dan kebarangkalian kali terakhir untuk Umno. Masa depan belum tentu ada lagi. Selama ini kita diperintah Umno. Apabila Umno yang tinggal di Pahang saja, untuk menghilangkan gian dedak Umno itu kami beraya di Pahang sebelum ia tiada lagi.

Oleh kerana negeri itu saja yang Umno masih berkuasa tidak terasa berbeza sangat. Di Pahang saja yang ada hari terbuka yang tuan rumahnya kerajaan Umno. Di negeri lain hari terbuka dituanrumahkan oleh kerajaan Harapan dan PAS. Bagi Umno di mana saja yang hendak hadir ke rumah terbuka anjuran Umno kena pergi ke Pahang saja. Sekalipun di Kedah dan Perak kerajaan Harapan masih macam telur di hujung tanduk, tapi Umno bukan jadi tuan rumah terbuka di Ipoh dan Alor Setar.

Rakyat Pahang tidak terasa sangat kerana hari rumah terbuka masih besama dengan Menteri Besar Umno dan MB Umno boleh memberi duit raya kepada kanak-kanak. Cuma Menteri Besar lama Datuk Seri Adnan Yaakob tidak ke depan lagi. Dia ke tepi sikit. Tidak bersalam dengannya. Semua orang hendak bersalam dengan Menteri Besar dan exco baru.

Tapi Tok Nan masih bersama, cuma dia di tepi seperti orang lain yang ramai itu.

Orang berhari raya di Pekan masih beduyun-duyun ke rumah terbuka Datuk Najib. Macam masa Perdana Menteri juga. Diapun tidak hendak ke mana lagi. Dua tiga hari berada di Pekan. – HARAKAHDAILY 21/6/2018