Malaysia sebagai Negara Islam contoh

Kolumnis
Typography

SELAMA-lamanya sejak merdeka baik semasa pentadbiran 22 tahun Dr. Mahathir Malaysia mendakwa daulah Islam contoh tetapi di bawah pentadbirannya yang baru dia tidak puas hati prestasi Pusat Islam hingga jika ikut hari terasa dia hendak menutupnya.

Apapun kerajaan baru itu kini mahu Islam di Malaysia kaedahnya sendiri, tidak terikut dengan lain Negara Islam, biar menjadi model bagi dunia Islam.

subkySuatu yang baik itu sayugia dialu oleh semua tetapi apakah kaedah yang tidak seperti Saudi, Mesir, Turki, Brunei Darussalam, Indonesia dan rantau Teluk yang hendak dicari itu.

Apakah sedikit sebanyak yang terlaksana di Kelantan sejak tahun 1990 tidak dimasukkan dalam perhatian? Jika Pusat Islam menghampakannya, apakah Perkim sejak diambilnya dari Tun Taib Mahmud dapat jadi perhatian. Logiknya pencapainya di Perkimlah model ikutan.

Memang Islam Mesir, Saudi dan lain-lain tidak dapat jadi model daulah Islamiyah semesta, dan tidak juga pengurusan kerajaan dan demokrasinya. Mesir yang seribu tahun Universiti Azharnya mengeluar ribuan ulama seluruh dunia tidak lagi jadi tumpuan umat.

Tetapi yang Mahathir mahu sekrang, biar Malaysia tidak Syiah, tidak WAhabi, tidak seperti Mesir, idak macam Jordan dan lain-lain. Tetapi ada pegangan contoh sebagai ahli sunnah wal jamaah, mungkin tidak terikat dengan fiqah empat mazhab yang diterima kini – Syafie, Hambali, Maliki dan Hanafi dan tidak terkeluar daripadanya.

Kita tunggu apa nasihat jamaah penasihat Islamnya bersama menterinya. Tidak diketahui wakil Majlis Syura Ulamak PAS diperlukan, tetapi lembaga penasihatnya itu tidaklah seperti Penasihat Agama Perdana Menteri sejak zaman pentadbirannya dulu yang tidak dipastikan dia penasihat Perdana Menteri atau Perdana Menteri menasihatkannya.

Ternyata kini tidak diketahui kesan membawa Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam program islamisasi dan penerapan nillai Islam dalam semua bidang, Islam Hadhari dan Wasatiyah dan maqasid syariyah Najib tidak banyak menolong. Semuanya itu adalah mahu menjadikan Malaysia Negara Islam contoh.

Islam itu sudah sempurna setelah 23 tahun kerasulan Nabi Muhammad SAW, Negara Islam Madinah yang baginda asaskan itu adalah model untuk semua sepanjang zaman, pentadbiran dan sirah Khalifah ar-Rasyidin model siyasah dan pemerintahan yang wajar dipelajari dan ditambah pula dengan pencapaian Khalifah Umar Abdul Aziz (bukan Nik Omar Nik Aziz) yang jadi kegembiraan sekalian umat.

Adalah benar zaman mereka tidak secanggih dan sepantas kemajuan dunia sekarang, tetapi Nabi dan khalifahnya yang empat itu adalah model untuk dunia Islam hingga kiamat. Tidak perlu al-Malik Faisal kata Islam Saudi lebih baik dari Mesir dan Anwar Sadat kata Islam Mesir lebih baik dari Saudi.

Maka kita pula terikut-ikut menjadi model Islam serba serbi bagi semua dunia. Jika kita manfaatkan Pusat Kajian al-Malik Salman yang dicadangkan di Malaysia, gunakan semua kemudahan membuat kajian semua perkembangan ilmu dan kemajuan dunia dan akhirat di semua zaman sejak Plato hingga pencapaian Tabung Haji, maka Islam banyak perkara yang baik bagi sepanjang semesta.

Jangan Islam yang hendak jadi contoh itu tidak berani mengatakan anti hadis Kassim Ahmad itu salah dan biar jelas antara Mahathir dan Kasim seiras. Biar ada ketegasan Islam itu tiada liberal dan pluralnya. Yang dirasakan sebelum ini Perdana Menteri itu sendiri keliru.

Biar Islam yang hendak diperkasa itu yang bermodel kepada Rasulullah SAW dan bukan yang Mahathir fikir semirip Kassim dulu. – HARAKAHDAILY 18/7/2018