PRK Sg Kandis: PAS sebelah pembangkang

Kolumnis
Typography

HUJUNG kuku telunjuk kiri saya masih hitam celupan dakwat pada PRU 9 Mei lalu. Pada hari membuang undi PRK Sungai Kandis 4 Ogos ini baki kuku berdakwat itu belum habis. Bahkan pada 9 Ogos nanti ada lagi dakwat itu.

Keperluan jari didakwat bagi mengelakkan pengundi mengundi lebih dari sekali pada pengundian itu. Dakwat itu tdak akan padam dalam masa 24 jam seperti pengundian pada PRU13 dulu.

Apa kimia yang SPR guna hingga tiga bulan kuku telunjuk kiri berdakwat lagi. Jika SPR guna warna merah nescaya ia seperti berinai. Mahu saya syorkan guna dakwat merah pula jika tidak berinai dilarang bagi laki-laki kecuali rambut. Setiap yang dilarang berdosa.

Belum habis kuku berdakwat, pengundi Sungai Kandis akan mencelup jari ke botol dakwat lagi. Mungkin hingga awal November kuku orang Sungai Kandis berdakwat lagi.

Maka Majlis Syura Ulamak PAS, untuk PRK itu PAS hanya menyertainya jika satu lawan satu. Jika tiga penjuru PAS mengundi saja. Keputusan itu dipercayai berubah jika PRK itu di Kelantan, Kedah dan Terengganu atau di mana-mana kerusi yang ‘berwaibikan’ PAS. Di situ sepuluh penjuru PAS tetap lawan.

Bila PAS tidak bertanding, ada juga yang latah mengapa PAS tidak bertanding. Biarlah yang latah itu bukan orang PAS yang mungkin tidak berpolitik matang. Tapi orang PAS ada yang sama latah. Dua tiga kerat yang gatal lidah termasuk yang jadi Exco dan berjawatan tinggi parti diserang sindrom penafian.

Biar Presiden atau Timbalannya atau Setiausaha Agung sekali saja membuat penjelasan, mengapa tidak bertanding atau sudah beradik beradik dengan Umno/BN. Katakan saja kebarangkalian itu tidak berbangkit dan selepas itu diam.

Seru saja orang PAS mengundi! Untuk mengundi siapa? Macam yang 60 tahun lalu sentiasa bersama pembangkang kecuali sekali ia bertahaluf dengan BN pada PRU 1974.

Katakan satu saja. Ia tidak bertanding justeru ia sebahagian dari kaedah politik matang dan sejahtera. Tidak bertanding kali ini justeru matang. Tidak gatal lidah kerana matang. Tidak dilanda sindrom penafian kerana matang.

Kata-kata hikmat yang PAS masyhurkan di ambang PRU14, politik matang dan sejahtera, sudah diulang sebut oleh politikus di luar PAS baik yang tumbang mahupun yang baru tegak. Ia seolah-olah kebijaksanaan PAS sudah jangkit keluar. Tidak mungkinkah ia isyarat awal PAS itu parti masa depan Malaysia. Amin!

Pada pasca PRU14 ini banyak cakap dan gatal lidah menjadikan PAS tidak dilihat dewasa. PAS mesti akui, ia cukup dikelirukan dari kiri kanan dan dari depan belakang. Dalam semua isu ia dikelirukan. Ia amat tidak elok bagi PAS. Kesan kekeliruan itu PAS dapat 18 Parlimen saja dan menguasai dua kerajaan negeri saja.

Jika bukan gara-gara mengelirukan itu ia dipercayai dapat lebih baik dari PRU13 yang tidak bersendirian itu.

Sekarang masa PAS keluar dari kekeliruan itu. Jangan gatal lidah hingga menambah lagi kekeliruan dulu. Banyak cakap mengaitkan hubungan dengan Umno dan PH tidak disukai orang. Kikis lidah yang gatal orang tidak marah lagi dan tidak keliru lagi.

Tidak sertai PRK Sungai Kandis kerana dakwat belum habis padam dan sebahagian dari program matang dan sejahtera. Katakan kepada semua, PAS sentiasa bersama pembangkang. – HARAKAHDAILY 31/7/2018