Mahathir ketinggalan keretapi 60 tahun

Kolumnis
Typography

APAPUN konsep dan city yang dinamakan bagi pembangunan kota baru di Tebing Selat Tebrau – di hujung negeri Johor – Perdana Menteri Mahathir tidak membenarkan secebis hartanah dijual dan dimiliki warga asing. Tiada visa dikatakan akan dikeluarkan bagi yang menetap di situ.

Sebabnya mereka yang datang membeli kedai dan membuka peniagaan di situ tidak datang sekadar seminggu dua dan pergi. Mereka tinggal lama. Lama kelamaan mereka hendakkan kewarganegaraan.

Ia akan merebut peluang dan hak warga tempatan.

Tidak dipastikan Dr. Mahathir yang menyertai politik lebih 60 tahun dan orang seangkatan dengan dalam parti kesayangannya dulu ada kesedaran itu ketika perbincangan panas memberi hak jos suli yang menetap sekian tempoh di sini.

Apa yang Mahathir komen tentang kedatangan saudagar-saudagar dari China dan lain-lain melibat diri dalam kegiatan pembangunan dan ekonomi seperti di Johor dan lain-lain sudah dibincang oleh para pejuang kemerdekaan dulu.

Dato’ Onn ikut menyumbang munasabah orang asing yang cekap merebut kemajuan itu diberi peluang menyumbang baki di sini. Ketika Dato’ Onn menjadi Menteri Besar Johor dan Menteri Dalam Negeri Kerajaan Persekutuan, apa yang difikir dan disetujui oleh pembesar Johor prakerajaan Harapan sudah pun berlaku masa itu.

Ketika Tunku hendak memulakan tuntutan kemerdekaan pernah diingatkan kepadanya seperti yang diingatkan oleh PM Mahathir kepada orang Johor sekarang.

Nescaya ada natijah politiknya. Tetapi Tunku dan pengikutnya memikirkan usah bimbang kerana mereka cuma datang tumpang cari makan, tidak hendak mengambil negeri ini.

Orang Melayu yang tidak bersama Tunku terus mengingatkan Tunku seperti yang Mahathir ingatkan seminggu dua ini.

Yang tidak bersetuju dengan Tunku itu dikira berpolitik perkauman dan berfikiran sempit.

Yang mereka ingatkan dulu adalah demi mengelakkan hak politik dan ekonomi, peluang pekerjaan dan taburan rezeki direbut dan dikongsi oleh orang lain.

Seperti yang disuarakan oleh banyak pihak tentang kebanjiran pekerja Bangladesh, Nepal, Myanmar dan lain-lain menyebabkan pembangunan kita sekarang bergantung kepada warga asing dan warga sendiri tiada pekerjaan.

Di mana-manapun demikianlah kebimbangan rakyat terhadap kebanjiran warga asing. Eropah menghalang pelarian Syria dan Asia sekarang adalah justeru dan kebimbangan itu. Itulah yang Melayu rasa pada masa menjelang kemerdekaan dulu.

Setelah rakyat sudah jadi masyarakat majmuk, tidak terkira pula kebanjiran pekerja Indonesia. Bukan Melayu pula ke depan tidak senang kebanjiran Indon itu. Adakah Cina dan India itu perkauman? Mungkin pengaruh perkauman itu ada, tetapi sebagai rakyat mereka tidak mahu hak rakyat dan peluang ekonomi direbut orang asing.

Melayu dulu bimbang kebanjiran orang dagang yang awalun itu bukan justeru perkauman, tetapi demi kepentingan rakyat. Bukan Melayu bimbang tentang kedatangan Indon itu bukan perkauman tetapi hak dan kepentingan rakyat.

Mahathir tidak benar orang asing milik harta dan berdagang di Johor bukan kerana ultra Melayu, tetapi menjaga kepentingan rakyat majmuk.

Suku sakat Mahathir dalam politik 60 tahun prakuasa Pakatan Harapan adalah sambil lewa dengan penampilan warga asing, malah besar peranannya membentuk masyarakat majmuk yang ada. Dia nampak bersungguh sekarang.

Satu sikap yang baik tetapi ia seperti ketinggalan keretapi 60 tahun semasa orang Melayu sudah gamat bimbang akan isu itu, hingga orang Melayu mulai liberal dengan orang asing. – HARAKAHDAILY 19/9/2018