Nama PD patut ganti dengan Anwar

Kolumnis
Typography

PARLIMEN Port Dickson telah ditawan oleh Anwar Ibrahim dalam PRK 13 Oktober lalu dengan undi besar dan majoriti besar.

Tahniah kepada Anwar dan lebih lagi tahniah kepada penduduk Port Dickson kerana beroleh wakil rakyat yang disebut-sebut untuk menjadi Perdana Menteri bila-bila masa sebelum PRU15 nanti.

Moga-moga dia tidak terhalang lagi.

Pada Anwar itu banyak benda yang mengejutkan. Bila dia mula jadi pemimpin Pemuda Umno dirampasnya kediaman rasmi Pesuruhjaya Tinggi British di Kuala Lumpur yang dihadiah Tunku Abdul Rahman semasa merdeka. Jadi milik negara semula.

Bila jadi Menteri Kewangan ditukarnya mata wang Malaysia dari ringgit atau dolar jadi Ringgit Malaysia dan simbol rasmi $ yang digunakan penjajah dahulu kepada RM.

Dan sekarang Port Dickson dia yang punya. Tapi nama kawasan itu nama penjajah. Antara kerja Mat Salih menama semula pekan dengan bapak-bapak Inggeris seperti Port Swettenham, Port Weld, Telok Anson, George Town, Jeselton dan Port Dickson.

Setelah merdeka tempat itu dijenama semula. Port Swettenham jadi Pelabuhan Klang, Telok Anson kepada Teluk Intan, Jeselton jadi Kota Kinabalu, Port Weld sudah tidak ada lagi, jika tidak silap ia jadi Kuala Sipitang semula. George Town yang jarang disebut dulu, lazimnya digunakan longhat Inggeris Penang, dimasyhur sebagai George Town apabila Gerakan-Umno menubuhkan kerajaan campuran di Pulau Pinang. Port Dickson tidak diusik.

Bila ia ditawan Anwar sekarang munasabah digantikan nama yang Mat Salih beri itu kepada nama Anwar kerana dia war-warkaan akan jadi Perdana Menteri dan kawasan itu kerana berwakilrakyatkan Anwar dan dia bakal Perdana Menteri, maka dirongrongkan dibangun maju sebagai kawasan termaju.

Demikian diharapkan tuahnya semasa kempen dahulu jika ia dimenangi Anwar.

Dan Anwar itu tidak sesuai kawasan pilihan raya yang mengekal nama bermomok penjajah dahulu.

Bolehlah nama baru itu mengambil nama Anwar yang dikira ada tuah dan rahmat, seperti sedikit sebanyak yang Permatang Pauh perolehi. Jika dia tidak mahu sempena namanya dipakai kerana dia bakal berkuasa dan semasa dia berkuasa, maka boleh dijanjikan dulu, bila dikosongkannya kawasan itu jenamakanlah Port Dickson dengan namanya.

Boleh dicadangkan dengan Pengkalan Anwar seperti Pengkalan Chepa, Pengkalan Berangan, Pengkalan Kubur dan lain-lain. Atau Pelabuhan Anwar seperti Pelabuhan Klang. Atau Permatang Anwar kerana dia datang dari Permatang Pauh. Bahkan di negeri asalnya Seberang Perai banyak guna nama permatang seperti Permatang Kucing, Pematang Janggus dan lain-lain.

Atau mahu nama kelasik iaitu Puri yang membayangkan kayangan seperi nama Angkasapuri kerana Port Dickson hendak dibangunkan sebagai wilayah syurga. Maka namakan saja Anwarpuri.

Di India banyak empat nama suku akhirnya Pur. Anwar tahu nama-nama tempat yang guna Pur. Boleh namakan Anwarpur. Tentunya ibu kota Malaysia yang guna Pur bagi Kuala Lumpur bukan justeru dipengaruhi oleh pendatang dari India.

Atau bagi Melayu purba menggunakan kalimah pura bagi nama bandar barunya seperti Inderapura nama negeri Pahang tua. Dan Temasik nama awal Singapura ditukar kepada Singapura mungkin orang masa itu sudah nampak potensi wilayah itu di akhir zaman.

Pura yang ada pada Singapura adalah bayangan pengaruh bandaran tempat itu. Maka munasabah ia diganti selepas ini dengan Anwarpura sebagai saingan keperkasaan Singapura justeru kehebatan Anwar. Tapi jangan gandakan kalimah itu hingga jadi Anwarpura-pura. Ia membawa maksud lain. – HARAKAHDAILY 18/10/2018