Kelakar, Hisham bawa pulang Jho Low

Kolumnis
Typography

TIADA yang lebih lawak selain daripada tawaran Dato’ Seri Hishammuddin Hussein, bekas Menteri Pertahanan untuk membawa pulang penyangak silap mati Jho Low dari persembunyiannya.

Kelakarnya, bahkan mengalahkan juara Maharaja Lawak, siri tahunan TV itu.

Tiada yang lebih menggelikan politik tanah air melainkan tawaran sepupu PM Najib itu.

Cucu Dato’ Onn itu seolah-olah kelu selepas partinya, Umno/BN timbang dalam PRU14 dan tidak jadi menteri lagi. Fikiran politiknya yang terdengar ialah tidak mahu bertanding pimpinan Umno sebaik Najib mengumumkan berundur dari pimpinan Umno. Kedua, mendebat Mat Sabu sebagai menteri pertahanan baru bila Parlimen bersidang.

Ketiga, selepas enam bulan jadi penyokong pembangkang di Parlimen, minta kerajaan PH menghantarnya keluar negara mencari dan membawa pulang Jho Low.

Amat kumis. Kucingpun boleh tergelak mendengarnya.

Sebagai pemimpin Umno dan menteri dulu, tak nampak apa kelebihan politik dan pemikirannya. Tidak macam Mahathir dan Anwar Ibrahim yang muncul atas kekuatan diri sendiri. Jadi calonnya dan timbalan menteri justeru mengenang jasa ayah. Jadi menteri kanan pun rasanya abang pupunya Perdana Menteri.

Sebagai Ketua Pemuda Umno, orang rasa ketua sebenar Khairy Jamaluddin.

Apa kelebihan dan harapannya untuk membawa pulang Jho Low sedang kerajaan dengan kehebatan polis, risikan dan rangkai diplomatiknya, mendekatinya pun tidak dapat.

Tiba-iba Hishammuddin yang tidak diketahui sebarang kepakarannya boleh membawanya pulang. Menghantarnya akan menghabiskan duit saja. Sudahlah habis duit negara habis dilarinya. Bagi pula duit pada Hishammuddin, menambah rugi perbendaharaan.

Dari bagi duit padanya bagi mencari Jho Low, mungkin lebih baik bagi pada Tan Sri Rahim Nor, KPN yang pelupuh Anwar dulu. Ilmunya membanteras jenayah mungkin tebal harapan menangkap penyangak itu.

Itupun harapannya tidak lebih tebal dari kulit bawang.

Apa senjata dan modal Hisham? Duit? Duit Jho Low lagi banyak.

Hendak menggunakan akrabnya dengan anak tiri Najib, tiada apa yang Jho Low pandang padanya lagi. Justeru dia pernah rapat dengan Rosmah dan Najib sendiri, dengan suasana sekarang tiada apa yang Jho Low boleh kenang mereka lagi.

Jika apa yang dilarikannya kemungkinan boleh dikongsi dengan kenamaan Malaysia itu, dengan kes yang mereka hadapi, logiknya barang curi itu dapat kepadanya semua.

Dunia seluruhnya yakin Jho Low sudah berlepas tangan dari keluarga bekas wanita pertama itu. Macam iblis dengan mangsa manusianya. Bila sekalian manusia kufur dipalu malaikat di kubur, di mahsyar dan di neraka, manusia berkata, kami hanya mengikut iblis. Iblis berlepas tangan dan jangan menyalahkannya, kamu yang memilih jadi begitu.

Tawaran Hishammuddin itu mungkin dibuat atas sikap yang lurus, demi merungkai hal yang membuntukan isu rompakan negara, tetapi apa yang menjadikan berfikiran begitu sedang dia dulu adalah pemimpin dan menteri?

Memang dia tidak pernah ada fikiran besar, tetapi apakah ia kesan dan pengaruh hilang kuasa dan tiada penasihat yang boleh diajak berbincang. – HARAKAHDAILY 26/10/2018