Anak sekalian musuhnya rela pimpinannya

Kolumnis
Typography

SUATU yang semua wajar akui dan boleh diberi syabas ialah tentang Perdana Menteri Mahathir dilihat disenangi pimpinannya oleh anak dan keluarga sekalian musuh politiknya.

Antara yang sudah mati yang tidak diketahui sebelum mati masing-masing menyenangi politik Mahathir sebagai pemimpn Umno dan Perdana Menteri.

Antara mereka ialah almarhum-almahum Tan Sri Jaafar Albar, Haji Yusof Rawa, Ustaz Fadzil Noor dan Tuan Guru Nik Abdul Aziz. Sekalipun kita boleh bersangka baik Mahathir dan mereka adalah sama-sama saudara dalam Islam, tapi sudut politiknya mereka seteru politiknya.

Sejak 1959 Mahathir dan Albar adalah sama-sama anggota Parilmen Umno/Perikatan hinggalah Albar meninggal pertengahan 70-an. Saya amat rapat dengan Albar sejak 13 Mei hingga akhir usianya. Tidak banyak sekata antara keduanya. Mereka separti tapi mimpi lain-lain. Apa yang Albar tidak kata tentangnya. Anak-anaknya senada dengannya.

Tetapi Tan Sri Syed Hamid Albar jadi menteri kanan Mahathir dan MT Umno di bawah Mahathir. Syed Hamid terpinggir semasa pimpinan Najib. Demikian juga Mahathir. Bila Mahathir kembali dalam politik dan jadi Perdana Menteri, Syed Hamid kembali berpolitik dalam parti baru Mahathir. Saya tidak tahu anak-anak Albar yang lain. Saya seolah-olah tidak percaya Syed Hamid anak Albar.

Haji Yusof Rawa mengalah Mahathir di Kota Setar Selatan PRU1969. Kemudian sebagai pemimpin PAS Mahathir kalahkan beliau di Kubang Pasu. Tiada yang indah politik Mahathir baginya. Semua tahu pemikiran politik Ustaz Fadzil tentang Mahathir. Pernah didoakannya supaya usia Mahathir panjang supaya dia terkesan dengan gara-gara politiknya.

Semua tahu apa Tuan Guru Nik Abdul Aziz fikir tentang Mahathir dan Mahathir fikir tentang Tok Guru. Bak rel keretapi tak akan bertemu.

Tetapi sekarang anak sekalian seteru politik Mahathir menerima Mahathir dan Mahathir menerima mereka. Anak Haji Yusof, Mujahid adalah jurucakap Mahathir tentang Islam dan tidak diketahui ada lagi anaknya dalam PAS. Anak, menantu, ipar Ustaz Fadzil amat senang dengan Mahathir sebagai PM kali kedua. Berkedudukan dalam kerajaan PH.

Ketika Mahathir dalam kempen PRU14 cuba singgah di kubur Tuan Guru Nik Abdul Aziz, sekalian keluarganya membantah/menghalang. Hujung usianya, Tok Guru redha anak/keluarganya gantinya dalam PAS. Tetapi ada anaknya menerima Mahathir seperti ribuan orang PAS menerima Tok Guru. Semua berebut mencium tangannya. Cuma belum ada gambar anaknya mencium tangan Mahathir.

Apa yang Mahathir buat hingga antara zuriat mereka rela berpemimpinkan Mahathir dan bagaimana mereka boleh sangka kalau bapa masing-masing ada, mereka juga senang dengan Dr Mahathir?

Adapun yang masih hidup seperti Anwar Ibrahim dan Lim Kit Siang. Anwar dihina dan dipenjara di zaman Mahathir dulu. Najib pula sambung. Mahathir tebus semuanya dengan mohon Agong mengampunkannya. Sekarang sekalian anak pinak Anwar redha dengan Mahathir dan dipercayai Mahathir pun redha dengan Anwar.

Sepanjang politik DAP dari pertengahan 60-an mengira Mahathir seteru politik yang tiada bandingnya. Kit Siang lebih sekali diISA, anaknya Guan Eng dipenjara dalam pemerintahan Mahathir dulu.

Sekarang suku sakat Kit Siang dan Mahathir macam abang adik.

Ketika semua lapisan mengecam Mahathir dulu, yang mengata Mahathir itu elok hanya penyokong Umno (Baru). Ketika yang benci Mahathir dulu senang dengannya sekarang, yang membelanya dulu mengherdiknya pula sekarang.

Yang begitu dulu dan begitu sekarang dengan Mahathir ialah PAS. Tetapi PAS suka Mahathir tamatkan penggalnya sekarang. Pun menyenangkan Mahathir. – HARAKAHDAILY 27/10/2018