Ketuanan Melayu macam sudah tiada

Kolumnis
Typography

MUNGKIN semua boleh marah Syed Saddiq Abdul Rahman, peranakan Arab-Melayu betapa ketuanan Melayu atas Malaysia seperti tiada lagi.

Sama ada Syed Saddiq tahu sejarah atau buta sejarah, tetapi orang yang hendak menang pilihan raya di hujung era Umno-Najib selepas 2008 usah fikir sangat tentang ketuanan Melayu. Jika Syed Saddiq bercakap mengenainya setelah jadi ketua Armada Bersatu, dia tidak akan menang PRU14 di Muar.

Belajarlah dari pengalaman Dr. Mahathir, MP Perikatan Kota Setar Selatan sejak 1959. Justeru dia dikira ultra Melayu yang di dalamnya termasuk ketuanan Melayu, dia kalah PRU1969 di kawasan majoriti Melayu bukan Melayu yang tidak setuju dengan isu itu tidak mengundinya.

Penyokong PAS yang sebelum Tunku Abdul Rahman Putra memimpin Umno adalah juara ketuanan Melayu, tidak mengundi Dr. Mahathir, sekalipun dia dilabel ultra Melayu, buta politik Melayu Tunku tidak melihat Umno peduli ketuanan Melayu. Maka penyokong PAS tidak mengundi Mahathir.

Selepas pengalaman kalah itu, demi memenangi pilihan raya semuanya toleran dengan Malaysian Malaysia yang dijenama Malaysia Baharu. Syed Saddiq menang, Mahathir jadi Perdana Menteri semula, Umno yang memungut isu ketuanan Melayu tumbang seperti tumbangnya komunis di Rusia.

Isu ketuanan Melayu sudah timbul sejak Dr. Burhanuddin al-Helmi memimpin PKMM, menyarankan rupa bangsa Malaya merdeka adalah Melayu. Tan Cheng Lock, pengasas MCA ditawarkan jadi Melayu keturunan Cina dalam Malaya merdeka.

Bila Dr. Burhanuddin memimpin PAS di ambang Malaya merdeka, PAS mengemukakan memorandum kepada Suruhanjaya Reid yang direstui Tunku menggubal perlembagaan Malaya merdeka, supaya memastikan hak ketuanan Melayu dalam negara merdeka.

Beberapa minggu sebelum rombongan merdeka pimpinan Tunku berangkat ke London, Dr. Buhanuddin menganjurkan Kongres Melayu kedua di Kelab Sultan Sulaiman, dihadiri sama Dato’ Onn. Ia menyarankan ketuanan Melayu dimasukkan dalam perlembagaan. Dua hari sebelum rombongan merdeka berlepas, Dr. Burhanuddin dan Dato’ Onn berjumpa Tunku menyerahkan resolusi kongres bagi memasukkan ketuanan Melayu itu dalam perlembagaan.

Tiada peduli Tunku mengenainya dan Reid pula menerima apa yang Tunku dan Perikatan mahu.

Pada PAS dan Dr. Burhanuddin Melayu tidak terjamin tanpa dimaktubkan ketuanan Melayu sekalipun pengundi bukan Melayu dalam pilihan raya 1955, 15.8 peratus saja, pengundi Melayu 1,078,000 atau 84.2 peratus tetapi kelonggaran kerakyatan jus soli bag kaum pendatang akan menghakis peratus pengundi Melayu.

Dalam PRU 1959, dua tahun selepas merdeka telahan PAS tepat, pengundi Melayu bertambah kepada 1,217,000 saja atau tinggal 56.8 peratus daripada 84.2 peratus tahun 1955.

Tahun demi tahun ketuanan Melayu tampak ada, macam Siti Hajar mencari air antara bukit Safa dan Marwah. Dari jauh nampak macam ada kilauan air, bila dekat hanya ia batu pejal. Kilauan air nampak sebelah sana pula. Bila dekat ia pun hilang.

Jangan marah Syed Saddiq dan sekutu bukan DAP dalam Pakatan Harapan. Ketuanan Melayu itu macam ada tapi tak berapa ada. Atau macam tak ada, tapi macam ada.

Jangan tunggu sampai generasi Melayu selepas Syed Saddiq kencing kubur pejuang kemerdekaan. Generasi yang kata ketuanan Melayu sudah tidak relevan, seolah-olah orang putus asa. Orang Islam tidak boleh putus asa. Putus asa bukan sifat orang Islam.

Jika orang Melayu itu Islam keluarlah dari alam putus asa! Matahari belum terbit di barat. Selagi belum kiamat, masih ada ruang bersatu seluruh belaka, membela hak keadilan pusaka. – HARAKAHDAILY 31/10/2018