Waris ketuanan Melayu, Pemuda PAS

Kolumnis
Typography

JANGAN biarkan isu ketuanan Melayu jadi perdebatan Syed Saddiq dan Dr. Asyraf Wajdi atau Armada Bersatu dan Pemuda Umno saja. Dewan Pemuda PAS mesti tampil menyambung apa yang diperjuangkan di ambang merdeka dulu.

Jika dibiarkan Syed Saddiq dan parti Bersatunya, nescaya ketuanan Melayu yang tinggal nyawa ikan dilensingnya ke Laut China Selatan bagi dilanggar armada China yang bertuan di situ.

Sama ada dia silap cakap atau sengaja dicakapnya demikian, padanya ketuanan Melayu sudah habis masa ditelan Malaysia Baru wawasan komponen Harapan, jenama baru Malaysian Malaysia yang orang Melayu tidak dapat terima dulu.

Malaysian Malaysia itu punca utama Singapura ditendang dari Malaysia pertengahan tahun 60-an.

Dewan Pemuda PAS sebagai waris peerjuangan itu mesti campur tangan mengemudi semula roh yang mahukan Melayu tidak akan hilang di dunia. Yang mahukan ketuanan Melayu diisi dalam perlembagaan Malaya merdeka gubalan Lord Reid hanya PAS.

Umnolah yang dilihat berjaya mendapatkan kemerdekaan itu, tetapi kemerdekaan yang dirancang British selepas kewujudan piagam Bangsa-Bangsa Bersatu, bahawa kemerdekaan yang Umno Tunku minta itu tidak akan dianugerah sekadar ia dituntut oleh orang Melayu saja. Ia hanya mungkin jika dikehendaki oleh penduduk Tanah Melayu masa itu.

Berbagai-bagai yang PAS di bawah pimpinan Haji Ahmad Fuad, Dr Abbas dan Dr Burhanuddin buat supaya ketuanan Melayu menjadi sebahagian dari isi perlembagaan. Terakhir dua hari sebelum rombongan Malaya merdeka pimpinan Tunku berangkant ke London bagi memuktamadkan perlembagaan Reid itu, Dr. Burhanuddin dan Dato’ Onn menyerahkan memorandum kepada Tunku supaya jangan lupa ketuanan Melayu.

Tun Razak dan Dr Ismail yang serta dalam rombongan itu dikatakan Melayunya tidak sama dengan Melayu Tunku reda dengan kemahuan British.

Dr Asyraf sebagai Ketua Pemuda Umno yang tidak berkuasa lagi sekarang tidak punya kekuatan untuk mempertahankan saki baki ketua Melayu yang ada sekarang kerana partinya membisu ketika isu itu dituntut PAS dan Kongres Melayu kedua di ambang kemerdekaan yang disifat separuh masak oleh orang Melayu di luar Umno.

Sebarang wacana atau perdebatan yang mewakili suara anak muda tidak dikira sempurna jika suara Dewan Pemuda PAS tidak ditampilkan.

Bukan penampilan Pemuda Umno dalam isu ini tidak penting, tetapi kehadirannya adalah untuk menebus apa yang tidak dibuat oleh pemimpin-pemmpin Pemuda Umno selama 60 tahun merdeka. Ada kadang-kadang Umno dan Pemuda Umno menimbulkan ketuanan Melayu, tetapi ia laksana ingatkan pesan Hang Tuah tentang tak akan Melayu hilang di dunia.

Apa yang hendak disebut dalam debat dengan Syed Saddiq itu? Mahu bercakap tentang sejarah atau menyatakan apa yang Umno hendak buat jika ditakdirkan kembali berkuasa. Semua mahu dengar apa yang Umno dapat selamatkan ketuanan Melayu semasa Umno masih belum hilang di dunia.

Jika Syed Saddiq tidak berubah, jika itulah wawasan anak muda Bersatu, tiada apa yang dapat diharapkan selain dari tinggal Harapan. Mungkin bertuah jika jadi 40 MP Umno menyertainya.

Habis apa Pemuda PAS boleh buat? Ketuanan Melayu belum berkubur. Ia memperjuangkan Islam yang dalamnya ada ketuanan Melayu.

Islam bermula di benua Arab ketika penuh jahiliah. Islam masuk ke tengah masyarakat yang tidak berminat dengan Islam. Tetapi Islam ditolong Allah. Keadilan dan kebenarannya, Islam tegak di tengah kaum jahiliah, tegak ketuanan Islam. Dalam ketuanan Islam ada ketuanan Arab. Dalam ketuanan Islam nanti ada ketuanan Melayu dan ketuanan Malaysia. – HARAKAHDAILY 2/11/2018