TG Abdul Hadi nafi mahu hapus hak istimewa Melayu

Kolumnis
Typography

SAYA tidak pasti berita mana yang keratannya disebar dikatakan Tuan Guru Haji Abdul Hadi mahu menghapuskan hak istimewa orang Melayu jika PAS berkuasa.

Mengikut setiausaha akhbar beliau, Abdul Malik Ab Razak, difahamkan berita itu bertarikh 15 September 1985 telah disalah lapor dan dikitar semula.

Tapi saya masih ingat berita yang dikatakan beliau hendak menghapuskan hak istimewa itu pernah dibangkit oleh Almarhum Ustaz Fadzil Noor dalam satu mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat yang dipengerusikannya.

Almarhum bertanya Tuan Guru Haji Abdul Hadi apakah benar berita yang dilaporkan sedemikian? Berita tersebut berpunca daripada dialog beliau dengan masyarakat Cina di Kemaman. Beliau menafikannya dan ahli-ahli mesyuarat dari Terengganu yang hadir dalam dialog itu menyatakan, Tuan Guru Haji Abdul Hadi, Timbalan Presiden PAS masa itu tidak pernah menyebut demikian dalam dialog itu.

Apa yang berlaku mengikut mereka ialah seorang telah bertanya isu itu tentang kedudukannya dalam Islam dan sikap PAS sekiranya berkuasa?

Sebelum beliau menjawab soalan itu kedengaran satu suara lantang mengatakan, hak istimewa itu akan dihapuskan. Tiada keterangan dalam jawapannya beliau berkata demikian.

Mesyuarat difahamkan, atas suara entah dari siapa di tengah orang ramai itu, dilaporkan beliau berkata demikian.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang hadir sama. Ustaz Fadzil dan sekalian ahli mesyuarat berpuas hati dengan penjelasan itu.

Suasana mesyuarat itu, saya masih ingat agak tegang, Ustaz Fadzil yang membangkitkan perkara itu agak marah dengan berita yang dilaporkan itu.

Perkara ini, katanya, kita tidak pernah bincang dan jangan sekali-kali perkara yang kita tidak bincang disebutkan sebagai dasar PAS.

Dalam penjelasannya kepada mesyuarat tahun 1985 itu, Ustaz Fadzil bertanya, siapa kata dalam Islam tiada hak istimewa?

Lalu beliau menjelaskan tentang perkembangan di Parsi setelah ia menjadi wilayah Islam. Ramai orang kaya Arab dari Madinah datang membeli tanah daripada rakyat Parsi yang kebanyakannya miskin.

Apabila hal itu sampai ke pengetahuan Saidina Umar al-Khatab yang menjadi Khalifah Amirulmukminin masa itu, beliau mengeluarkan satu perintah melarang saudagar Islam dari Semenanjung Arab membeli tanah rakyat Parsi yang miskin itu.

Jika orang kaya Arab itu dibenarkan membeli tanah-tanah orang miskin itu, nescaya habis tanah mereka dimiliki oleh orang Islam Arab.

Demi melindungi nasib orang Parsi yang miskin itu, maka Saidina Umar mengadakan peraturan, orang kaya Arab tidak boleh membeli tanah orang miskin.

Perlindungan ini adalah hak istimewa. Siapa kata dalam Islam tiada hak istimewa. Semuanya menerima pandangan Ustaz Fadzil itu termasuk sekali ahli Majlis Syura Ulamak yang menjadi ahli mesyuarat dalam Jawatankuasa PAS Pusat itu.

Jika keratan berita yang tersebar menjelang unjuk rasa raksasa ICERD pada 8 Disember ini adalah mengenai berita yang terjadi di Kemaman 35 tahun lalu telah lama diselesaikan oleh PAS. Hak istimewa orang Melayu itu tidak bercanggah dengan Islam yang menjadi pegangan politik PAS. - HARAKAHDAILY 27/11/2018

tanpa caption