APA yang orang Melayu boleh cakap dan boleh buat bagi menyatakan ia ada dan masa depannya terbela? Apa yang Islam boleh cakap bagi menyatakan ia ada dan masa depannya lebih baik dari masa ini?

Orang Melayu itu sejak mengenal politik berorganisasi tidak pernah sepakat. Semuanya mengakui mewarisi sepotong peri bahasa orang tua-tuanya, ‘bersatu teguh bercerai roboh’. Tetapi ia hanya untuk disebut, tidak dijadikan panduan.

Mungkin manusia itu begitu dan semua bangsa dulu dan sekarang begitu, mewarisi anak Adam dan Hawa, Qabil dan Habil yang seibu sebapa, tidak sehaluan berakhir dengan Qabil bunuh Habil. China juga demikian. Beperang komunis dan Kaumintang hingga berpecah dua wilayahnya, Tanah Besar China dan Taiwan.

Melayu itu tidak terus terjadi sebagai bangsa yang berbahasa dan berkebudayaan melainkan ada tok neneknya yang membentuk bangsa itu dan menamakannya Melayu dan bernegara. Jika tiada bekerja membentuknya, nescaya tiada Melayu di dunia sekarang.

Demikian juga Islam. Allah tidak jadikan ia terus besar lengkap sebagai agama ad-din. Allah jadi seorang Nabi seorang diri, Muhammad AW di tengah masyarakat jahiliah Arab menyembah berhala. Atas dakwah dan jihadnya Islam jadi agama besar dan dinamik. Jika Islam yang berempayar tidak dipelihara, hancurlah Empayar Uthmaniah menjadi Turki dan beberapa negara umat Islam yang tidak berkuasa, bahkan umat Islam Turki menjadi jahiliah sekular ataturkis, sudah hampir 100 tahun ia belum jadi seperti Islam zaman Uthmaniah.

Umat Islam Malaysia pasca merdeka menangisi perbedaan orang Melayu dalam PAS dan umno tanpa mengkaji dari sudut Islam mengapa mereka tidak bersama dan bagaimana pula boleh bersama. Kerana Islam mereka tidak dapat bersama dan kerana Islam pula mereka boleh bersama.

Orang Melayu yang memperjuangkan kemerdekaan memperjuang hak berbahasa tunggal, hak ekonomi, pendidikan, beraja dan lain-lain. Justeru mereka tidak pernah bersama, semuanya seolah-olah tidak dapat dicapai dan payah dipertahankan.

Islam pula tidak terus terpelihara jika ia tidak diamal, didakwah dan ditarbiah. Amal, dakwah dan tarbiah itu adalah tuntutan dan ciri beragama. Jika ia diabaikan individu Islam boleh murtad, liberal dan plural, semuanya melumpuhkan Islam.

Kebanyakannya merasa mereka sudah sedar. Bagi yang sedar itu sekata perlunya penyatuan ummah. Dengan penyatuan yang Umno dan PAS setuju itu boleh menjadikan yang berjuang lama dalam Islam bertambah kuat daya juang Islamnya dan yang tidak meletakkan Islam sebagai garis daya juangnya, tumbuh meluas rasa dan seruan agamanya.

Bagi yang tidak sedar merasai memadai dengan Islam yang ada, cukup sekadar solat, puasa dan haji, cukup dengan dicatatkan dalam perlembagan Islam itu agama rasmi, dan cukup al-Quran itu dibaca dan khatam, tetapi kandungan dan ajarannya dibiarkan. Dengan Islam yang ada itu Islam cukup ia terpelihara.

Pada program penyatuan ummah itu mereka bantah ratifikasi Statut Rom, ratifikasi menyamaratakan semua perkara agama, kaum dan kesukuan yang dirasakan Islam tiapa lebih dan tiada daulat. Bila membantah, siapa cakap tentang Melayu jadi rasis dan siapa cakap tentang islam jadi pelampau agama.

Habis apa yang Melayu hendak cakap tentang bangsa? Apa Islam hendak cakap tentang agamanya? Tidak memadai sekadar rajin, kaya kalau Melayu jadi Palestin dan Islam diperintah, tidak memerintah. Hendak buat apa supaya tidak dikata rasis dan ektremis? – HARAKAHDAILY 19/5/2019

DATO’ Seri Najib adalah Perdana Menteri (PM) bongsu dari spesies Umno yang mungkin tiada lagi sambungnya hingga kiamat.

Kini mantan PM itu menghadapi lambakan dakwaan rasuah dan pengubahan wang haram yang jika satu-satu dibicarakan mungkin sekurun pun tidak habis. Mungkin kita perlu menunggu datangnya kiamat dari menunggu semua kesnya.

Ikut sistem perundangan yang dipakai termasuk undang-undang Islam, yang dituduh tidak bersalah hinggalah ditentukan mahkamah.

PM Mahathir semasa penggal pertamanya dulu pernah berkata, seseorang tidak semestinya dihukum rasuah baru kita kata dia rasuah, tetapi disangsi bersihnya jika dia dilihat rasuah. Maka yang bersih rasuah itu bukan saja bersih rasuah tetapi mesti tidak dilihat rasuah.

Tohmah yang Najib hadapi kini sudah bertimbun, yang bakal dituduh juga bertimbun lagi. Tetapi apakah yang dilihat rasuah itu Perdana Menteri bongsu Umno itu saja? Tidakkah dia mewarisi sekalian Perdana Menteri sebelumnya?

Tiada yang sebelumnya ditakwil bersihnya kecuali Mahathir beberapa bulan sebelum menumbangkan Najib disuruhanjaya siasatan diraja dan disabitkan. Belum dikenakan hukuman.

Maka itu pun cukup untuk dikatakan tidak dilihat bersih. Siapakah sepanjang 60 tahun merdeka tidak melihat Malaysia dan pemerintahannya negara rasuah. Cuma tiada yang disebut jerung dimahkamahkan. Semua kata yang dimahkamahkan bilis-bilis belaka.

Saya pernah diberitahu Almarhum Bahaman Samsudin, menteri dalam Kabinet pertama Tunku sejak tahun 1955. Dialah pencadang Tunku Abdul Rahman Putra jadi Presiden Umno menggantikan Dato’ Onn dulu. Pernah jadi DO Lumut dan Teluk Intan. PRU 1955 dia bertanding di Hilir Perak termasuk Bagan Datok, Teluk Intan dan sebahagian Pasir Salak sekarang. PRU 1959 dia balik ke tanah airnya Negeri Sembilan. Tiada Umno menolak buntang dari ajak melainkan dia.

Awal 60-an dia bersara politik. Saya jumpa dia di rumahnya di Kampung Baru, Kuala Lumpur. Saya tanya mengapa tidak jadi menteri lagi? Jawabnya, tidak mahu terlibat dengan kerajaan rasuah yang sudah bermula sejak merdeka.

Dia jarang keluar dalam surat khabar. Menteri yang tidak dikacau pembangkang di Parlimen. Cakapnya boleh dipercayai.

Jika Bahaman boleh dijadikan saksi, siapakah dalam Umno yang dipercayai bersihnya?

Masa mula-mula dulu tiada badan pencegah rasuah yang khas. Mungkin rasuahnya sekadar RM10 kerana berbasikal malam tak berlampu atau langgar lampu trafik. Tunku mana pernah cukup duit. Elaun PMnya tak cukup. Menteri Kewangan Tan Siew Sin dikatakan selalu bingung kerana cek yang Tunku keluarkan tidak berduit.

Kita tidak tahu apa yang Tun Razak dan menteri-menteri buat. Lepas 13 Mei 1969 Tun Dr. Ismail jadi TPM dan BPR (Badan Pencegah Rasuah) sudah dibentuk. Diangkatnya Harun Hashim jadi Pengarah BPR. Ditangkapnya pembesar Umno termasuk Menteri Besar. Menteri MCA pun ketakutan.

Selepas Tun Razak menggantikan Tunku, BPR mulai lembik. Jerung tidak masuk perangkap lagi. Ia seolah menghadapi bilis saja.

Dari zaman Tun Razak hingga ke zaman Dollah Badawi Malaysia dirasakan sudah di belakang Indonesia, Filipina dan Thailand. Rasuah dilihat sebagai sebahagian dari budaya bangsa. Parahnya rasuah Tun Abdullah tukar BPR jadi SPRM bagi membendung rasuah.

Tapi beras tidak jadi nasi lagi. Jadi bubur semuanya. Jadilah Najib Perdana Meneri bongsu Umno. SPRM sudah tidak bergigi. Tinggal gusi, gigi palsu pun tidak lekat.

Sejak lahir Najib hidup di tengah budaya dilihat rasuah. Sangkanya rasuah itu sebahagian watak Melayu. Dia sambung saja legasi semua PM sebelumnya. – HARAKAHDAILY 18/5/2019

SEMUA menyangka pentadbiran baru Tun Dr Mahathir Mohamad agak lunak dan liberal terhadap media dan semakin tua Perdana Menteri (PM) itu percaya tiada mana-mana orang besar bebas dari kritikan.

Jika peribadinya sejak dulu tidak teragak-agak memberi komen dan kritik kepada sesiapa termasuk apa yang terjadi antaranya dengan Tunku Abdul Rahman Putra dalam kejadian surat peribadi antara kedua-duanya lepas 13 Mei 1969 dulu, maka dia juga terpaksa kebal dan tahan apa yang kata padanya.

Pandangan peribadi saya, antara lima PM dan Presiden Umno sebelum dan selepasnya dia yang paling tidak hirau atau sensitif atas akan kesan kebebasan akhbar yang agak terhad di Malaysia.

Sekalipun di zaman kongkongan itu ada, tetapi ia lebih dari penyokongnya, penyokong partinya dari dia sendiri. Lazimnya parti-parti pembangkang tidak diberi permit penerbitan dalam apa bentuk jua.

Pembangkang terpaksa edarkan siaran haram. Pantang kerajaan memberi izin siaran kepada pembangkang.

Tetapi Mahathir beri permit kepada PAS menerbit Harakah sekalipun untuk dalaman, tidak boleh diedar dalam pasaran terbuka. Sekalipun tidak bebas penuh, tapi dia benarkan. Sebelumnya tidak mungkin.

Dia tahu Harakah diedar secara tidak sah kepada umum. Bila ada amaran kementerian orang PAS edar/jual juga pada bukan ahli. Mamak pengedar sorokkan Harakah dan jual kepada orang bertanya "adakah Harakah". Bila mata-mata tidak intip, mamak pamer Harakah secara terbuka.

Minta permit terbuka tidak diluluskannya, tetapi dia tidak serius sekat siaran terhad permitnya dari diedarkan kepada semua.

Mula-mula diizin sekali seminggu. Kerana banyak permintaan, PAS minta dua kali seminggu. Dibenarkannya.

Apa yang kita tidak kata terhadapnya. Kementerian Dalam Negeri (KDN) acap memberi amaran. Harakah tidak hiraukan. Pernah Timbalan Menteri KDN, Megat Junid sebut pada saya, komen terhadap Mahathir keterlaluan. Diingatkannya, dia tidak mahu bertindak, tetapi kalau PM komplen dia tidak dapat buat apa-apa.

Saya tanya dia, adakah PM kata apa-apa? Jawabnya tidak pernah. Ertinya jika ada masalah KDN, bukan darinya tetapi pegawai dan orang yang lebih sudu dari senduk.

Bila PM itu berundur, KDN diletak terus di bawah PM Abdullah Badawi yang semua orang jauh lebih lembut dari Mahathir tetapi digantung permit Harakah dari dua kali seminggu kepada dua kali sebulan. Tentu Mahathir lebih terbuka dari penggantinya. Bila Najib ambil alih diberinya Harakah dua kali seminggu.

Ertinya Mahathir tebih terbuka dari semua PM.

Bagaimanapun ada baiknya ada cacatnya juga. Tunku menulis setiap keluaran Sunday Star. Dia kritik sakan Tun Razak, Hussein Onn dan apa lagi Mahathir. Tunku lebih nekad dari penulis yang kritikal. Hilang sabar Mahathir. Digantungnya harian The Star. Jika tidak silap tiga ia tidak terbit.

The Star diterbitkan semula. Tunku tidak dibenarkan menulis dan tidak lagi jadi pengerusi harian milik MCA itu.

Ia satu cacatnya teruk terhadap media. Mungkin itu bukan dasarnya, mungkin jsu peribadi antara keduanya. Dibandingkan dengan yang lain dia terelok. Tapi keseluruhan dasar BN terhadap media memang tidak mesra.

Bila dia memerintah kerajaan Pakatan Harapan (PH) sekarang, kerajaannya dirasakan lebih mesra media. Mengapa? Media bukan lagi di gedung percetakan yang memerlukan permit tahunan tetapi ia sudah di hujung jari semua orang. Semuanya jadi penyiar dan penerbit. Tidak mungkin kerajaan mengadakan penjara untuk hujung jari rakyatnya.

Memotong jari tidak termasuk dalam kesalahan hudud. - HARAKAHDAILY 15/5/2019

Papan tanda Madinah Ramadan di Kota Bharu.

CADANGAN tangguh berniaga semasa tarawih di Kelantan ditukar dari arahan wajib kepada pilihan.

Alasannya bagi mengelakkan peniaga dan penjaja rugi sepanjang tarawih berlangsung.

Ertinya kebesaran Ramadan telah dinilai dengan kerugian peniaga yang tidak beroperasi sejam atau mana lebih pendek masa bersolat.

subkyPeniaga gerai makan sekitar kawasan tarawih boleh berniaga dari masa berbuka hingga azan memanggil solat semasa Isyak. Macam di Mekah bila dilaung azan solat waktu semua tinggal perniagaan, solat berjamaah. Lepas itu kembali ke warung.

Jual beli disambung selepas tarawih. Rugikah kalau ditangguh niaga semasa solat? Banyak mana ruginya? Dan banyak kurang keuntungan sepanjang malam kerana ditangguh bagi menunai solat antara setengah jam atau kurang dari sejam?

Setelah habis Ramadan berniagalah 24 jam sehari semalam. Rugi sangatkah?

Mana lebih rugi antara tidak berniaga sekejap dengan tidak tarawih? Untung tarawih jadi bekalan di akhirat bermula dari putus nyawa hinggalah selama-lamanya di syurga. Rugi meninggalkan tarawih tidak dapat bantuan tarawih bagi meringankan kepayahan di akhirat. Bergantung kepada pahala lain-lain ibadat saja.

Untung perniagaan semasa tarawih itu boleh makan sepanjang hidupkah? Sekalipun untungnya banyak tetapi tidak sebanyak keuntungan jika bertarawih. Mati nanti keuntungan tidak dibawa ke kubur. Untung tarawih dibawa ke kubur hingga ke syurga. Banyak tarawih apa lagi tarawih itu sempurna berganda bahagianya di akhirat termasuk ringan masalahnya di kubur dan di mahsyar.

Orang berniaga semasa tarawih tidak semestinya tidak tarawih. Mereka boleh tarawih selepas tutup perniagaan. Tentulah baginya untung kedua-duanya – tarawih dan buka gerai.

Tapi berapa orang yang sedia tarawih di luar masa orang tarawih. Macam puasa enam bulan Syawal. Puasa di tengah orang tidak puasa. Yang puasa enam amat minoriti.

Lazimnya amat kurang yang tarawih lewat.

Lebih ramai yang tidak buka gerai tidak tarawih. Kita tidak buat apa kepada mereka. Tetapi yang buka gerai mungkin tidak tinggal solat dan tidak tinggal puasa. Apa kena padanya tinggal tarawih kerana berniaga.

Apabila tarawih seseorang diterima Allah tarawihnya, nescaya tiada kerugiannya selama-lamanya. Sentiasa dan terjaminlah untungnya. Pentarawihnya Ramadan ini, moga-moga dibuka Allah peluangnya terus bertarawih selagi ada usianya.

Akan tetapi orang yang memungut keuntungan berniaga dan tidak merebut keuntungan tarawih, mungkin tidak terjamin barakah keuntungannya. Allah kadang-kadang uji seseorang beroleh banyak keuntungan dari berniaga semasa tarawih, dan ini menyebabkan dia tinggal tarawih bukan sekadar Ramadan ini, bahkan Ramadan seterusnya.

Tetapi dengan tangguh perniagaan demi tarawih, insya-Allah digandakan Allah keuntungannya bagi perniagaan selepas tarawih itu.

Untung paling besar bagi peniaga ialah berniaga pada waktu yang sesuai dengan tidak mengabaikan panggilan ibadat. Untung sikit tapi barakah adalah lebih baik dari untung melimpah tetapi tidak barakah.

Jangan anggap arahan utama tarawih dari niaga menutup pintu rezeki! – HARAKAHDAILY 14/5/2019

AMAT kurang peka kedatangan Ramadan; bila ia datang dan bila ia bermula?

Yang peka rata-rata penjaja pasar Ramadhan. Mereka sudah bersedia dan berbuat petak yang strategik sejak beberapa bulan lalu. Bahkan mereka mendahului imam masjid dan surau yang berdoa menyambut Ramadan sejak Rejab lalu.

Begitulah sepatutnya sekalian umat merindui kedatangan Ramadan setiap tahun dua bulan sebelum tibanya bulan puasa. Mengapa imam-imam mendoakannya sejak Rejab dan Syaaban, justeru rahmat yang disediakan Alllah untuk semua adalah besar. Para malaikat tidak tahu ganjaran untuk seorang yang berpuasa, hanya Allah yang menentukan sebanyak mana yang diredhainya.

Bumi dan langit serta isinya sudah cukup besar, mungkin rahmat Allah itu lebih besar daripadanya.

Bagi yang tahu, betapa besar rahmat, mahu jika boleh Ramadan itu setahun penuh. Bagaikan rugi besar apabila ssebelas bulan selepas Ramadan terbuang tanpa diisi dengan puasa. Jika boleh jangan barang sehari kosong dengan pahala puasa!

Akan tetapi kemurahan Allah tidak membiarkan barang sehari pun tanpa ganjaran puasa bagi yang menunaikan sunat puasa enam hari dalam bulan Syawal.

Bagi yang tidak menunaikan puasa enam sekadar berpuas hati dengan sebulan ibadat Ramadan saja.Sebaik mana pun ibadatnya ia dapat pahala penuh sebulan saja. Ia hilang peluang pahala sebelas bulan bagi menjadikan dia dapat penuh pahala Ramadan setahun.

Maha Pemurahnya Allah untuk hamba-Nya, memadai puasa sebulan enam hari, tanpa perlu puasa 10 bulan 24 hari lagi, ia dapa pahala percuma menyamai setahun Ramadan.

Itulah tuahnya menjadi umat Nabi Muhammad SAW, amalnya sedikit, balasan Allah jauh berganda dari ibadat hamba-Nya.

Untungnya Ramadan itu dapat tarawih malamnya. Tiada tarawih pda malam bulan lain. Apabila anugerah pahala setahun Ramadan bagi yang puasa enam bulan Syawal, maka logiknya ia tarawih setiap malam sepanjang tahun.

Dan bagi yang sempurna ibadatnya apabila disaksikan oleh malaikat Lailatul Qadar, Allah tambah pula rahmat lebih baik dari 1,000 bulan. Ia tidak ada di bulan-bulan lain, hanya ada di bulan Ramadan.

Ia belum lagi rahmat al-Quran yang Allah mula turunkan ke langit dunia dalam bulan Ramadan ketika bermulanya kenabian Rasulullah SAW. Dengan cahaya al-Quran itu terang benderang hati umat sekalipun di malam gelap gelita. Itulah rahmatan lil alamin untuk umat sepanjang zaman hingga kiamat.

Bagi mensucikan ibadat Ramadan itu ahli ibadat wajib menunai zakat fitrah, paling afdal sejurus sebelum solat Idil fitri. Umat Islam England merebut masa paling afdal itu dengan siak membawa baldi di seiap saf, jamaah mencampakkan fitrahnya ke dalam baldi. Setelah selesai imam pun memulakan solat.

Maka banyaklah jenis ibadat dengan ganjaran besar yang orang puasa boleh perolehi sepanjang hari sepanjang sebulan itu.

Semuanya tidak ada dalam bulan lain. Maka itulah sebabnya umat Islam mesti bersedia, bersiap menyambut kedatangan Ramadan itu berbulan lebih awal, supaya sekaliannya menunggu ketibaannya.

Adapun kebanyakan umat menunggu Ramadan dengan persiapan hari raya Idil Fitri sejak sebelum Rejab lagi. Ibadat Ramadan itu seolah-olah menumpang perayaan hari raya.

Ia mungkin tanda rendahnya kesedaran masing-masing tentang Ramadan yang mulia. Mereka yang tinggi peka ibadat Ramadannya, penuh pilu bila Ramadan hendak pergi, takut tidak bertemu Ramadan lagi selepas itu. Beruntunglah mereka yang beranggap ia Ramadan terakhir untuknya. – HARAKAHDAILY 11/5/2019

Foto hiasan.

KISAH sepasang pelanggan Cina yang memesan sup dari restoran Cina memang kelakar, tetapi saya tidak takjub dengan berita itu. Ia sekadar senyum bagi saya.

Pasangan suami isteri itu memesan sup bukan kerana hendak menikmatinya sangat tetapi untuk mendapatkan pulangan wang berjuta.

Apa terjadi? Dia memasukkan bangkai tikus yang dibawanya dalam sup yang dihidangkan. Dia pun membuat kecoh kerana dikatakan makan sup tikus.

Sekalian pelanggan yang ada heboh. Dia tidak menerima tawaran menyelesaikan perkara itu sekalipun dia ditawarkan sejumlah duit yang banyak oleh restoran.

Dia menuntut diberi hampir sejuta duit China, jika tidak dia akan mengambil tindakan undang-undang. Kerana tuntutan itu terlalu besar, pihak restoran menyerahkannya kepada keadilan.

Setelah disiasat didapati sup yang dihidangkan tidak bertikus tetapi pelanggan itu memasukkan bangkai tikus yang dibawanya.

Jika dia terima apa yang ditawarkan, dia akan balik dengan duit yang agak banyak. Kerana dia tamak hendakkan sejuta duit China, dia didenda termasuk ganti rugi justeru urusan peniagaan restoran terganggu semasa kejadian itu.

Saya tidak tahu di mana penyangak itu dapat idea memasukkan tikus dalam sup?

Sekitar 40 tahun lalu, jika saya tidak silap diriwayatkan oleh wartawan Jalil Ali, rakan sekerja di Utusan Melayu dulu.

Jalil meriwayatkan kepada saya. Katanya, si fulan, seorang rakan sekerja di Utusan yang terkenal pintarnya, sebelum bekerja di Utusan satu hari dia sangat lapar. Tiada duit untuk membeli makanan sedang dia masa itu seorang penganggur.

Apa dia buat?

Dia dikatakan masuk restoran mamak memesan mi goreng. Dekat nak habis makan dia menjerit kerana didapati ada ekor cicak dalam pinggan mi itu.

Diriwayatkan dia mendakwa sakit perut makan bangkai cicak. Tuan punya restoran lalu menawarkan dia tidak perlu bayar. Tetapi dia kata mana boleh ia didiamkan saja kerana restoran yang begitu adalah pengotor dan pengotor adalah satu kesalahan. Boleh diperintah tutup perniagannya.

Bila mamak menawarkan beberapa Ringgit kepadanya, dia menerima tawaran itu.

Dia mungkin berpuas hati dapat rezeki, mengatasi kelaparannya masa itu dan bukan sekadar dapat makan percuma, diberi duit pula.

Dia tidak tamak dan dapat makan percuma itu sudah satu rahmat.

Ekor cicak tadi memang disediakan dalam saku. Hampir habis makan dikeluarkannya ekor cicak yang dibalut kertas dari dalam sakunya, digaulnya dengan baki mi yang belum habis.

Adakah penyangak China itu dapat idea dari fulan yang memasukkan ekor cicak dalam mi goreng 40 tahun dulu? Bagaimana pelanggan China boleh buat benda yang serupa dengan yang fulan buat 40 tahun lalu?

Atau ia adalah amalan biasa bagi penyangak serata dunia untuk mengaut duit banyak dengan memperdaya restoran?

Bila saya baca berita dari Beijing itu, saya sekadar senyum kerana riwayat seperti itu saya sudah maklum hampir setengah abad lalu. Ia tidak menakjubkan saya tetapi kelakar selepas setengah kurun kejadian itu berlaku lagi tetapi di tengah benua Asia yang jauh itu.

Orang pintar macam ini ada di mana-mana? Mengapa dengan kepintaran itu pilih hidup sebagai penyangak? – HARAKAHDAILY 8/5/2019

MALAYSIA mungkin akan jadi satu-satunya Negara yang siang malam bekerja jika lama lagi Dr. Mahathir jadi Perdana Menteri. Jika setahun lagi dia berundur seperti yang pernah disebutnya ketika cuba mendapatkan sokongan PH menjadikannya calon Perdana Menteri bagi menumbangkan Najib dan BN dulu.

Baik berhentinya itu justeru menunai janji atau dipaksa PH bagi menjamin kemenangan PH dalam PRU15 maka cadangan kerja malam bagi pekerjaan kotor akan jadi seperti cadangannya semasa memerintah dulu untuk membina jambatan menghubungkan Semenanjung dengan Sumatera yang tidak pernah disebut lagi sekarang.

Tidak diperincikan bidang kerja kotor yang dimaksudnya. Seperti yang saya terkesan mengatakan bersawah. Kalau bersawah, maka mungkinlah berladang sawit yang kurang dapat dipasarkan sekarang. Jika sawit tidak jadi sumber rezeki utama lagi, tentu sawit yang ada tidak ditebang serta merta, maka yang hidup atas sawit jadikan ia kerja malam, sebelah siang buat kerja lain, bawa Grab atau buka gerai makan atau berjaja sebagai kerja sambilan. Bila malam turun ke ladang sawit.

Jika berkebun dan bersawah antara pekerjaan sebelah malam, maka kerajaan kena fikirkan semua sawah dan ladang pasang lampu. Jika tidak pakai lampu bagaimana hendak kerja dalam gelap. Masakan memadai dengan cahaya bulan. Bila bulan gelap macam mana?

Jika guna bekalan elektrik setiap malam dapatkah masing-masing menampung kosnya dengan hasil yang diperolehi? Biarlah pakar ekonomi menentukan cara paling ekonomi melaksanakan kerja sebelah malam.

Kita tidak nampak apa yang Mahathir nampak. Jika lama lagi dia memerintah, kita akan dapat saksi setengah rakyat tidur siang dan berjaga malam.

Setakat yang semua tahu, siang malam yng Allah jadikan itu ialah adanya siang semuanya bergiat menjalankan kehidupan. Adanya malam supaya mereka berehat. Tidur dan digalakkan menggunakan sebahagian malam itu berjaga demi beribadat.

Wawasan baru Mahathir itu ibarat menongkah fitrah, rehat siang dan berjaga sebahagian siang demi ibadat dan bekerja malam.

Sejak bumi didiami manusia bermula dengan Adam dan Hawa hinggalah kiamat siang digunakan untuk bekerja dan malam rehat bersama keluarga. Mahathir pula fikirkan sistem sendiri untuk Malaysia dan mungkin diikuti oleh dunia.

Bagaimana pun bukan asing bagi orang bekerja malam bagi sebahagian perkhidmatan seperti polis, hospital, operator keretapi, pemandu bas jarak jauh dan lain-lain. Tetapi bukanlah sepanjangnya kerja malam. Kerja siang malam itu ikut giliran. Bila misi kena giliran malam beberapa malam, mereka diikuti cuti seminggu. Kemudian kerja siang pula. Polis juga jaga malam beberapa jam dan bertugas siang pula beberapa jam.

Banyak juga restoran 24 jam. Tetapi kebanyakan restoran buka siang. Sekarang banyak restoran masakan panas menyediakan makanan Siam rata-rata bermula menjelamg Maghrib hingga pukul dua malam. Lepas itu ia pun rehat.

Seratus tahun dulu Malaya memperkenalkan tanaman getah. Pekerja ladang dan pekebun kecil getah mula khidmat seawal dini hari bukan diperaturkan begitu, tetapi susu getah hanya banyak sebelum matahari terbit. Bila matahari naik mereka berhenti menoreh, mereka pungut pula susunya dibekukan hingga diproses jadi getah keping, habis kerja sekitar sebelum tengah hari.

Getah tidak jadi komoditi utama. Penoreh memilih kerja lain. Tanaman getah tidak untuk susunya lagi tetapi batangnya jadi bahan perabot. Tiada bekalan elektrik di kebun getah. Penoreh guna pelita minyak diikat di dahi melihat batang yang ditoreh.

Moga-moga cadangan PM itu bukan membuang tabiat. – HARAKAHDAILY 7/5/2019

MINGGU keempat April banyak kawasan di Lembah Klang termasuk ke serata Wilayah Persekutuan diberi amaran akan ancaman tiga hari tidak berair.

Saya terharu dengan amaran dan ujian itu. Saya takut tidak dapat mandi, satu amalan sepanjang hidup saya. Lazimnya saya mandi tiga kali sehari.

subkyMasa sekolah dulu saya mandi waktu Subuh, balik dari sekolah tengah hari dan sebelum Maghrib. Dalam alam pekerjaan tiada peluang mandi tengah hari kecuali cuti. Setelah jadi warga emas mandi sebelum Subuh, sebelum Asar dan sebelum Maghrib.

Saya tidak bimbang wuduk kerana ketiadaan air boleh tayamum.

Tidak selesa jika tidak mandi. Biar tidak makan kerana puasa, tapi jangan tidak mandi.

Selepas tempoh putus air tamat saya penuh insaf melihat air yang ditakung dan yang keluar dari pili. Syukur kerana tiga hari terancam itu saya terus mandi sekalipun berjimat. Saya teringat ibarat dari Saidina Umar al-Khatab, betapa orang taqwa berhati-hati berjalan di jalan yang berduri.

Saya berhati-hati bercermat mengguna air takut air jangan putus ketika mandi. Saya tidak pasti bolehkah cermat mandi itu disamakan berhati-hari di jalan berduri. Mungkin tidak dapat disamakan, tetapi saya terfikir begitu sebaik tidak terganggu mandi tiga hari itu.

Alangkah bersyukurnya bekalan air tidak terganggu dalam tempoh amaran itu. Saya puji jurutera air dapat mengendali menambah baik bekalan air hingga di tempat saya tinggal gangguan air tidak berlaku.

Sebelumnya saya memikir akan pengalaman kawasan dilanda banjir. Air melimpah ruah. Tidak boleh diminum. Tidak sesuai digunakan untuk memasak dan membasuh. Saya memikirkan untuk tiga hari itu akan mengalami kepayahan orang mengalami bencana.

Jika bekalan putus, air yang ditakung tidak cukup, cukupkan bekalan dari lori bantuan kecemasan memenuhi keperluan pengguna.

Bekalan air bersih adalah nikmat baru kemerdekaan dan kemajuan teknoligi. Tidak semua dapat nikmat itu sebelum merdeka. Tetapi semua dapat air dan boleh mandi dari telaga dan kolam dekat kediaman masing-masing. Kemarau boleh mengancam tetapi telaga boleh menampung keperluan minum, memsak dan istinjak.

Sekarang telaga sudah tiada termasuk di kampung. Untuk minum lembu dan kambing pun dari air yang dirawat. Apa lagi tiada ruang untuk gali telaga di kota-kota.

Tiga hari berita ancaman itu bukan manusia saja berjimat-jimatan, pokok bunga dan tumbuhan pun dapat air terhad. Bertuahlah jika hujun turun di kawasan tertentu. Bahagialah bunga dan tumbuhan dengan hujannya.

Di tempat saya, dua hari setengah panas terik tak terkira. Petang hari ketiga hujan mencurah-curah hingga ke malamnya. Esoknya hujan juga sedang orang tidak tidak terancam lagi.

Jika pokok dan tumbuhan berwajah seperti manusia, nescaya kita dapat lihak senyum dan cerianya dengan hujan nikmat untuk alam itu.

Dengan hujan selepas tempoh amaran luput, sekalian makhluk beroleh rahmatan lil alamin yang datang dalam pakej syariah. Hanya umat Islam tidak pasti adakah rahmatan lil alamin dirasai tanpa syariah?

Orang Lembah Klang sayugia bersyukur, betapa berita amaran tak berair boleh mengingatkannya tentang iman dan taqwa. Walaupun ancaman tadi tidak berlaku tetapi amaran mengenainya mengajak semua moga-moga mendekatkan diri dengan Allah. Syukur kita terlepas dari bencana ancaman itu. – HARAKAHDAILY 3/5/2019

RATA-rata dunia hari ini, di wilayah Islam dan tidak, huru-hara dan berbencana.

Apa gerangan?

Maksud al-Quran, bencana di darat dan lautan gara-gara tangan rakus manusia.

Kita tidak dapat tuding akan malapetaka yang dialami, baik di negara kita yang Islam dan yang lain-lain justeru pemerintahannya zalim.

Apapun bila pemerintah itu zalim diikuti pula oleh masyarakat dan rakyatnya juga zalim, pastilah bencana kepada semua. Waimma petaka itu kecil atau besar. Kecil zalimnya, kecil petakanya. Besar zalimnya, besar pula petakanya.

Rasuah adalah amal kezaliman. Sekadar ia oleh pegawai kecil, tetap ada kesannya sekalipun kecil. Dan jika rasuahnya besar, maka zalim dan bencananya tentulah besar.

Dari segi Islam. Yang tidak menerima Islam dan tidak mengamalkan Islam sejak Adam hingga kiamat adalah zalim. Sekalipun adil amalnya, solatnya seperti solat Nabi, justeru tidak menerima ia akan Islam, tidak diterima solat dan ibadatnya.

Akan tetapi yang Islam, sikap dan perbuatannya zalim, tetap bencana juga kepada umah.

Maka ditekankan oleh Islam, pemerintah dan ketua itu hendaklah adil kerana adil itu adalah rahmat untuk semua. Rahmatan Lil Alamin yang Allah sediakan bukan untuk sekadar disebut, tetapi diamalkan.

Allah Maha Adil dan Ia sayang dan suka kepada keadilan dan yang berbuat adil. Nabi Ibrahim tanya rombongan Jibril dalam misi membinasakan kaum Lut. Adakah dibinasakan masyarakat zalim yang di tengahnya ada yang soleh? Ditangguhkan hingga dipisahkan dulu yang soleh dari yang zalim seperti Nabi Lut dan anaknya dipisahkan dulu dari Sodom.

Maka pemerintah yang adil itu Allah letakkan dalam senarai teratas dari mereka yang dikasihi-Nya dengan dijamin kebahagiaan dan rahmat-Nya.

Antara yang termasyhur pemerintahannya dalam khilafah Islam ialah Khalifah Umar Abdul Aziz. Aman makmur dan sejahtera rakyat di bawah pemeritahannya. Tiada yang sedia menerima zakat justeru kebercukupan pendapatan dan kehidupan masing-masing.

Telah berlaku di kalangan masyarakat Badawi di padang pasir yang terpisah dari masyarakat hadhari yang tamadun dan tidak mengetahui maklumat dan perkembangan semasa. Mereka kagum apabila mendapati hasil kebun masing-masing berganda. Lazimnya tidak semewah itu.

Antara mereka berpendapat, ini adalah justeru perubahan dalam pemerintahan. Pemerintahan yang adil lagi soleh telah memakmurkan semua.

Mereka tidak tahu ketika itu mereka berada di bawah pemerintahan Umar Abdul Aziz yang terkenal adil dan solehnya.

Umar Abdul Aziz tidak memerintah lama. Sekitar dua tahun, tetapi kemakmuran dan keadaan itu telah dikecapi oleh semua dalam waktu yang singkat.

Kefahaman umat pada masa itu tidak tahu dan tidak peka siapa yang berkuasa, tetapi keyakinan semua apabila berlaku keamanan dan kemewahan ia adalah justeru yang memerintah itu adalah orang yang adil dan soleh.

Bertolak dari keyakinan itu betapa keamanan dan kesejahteraan adalah justeru keadilan pemerintahan. Pemerintahan yang adil itu melaksanakan peraturan yang ditentukan Allah dan Nabi-Nya.

Apabila masyarakat itu penuh dengan huru-hara, kacau bilau dan bencana di sana sini, tidak dapat tiada gara-gara mengabaikan keadilan dan peraturan yang Allah tentukan. Malangnya umat Islam sendiri nipis keyakinan iman dan Islamnya.

Moga-moga penyatuan umah yang dituntut oleh semua memulakan keadilan sebagai formula ke arah keamanan dan kemakmuran. – HARAKAHDAILY 25/4/2019

DALAM rencana saya sebelum ini, saya kata Menteri Luar kita telah memberi nasihat salah kepada kerajaan hingga kerajaan ratifikasi sistem jenayah dunia tajaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Dalam rakaman video bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad mengira Menteri Luar itu, dipercayai meminta nasihat Peguam Negara, maka dia telah diberi nasihat yang silap oleh Peguam Negara.

Maka kita telah meratifikasinya dan tidak sempat sebulan Kabinet membatalkannya, bukan kerana ia ada untung rugi menanda tanganinya, sebaliknya ia boleh mendatangkan fitnah melagakan kerajaan dengan Raja-Raja.

Nasihat Menteri Luar yang tentunya mendapat nasihat Peguam Negara ialah Statut Rom itu tidak menjejaskan kedaulatan negara apa lagi kedaulatan Raja-Raja.

Kesilapan itu bukan tidak boleh dianggap kesalahan kecil tetapi apabila melibatkan kedaulatan negara yang menyentuh kemerdekaannya, maka ialah adalah tidak sekadar silap besar bahkan menjadi kesalahan besar.

Dari apa yang saya faham dari penjelasan, apabila kita tandatangani statut itu, maka jika ada apa-apa yang dikira melanggar jenayah oleh PBB, maka kita boleh didakwa dan dikenakan tindakan. Apa yang kita dikira melanggar statut itu adalah tepat dan betul dari maslahah dan kepentingan dan kemerdekaan negara, tetapi ia tidak dikira betul oleh negara-negara yang meratifikasinya, maka kita tidak bebas untuk mempertahankan apa yang kita yakin kita betul.

Mungkin apabila tindakan dikenakan ke atas kita, yang disasarkan ialah kerajaan yang dikatakan telah melanggar statut itu, Raja yang tidak terlibat dalam tindakan yang dikatakan salah tadi, tidak akan diapa-apakan dan tidak akan diheret atas apaa-apa sebab jua, tetapi apabila negara dan kerajaan dikenakan tindakan, Raja atau Ketua Negara yang tidak ada kena mengena akan menghadapi berbagai kepayahan juga.

Seperti Maharaja Jepun dalam Perang Dunia kedua. Jepun telah dikenakan tindakan bom atom oleh pihak berikat Amerika, Britain, Perancis dan Soviet Union. Dengan yang dibom itu Hiroshima dan Nagasaki saja, juta rakyat terkorban, maka Jepun serendar. Maharaja Jepun, keluarga diraja dan segala istananya tidak terjejas.

Mereka terselamat kerana Kerajaan Jepun mengaku kalah. Jika dengan pengeboman itu perang tidak ditamatkan, tentu Jepun di luar negara terus melanjutkan kerja ketenteraannya, maka serangan pihak bersekutu di serata Jepun, mungkin atom tidak diguna lagi tetapi pesawat pengebom akan bertindak seperti yang dilakukan terhadap Jerman.

Maka maharaja dan keluarga diraja juga akan menerima sama semua akibatnya.

Raja Afghanistan terselamat dan melarikan diri ke Rom bila Soviet Union menceroboh dan menduduki wilayahnya. Raja tidak diusik tetapi sasaran komunis terhadap kerajaan dan rakyat yang mempertahankan kedaulatan, walaupun raja tidak buat apa-apa, bila wilayahnya diceroboh, dan Soviet dikalahkan, takhta tidak dipulangkan lagi kepada raja.

Itulah gara-gara apabila kedaulatan negara dan kemerdekaan rakyat dilanda kuasa asing. Demikianlah Iraq yang merdeka, apabila diperang tentera bersekutu, Iraq sudah menjadi wilayah hamba.

Kuasa besar seperti Amerika, China dan India tolak statut. Apa dunia boleh buat bila mereka langgar hak asasi manusia. Statut tidak buat apa terhadapnya. Semua wilayah kecil Asia Tenggara tidak tanda tangani. Apa rugi mereka tidak menjadi sebahagian dari statut itu?

Israel jadi anggota. Layak dikenakan tindakan tetapi dengan perlindungan yang Amerika beri kepadanya, apa keadilan Statut Rom boleh beri kepadanya.

Semua pakar undang-undang bersama Raja-Raja getik dengan persetujuan menyertainya. – HARAKAHDAILY 23/4/2019

TAAWUN PAS-Umno belum jadi tetapi ia sudah dekat hendak jadi. Apa yang akan dicapainya belum diketahui kerana rundingan baru bermula dan PRU15, matlamat akhirnya masih jauh.

Tetapi sekalian kerabat PH sudah gempar dan gelabah. Guan Eng tercakap taawun itu satu isytihar perang ke atas bukan Melayu/bukan Islam. Kor Meng, Timbalan Speaker kata ia ke arah pembentukan pemerintahan Taliban. Mahathir kata, Umno akan tipu PAS lagi.

Brother Anwar tidak pedulikan Umno tapi tembak PAS sebagai parti menghalalkan bohong dan bodek Perdana Menterinya, Mahathir.

Apa erti semua ini? Tidak lain dari gerun dan gelabah atas potensi dan keupayaan taawun boleh mengembalikan PH sebagai pembangkang lepas PRU15 dengan izin Allah.

Ibrahim Ali pernah jadi MT Umno semasa Dr. Mahathir. Katanya, Mahathir amat gerun percubaan PAS dan DAP bekerjasama. Ia tiru politik BN tetapi ia boleh gugat monopoli kerajaan BN. Maka dia politikkan macam-macam supaya PAS dan DAP terus bermusuh.

Bila DAP dan PAS kerjasama juga bersama PKR, ia hilang majoriti dua pertiga BN di Parlimen tahun 2008. Semua usaha pecahkan PAS dari PR justeru politik Islamnya. DAP buat apa cara supaya Islam PAS kuasai Pakatan.

Mengapa? Justeru gerunnya kepada Islam yang PAS bawa. Mereka berjaya pisahkan PAS tetapi dengan kalahnya BN bertaawun pula PAS dengan Umno, suatu yang semua tidak pernah fikir dan ia berpotensi menjadi tenaga politik baru menjelang PRU15.

Maka ia menggerunkan sekalian penyokong PH. Apa yang digerunkan sangat?

Justeru Islam yang PAS bawa disambut oleh Umno. Sebelumnya takut Islam yang PAS bawa itu jadi seperti Islam yang diturunkan kepada Rasulullah SAW. Ketika itu Rasulullah SAW dikepung oleh semua, kerana gerunnya kepada Islam. Ia mulanya kecil tetapi Allah tanamkan gerun kepada musuhnya sejarak sebulan perjalanan.

Setengah orang Islam takut menzahirkan Islamnya justeru ia dikeliling musuh yang gagah belaka. Tetapi yang amat gerun ialah yang menentang Islam kerana Allah tanamkan ketakutan sejauh sebulan perjalanan.

Islam yang taawun bawa mungkin tidak segerun Islam di sisi Rasulullah SAW. Islamnya bebas pengaruh jahiliah. Islam kini banyak diselimuti gejala jahiliah. Mungkin Islam yang PAS bawa tidak sesuci Islam semasa Rasulullah SAW dan taawun itu disertai pula oleh Umno. Sekalipun ia tidak sesuci Islam zaman Nabi, tetapi Islam itu Islam. Gerun di zaman Nabi tetap ada. Jika dengan segala kelemahannya gerun itu tidak sejarak sebulan perjalanan, tetapi ia mungkin sejarak 20 hari perjalanan atau dua minggu perjalanan.

Maka inilah yang digelabah oleh semua tentang pendekatan taawun itu. Dan jika penerimaan Umno itu setara serba serbi dengan yang PAS kehendaki, maka kegerunannya boleh mencapai sejarak sebulan perjalanan seperti keistimewaan yang Nabi miliki dulu.

PRU15 paling cepat tiga tahun lagi. Setakat sebelas bulan ini amat banyak pincang kerajaan PH. Untuk tiba empat tahun nanti kemungkinan bobrokannya mengatasi kepincangan lapan tahun zaman Najib atau 60 tahun zaman BN.

Jika Islam yang taawun bawa itu tepat dengan kehendak Islam, tidak hairanlah semuanya gelabah.

Jika kita gerun dengan pincangan kerajaan baru, mereka lebih gerun dengan penyatuan ummah. Bukankah ini rahmat penyatuan ummah bersama Islam dengan berduanya PAS dan Umno? – HARAKAHDAILY 20/4/2019

RAKYAT seluruhnya memendam rasa dengan keperitan hidup dan perasaan selama di bawah pentadbiran Dato’ Seri Najib Razak selama sembilan tahun. Seperti mana pun dan seberat mana pun kos pembinaan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) antara Pelabuhan Klang ke Kota Bharu, menangis air mata darah semuanya apabila kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengumumkan membatalkan projek pelaburan China itu.

Sekalipun ERCL boleh mencekik rakyat dan berkemungkinan menggadaikan negara kepada penjajahan baru Tembok Besar China, ia adalah syurga buat negeri-negeri Pantai Timur – Kelantan, Terengganu dan Pahang yang terbiar selama penjajahan barat dan terabai di bawah keemerdekaan sejak 60 tahun lalu.

Walaupun Inggeris di zaman teknologi yang daif dulu berupaya mewujudkan sisten rel dari Gemas membelah belantara Pahang hingga ke Kota Bharu sekalipun tidak memberikan pulangan ekonomi dan pembangunan yang menguntungkan, tetapi ia upaya memenuhi tanggungjawab sosial.

Selama 60 tahun merdeka berbilion dicurahkan untuk pembangunan negara, tetapi wilayah Pantai Timur terabai mungkin justeru ia kawasan Islam berpotensi dan fobia Islam peninggalan barat tidak mahu Islam bangun.

Kerana Islam tidak upaya dicegah, sembilan tahun terakhir pemerintahan Barisan Nasional (BN) ia memberi perhatian juga untuk memajukan wilayah padat Melayu-Islam itu.

Kerajaan Najib tidak sabar melihat ia terbiar. Ada diskriminasi kerajan BN terhadap orang Pantai Timur dulu, tetapi Allah melimpahkan minyak dari darat dan laut bagi menguji keupayaan berlaku adil kerajaan untuk semua.

Saikologi kerajaan Najib sekalipun kos ECRL boleh menggadaikan kemerdekaan kepada kuasa asing, tetapi biar papa asal bergaya. Janji bumi Malaysia seluruhnya diliputi pembangunan material, hidup mati Melayu tidak penting, yang penting Malaysia jadi syurga pembangunan dunia.

Tun Dr Mahathir Mohamad dan PH tidak mahu Malaysia jadi macam Singapura lagi, wilayah maju tapi Melayu/Islam menumpang di bumi sendiri, tidak boleh terima Malaysia diserahkan kepada China melalui ECRL dan lain-lain pelaburannya.

Dibatalnya ECRL dan lain-lain supaya kemerdekaan dipertahan setakat mana yang boleh. Amat besar risikonya. Denda yang terpaksa dibayar kepada China tetap beban baik ERCL terus atau batal. China tidak import minyak sawit dan lain-lain lagi. Rakyat Malaysia marah kepada PH kerana ia menyekat syurga menjalar ke Pantai Timur.

Mengelak Malaysia lemas dalam minyak sawit yang tidak dibeli Eropah dan China, maka Mahathir runding teruskan ECRL dengan beberapa pindaan, elakkan jajarannya yang melibatkan perbelanjaan amat tinggi, elakkan ia masuk Kuala Lumpur, pintas ke Negeri Sembilan, Bangi, Kajang terus ke Bentong, dapat jimatkan RM21.5 bilion, China pulangkan RM3.1 bilion dan sawit diimpotnya semula.

Saya jahil tentang untung rugi pula memulau ekonomi yang China ugut itu. Orang tanya saya akan tindakan China itu. Sudahlah Eropah-Amerika pulau sawit dan lain-lain, China pula ikut semangkuk. Teresa Kok pula anjurkan rakyat banyak makan sawit. Biar cirit semuanya.

Saya kata, tindakan China itu sementara. Ia rugi jika lama putus dagang dengan negara yang ia boleh berdagang. Jika Eropah pulihkan boikot sawit, tentu China rugi besar. Dari bermusuh selama-lamanya, baiklah selesaikan gangguan sementara tentang harga ECRL.

Sekarang China setuju dengan kos baru projek, sekalipun ia hilang RM21.5 bilion, tetapi ia tetap raih untung banyak dalam dagangan jangka panjang.

Rakyat Pantai Timur khususnya kira mereka mati hidup semula. Balasan mereka untuk Mahathir, boleh terus jadi Perdana Menteri hingga PRU15. – HARAKAHDAILY 16/4/2019A