ANTARA yang menarik dalam pemerintahan baru Pakatan Harapan yang belum sampai enam bulan khususnya di Melaka dekat setengah dozen orang yang meninggalkan PAS beroleh Datuk pada hari jadi TYTnya, baru-baru ini.

Mereka itu rata-rata adalah menteri dan timbalam menteri yang sebelumnya tak terfikir berjuang politik untuk menjadi bangsawan baru.

Kata Perdana Menteri Mahathir tentang kemenangannya membentuk kerajaan baru lepas PRU14 lalu ialah dia tidak sangka menang. Maka tidak menyangka mereka hendak menjadi Datuk dalam masa yang segera.

Biasalah dalam sistem selepas merdeka orang politik yang menang pilihan raya dan memerintah dianugerah Datuk atau Tan Sri. Tetapi tidak secara beroleh Datuk kurang dari enam bulan menjadi menteri.

Lainlah bagi yang menjadi Menteri Besar atau Ketua Menteri, jawatan itu secara automatik membawa gelaran dan itu pun jika tuan badan bersetuju.

Lim Guan Eng dua penggal menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang elok saja tidak berDatuk. Dia meneruskan cara Ghafar Baba, sebagai Ketua Menteri pilihan rakyat yang pertama di Melaka terus tidak memakai bintang kebesaran itu hinggalah dia selepas berundur dari politik baru sedia diberi Tun.

Khir Johari mula menang pilihan raya tahun 1955, tak lama kemudian jadi menteri pelajaran, antara empat anggota kabinet Tunku boleh ke sana sini menggunakan pesawat TUDM. Mereka ialah Tunku, Tun Razak, Dr Ismail dan Khir Johari. Ertinya dia antara menteri kanan. Elok saja tidak berpingat memadai dipanggil Encik Khir dan Encik Ghafar.

Setelah sekian lama, setelah empat Perdana Menteri silih berganti, selepas bekas TPM Ghafar diberi Tun baru Khir menjadi Tan Sri.

Prof Diraja Ungku Aziz, Melayu pertama jadi Naib Canselor Universiti Malaya, hingga anaknya Dr Zeti sejak lama jadi Tan Sri, dia masih tidak berbintang. Bukan tiada raja hendak memberinya. Bintang yang diterimanya hanya Profesor Diraja, ada satu saja bagi universiti itu.

Adapun al-Marhum Sultan Abdul Halim di Kedah tidak menunggu rakyatnya jadi menteri dianugerahnya Datuk. Didapati baginda Ustaz Fadzil Noor dan Mahfuz Omar lama jadi pembangkang maka baginda beri bintang. Kali pertama, Ustaz Fadzil tolak dulu. Kali kedua tidak lagi dapat menolak. Mahfuz, lama sebelum keluar PAS dia sudah berDatuk.

Dan al-Marhum Tuanku Abdul Halim semasa menjadi Yang di-Pertuan Agong kali kedua, setelah melihat Menteri Besarnya Ustaz Azizan Razak tidak lagi jadi Menteri Besar terbaring di hospital kerana kedua-dua kakinya dipotong kerana kencing manis, lalu baginda menganugerahnya Tan Sri.

Adapun Melaka tidak bercontoh kepada cara Tun Ghafar Baba, biasa saja TYTnya bermurah hati memberi Datuk termasuk orang luar dari negeri Melaka. Dari dulu lagi orang yang ditarik Datuknya di Kelantan, TYT ganti Datuknya di Melaka.

Ia diuruskan di zaman PH ini. Ada Datuk di Kelantan yang Datuknya dilucutkan setelah Sultan Kelantan jadi Yang di-Pertuan Agong, diganti dengan Datuk baru di Melaka.

Tidak salah bagi mana-mana negeri memberi bintang kepada sesiapa yang hendak diberinya, tetapi bintang itu sesuai dengan khidmatnya khususnya di negeri yang memberi bintang itu.

Apa jasa setengah dozen orang dari luar Melaka kepada Melaka dalam masa lima bulan lalu. Boleh dikira Datuk itu dibolot oleh satu parti. Ia ada sedozen MP menang PRU14, separuh dapat Datuk Melaka.

Tidak salah, cuma luar biasa. – HARAKAHDAILY 23/10/2018

TELAH tular di kalangan DAP yang gagah di kalangan gabungan PH yang berkuasa mempertahan dan mahu membudayakan pesta arak setiap Oktober kerana arak bukan larangan agama yang dianuti DAP.

Apa hak yang kukuh bagi umat Islam membantahnya sedang Islam tidak menghalang lain-lain agama mngamalkan kepercayaannya.

Umat Islam tidak membantah bukan Islam Cina makan babi sebanyak-banyaknya dan tidak mengganggu suku India tertentu makan biawak sekenyang-kenyangnya kerana ia adalah makanan mereka. Orang yang kenyang babi tidak mengganggu orang lain.

Cuma yang orang Islam bangkitkan menternak babi di perkampungan semua kaum kerana najis dan pencemarannya. Kubang kerbau juga kotor, bukan najis berat – mughalazah, babi dan anjing - bagi semua. Tetapi bila ada bantahan kubang kerbau mengganggu penduduk, semua pihak wajar peka dengan bantahan itu.

Islam menjauhi babi justeru haramnya dan babi adalah keutamaan kedua bila Nabi Isa al-Masih diturunkan semula ke dunia. Pertama mengalahkan Dajjal, kedua memerintah membunuh babi di muka bumi.

Jika Singapura tidak mahu ada kandang babi, mengapa tempat yang ada Islam boleh ada kandang babi.

Apapun tiada larangan makan babi sebanyak-banyaknya dan berniaga babi. Tetapi arak boleh mengganggu orang lain. Pengaruh arak boleh mengancam keselamatan ibu bapa sendiri.

Peraturan jalan raya tidak melarang orang kenyang babi memandu, tetapi salah memandu bagi yang dipengaruhi arak.

Orang Melayu umumnya mengutuk Inggeris ketika masuk Tanah Besar China dua abad lalu menjamu candu murah kepada rakyatnya kerana ia membinasakan manusiawi bangsa Cina. Chairman Mao Zedung mengikut wartawan agung Mesir, Hasnain Haikal dalam bukunya, Cairo Document, menyediakan sebanyak-banyak dadah kepada ribuan tentera Amerika dalam perang Vietnam dulu bagi membalas dendam Inggeris menjamu candu kepada rakyat China.

Pemadat dadah soldadu Amerika yang pulang dari Vietnam mengedar dadah kepada seluruh penduduk dunia sekalipun perang Vietnam sudah selesai 40 tahun lalu tetapi penduduk dunia masih bergelut dengan perang dadah.

Mungkin apa juga jenis arak tidak buruk racun candu, tetapi pengaruh arak boleh menjadikan pemabuknya seperti babi menyondol apa saja.

Arak bukan benda yang disukai oleh pemimpin besar Singapura Lee Kuan Yew, penganut Kristian Cina dan pemimpin besar India, Jawaharlal Pandit Nehru, penganut Hindu. Kedua-duanya tidak meneguk arak. Bahkan Kuan Yew bangga menjadi seorang Puritan – non alcoholic, tidak berjudi dan bukan kaki betina.

Dari sudut itu Kuan Yew dan Nehru adalah jauh lebih bermoral daripada setengah pemimpin Islam. Bukan kerana Islam mereka menjauhi arak tetapi arak itu pemusnah kemanusiaan.

Mengapa Cina DAP dan India DAP tidak mencontohi Cina Kuan Yew dan Hindu Nehru menjauhi arak?

Adalah benar Kuan Yew tidak memerangi arak di Singapura dan Nehru tidak memerangi arak di India. Ia adalah kelemahan mereka sebagai pemimpin manusia di negeri masing-masing, tetapi mereka menjauhi arak.

Sepenuh tenaga Mahathir memerangi rokok semasa pemerintahannya, tetapi pengaruh DAP yang kuat seolah-olah menjadikan kerajaan barunya liberal dalam isu pesta arak Oktober.

Dasar pro arak DAP atas pesta itu menjauhkan parti itu dan parti sekutunya jangka panjang dari orang Melayu. Ia akan sendirinya memayahkan penyatuan bangsa Malaysia. Sebagaimana BN ditinggalkan bukan Melayu dan Melayu pula selepas Mahathir dan Anwar akan ditinggalkan orang Melayu.

Pesta arak antara pelan ahli kitab mengembalikan dunia ke alam jahiliah. – HARAKAHDAILY 19/10/2018

PARLIMEN Port Dickson telah ditawan oleh Anwar Ibrahim dalam PRK 13 Oktober lalu dengan undi besar dan majoriti besar.

Tahniah kepada Anwar dan lebih lagi tahniah kepada penduduk Port Dickson kerana beroleh wakil rakyat yang disebut-sebut untuk menjadi Perdana Menteri bila-bila masa sebelum PRU15 nanti.

Moga-moga dia tidak terhalang lagi.

Pada Anwar itu banyak benda yang mengejutkan. Bila dia mula jadi pemimpin Pemuda Umno dirampasnya kediaman rasmi Pesuruhjaya Tinggi British di Kuala Lumpur yang dihadiah Tunku Abdul Rahman semasa merdeka. Jadi milik negara semula.

Bila jadi Menteri Kewangan ditukarnya mata wang Malaysia dari ringgit atau dolar jadi Ringgit Malaysia dan simbol rasmi $ yang digunakan penjajah dahulu kepada RM.

Dan sekarang Port Dickson dia yang punya. Tapi nama kawasan itu nama penjajah. Antara kerja Mat Salih menama semula pekan dengan bapak-bapak Inggeris seperti Port Swettenham, Port Weld, Telok Anson, George Town, Jeselton dan Port Dickson.

Setelah merdeka tempat itu dijenama semula. Port Swettenham jadi Pelabuhan Klang, Telok Anson kepada Teluk Intan, Jeselton jadi Kota Kinabalu, Port Weld sudah tidak ada lagi, jika tidak silap ia jadi Kuala Sipitang semula. George Town yang jarang disebut dulu, lazimnya digunakan longhat Inggeris Penang, dimasyhur sebagai George Town apabila Gerakan-Umno menubuhkan kerajaan campuran di Pulau Pinang. Port Dickson tidak diusik.

Bila ia ditawan Anwar sekarang munasabah digantikan nama yang Mat Salih beri itu kepada nama Anwar kerana dia war-warkaan akan jadi Perdana Menteri dan kawasan itu kerana berwakilrakyatkan Anwar dan dia bakal Perdana Menteri, maka dirongrongkan dibangun maju sebagai kawasan termaju.

Demikian diharapkan tuahnya semasa kempen dahulu jika ia dimenangi Anwar.

Dan Anwar itu tidak sesuai kawasan pilihan raya yang mengekal nama bermomok penjajah dahulu.

Bolehlah nama baru itu mengambil nama Anwar yang dikira ada tuah dan rahmat, seperti sedikit sebanyak yang Permatang Pauh perolehi. Jika dia tidak mahu sempena namanya dipakai kerana dia bakal berkuasa dan semasa dia berkuasa, maka boleh dijanjikan dulu, bila dikosongkannya kawasan itu jenamakanlah Port Dickson dengan namanya.

Boleh dicadangkan dengan Pengkalan Anwar seperti Pengkalan Chepa, Pengkalan Berangan, Pengkalan Kubur dan lain-lain. Atau Pelabuhan Anwar seperti Pelabuhan Klang. Atau Permatang Anwar kerana dia datang dari Permatang Pauh. Bahkan di negeri asalnya Seberang Perai banyak guna nama permatang seperti Permatang Kucing, Pematang Janggus dan lain-lain.

Atau mahu nama kelasik iaitu Puri yang membayangkan kayangan seperi nama Angkasapuri kerana Port Dickson hendak dibangunkan sebagai wilayah syurga. Maka namakan saja Anwarpuri.

Di India banyak empat nama suku akhirnya Pur. Anwar tahu nama-nama tempat yang guna Pur. Boleh namakan Anwarpur. Tentunya ibu kota Malaysia yang guna Pur bagi Kuala Lumpur bukan justeru dipengaruhi oleh pendatang dari India.

Atau bagi Melayu purba menggunakan kalimah pura bagi nama bandar barunya seperti Inderapura nama negeri Pahang tua. Dan Temasik nama awal Singapura ditukar kepada Singapura mungkin orang masa itu sudah nampak potensi wilayah itu di akhir zaman.

Pura yang ada pada Singapura adalah bayangan pengaruh bandaran tempat itu. Maka munasabah ia diganti selepas ini dengan Anwarpura sebagai saingan keperkasaan Singapura justeru kehebatan Anwar. Tapi jangan gandakan kalimah itu hingga jadi Anwarpura-pura. Ia membawa maksud lain. – HARAKAHDAILY 18/10/2018

INNA lillahi wainna ilaihi rajiun. Saya terharu apabila dimaklum melalui WhatsApp Lebo – sebutan orang Perak bagi kalimah Lebar – meninggal dunia seminggu lalu.

Terharu yang tidak terhingga. Lama saya mencarinya untuk minta maaf atas tindakan saya atasnya lebih 60 tahun lalu, sebelum merdeka. Saya tampar dia tanpa sebab. Ayahnya dan emaknya tahu, mereka tidak marah dan tidak tanya sebab saya tampar anaknya.

Bila saya masuk PAS, ayahnya bawa saya ceramah PAS di rumahnya. Tapi saya tidak jumpa Lebo.

Lebo berusia 10 tahun. Saya masuk 15 tahun dikira sudah masuk usia berdosa. Iblislah yang menamparnya. Kerana yang menampar itu tangan saya, sayalah yang berdosa. Iblis berlepas tangan atas dosa saya.

Setelah berusia 60 tahun saya selalu teringat dosa menamparnya. Payah masuk syurga jika tidak diampunnya. Saya cuba cari dan pernah tulis dalam Facebook. Tiada kesan. Abangnya Sa’aya sudah mati. Kalau dia juga mati, maka jenuhlah saya mencarinya di akhirat untuk minta ampun.

Saya tidak ingat saya ada tampar orang lain. Berbalah ada, tapi pukul memukul tidak ada. Saya teringat Nabi SAW pernah minta maaf dari sesiapa agar memaafkan keterlanjurannya jika ada dengan membalas seperti yang dilakukannya. Tampar balas tampar, pukul balas pukul. Seorang sahabat mendakwa pernah perutnya dicucuk baginda. Dia minta membalasnya pada perut baginda dengan baginda membuka baju bahagian perut. Semua membantah sahabat itu. Baginda membelanya, ia adalah haknya.

Baginda mendedahkan perutnya yang mulia itu, sahabat itu tidak menunggu terus mencuim perut baginda.

Jika saya jumpa Lebo, saya sedia ditamparnya asal dosa saya terampun. Jika dalam usia lanjut saya ini saya mati dengan tamparannya, ia lebih baik daripada ditamparnya di akhirat.

Dua tahun lalu saya jumpa seorang yang mengaku bersadara dengan Lebo. Dia panggil Nyah Lebo. Dia bagitahu Lebo tinggal di Kuala Lumpur dan berkahwin dengan orang Kampung Baru. Lebo sepupu Jid. Saya sepupu dengan emak Jid.

Beberapa minggu kemudian Jid menelefon saya bertanyakan betulkah saya mencari Nyah Lebo. Saya sahkan.

Jid kata, Lebo ada di depannya. Saya minta bercakap dengan Lebo. Saya tanya dia, adakah dia ingat saya pernah tampar dia sebelum merdeka dulu? Kalau dia tidak ingat, percayalah saya pernah tampar dia.

Dia jawab, dia ingat.

Saya nyatakan minta ampun atas kejadian itu dan sedia ditamparnya sebagai cara bagi menghapuskan dosa saya itu.

Jawabnya, ia kejadian masa kita budak-budak. Dia sedia mengampunkannya dan tidak perlulah dia menampar balas muka saya. Bahkan dia pula minta maaf jika dia ada melakukan kesalahan pada saya.

Ampun mengampun itu adalah sifat mulia orang Islam. Jika sebelumnya saya rasa seperti memikul dosa sebesar Bukit Uhud, maka dengan pengakuan maafnya itu moga-moga terlepaslah saya daripada beban yang terpikul selama lebih 60 tahun.

Saya terkilan kerana tidak mengambil berat mencarinya selepas itu. Kira-kira dua tahun kemudian saya dimaklumkan kematiannya. Amat mengharukan. Kita doakan rohnya ditempatkan bersama orang-orang yang bahagia kerana mengampunkan dosa orang lain mendapat ganjaran pahala yang besar.

Tentunya kita semua berdepan belenggu dosa yang banyak kepada ibu/bapa dan sekalian manusia. Tiada cara bagi melepaskan dosa dan hutang yang banyak itu melainkan berikrar menghapus dosa sekalian manusia kepada kita dan menghalalkan hutang sekalian manusia kepada kita. – HARAKAHDAILY 13/10/2018

SAYA tidak menulis lebih awal tentang kemungkinan kemenangan Brother Anwar Ibrahim dalam PRK Parlimen Port Dickson kerana dia dijangka menang. Jika dia tidak menang samalah seperti kita tidak menjangka tsunami berlaku di Sulawasi.

Dia sepatutnya menang besar. Jika dia tidak menang besar, menangnya seperti menang PH dalam PRK Sungai Kandis dan Seri Setia, maka tiada ertinya kemenangan itu kerana dia adalah calon dunia di situ. Jika kemenangan itu seperti Sungai Kendis, dia dikira kalah.

Maka yang semua hendak lihat ialah banyak mana, berapa majoritinya dan banyak mana lebihnya dari undi PH dalam PRU di situ lima bulan dulu?

Dan PAS pula yang kemungkinan kalahnya lebih dari kemenangan, banyak mana undi yang diraihnya. Adakah sokongan yang diperolehinya seperti sokongan yang Nabi Noh dapat dulu juga.

Tetapi yang lebih fokus tentang PRK itu bukan siapa menang dan besar mana menangnya. Adalah benar justeru ia jadi kawasan pilihan raya calon Perdana Menteri dengan izin Allah. Jika ia ada apa berlaku padanya dan tiada apa berlaku pada Dr. Mahathir Perdana Menterilah dia sekitar Mei 2020.

Semuanya beranggapan kemenangan bakal Perdana Menteri itu akan memberi tuah sebesar-besarnya kepada pembangunan Port Dickson. Tanpa kawasan itu berwakl rakyatkan Perdana Menteri, maka Port Dickson akan jadi kawasan yang terbiar seperti kawasan hulu-hulu yang lain?

Jika PM menjadikan kemajuan ditumpukan ke kawasannya, maka semua mahu PM jadi wakl rakyatnya. Gerik, Pasir Salak, Keningau, Samarahan di Sarawak akan terus mundur kerana bukan PM wakil Parlimennya. Masing-masing menunggu Perdana Menteri jadi wakil rakyatnya.

Jika mentaliti yang ditanamkan kepada semua, seperti yang disumbatkan ke kepala pengundi di Port Dickson, nyatalah pemimpin PH yang ada sekarang termasuk Anwar dan Mahathir sama kolotnya dengan otak sekalian pemimpin BN yang dilensing itu.

Maju mundur Port Dickson mesti dimasukkan dalam pelan pembangunan negara yang merata dan saksama mengikut keperluan, lanskap geografi dan tautan penduduknya. Sudah berbelas rancangan lima tahun diadakan dan sudah macam-macam nama gagasan pembangunannya seperti DEB, Wawasan 2020, TN50 yang jadi asap sekarang, tentu dapat mengatur program kemajuan secara merata dan adil sekalipun anggota parlimen buta huruf.

Sebelum wilayah kita ada Perdana Menteri kerajaan Mat Saleh dirikan MCKK di Kuala Kangsar dan Maktab Perguruan Melayu di Tanjung Malim, Pangkalan Askar Melayu di Port Dickson. Ia tidak diadakan di Pulau Pinang, Ipoh atau Kuala Lumpur. Ahli sejarah boleh memberikan jawapan.

Pembangunan itu bukan kerana Perdana Menteri dari situ tetapi apa keperluan negara semasanya. Langkawi/Kuala Kedah jadi kawasan nelayan semasa ahli parlimennya Tunku Abdul Rahman. Langkawi melonjak semasa Dr. Mahathir yang tidak jadi ahli parlimen di situ. Dua kali Pekan dapat Perdana Menteri jadi wakil rakyatnya, pertama Tun Razak, kedua Najib. Tetapi Pekan tidaklah semaju Shah Alam dan Pulau Pinang.

Melimpahlah pembangunan itu ke Kubang Pasu semasa Mahathir jadi Pedana Menteri. Tetapi adil Padang Terap, Kuala Kedah dan Jerlun terbiar?

Port Dickson tidaklah lebih terbiar dari Tanjung Karang dan Kuala Nerus. Kerana hendak memajukan Port Dickson bawa Anwar ke situ atau kerana Anwar ke situ Port Dickson pun maju, maka itu bukan cara meratakan kemajuan dan pembangunan negara.

PM perlu menseimbangkan kemajuan kepada semua, bukan mensyurgakan Port Dickson saja. – HARAKAHDAILY 12/10/2018

SETINGGI-tinggi tahniah buat Datuk Bandar Kuala Lumpur yang baharu atas pelantikan ke jawatan yang berprestij itu dan selamat meneruskan perkhidmatan cemerlang yang sedikit sebanyak saya sebagai warga Bandar Raya Kuala Lumpur dapat tumpang limpahannya.

Setelah pelantikan itu kita sekalian dapat ikut pencapaiannya sebagai pegawai perkhidmatan dan di mana sahaja dia berkhidmat meninggalkan jasa dan layak dinobatkan sebagai jasawan.

Tapi yang paling menarik ialah ia mengingatkan kita semua tentang kejadian lebih 10 tahun lalu apabila dia menerima hadiah penyapu dari Meneri Besar Selangor ketika itu, Datuk Dr. Khir Toyo atas bidang perkhidmatan jabatannya.

Saya tidak berhajat mengupas sumbangan dan perkhidmatannya – berprestasi atau tidak. Tetapi tercatat dalam sejarah dunia mungkin untuk sepanjang zaman seorang penjawat awam dihadiah penyapu dan dia telah menerimanya di khalayak awam. Dipercayai tiada pemegang jawatan dianugerah penyapu oleh mana-mana pembesar sejak zaman Adam hingga ke penggal akhir perkhidmatan Barisan Nasional di Selangor.

Lepas itu BN tidak menang lagi di Selangor dan diragu akan berkuasa semula di Malaysia.

Di mana sahaja dia dihantar selepas itu, dikatakan berjaya mencapai perkhidmatan cemerlang dan kini diberi penghormatan jadi Datuk Bandar Kuala Lumpur di bawah pentadbiran Malaysia Baharu pimpinan Pakatan Harapan, sebuah pentadbiran yang menamatkan ramai pegawai awam – politik dan tidak politik. Dan seorang yang rakan seangkatannya sudah ramai bersara, sebaliknya dia diperlukan perkhidmatannya.

Lebih 60 tahun lalu saya membaca buka yang dibekalkan oleh penjajah ke sekolah-sekolah Melayu yang tajuknya seingat saya Pelbagai Ceritera.

Antara yang dihikayatkan tentang Tuan Penyapu, seorang pentadbir tertinggi Belanda di Melaka. Bila dia lalu di mana-mana di Negeri Melaka sekalian anak jajahan – orang Melayu – menyapu sampah di mana sahaja mereka berada baik di tepi lorong kenderaan Tuan Penyapu itu lalu atau di kawasan rumah masing-masing yang boleh dilihat oleh Tuan Penyapu itu.

Orang Melayu dahulunya ke mana-mana berkeris atau berparang yang diikat ke pinggang, tapi di zaman Belanda masing-masing berpenyapu. Bila dia lalu atau dia ternampak, dia mahu semuanya mesti menyapu. Dia tidak mahu ada sampah di mana-mana. Dia mahu semua kawasan bersih.

Siapa yang tidak menyapu akan didendanya.

Maka dia dipanggil oleh semua dengan Tuan Penyapu. Maka masyhurlah Melaka masa ada seorang Tuan Belanda yang dikenal semua sebagai Tuan Penyapu.

Saya tidak tahu apakah Khir Toyo menghadiahkan penyapu kerana ada tentang Tuan Penyapu Belanda di Melaka itu.

Datuk Bandar Kuala Lumpur yang baharu usah berasa malu dan terhina dengan anugerah penyapu kepadanya atas apa jua niat pemberi penyapu itu.

Kerana tiada di dunia dahulu dan sekarang dianugerah penyapu melainkan dia saja, terima saja seikhlasnya, bahkan cabaran itu yang melonjaknya dijadikan Datuk Bandar di tengah Lembah Kelang yang sampah menjadi masalah terbesar setiap masa dan ketika.

Bukanlah sampah itu sahaja yang jadi perhatiannya, tetapi terbanyak lagi sampah-sampah yang lain di bandar raya ini perlu disapunya. Jika tidak semua dapat disapu dengan penyapu yang ada padanya itu sekurang-kurangnya dapat menjadikan Kuala Lumpur wilayah yang tidak kotor sekalipun terbersih di dunia.

Penyapu iu bukan suatu yang hina. Simpanlah penyapu berhikmat di muzium peribadi yang mungkin dipamer dalam muzium bandar raya untuk perhatian semua. Bukan suatu yang hina jika selepas ini pegawai yang dihormati pula dikenali sebagai Datuk Bandar Penyapu, pembawa obor kebersihan/kecemerlangan. Amin! – HARAKAHDAILY 11/10/2018

SYUKUR kerana wilayah kita mulai jarak dari terjerumus ke dalam lembah fitnah ‘Darul Eljibiti’ yang bau busuknya melanda pada bulan-bulan awal pemerintahan Pakatan Harapan.

Bagi saya sekecil manapun benih Eljibiti itu tetap ia satu fitnah yang mengancam tamadun manusiawi. Meskipun ia melanda Las Vegas di belah sana muka bumi kita, gara-gara sepantas maklumatnya dibawa teknologi maya, sesaat itu bau busuk itu meliputi ruang rumah kita dengan segala kesannya mengancam kesejahteraan manusia di seluruh planet kita.

Bagi menyelamatkan manusiawi Bani Adam, Allah terbalikkan muka bumi Sodom dan Gemurah, lubuk bermulanya puaka Eljibiti di zaman Nabi Lut dulu, menjadi Laut Mati di pantai Jordan dan Israil sekarang. Hingga ke hari ini sejak lima enam ribu tahun dulu terselamat manusia daripada jadi binatang belaka.

Jika Darul Eljibiti dibenar wujud di bumi kita, jika kiamat lambat lagi, maka tunggulah tanah Semenanjung kita akan jadi Laut Mati yang kedua di dunia.

Justerunya saya mengingatkan perlunya kita melawan pembentukan Darul Eljibiti yang bakal menggantikan darul yang banyak di wilayah kita sekarang. Bila ia saya ingatkan hal itu dalam tulisan saya sebelum ini, lalu ramai yang melenting konon saya sudah katakan darul yang mereka diami itu sebagai sah Darul Eljibiti. Sehingga dikatakan saya menghina raja dan pemerintah atas darul tertentu.

Saya tidak kata mana-mana Darul, tetapi bila fitnah itu datang, ia tidak peduli raja, menteri dan mufti. Habis punah manusiawi masing-masing.

Memang semuanya runsing bila benih Eljibiti masuk sebaik masuk PH ke Putrajaya, ia mengepam supaya didaulatkan Eljibiti sama seperti daulatnya para raja dan kedaulatan sekalian rakyat yang berdaulat itu.

Seburuk-buruk BN dulu pekungnya rasuah dan merompak wang rakyat. Jembalang itu boleh diperangi sebagaimana PM Mahathir sedang memeranginya hingga ke akar umbi sekarang. Mungkin akan mengambil masa 25 tahun. Tetapi kerajaan sebelum ini membiar negara dirompak 60 tahun, maka membaikinya 25 tahun tidak sepanjang membiarkannya merompak 60 tahun.

Adapun wabak Eljibiti, Nabi Lut pun tidak dapat selesaikan. Terpaksa malaikat datang meranapkan wilayah itu.

Kebimbangan atas gejala Eljibiti tidak mengenal iman dan manusia dilayan oleh orang baru rasa jadi menteri. Diajak berunding dan diterima menembusi tembok JPM. Tembok Istana Negara saja yang belum.

Nabi Lut sudah layan mereka hingga sedia nikahkan puterinya dengan malaun-malaun itu. Malaun itu terkutuk belaka sedang puteri Nabi Lut itu suci. Tapi Nabi Lut sedia serahkan anaknya asal mereka tinggalkan nikah sejenis. Tawaran nabi mereka tolak. Maka kita tidak tahu apa budak-budak Harapan boleh buat jika Eljibiti dapat tegakkan darulnya.

Kita setuju mereka mesti dilayan tapi layanlah sebagaimana melayan komunis termasuk yang menyerah diri, melayan penagih dadah, orang-orang lain yang rosak akhlak. Mungkin Puan Fuziah Salleh boleh menyantuni tanpa melayannya seperti melayan bumiputera yang hendak membaiki ekonomi dan pendidikannya.

Kebimbangan itu reda apabila PM Mahathir kata ia tidak akan dilayan bak hak istimewa orang Melayu. Brother Anwar Ibrahimpun umumkan kahwin sejenis tidak diterima. Hubungan sejenis tanpa kahwin pun tak boleh.

Dengan jaminan Mahathir dan Anwar itu tiada kemungkinan Darul Eljibiti ditegakkan sehingga PRU15 nanti. – HARAKAHDAILY 9/10/2018

AURA dan kehebatan Anwar Ibrahim sekarang mungkin mengalahkan aura mendiang Jeneral Jalut di zaman Bani Israil dulu. Tiada yang menjangka dia boleh dikalah. Seperti tiada makhluk manusia boleh mengalahkan Abrahah yang hendak meruntuhkan Kaabah di Tahun Gajah dulu.

Apa lagi antara tentera Thalut melanggar disiplin. Thalut melarang mereka minum air sungai lebih dari seteguk. Mereka minum sepuas-puasnya. Gara-garanya mereka tidak lalu berperang.

Tetapi Thalut membawa kanak-kanak Daud. Semua tidak berani menentang Jalut, Daud minta kebenaran menentang Jalut satu lawan satu. Mana mungkin kanak-kanak berhingus boleh mengalahkan Jalut yang gagah perkasa? Tetapi Daud melepaskan satu lastik, pecah kepala Jalut.

PAS dan lain-lain calon tidak membawa Nabi Daud dalam PRK Port Dickson pada 13 Oktober ini. Justerunya sukar meramalkan Anwar boleh dikalahkan. Anwar hanya boleh dikalah jika PAS membawa Daud.

Itulah tamsil politik yang kita dapat agak tentang pencalonan Anwar pada PRK itu. Saya tidak meletakkan Anwar dan Pakatan Harapannya setempat dengan tempat Jalut, pada sifir politik demokrasi zaman ini demikanlah perkasanya aura Anwar payah dikalahkan apa lagi dia memilih medan yang lebat penyokong partinya dalam PRU lima bulan lalu.

Jika dia ditakdirkan kalah, ertinya ada elemen Daud dan lastiknya dalam PRK Port Dickson dalam penentangan terhadap Anwar dan PM Mahathir.

Sekalipun semua bacaan politik adalah memihak kepada Anwar, termasuk reaksi Tuan Guru Haji Abdul Hadi sendiri, tetapi sukar itu tidak semestinya dia tidak boleh dikalahkan. Anwar hanya boleh dikalahkan dengan izin Allah.

Masa depan itu hanya diketahui Allah, maka yang kuat jangan merasa sedap yang membuak hingga terasa dia tidak boleh dikalahkan seperti arnab yang yakin ia tidak boleh dikalahkan sang kura-kura.

Yang kuat biasanya menang. Hanya yang kuat yang sombong boleh kalah kerana yang sombong itu tidak disukai oleh semua. Yang sombong saja menyukai yang sombong.

Kerana Anwar diyakini menang, mengapa dia mesti dicabar dalam PRK itu? Yang menyuruh menentang yang kuat yang dirasakan batil ialah perjuangan. Perjuangan tidak mengenal kekalahan. Tidak berani menentang yang kuat itu adalah menyerah kalah. Pejuang tidak pernah menyerah kalah.

Dalam perang ada kalah dan ada menang. Jika kuat menentukan kemenangan Rasulullah SAW tidak memimpin Perang Badar justeru musuh kuat dan ramai. Islam tidak menentang Rom dan Parsi kerana kedua-duanya kuasa besar. Tetapi demi perjuangan dan jihad baginda SAW menyertai konfrontasi itu.

Jika tidak kerana jihad dan perjuangan PAS tidak menyertai pilihan raya lagi setelah dapat satu kerusi saja dalam pilihan raya tahun 1955. Kerana tidak putus asanya menentang yang kuat, ia menang di Terengganu dan Kelantan PRU 1959.

Allah mewahyu kepada Nabi SAW, yang memanah dan membunuh musuh dalam Perang Badar bukan mujahidin tetapi Allah.

Firasat Tuan Guru Nik Abdul Aziz, kemenangan PAS dalam PRU 1990 di Kelantan, seolah-olah adanya kerjasama makhluk di bumi dan makhluk di langit. Yang memangkah bukan penyokong PAS tetapi ialah kuasa Allah.

PAS tidak menentang Anwar secara peribadi di Port Dickson tetapi menentang kumpulan parti yang menentang RUU355. Jika ia berjaya mengalahkan Anwar ia bersyukur dan jika tidak berjaya ia bersabar.

Dari mula PAS tidak bermusuh dengan Anwar, tetapi Anwar memilih untuk tidak bersama PAS. – HARAKAHDAILY 8/10/2018

BEGITU banyak kawasan yang PKR menang selesa dalam PRU14 Mei lalu, dia pilih Port Dickson sebagai kawasan Parlimennya yang baru menggantikan Permatang Pauh yang jadi pangkalan politik pertamanya.

Anwar Ibrahim memilih Port Dickson itu tidaklah jadi isu tetapi mengapa dia pilih Port Dickson? Belum ada penjelasan tetapi ia pun tidak memberlkan penjelasan.

Cuma begitu banyak MP PKR yang sedia menyerahkan kawasannya, dia pilih Port Dickson. Maka itulah orang hendak ketahui.

Soal tidak boleh menang tidak berbangkit. Kawasan-kawasan yang menawarkan kerusinya, jangankan Anwar. Asalkan PKR kayu reput pun menang.

Dia pilih Permatang Pauh tahun 1982 boleh difahami kerana dia datang dari situ dan kawasan itu dahulunya beranggota-parlimenkan ayahnya, Datuk Ibrahim Abdul Rahman.

Politiknya sebelum berpolitik dahulu adalah politik PAS atau mirip PAS. Orang PAS menyangka dia PAS dan orang Umno pun, mungkin termasuk ayahanda dan bondanya menyangka dia PAS. Punya kancingnya dia dengan Haji Zabidi Ali, MP PAS masa itu Tuhan saja yang tahu. Hingga orang tua itu tawarkan dia ambil Permatang Pauh.

Bila dia setuju diisytihar jadi orang Umno dan jadi calon PRU 1982 dipercayai dia diberi pilihan mana-mana kawasan di Kedah seperti Kulim Bandar Baru supaya tidak dilihat dilagakan PAS yang kancing dengannya selama ini. Permatang Pauh masa itu kawasan PAS.

Tetapi dia pilih Permatang Pauh. Pertama dia anak jati di situ. Kedua mungkin hendak tebus kawasan bapa yang ditewaskan di situ. Yang tewaskan bapanya bukan PAS tetapi Mustapa Husein dari Gerakan. Permatang Pauh diberi kepda PAS kerana perpaduan politik PAS-Umno zaman Tun Razak dulu. Mungkin itu justifikasinya memilih Permatang Pauh.

Tapi apa puncanya dia memilih Port Dickson?

Mengapa tidak pilih Lembah Pantai? Di kawasan inilah dia mula dikenali. Pertama dia berkubu di Universiti Malaya sebagai ketua pelajar. Kemudian di situlah pusat ABIM yang melonjakkan namanya ke seluruh alam.

Ia dekat dengan Putrajaya. Jika jadi Perdana Menteri tidaklah jauh berulang alik ke kawasan. Jika jadi MP Lembah Pantai seolah-olah setiap hari berada di kawasan. Kalau Permatang Pauh justeru sentimen kawasan bapanya, maka Lembah Pantai sentimen kawasasn anaknya, Nurul Izzah.

Mungkin perlu jaga masa depan MP muda PKR Lembah Pantai sekarang. Nilai Anwar jadi Perdana Menteri macam-macam boleh diberi kepadanya. Sebelum jadi Perdana Menteri, selama Wan Azizah jadi TPM macam-macam boleh diberi kepadanya. Setiausaha Politik dan lain-lain.

Jika peletakan jawatannya dia tidak bertanding semula selama lima tahun dalam PRU15 nanti. Ia melibatkan parlimen saja, tidak Dun. Dia boleh diseludupkan jadi Adun Selangor. Kalau Exco Selangor pra PRU14 boleh dijadikan calon Setiawangsa di Wilayah Persekutuan dan budak Johor boleh dijadikan MB Selangor, tiada masah MP Lembah Pantai selepas letak jawatan dihantar ke mana-mana.

Orang Lembah Pantai pun akan naik semangat kalau Anwar jadi wakil rakyatnya. Mungkin macam orang Madinah, tidak terkira bersemangatnya bila Rasulullah SAW memilih tempat mereka distinasi hijrahnya.

Tetapi Anwar memilih Port Dickson. Dia sahaja tahu pilihannya. – HARAKAHDAILY 7/10/2018

SAYA tidak berhajat menyambung repek Mahathir tentang peranan PAS dalam perjuangan kemerdekaan. Buat apa dilayan perkara yang merepek.

Tiba-tiba saya terbuka buku Dr. Ismail Said bertajuk MENEGAK AGAMA MEMBELA BANGSA Perjuangan PAS 1951-1970. Lalu terbaca tentang antara ikhtiar Tunku Abdul Rahman Putra sebagai pemimpin baru Umno memperjuangkan kemerdekaan.

Dalam tindakannya itu ada pula nama orang PAS duduk dalam jawatankuasa khas terdiri beberapa parti politik yang diketuai Tunku. Disebutkan oleh buku itu tentang Kongres Kebangsaan 23 Ogos 1953 di Majistic Hotel Kuala Lumpur bagi membincangkan menuntut pilihan raya. Hasil kongres itu Tunku memimpin rombongan menuntut kemerdekaan.

Tunku dan Dato’ Onn berebut pengaruh bagi mendapatkan sokongan lain-lain parti bagi menguasai politik tanah jajahan Inggeris di Malaya. Mereka menganjurkan National Convention dan satu lagi National Conference. PAS menghantar wakil dalam dua-dua perjumpaan itu.

Dalam resolusi muktamar ketiga tahun 1954 PAS berkecuali terlibat dengan kedua-duanya tetapi menyokong mana pihak menuntut kemerdekaan. Ia juga setuju dalam tuntutan mengadakan pilihan raya.

Dalam jawatankuasa khas yang diketuai Tunku ada nama orang PAS iaitu Mohd Yassin Haji Salleh. Seorang lagi dari Umno ialah Dr. Ismail Abdul Rahman. Lain-lain anggota ialah Ahmad Haji Abdul Rahman, dipercayai PAS, Kol. H.S. Lee, Leong Yew Koh, S.M. Yong, Tan Siew Sin dan Ong Yoke Lin.

Mereka adalah orang-orang terlibat bersama Umno menuntut kemerdekaan. Walaupun (Dato’) Mohd Yassin tidak disebut dari PAS tetapi namanya disebut sebagai calon PAS di Semantan, antara 11 calon dalam pilihan raya 1955.

Memang Dato’ Mohd Yassin pernah jadi Pesuruhjaya PAS di zaman pimpinan Dr. Burhanuddin al-Helmy. Jika saya tidak silap beliau adalah bapa kepada Tan Sri Kamarul Arifin, seorang peguam Umno yang pernah menjadi Pengerusi Bank Bumiputera.

Sekalipun dalam politik tidak bersama Umno tetapi tidak boleh ditolak peranannya dalam tuntutan kemerdekaan melalui PAS.

Malah sebelum Dr. Mahathir terlibat dalam politik, sebelum masuk universiti, Dato’ Mohd Yassin sudah tersenarai sebagai pejuang kemerdekaan.

Semasa Jepun bersetuju untuk menyerahkan kemerdekaan kepada Dr. Burhanuddin, Dato’ Mohd Yassin disenarakan sebagai menteri dalam kabinet Dr. Burhanuddin.

Masa itu Umno belum ada dan Dr. Burhanuddin belum jadi pemimpin PAS. Tetapi Dr. Burhanuddin sudah dikenali sebagai pejuang dan pemimpin kemerdekaan.

Sejak sebelum Jepun beliau sudah menyuarakan kemerdekaan daripada British. Setelah Jepun melanda Tanah Melayu, British tinggalkan Tanah Melayu tanpa senjata. Dr. Burhanuddin menyambung tuntutan kemerdekaannya daripada Jepun melalui proses perundingan.

Mungkin ini pertama kemerdekaan itu boleh dicapai melalui perundingan. Kerana Jepun semasa datang berjanji untuk membantu Malaya merdeka. Dr. Burhanuddin menagih janji Jepun untuk memberi kemerdekaan.

Panglima Jepun di Saigon bersetuju menyerahkan kemerdekaan kepada Tanah Melayu dan menjadikan Dr. Burhanuddin sebagai Perdana Menteri.

Beliau diminta membentuk kabinet. Selain daripada Dato’ Yassin, senarai kabinet Dr. Burhanuddin itu termasuk Dato’ Abu Samah, kawan seangkatan Dato’ Yassin di Temerloh, Dato’ Onn Jaafar dan Dato’ Abdul Rahman Yasin, bapa Tun Dr. Ismail. Anak Dato’ Abu Samah, Tan Sri Hamzah adalah adik ipar Tun Razak.

Saya tulis lagi hal ini kerana saya terbaca fakta tambahan betapa PAS adalah sebahagian daripada pejuang kemerdekaan.

Mahathir patut belajar sejarah ini. Tetapi dia mesti berguru. Tanpa guru dia akan dapat sejarah sesat. – HARAKAHDAILY 30/9/2018

tegak

ISLAM bermula dengan Nabi Muhammad SAW. Bermulanya bagnda menjadi Islam dan Rasul dengan al-Quran dan membacanya dengan perantaraan malaikat Jibril. Disuruhnya Nabi SAW membaca! Apa yang hendak dibaca?

Iqra dan beberapa ayat lagi. Baginda hafal dan malaikat pun pergi tanpa memberitahu dengan itu baginda ditauliahkan menjadi nabi dan rasul.

Lahir saja bayi Islam sebagai persiapannya menjadi Islam diazan dan diiqamahkan ke telinganya. Kemudian baru disusukan.

Sebelum kedatangan Peringgi menjajah umat Islam di Tanah Melayu apa ada pinangan atas anaknya, perawan atau janda, bukan yang ditanya kaya miskinnya, bangsawan atau orang biasa, tetapi sudah khatam al-Quran atau belum.

Yang disebut itu kira-kira keutamaan bagi Islam dan menjadi Islam. Iaitu al-Quran dan yang bersangkut dengannya. Makan kemudian. Kehidupan pun kemudian. Bahkan solat sebagai tiang Islam datang kemudian.

Maka apabila umat Islam dihadapkan dengan tahfiz, apa reaksi dan keutamaannya? Mestilah pro! Sokong dulu. Jangan pertikai dulu! Jika yang ada hanya sekupang, bagi sekupang. Jika tidak berduit sangat bagilah kata-kata perangsang dan penghargaan.

Mungkin yang datang mnta bantuan mendirikan sekolah tahfiz demi keperluannya mendapat dadah. Jangan bersangka buruk dahulu, kerana yang meminta itu mungkin malaikat.

Berfikiran positiflah terhadap al-Quran dan segala sesuatu yang hendak membesar dan mengembangkan al-Quran. Berfikiran positif itu adalah bisikan malaikat.

Jangan sekali-kali bersangka negatif. Negatif itu lazimnya bisikan iblis. Jauhkan diri dari bisikan makhluk perosak.

Manusia diciptakan untuk jadi khaifah. Kerja khalifah ialah untuk membangunkan alam dengan Islam. Allah sediakan panduannya iaitu al-Quran. Jibril tidak bekalkan tajak, tukul besi dan simen kepada Nabi SAW. Tidak juga gandum dan kibas. Jibril sampai lima ayat Iqra dahulu bagi membebaskan umat dari kejahilan dan jahiliah.

Islam sebelum kedatangan Peringgi mengutamakan menantu khatam Quran. Islam selepas merdeka mahu seramai-ramai anak jadi hufaz. Tahfiz tidak termasuk dalam dasar dan falsafah pelajaran kebangsaan. Tunggu kerajaan, alif besar batang kelapa pun tidak kenal kerana belajar al-Quran dalam tulisan rumi.

Maka rakyat diri bangsal pisang sesikat di sana sini unuk anak-anak menghafaz al-Quran. Ada sekolah terbakar ada guru-guru dikatakan berkepala angin. Ada saudagar beri zakat hidupkan tafiz. Keperluannya besar.

Kerajaan adakan tahfiz sana satu sini satu. Ibu bapa mahu anak jadi hufaz lebih dari seorang dari setiap isi rumah. Tak kira belajar di mana – di bangsal panas atau bangsal pisang sesikat – yang jaminan keselamatannya sifar. Jika ikut syarat bomba semua tahfz akan tutup.

Ada orang Islam terpilih jadi khalifah. Sepatutnya khalifah fikir dan ikhtiar bantu semua pak lebai yang ada tahfiz dapat kemudahan serba serbi. Pakat para saudagar bantu dan lengkapkan keperluan semua tahfiz. Tinjau Raja Arab yang derma RM2.6 bilion itu bagi 10 peratus daripada jumlah itu nescaya semua tahfiz berhawa dingin.

Malangnya khalifah sekadar mahukan tahfiz sempurna, jika tidak nescaya ditutup. Khalifah Peringgi pun tidak senegatif begitu.

Khalifah umat patutnya gunakan kemudahan sempurnakan semua tahfiz di mana ada orang Islam, bantu pak-pak lebai wujudkan tahfiz yang diabaikan 60 tahun oleh kerajaan sebagai institusi penting dan sempurna dalam masyarakat.

Biar di sisi Allah khalifah itu lebih berdaya maju daripada pak lebai yang pro/cinta tahfiz. Jangan pak lebai tidak sekolot khalifah. Rugilah Islam jika khalifah tidak kenal antara anti dan pro. - HARAKAHDAILY 28/9/2018

AKHIRNYA setelah lima bulan berkuasa semula barulah Perdana Menteri bersuara tentang LGBT.

Tiada tempat bagi LGBT di Malaysia.

Jika dari awal Mahathir membuat pendirian itu tidaklah saham moral Kerajaan Harapannya merudum dalam pasaran umat Islam dan tidaklah menteri agamanya pada pandangan umum umat tidak dilihat seperti anak bapanya.

Sekalian juru bicara rejim baru mengaku segala sesuatu LGBT itu haram dan dikutuk, tetapi umum merasakan pengakuan sekadar di bibir, tidak datang dari hati. Sekalipun yang dikatakan itu dari hati, tetapi dari dolak dalik budak-budak Mahathir yang mengurus agama Islam ia tidak seperti datang dari hati.

Reaksi awal kerajaan baru Mahathir tentang puaka LGBT lebih kurang saja dengan suku sakat liberal dan suaranya adalah dendang liberal. Tidak tegas rejim lama atas isu serba liberal sudah menghampakan umat, dan rejim yang sepatutnya membawa berita gembira dikira lebih teruk daripada rejim lama.

Mungkin kerajaan tidak berniat begitu, tidak tegas dan tidak jelas kerajaan dalam tuntutan puaka LGBT itu menyebabkan umat Islam hilang kepercayaan kepada kerajaan baru. Ada percubaan untuk membetulkan, untuk memulih hati yang remuk bukan suatu yang mudah.

Persepsi orang beragama mengapa kerajaan tiada maruah atas LGBT dan tuntutannya, adalah Perdana Menteri dirasa di sebelah situ dan cenderungnya seolah-olah di situ.

Setelah lima bulan, mungkin kerajaan rasa uma Islam sudah hilang kepercayaan kepadanya, barulah bersuara Perdana Menteri, LGBT bukan suatu yang diterima di negara ini.

Moga-moga ia satu dasar yang diikuti dengan langkah tegas membendung dan membasmi amalan dan kepercayaan yang terkutuk itu.

Mahahir mesti buktikan dia bukan sekadar kata tidak setuju tetapi menunjukkan sikap benci kepada keparat itu.

Jangan jadi seperti dasar anti rasuah kerajaan selama 60 tahun berkuasa, tetapi rasuah terbiar hingga menjadi satu ciri budaya bangsa.

Mahahir mulai sekarang mesti kutuk sebarang idea dan kecenderungan LGBT barang sebesar hama oleh sesiapa saja.

Setakat ini dia belum diyakini benci kepada fikiran itu. Dia sekadar berkata puaka itu ditolak di Malaysia, kita tidak boleh ikut negara-negara lain yang mmbenarkannya.

Ia seolah-oleh tidak mengapa di negeri-negeri atas angin. Di Malaysia sahaja terlarang. Benda buruk seperti itu biar jangan ada di mana-mana. Mungkin kita berfikir kita boleh paksa masyarakat bukan Islam di negara tidak Islam berfikir seperti kita yang Islam ini. Tetapi gejala buruk kaum Lut jangan dibiarkan ada di mana-mana.

Mungkin kita kata Islam tidak boleh campur tangan dalam urusan orang kafir. Tetapi jika kita perhatikan sikap bangsa Amerika yang benci dan anti komunis, ia tidak sekadar serang idea komunis itu di dalam negerinya sahaja, ia pergi berperang menentang komunis di mana-mana saja.

Ia mesti ditolak bukan sahaja di negeri kita, tetapi di mana-mana saja. Semua agama menolaknya. Yang menghalalnya di Eropah bukan agama Kristian, tetapi penganut Kristian dan orang yang tidak beragama di sana.

Mahathir kenal Pope dan para padri. Dia kenal ketua komunis di mana-mana. Dia patut ajak pemimpin gereja dan pemimpin komunis besama-sama menentang gejala itu di mana-mana di dunia.

Bila kita benci kepada perangai itu, tidaklah kita hukum sekehendak hati orang-orang yang terjerumus. Tindakan diambil membendung dan memulihkan kemanusiaan mereka. – HARAKAHDAILY 25/9/2018