ALANG kepalang seronoknya Makhdum betapa Raja Saudi yang melawat Malaysia itu dikatakan hendak meniru pemberian BRIM kepada rakyatnya dan hendak mengadakan GST pula di negaranya.
     
Orang-orang yang menceceh hal itu di sini seperti Dr. Mahathir dan lain-lain hendak kata apa lagi.
     
Kata Makdum, kalau di negeri kita dikatakan rasuahlah! Menindas rakyatlah! Apakah Raja Salman merasuah rakyatnya dengan BRIM dan menindasnya dengan GST?
      
Bagi Makhdum yang seronok itu, kita tanya bila Saudi ada pilihan raya? Rajanya hendak rasuah politik apa sedang kerajaannya tidak pernah diundi.
      
Yang ditempelak rasuah itu ialah BRIM itu mula diperkenalkan menjelang PRU lalu. Tahun berikutnya, PRU belum diadakan lagi diberi sekali lagi.
      
BRIM yang pertama dulu di kebanyakan tempat diberi di majlis-majlis anjuran Umno. Seganlah si miskin yang tidak Umno hendak masuk ke kandang Umno. Sekarang dielokkan sedikit sistemnya supaya  tidak dilihat Unmo dan tidak dikatakan rasuah.
       
Mungkin pemberian di sini – niat dan sistemnya – kurang sah, tetapi di negara Wahabi itu sah. Bahkan berpesan Raja Wahabi itu kepada tuan rumah, memerintahlah mengikut syarah; berpesan kerana kebenaran dan kerana kesabaran. Jika pemberian ikut syariah tiada diraguilah sahnya.
       
Jika Raja Salman adakan BRIM, negaranya mampu dan berduit banyak. Dari beri derma RM2.6 bilion pada oang tak tentu hala buat apa duit itu, beri berbilion pada Mesir kerana dapat tumbangkan kerajaan Mursi, buang berbilion perangi Yaman, baiklah bagi pada rakyat berpendapatan kecil.
       
Negaranya berkecukupan dalam semua perkara. Tidak diketahui ia berhutang. Dengan duit berguni-guni tidak sewajarnya berhutang.
       
Biar jadi macam pemerintahan Umar Abdul Aziz tiada yang mahu terima zakat (BRIM), yang belum nikah diberi perbelanjaan nikah. Duitnya memang tak habis. Tak perlu Saudi tiru BRIM, tapi tiru apa yang Umar Abdul Aziz Berjaya hapuskan kemiskinan.
      
Apapun Malaysia yang memberi BRIM adalah ibarat berkain singkat. Tarik ke atas nampak lutut, tarik ke bawah nampak pusat. Bagi BRIM terpaksa batal subsidi. Bagi  bantuan peladang, potong geran pelajar di luar negara.
      
Dengan ekonomi jatuh, duit jatuh, harga barang naik, BRIM suatu yang menelan belanja. Ia diadakan bukan sangat kesian kepada si miskin, tetapi  cara baru mengekalkan kuasa.
      
Jika GST diadakan adalah kerana kerajaan tidak cukup pendapatan dan hilang banyak punca pendapatan. Ada yang komoditi jatuh harga, adalah duit dicuri dan ditipu, ada bayaran hutang terlalu besar dan  ada kerana rasuah menjolok ozon.  
       
Dengan GST beban negara dapat diringankan tetapi ia mendera rakyat seperti Firaun kerah rakyat bina piramid.
       
Tidak diketahui kewangan Saudi teruk hingga memaksa mengadakan GST. Sebagai negara kaya ia tidak perlu mencukai berat rakyat. Jika kekayaan negara-negara teluk membebaskan rakyat dari cukai pendapatan, maka teruklah ertinya kalau Saudi adakan GST.
       
Lainlah kalau pendapatan rakyat tinggi, GST tidak menjejaskan kehidupan rakyat. Sekalipun rakyat tidak terasa beban GST, ia mengancam umat yang naik haji dan umrah. Perbelanjaan haji akan naik. Sekarangpun sudah diancam dengan visa yang tinggi. Bila ada GST akan mnyebabkan penyimpan Tabung Haji menabung lama atau meninggikan caruman bulanannya.
      
Makhdum gembira Raja Wahabi hendak meniru BRIM dan GST, tapi sangka ia membetulkan tindakan kita yang tidak sah. Di Saudi ia sah, di sini belum tentu. – HARAKAHDAILY 4/3/2017

KELUH Baba Lim Kit Siang, jika TG Nik Aziz masih Mursyidul Am PAS, maka hubungan DAP dan PAS tidak jadi seperti hari ini. Yang jadi begini dipercayainya justeru pimpinan TG Presidennya, Haji Abdul Hadi Awang.
      
Di tengah kelam kabut revolusi Hang Jebat menguasai politik kerajaan Melaka dulu, maka mengeluh Sultan Melaka, jika Hang Tuah masih hidup, tidaklah Melaka jadi begitu.
       
Terdengar Bendahara akan keluhan itu seraya bertanya dia akan Sultan, jika Hang Tuah masih hidup bagaimana?
       
Bawa dia pulang! Nescaya politik Melaka baginda serah kepadanya. Tetapi Hang Tuah tidak dibunuh. Dapatlah Sultan lihat politik Melaka diselesaikan. Akan tetapi TG Nik Aziz sudah almarhum. Tak dapat dibuktikan  perubahan sikap terhadap DAP  justeru kemahuan Presidennya saja.
       
Keluh Kit Siang itu adalah andaian politik yang menarik boleh menghidupkan polemik tempur PAS dan DAP supaya petaka Pakatan itu diserahkan pada PAS saja dan DAP berlepas tangan. Andaian politik ada yang benar dan banyak tidak benar.
        
Sepanjang hubungan antara dua ulama itu sejak sebelum kedua-duanya jadi peneraju parti, adalah saling sokong menyokong. Sepanjang keduanya sebagai Mursyidul Am dan Presiden tidak terdapat tempur dalam perkara pokok, dan kiranya ada dalam perkara cabang.
       
Gerakan politik matang sudah bermula selepas PRU13. Pakatan tidak diharap dapat melonjakkan agenda politik Islam justeru DAP tolak kerana ia tidak termasuk hal yang disetujui bersama. Demi Islam PAS boleh bersama sesiapa dan demi Islam saja PAS tidak bersama DAP.
       
Mursyidul Am dikunjungi Menteri Jamal Khir Baharom, Dr. Asyraf Wajdi, PM Najib, TPM Muhyidin Yassin dan Zahid Hamidi singgah di wadnya. Bermula perbincangan kiranya enekmen kanun jenayah syariah II Kelantan dipinda, Parlimen sedia meminda RUU355. Perkembangan yang bermula di Kelantan ini tidak dibantah oleh Presiden.
      
Beberapa tahun sebelum TGNA meninggal bermula gerakan mempertikai kepimpinan ulama di Kelantan. Dari Kelantanlah tercetuskan NGO Pasma sebagai persediaan menggantikan PAS dalam Pakatan. Sasarannya ialah pimpinan Presiden dan Mursyidul Am dikecualikan.
       
Kencang sebut PAS mahu bersekongkol dengan Umno. Pimpinan TG Haji Hadi diserang. TG Nik Aziz jadi dua dalam satu dengan TG Haji Hadi. Dalam polemik itu saya terbaca kenyataan TG Nik Aziz, ‘Saya sekali saja mimpi melihat Nabi, Ustaz Hadi mimpi tiga kali.’ Sekalipun TG Nik Aziz uzur, saya terima kenyataannya, kedua-duanya adalah bagai aur dengan tebing. Tiada percanggahan dari sudut dasar dan matlamat, jika berbeza adalah pendekatan seperti berbezanya pendekatan antara Abu Bakar dan Umar.
       
Jika TG Nik Aziz masih ada tetap bersama TG Haji Hadi seperti yang Nik Abduh buat. Nik Abduh adik-beradik afdal mengimamkan solat jenazah TG Nik Aziz, tetapi mereka beri laluan pada Presiden. Solat ghaib Dr. Haron Din di Shah Alam diimami cucunya sedang TG Haji Hadi ada. Afdal imam adalah waris. Nik Abduh dengan TG Haji Hadi ibarat ayahnya sendiri. Tentu dia lebih tahu dari Kit Siang tentang ayahnya.
      
Kata Tian Chua dalam akhbar Cina, DAP percaya serpihan PAS dapat menjadi ganti berkesan PAS dalam Pakatan. Tetapi ternyata andaian itu, katanya, meleset.Tiada yang dapat menggantikan PAS.
      
Jika TG tidak almarhum lagi, dengan layanan dan penghinaan yang PAS terima, Beliau buat apa yang pimpinan PAS lain buat. Politik tinggi PAS kini, bukan Kit Siang saja  tidak faham, PM Najib pun tak faham. – HARAKAHDAILY 3/3/2017

DENGAN sedihnya diberitakan pembunuhan Kim Jong-Nam, abang tiri Presiden Korea Utara di KLIA-2  pada 13 Februari lalu.
      
Apa yang dikatakan atas tragedi itu ialah Inna Lillah Wainna Ilaihi Rajiun.
      
Sebagaimana reaksi spontan setiap umat atas semua musibah termasuk kematian atas sesiapa jua, maka ia adalah seelok-elok reaksi yang dapat diberi terhadap yang menimpa cucu Presiden pertama Korea Utara, anak Presiden selepasnya dan abang kepada Presiden  sekarang.
       
Dia pergi bukan dengan kehendaknya. Allah menentukan musibah begitu. Kerana ia berlaku di bumi Malaysia, umat Malaysia wajar sabar dan bertenang menerimanya, dan dengan mengungkapkan kata-kata Inna Lillah itu moga-moga kita tidak ditambahkan dengan musibah selanjutnya!
       
Ia bukan musibah keluarga dan waris Kim, tragedi bagi bangsa Korea Utara, bahkan ia bencana bagi Malaysia dan rakyatnya kerana ia berlaku di  Malaysia.
      
Doa dan harapan kita, pembunuhan itu tidak mempengaruhi hubungan diplomatik antara Malaysia dan tanah air mangsa sebagaimana hikmat kalimah Inna Lillah tadi, bahang seterusnya menjadikan kita ada ekoran musibah lagi.
        
Reaksi duta Besar Korea utara di sini menempelak layanan dan tindakan kerajaan dan polis menyiasat kes bunuh itu mengikut undang-undang di sini. Malaysia cuba dijadikan pihak yang bersalah atas  tindakannya, sedang Malaysia menerimanya sebagai masalah kerana berlaku dalam negara ini.
      
Cara kita menangani kes itu tidak dihormati. Ia mahu mayat disiasat bersama dan jika boleh serahkan mayat kepada kedutaan. Malaysia tidak boleh setuju. Banyak kerjasama yang diminta belum disetujui.
       
Setakat ini hubungan  kedua negara sudah jadi musibah lain selain dari musibah dia terbunuh.
      
Hasil penyiasatan awal tentang senjata yang digunakan ialah komponen senjata kimia yang sangat bahaya dan diharamkan dibawa masuk. Dengan penggunaan senjata itu, Malaysia terima satu lagi musibah yang kena lafazkan inna Lillah lagi. Musibah ini menambah masalah lagi buat negara kita.
       
Malaysia setakat ini hanya bermasalah dengan politik dalaman dan kerajaan yang tidak telus. Ia ada masalah keyakinan kepada kerajaan menurun. Masalah politik itu diselesaikan oleh pilihan raya saja. Bencana besar selain daripada banjir tidak ada. Keseluruhannya ia tenang.
       
Tetapi tragedi Jong-Nam ini boleh jadi satu mala petaka yang kini menjadi perhatian dunia. Dunia memang bermasalah dengan Korea Utara dalam banyak perkara. Tidak banyak masalah negara itu membabitkan kita.
       
Korea Utara diketahui memiliki pelbagai senjata nuklear canggih. Dia dipercayai mati kerana mukanya dicekup kain, setelah disiasat membawa racun kimia. Rakaman sulit menujukkan dua wanita menyekup mukanya. Keduanya sudah ditahan polis. Beberapa laki-laki yang disyaki terlibat sudah tiada dalam negeri antaranya seorang diplomat Korea Utara.  
      
Korea Utara ada  senjata itu. Yang terbunuh orang  Korea Utara, antara yang dapat lari pegawai kedutaan. Tiba-tiba didapati pula senjata kimia. Maka dunia boleh membuat syak.
      
Walaupun orang tidak yakin atas siasatan pelbagai skandal melibatkan pimpinan yang tidak banyak hasil, tetapi umum tidak pertikai ketepatan siasatan tentang Kim Jong-Nam ini .
       
Sebagai negara yang tidak banyak bencana alam yang besar, satu tuah kepada semua. Entah apa malangnya Allah timpakan kita dengan bencana perbalahan keluar pemimpin Korea Utara berlaku di Malaysia. Ia mungkin balasan terhadap perkara tidak telus. Maka musibah itu datang sebagai ujian dan amaran atas kepincangan masyarakat supaya diinsafi. – HARAKAHDAILY 1/3/2017