PUBLIK khususnya media tidak wajar Rahim Noor, Ketua Polis Negara yang dibuang dari jawatannya kerana melanggar undang-undang. Dia telah disabitkan oleh mahkamah.
      
Idak layak lagi dia memegang jawatan awam dan kesaksiannya idak oleh dipakai.
      
Habis mengapa media suka melayan keterangannya dan sekalipun atas nama kebebasan bermedia wajarkan seseorang yang dihukum mahkamah dilayan keterangannya? Wajarkah mana-mana orang yang dihukum mahkamah, baik berat atau ringan, seperti penyangak, perompak atau lanun dilayan keterangannya.
      
Yang terbaru media melayan keterangannya tentang kejadian Memali dan menempelak TG Haji Hadi sebagai pendorong tindakan Ibrahim Libya.
      
TG Haji Hadi tidak pernah didakwa mana-mana mahkamah atas apa jua pertuduhan tetapi Rahim Noor sudah disabitkan mahkamah hingga dilucutkan Ketua Polis Negara daripadanya.
      
Kesalahannya, dia mempelupuh DS Anwar Ibrahim yang dilucutkan dari Timbalan Perdana Menteri hingga separuh mati dan lebam mata.
      
Mengikut Islam, Rahim wajar diqisas dulu sebelum keterangannya boleh dilayan. Qisas itu bunuh balas bunuh, potong telinga balas potong telinga. Bagi yang membalun mata orang sampai lebam, maka dia wajar dilebamkan matanya.
      
Bawa dia di depan Anwar, biar Anwar tutuh dia hingga matanya lebam. Jika Anwar tidak terdaya kerana tenaganya tak kuat atau kesian, bolehlah Anwar memaafkannya sebagaimana dia memaafkan Dr Mahathir. Tetapi Rahim mesti bayar diat kepada si pemaaf.
      
Memandangkan Malaysia tidak memakai hukum qisas, maka sampai mati dan bangkit di akhirat Rahim Noor menanggung dosanya.
      
Kemudian media dan publik layan pula menempelak sesiapa yang disukainya begitu dan begini.
       
Sedar atau tidak kita pada masa ini ulama rasmi dan tidak rasmi seperti sekalian mufti serta tokoh-tokoh masyarakat berhempas pulas untuk mewujudkan gencatan senjata antara PAS dan Umno yang selama ini dipersepsikan sebagai paksi perpecahan umat Melayu dan Islam sejak merdeka 60 tahun lalu. Kerajaan bentuk badan bagi meredakan persepsi itu terdiri dari mufti-mufi dan lain-lain.
      
Tidak perkenannya Agong atas apa yagn dikatakan isu kafir mengkafir, maka dikeluarkan perintah membatalkan debat antara PAS dan UMNO melalui TV secara langsung. Setiausaha Agung UMNO tahun 80-an dulu, Tan Sri Sanusi Junid secara rasmi beri tajuk pada PAS, PAS kata UMNO kafir.

Betapa setianya PAS kepada dikri Agong itu, maka PAS tidak melayan tohmah kafir mengkafir itu jika dibangkit lagi oleh lawannya.
      
Dan sekarang PAS respons kepada seruan gencatan senjata oleh sang-sang mufti dan lain-lain. Maka PAS  mengubah pendekatan politik dari bertempur dengan Umno di mana saja kepada politik matang dan sejahtera – bangkang  apa yang wajar dan toleran apa yang patut.
       
Maka redalah tempur PAS-UMNO itu sekalipun PAS berdepan dengan fitnah besar gara-gara ia dikatakan bersekongkol dengan UMNO dan mempertahankan Najib dengan penyakit politik itu. Kerananya ada orang PAS menubuhkan parti baru. Tapi PAS tegas dengan politik matang dan sejahteranya.
       
Ketika orang Melayu/Islam mencari kaedah terbaik bagi meredakan politik tempur itu Rahim mahkamah hukum itu seolah-olah curah api dengan isu Amanat Haji Hadi yang boleh memanaskan semula tempur UMNO-PAS itu.
      
Ditempelaknya amanat itu dorong Ibrahim Libya jadi begitu. Jika itu puncanya mengapa tidak buru TG Haji Hadi, tetapi tahan ikan-ikan bilis seperti Mat Sabu, Mahfuz Omar, Bakar Chik dan Ibrahim Libya? Seperti mahu mengeruhkan semula orang Islam. - HARAKAHDAILY 27/8/2017

SURUHANJAYA Siasatan Memali yang PAS cadangkan sekarang bukanlah satu agenda politik bagi parti itu dalam era politik matang dan sejahteranya dalam beberapa bulan lalu.
      
Ia terjadi tiba-tiba setelah berbangkit soalan Memali yang belum sempat dijawab oleh Dr. Mahathir dalaam program Nothing to hidenya dan iupun kiranya Dr. Mahathir enggan berjumpa   dengan masyarakat Memali bagi majlis ampun mengampun antaranya dan waris kurban Memali.
        
Ramai yang mengira Suruhanjaya itu wajar demi mencari keadilan dan kebenaran termasuk bekas Timbalan Perdana Menteri semasa kejadian itu berlaku, Tun Musa Hitam.
       
Tetapi Tun Musa memberi rasional, ia wajar diadakan selepas PRU14, supaya tidak terburu-buru dan supaya tidak dilihat sebagai kerja politik. Beliau sedia memberi keterangan kerana operasi Memali itu adalah arahannya sebagai menteri dalam negeri.
       
Akan tetapi hal ini jangan dilambatkan sangat kerana orang-orang penting yang perlu diminta keterangan adalah tua-tua belaka dan uzur seperti Dr Mahathir, Tun Musa, TG Haji Hadi dan Datuk Yusuf Husain. Orang Memali yang terlibat pun sudah ramai yang tiada. Ajal masing-masing tidak dapat diagak. Eloklah semasa masing-masing masih ada.
       
Kedua, jika tunggu sselepas PRU14, takut kumpulan Dr Mahathir memenanginya. Jika Pakatan Harapan menang dan Dr Mahathir ada pengaruh besar, takut Suruhanjaya itu tidak diadakan. Jika ini yang terjadi hilang peluang mencari keadilan dan kebenaran dalam waktu yang terdekat.
       
Sekarang isu ini panas dan boleh mengganggu tumpuan kepada isu skandal 1MDB dan lain-lain kerenah Perdana Menteri Najib. Tumpuan sepatutnya di situ, tetapi bila Suruhanjaya Memali dipanaskan, maka isu yang lebih besar terlindung.
       
Akan tetapi isu Memali juga penting diselesaikan sedang masa masing-masing sudah tidak banyak. Keadilan dan kebenaran juga penting ditegakkan.
       
Apapun dalam mengendali keadilan Memali itu suruhanjaya itu mungkin pilihan utama. Yang aula adalah menyelesaikan sengketa Dr Mahathir dan pendudk Memali yang jadi mangsa. Sekalipun keadilan dapat ditegakkan melalui siasatan, dakwaan dan perbicaraan, tetapi ada kaedah lain yang orang Melayu/Islam terima pakai mendamaikan pihak yang bertelagah.
      
Mereka nama penyelesaian sallu ‘alan nabi. Persemukaan yang membangkitkan salah antara satu sama, tetapi masing-masing mengaku adalah melakukan kesilapan dan kesalahan lalu atas nama Allah dan Rasul-Nya mereka saling memaafkan antara satu sama lain dan sedia melupakan kelemahan masing-masing.
       
Dalam keadilan Islam ada yang dinamakan qisas. Iaitu bunuh balas bunuh dan luka dibalas luka. Hukumnya penting tetapi yang salah tahu akan kesalahannya wajib membayar diat jika mangsa dan warisnya memaaafkan.
      
Yang salah yang minta maaf akan kesalahannya adalah orang paling bagi menghadapi risiko dan sebarang balasan. Tetapi orang yang memaaf adalah oang yang paling mulia kerana memaaf itu ganjarannya syurga besarnya melebihi liputan langit dan bumi serta isinya.
       
Keutamaan bagi semua ialah bagi membebaskan semua orang dari sebarang dosa. Semuanya wajar diselesaikan sebelum mati. Mulialah sesiapa yang berjaya melepaskan seseorang dari dosa sebelum matinya.
      
Iblis akan kecewa jika Dr Mahthir dan watan Memali saling ampun mengampun sebelum semuanya mati. Maka jangan fikir membawa Dr Mahahir ke Memali demi memalukannya, tetapi ramai yang beroleh pahala jika dapat membantunya keluar dari kegelapan ke alam yang terang. Jika ini berlaku, Suruhanjaya Memali tidak diperlukan.
     
Inilah yang dinamakan menang di dunia dan menang di akhirat. - HARAKAHDAILY 26/8/2017
       
      

TIDAKLAH sah lagi Tan Sri Isa Samad, bekas Pengerusi Felda Global Ventures membeli hotel di London dan Kuching dengan harga melambung tinggi dari harga sepatutnya.
      
Dia baru ditahan dan direman dengan dakwaan demikian. Dan dipercayai akan dibicarakan dengan dakwaan begitu.
      
Cerita itu yang belum disahkan oleh mahkamah akan benarnya menjadikan saya terasa macam berada di alam Pak Pandir, satu dongeng rakyat yang lucu dan melucukan.
       
Watak Pak Pandir itu bila disuruh jemput Pak Lebai ditanyanya Mak Andih tanda Pak Lebai. Kata Mak Andih, yang berketayap putih di kepalanya. Dia balik membawa pipit uban yang kepalanya putih.
      
Bila dia membawa mayat anaknya ke kubur, mayat itu cicir di jalan. Selepas yang dikatakan mayat tadi dikuburkan dia balik. Tengah jalan jumpa mayat anaknya yang cicir nanti. Didapatinya mayat itu serupa mayat anaknya. Ujarnya, bukan Andih saja yang mati anak. Ada lagi lucunya, tetapi lelucuan Pak Pandir.
      
Bila kita tengok dua buah hotel yang dibeli itu dengan harga yang melambung tinggi dari harga pasaran, tidak masuk dalam fikiran dunia korporat tidak tahu harga sebenar hotel itu. Ketua FGV yang berada di alam korporat tidak boleh tidak tahu harga semasa sesuatu yang dibeli. Mesti dia tahu mahal atau murah.
       
Adat penjual mahukan mahal. Adat pembeli mahukan murah. Sesudah ditahu harga ditawar murah, ditawarnya supaya murah lagi.
      
Tetapi lucu Pak Pandir sebagai orang korporat, dia tidak suka harga yang rendah. Dia hanya akan beli benda yang sama jika dimahalkan. Apa lagi jika mahal yang berganda. Harga yang disetujui itu menyebabkan duitnya habis. Tetapi ikut gurindam masyhur orang Bota dan Belanja di Parit, Biyo pape asa begaye.
      
Itulah dongeng Pak Pandir yang mungkin sesuai buat dipakai kepada oang Melayu. Membeli mengikut lucu demikian, bukan saja baru atau sekali bagi setengah pembesar Melayu lama selepas merdeka. Yang masih panas dihebohkan sebelum ini tentang pembelian hartanah di Australia oleh Mara.
      
Dikatakan bangunan itu juga tinggi dari harga sebenar. Hingga dikatakan ada takwil dari masyarakat tempatan kerana cara pembelian demikian, justeru lucunya boleh mengacau nilai harga hartanah tempatan.
      
Ia jadi satu isu yang kita sedang tunggu khabarnya.
     
Moral dari isu itu ada persamaan antara pembelian hotel oleh FGV dan hartanah oleh Mara. Dua-duanya ada watak lucu Melayu Pak Pandir itu.
      
Watak suka membeli tinggi bukanlah yang pertama dan kedua oleh pembesar Melayu. Ada yang lebih awal lebih sepuluh tahun dulu orang Melayu membeli kapal selam dari Perancis untuk pertahanan Malaysia.
       
Harga yang disetujui dipercayai 500 juta dari nilai sepatutnya. 500 juta itu dikatakan baksis bagi syarikat orang tengah. Kalau hendak rasuah pun masakan sampai setengah bilion. Dua tiga juta sudahlah. Itupun, mungkin kecil, sudah curang namanya. Apa lagi baksis sampai setengah bilion.
       
Kes ini jadi buah mulut di Malaysia dan bagi Perancis ada fail dibuka kerana dikatakan berlaku kecurangan.
      
Tiga lucu itu sekadar yang diviral. Yang tersembunyi adalah banyak mana?  Semuanya memekung nama orang-orang Melayu dalam dunia berjual beli. Bodoh namanya kalau membeli murah. Bangga membeli kapal berkarat asal harganya tinggi.
      
Ia bukan Melayu Hang Tuah, tapi Melayu Pandir. - HARAKAHDAILY 23/8/2017

DR. MAHATHIR mulai dihadapkan dengan Suruhanjaya Siasatan Diraja (SSD) penyiasatan atas kerugian besar Bank Negara kerana berniaga mata wang asing semasa pentadbirannya dulu.
      
Dan mulai ada pandangan baru, banyak lagi Suruhanjaya Siasatan Diraja dibuat terhadapnya seperti kes Memali dan lain-lain.
      
Jika semuanya ditakdirkan berlaku adakah kerana label diktator yang baru dipanaskan oleh penyokong-penyokong Najib atau ia dasar pentadbiran baru Najib?
       
Cap diktator itu telah ada dulu tetapi ia daripada pembangkang. Sekalipun pemerintahannya keras. Segugus BN dan Umno merelainya, bahkan mereka mahu dia benar-benar diktator bagi yang penyokong degar Umno sekarang tuntut.
      
Yang keras sepertinya dulu memang boleh cap ia diktator, tetapi diktator yang tepat seperti yang dikatakannya, berkuasa sampai mati, hanya digantikan oleh anaknya, tidak meletak jawatan semasa masih popular dan segar, tidak menggunakan kabinet dan Parlimen sangat.
      
Nak dikata diktator tak berapa diktator sangat, nak dikatakan tidak diktator, tapi masing-masing cuak dengannya sebagai takutnya orang kepada diktator.
      
Jika dia diktator seperti Stalin, Ghadaffi dan lain-lain, kerajaan demokrasi dan berparlimen tidak membiarkannya lama bebas dan menikmati berbagai kemudahan kerajaan dan negara.
      
Jika hendak hidup senang selepas bersara saja logik yang rata-rata Umno suka, jangan kacau masa dan giliran pentadbiran orang lain. Buat saja seperti yang Tun Hussein Onn dan Tun Abdullah Badawi sebagai bekas pemimpin, tak peduli apa yang berlaku, diam, diam dan diam!
      
Sampai mati dan sampai kiamat dia dan keluarganya dapat nikmat kerajaan semasa. Jika dia diam, anaknya sudah jadi Menteeri Besar Kedah, dan ia adalah tangga memanjat ke puncak.
      
Tapi orang yang batang tubuh dan hati otaknya dijiwa politik dan pejuang seperti yang Tunku Abdul Rahman Putra buat selepas bersara, tidak dapat membisu atas yang dirasanya tidak wajar dan tidak normal.
     
Tunku pelupuh pentadbiran Tun Razak. Apabila diganti Tun Hussein dipelupuhnya juga. Ketika semua jongos kata Mahatahir sebagai PM yang kelas, Tunku saja yang terus membalunnya. Orang tak boleh buat apa padanya.
      
Lama juga Mahathir diam selepas Najib naik tocang. Macam-macam jawatan dan kemudahan diberi kepadanya, tapi dia macam Tunku juga, tidak dapat diamkan cacing menjolok mata. Selepas sindir tak jalan. Tegur tak jalan. Dia bangkit dan tentang.
       
Bukan dia tidak tahu diapun banyak penyakit dulu, tetapi penyakit tidak menghalangnya untuk berpakat dengan semua bagi meruntuhkan regim liat Najib.
      
Jika Mahathir itu jahat bagi jongos Umno sekarang sangka, kerajaan dan sistem pemerintahan tidak boleh biarkan Mahathir menikmati semua kemudahan. Bukan dasar dan keinginan Najib hendak membalun Mahathir seperti yang mulai dihadapkan kepadanya sekarang.
       
Tapi kerana Mahathir tak mahu diam, degil mengancam Najib dan Umno, maka baru mereka mula suruhanjayakan dia. Bisnes anaknya juga dikacau.
      
Mengapa Mahathir mereka kacau? Kerana Mahathir kacau mereka! Jika Mahathir redha dengan kepincangan yang ada, mereka biarkan Mahathir jadi sawa kenyang. Lambakkan sawa itu  dengan macam-macam rezeki.
      
Tetapi Mahathir sedia jadi habis segala-galanya. Menangis adalah biasa baginya, tapi menangis itu tidak akan menghentinya membangkitkan kelemahan Najib dan kerajaan. Tidak pelik jika dia sedia dipenjara. Itulah Mahathir. – HARAKAHDAILY 21/8/2017

SERANGAN saikologi yang terbaru yang PAS hadapi ialah ia dipuji Perdana Menteri Najib atas isu ia berjumpa Pengerusi 1MDB, Arul Kanda Kandasamy bertanyakan suasana yang sebenar atas skandal terbesar negara itu.
     
Rombongan PAS yang dipimpin Tuan Ibrahim Tuan Man itu dikatakan oleh media berpuas hati atas apa yang berlaku. Apa yang Tuan Ibrahim sampaikan ialah memahami masalah itu sebagai nasi yang sudah jadi bubur.  Bila nasi sudah jadi bubur, orang tidak dapat makan nasi lagi, tetapi berpuas hati dengan makan bubur saja.
      
Malaysia tidak dapat apa manfaat dari duit yang bergeti-geti dilaburkan, hanya dapat bubur yang tidak mengenyangkan sesiapa.
      
Maka itu mesej yang PAS beri. Ia memahami keadaan. Bersediakan semua menghadapi kesannya.
      
Maka ramailah orang menempelak saranan PAS itu terutama pihak yang hendak mengambil kesempatan atas kedudukan PAS yang berbalah dengan sekutunya sesama pembangkang dan oang-orangnya yang mengambil kedudukannya dalam pakatan pembangkang dulu.
      
Jika mereka tidak  tempelak PAS pun, PAS tetap dapat simpati lagi dari mereka. Dalam kekeliruan itu PM Najib pula memuji apa yang PAS buat, kerana dikatakan telah berpolitik matang dan tabayyun, pergi menemui 1MDB, membuat penyelidikan, minta penjelasan dan menyarankan ia memahami nasi yang jadi bubur itu.
      
PM memujinya dengan kerana PAS  dikatakan memahami masalah 1MDB itu. Memahaminya bukan bererti seronok dengan petaka itu, tetapi yang ironinya, PAS memahaminya, takut PM  sendiri  tidak memahaminya. Semua oang kata, 1MDB adalah puaka,  sebaliknya PM dan UMNO kata, tak apa-apa.
       
Biarkanlah PM dengan dalih, versi dan persepsinya. Tetapi kata-kata senang dan puji dari Najib dan UMNO  itu boleh menjadi serangan yang lebih payah bagi PAS, kerana ia adalah seteru politik PAS terpenting sejak PAS ditubuhkan tahun 1951.
      
Sekalipun bagi politik duniawi, tiada sekutu kekal dan tiada seteru politik yang kekal, tetapi bagi sebuah jamaah Muslimin, jamaah yang sekular adalah seteru sepanjang zaman.
     
Falsafah yang Islam fahami, selagi Islam dan Nabi Muhammad dimusuhi Yahudi, ia sintum Islam berada dalam kedudukan yang betul. Tetapi kalau Yahudi memuji Islam dan Muhammad SAW maka ada yang tidak kena pada Islam.
      
Dari sejak Dato Asri, Haji Yusof Rawa, Ustaz Fadzil Noor, TG Nik Aziz hingga ke zaman TG Haji Hadi sentiasa mengingatkan, jika terus mengecam dan memusuhi PAS atau mana-mana jamaah Islam, maka ia tanda kita berada di tempat yang betul, tetapi apabila musuh memuji dan merasa senang dengan kita, berwaspadalah takut ada yang tidak kena pada kita.
       
Musuh lazimnya tidak akan senang sekalipun dalam keadaan yang baik, tetapi musuh amat senang apabila kita dalam keadaan yang lemah.
      
Usah kita ibaratkan PAS dan UMNO seteru dalam agama. Ambil keduanya seteru dalam politik. Tetap tabienya sama, sesama bermusuh. Tidak dipertikai kekentalan PAS semasa menghadapi cabaran Pemuda Tahan Lasak.
      
Tiada diragu perpaduan PAS menghadapi tekanan perit di zaman Mahathir. Tetapi PAS goyang apabila disenangi Tun RAzak. Bila Najib/Zahid puji PAS melangit, menyebabkan ada orang PAS curiga dan tuang dari PAS.
       
Apapun PAS jangan lari dari berpolitik matang seperti yang Najib kata bertabayyun. Kata betul pada yang betul dan kata tidak pada yang tak betul. Tetapi mesti waspada bila sentiasa dipuji musuh. Ia lebih susah dari musuh keji. Demikianlah susahnya politik. - HARAKAHDAILY 17/8/2017

PENAHANAN atas Pengerusi SPAD Tan Sri Isa Samad oleh SPRM bukanlah satu berita yang patut digembirakan termasuk SPRM sendiri. Ia satu tindakan berat yang melibatkan orang kenamaan, yang semua patut muram.
      
Dia ditahan kerana dikatakan ada peranan dalam pembelian hotel di England dan Kuching dengan harga yang tinggi, lebih daripada harga sepatutnya semasa menjadi Pengurusi Felda Global Ventures dulu.
      
SPRM pun bukanlah suka sangat menangkap orang besar, tapi demi tugas, negara dan profesionalnya. Sekalipun ia berita muram, tapi orang boleh berbangga pada SPRM zaman ini kerana berani menangkap jerung, sama seperti masa Tun Dr. Ismail jadi Timbalan Perdana Menteri dulu.
      
Selepas itu persepsi semua SPRM atas apa jua nama pada agensi pencegah rasuah itu adalah untuk ikan bilis saja. Di tengah gawat isu 1MDB, ada kecenderungan SPRM merdekakan jerung asal bukan mengaitkan 1MDB. Dengan tindakan atas Isa Samad itu SPRM buktikan ia tak  takut  pada jerung.
       
Jerung itu banyak. Banyak juga berstatus jerung sudah direman. Ini boleh dikira SPRM sudah lepas dari fobia cuak jerung.
      
Jerung pun ada rajanya. Dan rajanya pun banyak. Raja jerung saja yang belum diambil SPRM. Apabila sampai ketika raja jerung juga berani diambil, maka barulah SPRM benar-benar merdeka, bukan lagi seperti yang terdapat di dunia ketiga.
      
Apapun TS Isa baru ditahan dan pertuduhannya akan kita ketahui. Seperti biasa ke mahkamah dulu dengan pakaian lokap untuk direman hinggalah dibicarakan.
       
Orang yang dituduh belum dikira orang bersalah. Dia masih orang tidak bersalah hinggalah mahkamah membukitkan bersalah. Maka wajarlah semua menghormati sistem mahkamah kita, tidak beranggapan  tidak baik terhadapnya hingga mahkamah membuat keputusan. Bagi sekalian yang terharu, pasanglah harapan supaya dia dibebaskan kerana banyak juga kes yang dituduh dibebaskan.
      
Apapun Isa bukan kali pertama dihadapkan kes rasuah. Dia pernah didapati bersalah oleh jawatankuasa disiplin Umno kerana rasuah politik dan telah dihukum. Kerana jawatankuasa disiplin Umno bukan mahkamah, Isa tidak dilihat jenayah. Ia tidak jenayah dan ia boleh pegang jawatan awam.
      
Pada moralnya, baik ia diputuskan oleh mahkamah atau apa institusi jua, yang tidak bermaruah itu adalah sama tidak bermoral juga.
      
Jika kerajaan kita adalah bermaruah baik politik dan integritinya, maka Isa patut dijauhkan daripada mana-mana badan awam. Tetapi pengaruh masyarakat kita yang merosot maruahnya, tidak mengambil kira berwaspada atas persoalan maruah.
      
Berwaspada kepada orang yang ada rekod moral, bukanlah seolah-olah tiada peluang kedua baginya, tetapi bagi berwaspada tidak berulang perkara maruah itu dan kerajaan dan sektor awam. Risiko sentiasa ada, anjing yang tidak makan tahi, tapi apabila jumpa tahi ia hidu juga.
     
Jika dia dibiarkan menjalani hidupnya sendiri sebagai orang awam, bukan pemegang jawatan awam barang kali dia tidak terdedah dengan godaan dan fitnah.
      
Pengalaman huduh pertama seseorang kebarangkalian atas kelamahannya, tetapi apabila berulang kelemahan, ia tidak lagi kelemahan dia saja, orang yang mendedahkannya kepada godaan dan fitnah, lebih berhak disalahkan.
      
Rakan-rakan Isa tidak belajar daripada kesilapan Isa dulu, boleh dikira menyusahkan lagi kehidupan Isa dan keluarganya. Jangan tuding Isa saja, tetapi siapa yang merosakkannya? Sistem di sekelilingnya. – HARAKAHDAILY 16/8/2017

TIADA makhluk - manusia dan malaikat - kata projek sistem rail dari Lembah Klang ke Kelantan di bawah ECRL yang dibiayai China merugikan negara dari segi ekonomi, pembangunan dan kemajuan.
      
Semua setuju ia bukan menguntungkan Malaysia saja, bahkan ia menguntungkan China. Hingga beratus tahun selepas PM Najib dan menteri pengangkutannya, Datuk Seri Liow Tiong Lai mati ia akan memberi untung besar kepada Malaysia sama seperti untungnya Tanah Besar China  dengan Tembok Besar China yang dibina ribuan tahun dulu.
       
Tetapi jadahnya mengapa acara pecah tanah projek itu yang dihadiri oleh PM Najib tidak diserikan dengan bahasa rasmi negara yang diperlembagakan sejak merdeka?
      
Malaysia bangga dengan adanya Perkasa – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia – yang membangkitkan lambang kebesaran negara seolah-olah dibangkulsampahkan dalam acara pecah tanah itu. Bahasa rasmi negara dan lain-lain lambang kenegaraan dikatakan diketepikan.
      
Mungkin Perkasa yang diketuai oleh Datuk Ibrahim Ali dicap perkauman oleh orang yang antinya, tetapi Perkasa dalam hal pecah tanah ini telah membangkitkan perkara yang hak. Tidak timbul seperti yang Tiong Lai bangkitkan isu perkauman bagi mengeruhkan hubungan baik antara Malaysia dan China.
      
Menteri Tiong Lai mesti peka, dia adalah menteri Malaysia. Dia tahu masa mana bahasa dan bendera mesti diutama dan dimuliakan. Tiong Lai patut nasihatkan, jangan ada yang kejadian provokatif, yang boleh ditafsirkan memburukkan lagi maruah dan imej Perdana Menteri.
      
Nama Perdana Menteri dengan segala skandalnya sudah cukup memburukkan, ditambah dengan pecah tanah yang membakul sampah warisan dan kebanggaan negara, Tiong Lai seolah-olah melayakkan bossnya dicampak ke Laut China Selatan.
       
Tiada cacat celanya pecah tanah itu tidak menggunakan bendera dan bahasa yang boleh difaham oleh warga China saja. Adakah projek-projek China di Afrika dan di mana-mana di dunia acara pecah tanahnya tidak guna bahasa dari benua lain bahkan bahasa Tanah Besar saja?
      
Tiong Lai telah tidak membantu PM Najib memulihkan namanya di kalangan rakyat yang bermaruah.
       
Yang penting bagi pelabur China ialah peluang ekonomi yang diperolehnya dan ia membantu menambah namanya dalam masyarakat antarabangsa, bukan memacak bendera dan bahasanya di wilayah asing.
      
Semua tahu Najib bukanlah pemimpin yang boleh dibanggakan oleh Malaysia. Tiong Lai dan menteri-menterinya jangan jadi orang menyokong membawa rebah kepadanya. Dalam hubungan Malaysia dan China sekarang ini Najib sudah dilihat sebagai seorang yang bisu. Tiong Lai sebagai pemimpin Malaysia bukan Melayu sepatutnya dapat menjadi penasihat yang baik, bukan jadi batu api menempelak teguran Perkasa itu membakar perkauman.
      
Apa yang Perkasa timbulkan itu ada membangkitkan kebenaran dan kesedaran. Jika Perkasa tidak bangkitkan, siapa yang sanggup membangkitkan. Harapkan Umno? Baik ia jadi tukang kipas supaya Najib lebih cepat ditempelak.
      
Tiong Lai tidak dilihat pihak yang dapat membantu mendaulat roh keperwiraan yang amat diperlukan oleh bangsa berbilang kaum di Malaysia.
      
Kita tidak fikir kejadian pecah tanah ECRL di Kuantan itu syarat yang ditentukan oleh pelabur China. Kita takut orang-orang di sini lebih sudu dari senduk. Jika perkauman payah dikikis, ia disebabkan oleh orang Malaysia tidak berbangga dengan nilai-nilai yang baik yang ada dalam negeri.
      
Bukan semua Perkasa itu buruk.  Dalam isu pecah tanah ECRL, Perkasa adalah wira dan perwira. - HARAKAHDAILY 15/8/2017

SAYA tidak tahu apa yang PAS puas hati setelah pimpinannya yang diketuai Tuan Ibrahim Tuan Man bertemu dengan Kanda Kandasamy, Pengerusi 1MDB.
      
Tentulah ada benda yang mereka puas hati yang belum dijelaskan lagi kepada umum khususnya kepada ahli-ahlinya.
      
Adalah mustahak ahli-ahli parti tahu dulu apa yang puas hati itu sebelum orang lain tahu.
       
Saya menunggu penuh sabar apa yang dikatakan puas hati itu. Setakat ini semuanya mahu tahu akan penjelasan puas hati itu.
      
Dan saya percaya tentulah ada asas-asas yang ia puas hati itu.
      
Sekalipun saya belum tahu isi dan butirnya, tetapi kerana keyakinan saya kepada parti dan pemimpin-pemimpinnya, maka saya ada sikap husnuzan kepada parti. Bila PAS puas hati, maka saya pun mesti puas hati. Dan saya akan dapatkan dari parti apa yanag mereka puas hati itu.
      
Oleh kerana PAS itu parti saya. Tiada parti lain yang saya sertai sebelum menyertainya, maka saya mesti sentiasa bersangka baik kepada parti saya itu termasuklah dalam perkara yang saya belum faham dan payah faham.
      
Pertama parti saya itu adalah sebuah jamaah Islam, tiada yang sepertinya wujud semasa ia diwujudkan. Sekalipun sebelumnya wujud dulu sebuah jamaah Islam siyasi, Hizbul Muslimin yang menyambung wadah ikhwanul Muslimin Mesir dan Masyumi Indonesia, tetapi ia telah dimendiangkan oleh penjajah British.
       
Selepas tiga tahun susah payah kosong jamaah, maka ulama masa itu berjaya menggantikannya dengan PAS. Maka dengan susah payah juga pemimpin dan penyokongnya menjaga dan menghidupkan jamaah yang banyak kelemahan sejak dari mula, dan syukur ia muncul sebagai wadah Islam yang terbaik di rantau sebelah sini.
      
Kerana ia parti saya, maka saya sepanjang masa bersangka baik kepada parti itu terutama apabila ia berdepan dengan perkara-perkara yang payah dan keliru.
      
Jika saya sebagai ahli tidak berkata baik kepadanya, siapa lagi yang hendak berkata baik  tentangnya. Buruk baik ia adalah parti saya dan ia saja setakat ini yang  sedia rebah dan bangun menjaga jamaah Islam itu. Telah terbukti sejak turunnya Rasulullah SAW sebagai rasul, tiada siapa tampil membela jamaah Islam melainkan umat Islam sendiri.
      
Maka saya sentiasa bertekad untuk mencontohi Saidina Abu Bakar Siddiq, menerima saja apa yang Rasululah sabda dan buat sama ada faham atau tidak faham.
     
Bukan saya saja payah faham apa yang PAS dan pimpinannya kata dan buat, Najib, Zahid dan Mahathir pun payah faham apa yang pimpinan PAS buat.
     
Pemimpin PAS saja dalam semua masa dengan susah payah mempertahan apa saja bagi menjaga wadah tunggal siyasah Islam. Jika orang PAS tidak berbuat demikian, jangan ingat ada orang lain sedia menjaganya.
      
Kerana saya sayangkannya, saya mesti sentiasa berpuas hati atas apa saja yang ia puas hati. Moga-moga dengan berpuas hati dan berserah kepada Allah, yang tidak puas hati akhirnya akan puas hati pula.
     
Mungkin ia payah difahami tetapi Islam tidak boleh menyerah kalah kepada orang yang tidak memahaminya. - HARAKAHDAILY 13/8/2017

SISTEM pemerintahan Malaysia berada di jalan buntu bagi mengendalikan skandal 1MDB yang sudah makan masa bertahun-tahun sekarang.
      
Kerajaan BN adalah kerajaan yang sudah sinonim rasuah, tetapi kerajaan Najib lebih teruk sinonim dengan puaka 1MDB, satu rompakan besar kerajaan oleh kerajaan BN yang tiada siapa tahu untuk menyelesaikannya.
       
Semua tahu sejak mulai lagi, sebaik saja Najib mengambil alih kuasa, 1MDB dibentuk sebagai badan pelaburan Kementerian Kewangan, yang tidak menjalankan urusan pelaburan sangat tetapi jadi badan merompak Kementerian Kewangan.
      
Keburukan syarikat Najib itu diketahui oleh semua, rakayt jelata, sekalian pemimpin dan ahli-ahli UMNO, seisi keluarga Njib sendiri, bahkan oleh  setiap keluarga istana. Baunya tidak tercium, mengalahkan bau roh  ahli maksiat yang baru mati, yang malaikat usung ke langit, melentung seisi ruang antara bumi dan langit.
     
Kalau roh yang paling busuk itu Firaun dan Abu Lahab, bau 1MDB lebih teruk. Tiada siapa yang dapat mencegah dan menghukumnya, kerana ketua perompak itu ialah Firaun dan Abu Lahab sendiri, orang paling berkuasa di muka  bumi. Mereka tidak mungkin bertindak atas diri sendiri. Jika Firaun membenarkan tindakan dikenakan ke atasnya, maka tidaklah dia bernama Firaun.
     
Semua sistem semak dan imbang dalam kerajaan telah dibuka untuk menyiasat rompakan itu, tetapi semuanya dibuka bukan untuk menyiasat tetapi untuk ditutup. Semua kaki penyiasat dibebaskan dari kerja menyiasat.
      
Peguam Negara, Gabenor Bank Negara, ketua SPRM, Ketua Audit Negara dan lain-lain tidak menyambung perkhidmatan lagi. Semua usul balik asal, 1MDB tidak diusik langsung, selagi Putrajaya di bawah BN dan selagi Najib Perdana Menteri dan menteri kewangan.  
      
Saya terbaca biografi Tun Abdullah Ayub antranya menyebut, Perdana Menteri Tun Razak pernah bercadang untuk menjadi menteri kewangan, nasihat Tun Abdullah, jika menteri kewangan juga Perdana Menteri, nescaya tiada siapa dapat merayu kepada Perdana Menteri atas kelemahan menteri kewangan.
      
Tun Razak membatalkan niatnya.  Punca kerosakan ialah Perdana Menteri juga menteri kewanan.
      
PM Najib tidak menghalang pembentukan badan penyiasat, tetapi membiarkan ia tidak menyiasat. Pakar pendidikan Melayu berseminar membincangkan kerugian pendidikan Melayu jika pengajian terus dalam bahasa Inggeris. Kata Najib masa menutup seminar, kalau tuan-tuan bimbang saya lebih bimbang. Tetapi dia tak buat apa-apa.
       
1MDB terus gagal menyelesaikan hutangnya. Setahun hutang tertangguh 1MDB terpaksa membayar denda lebih  satu bilion.  Terakhir hutang di Qatar tertangguh, sebab duit dijangka masuk tak masuk.
      
Setelah penat mengharapkan 1MDB menyelesaikan masalahnya, macam menghadapi anjing tersepit ekor saja. Maka 1MDB sedia mengadakan meja bulat dengan sesiapa. Ia berjanji untuk buat itu dan ini. Diharapkan ia boleh dipantau Parlimen. Parlimen setuju, tetapi belum tentu ia boleh dibawa ke Parlimen.
      
Menunggu penyelesaian 1MDB sama menunggu kes pembunuhan Altantuya. Najib mati dulu kes Altantuya diam juga. Mungkin Najib mati dulu, 1MDB duk tang tu juga. Harapan sekarang pada Jabatan Kehakiman Amerika. DOJ juga tidak cukup aktif. Takut Najib mati dulu, baru kes 1MDB naik mahkamah.
      
Jalan yang ada sekarang Najib dan BN mesti dikalahkan dalam PRU14 kalau mahu 1MDB dimahkamahkan. Jika Najib tak kalah dan tak mati, Malaysialah yang mati. Macam nasib Mesir purba juga, menunggu Firaun tenggelam di Laut Khalzum. - HARAKAHDAILY 9/8/2017

KETIKA satu soalan orang awam yang bertanya mengapa semua diam terhadap penderitaan atas keperitan hidup rakyat dan ekonomi negara yang teruk sekarang dalam satu tulisan saya sebelum ini, jawapan saya ia adalah gara-gara rakyat tidak berdaulat setelah ditindas sekian lama.
      
Kalau rakyat berdaulat dan merdeka, nescaya tiada kesempatan bagi manusia menindas manusia lain dan tiada ruang bagi pemerintah memperhambakan rakyatnya sendiri.
       
Ia adalah jawapan standard kepada persoalan kepincangan sosial politik yang gagal  mengagihkan keadilan sosial kepada rakyat di mana-mana saja dan bila-bila masa saja. Ia telah dibincang sejak zaman Yunani purba oleh pemikir seperti Plato, Aristotle dan Socretes, ia berlaku di Mesir purba oleh Firaun terhadap Bani Israil. Firaun bunuh anak laki-laki Bani Israil dan biarkan anak pempuan hidup.
    
Zaman Genghis Khan, zaman penjajahan barat dan zaman perhambaan kulit putih Amerika terhadap kulit hitam. Bahkan di zaman feudal Melayu Melaka.
      
Penguasa yang minoriti melakukan sekehendak hati ke atas majoriti yang besar.
       
Kita sekarang berada dalam dunia ketiga, mewarisi amalan dunia ketiga dengan rakyat tidak berdaulat, terima saja apa yang ditentukan oleh pembesar sekalipun memakai nama demokrasi. Demokrasi adalah untuk orang atas dan bukan untuk orang awam.
       
Tidak bererti rakyat tidak ada kesedaran, tetapi belum ada cukup kekuatan dan keberanian untuk bangkit. Demikianlah kuatnya kuasa penindasan golongan kecil ke atas golongan besar.
      
Itulah hakikat rakyat kita sekalipun ia ada rakyat bernama Anwaar Ibrahim dan Dr Mahathir.
       
Lalu seorang netizen menempelak PAS. Dulu diharapkan PAS, tetapi PAS dikatakan sudah jadi HAMPAS. Memberi tali hayat kepada Najib…
        
Pandangan netizen itu sekadar menyatakan kekecewaannya kepada PAS, tetapi ia bukan jawapan yang tepat kepada masalah yang dihadapi. Ia menggunakaan logik musuh PAS kerana PAS tidak dapat menerima cara Najib dan kerajaannya hendak digantikan.
       
Musuh PAS mengenepikan PAS kerana tidak mahu ganti sistem Najib itu adalah sistem PAS. Maka mereka gantikan PAS dalam sistem pembangkang itu supaya yang ditegakkan bukan sistem PAS dan bukan sistem Najib.
      
Netizen itu minat Najib dan UMNO digantikan dan tidak peduli dengan sistem PAS. Tiadanya PAS dalam sistem pembangkang yang ada ialah kerana ia secara sistematik telah diketepikan dengan membebalkan pula PAS memberi tali hayat kepada Najib.
      
Jika rakyat bisu sejak merdeka, bukan kerana PAS mengabaikan peranannya menentang UMNO. Sejak pilihan raya tahun 1955 hingga PRU13 PAS terus menerus menentang UMNO baik ketuanya bernama Tun Razak, Mahathir, Anwar dan Najib.
       
Selama-lamanya PAS menentang UMNO, tetapi bagi PRU14 ini ialah hendak menggantikan.  PAS itu asalnya ditubuhkan tahun 1951 bersama UMNO. PAS boleh jadi UMNO dan UMNO jadi PAS. Bila ia ada prasarana, ia berpisah dengan UMNO. Sebahagian dari orang UMNO sudah pun jadi PAS.
       
Sekarang PAS tidak menentang seperti dulu, tapi berjanji untuk menggantikan UMNO. Semua yang menentang UMNO sepatutnya bersama PAS dan bukan membebalkan PAS. Anwar patut bersama PAS sekarang. Mahathir dan Muhyiddin tidak tubuh parti baru tapi bersama PAS, ajak DAP supaya membantu PAS menggantikan UMNO.
      
Mahathir nampak PAS boleh ganti UMNO, maka dia segera tubuh parti baru supaya sistem PAS tidak menggantikan sistem UMNO. Tahun 1982 Mahathir curi Anwar supaya sistem PAS dapat ditangguhkan. Sekarang mereka berdua lagi. - HARAKAHDAILY 7/8/2017

JIKA peluru yang Mahathir tuju kepada Najib terkena TPM Datuk Zahid Hamidi bukan disasarkan kepada Zahid tetapi kiranya ia terkena Zahid ialah kerana Zahid ada dalam pasukan Najib.
     
Perang sebenarnya antara Mahathir dan Najib, bukan antara panglima kedua pihak. Dalam mana-mana peperangan biasalah panglima cedera. Tiba-tiba dalam perang itu Zahid membuka medan perang  antaranya dengan Mahathir.
     
zahid2Zahid menggunakan peluru anak-anak Mahathir jadi kaya raya, membolot  kekayaan semasa 22 tahun dia jadi Perdana Menteri dan pemimpin UMNO. Lepas itu dia sepak UMNO.
      
Tapi peluru paling berat ialah membangkitkan nama keluarga asal Mahathir, Kutty dari Karala, India.
       
Maka Mahathir menyerang balas dengan mendakwa Zahid bertemunya minta sokongan jika dia terpaksa menghadapi/menentang Najib. Ketika sama Mahathir pula mendakwa Zahid semasa jadi Ketua Pemuda UMNO memilki harta ratus juta ringgit.
      
Dua-duanya menggunakan peluru berat menyalahkan lawannya. Siapa yang payah apabila masing-masing tuduh menuduh?
       
Dalam perang ini Mahathir tidak ada sebarang kerugian. Dia memang sedia menempah maut. Jika terpaksa dipenjarakan pun dia bersedia. Untuk jadi Perdana Menteri semula tentu tidak. Harapan besarnya ialah Tan Sri Muhyiddin atau anaknya Mukhriz jadi Perdana Menteri.
       
Tetapi yang rugi dalam perbalahan ini Zahid. Apa yang Mahathir dakwa atasnya menyebabkan orang bertanya akan kemungkinannya. Sekalipun yang Mahathir kata itu palsu, tetapi sedikit sebanyak ada yang percaya.
      
Kita tidak dapat berkata secara betul apakah Mahathir berkata betul. Untuk kata betul, ia mungkin tak betul. Untuk kata tak betul, ia mungkin betul.
     
Mahathir tidak membawa saksi mengatakan Zahid minta sokongannya menumbang Najib. Zahid pula tiada saksi mengatakan dia tidak pernah berkata begitu pada Mahathir.
      
Orang tidak tahu apa sebenarnya terjadi, sebab dua-dua tak ada saksi. Hendak membela Zahid pun payah sebab hal yang dibangkitkan itu antara Zahid dan Mahathir. Yang ketiga hanya Allah.
      
Senjata yang Mahathir guna itu boleh menjadikan Najib sangsi kepada Zahid. Dalam orang ramai mengata itu dan ini tentang Najib, siapakah yang 100 peratus setia pada Najib. Sama ada Najib percaya atau tidak, dia pun tak boleh 100 percaya pada Zahid. Ini yang Mahathir sudah ingatkan Najib.
      
Jika Najib tidak ambil berat apa yang Mahathir kata, buka kerana dia tidak percaya, tetapi pada  masa ini payah hendak mencari orang 100 percaya kepadanya. Kalau dia tidak percaya kepada Zahid, kepada siapa lagi dia hendadk percaya? Semuanya bersaksi ke lutut.
      
Zahid sudah disusahkan oleh Mahathir. Mantik Kutty yang Zahid gunakan tidak kuat dan tidak tepat. Mahathir tidak cedera dengannya, tetapi reaksi Mahathir kata Zahid minta sokongannya melawan Najib, ada kesan sekalipun ia diadakannya.
        
Zahid dalam suasana keliru sekeliling Najib, adalah orang bila-bila masa boleh menggantikan Najib dengan bom asap yang dilepaskannya, Najib dan keluarga boleh rasa sesuatu tentang Zahid.
       
Kalau Zahid tidak ungkit tentang Kutty dan kekayaan anak-anak Mahathir, Mahathir pun belum tentukan gunakan senjata itu pada masa ini.
      
Jika Mahathir susah, memang dia bersedia untuk susah, tetapi bila Zahid mahu jadi lebih berani dari Najib, dia sudah disusahkan oleh Mahathir.
    
Orang Umno pun tak boleh kata Zahid betul, kerana mereka pun tak tahu apa yang Mahathir dan Zahid kata tentang Najib. Semua tak ada saksi. - HARAKAHDAILY 6/8/2017

PAYAH bagi sesiapa hendak membela Timbalan Perdana Menteri, Zahid Hamidi yang menimbulkan usul asal Dr Mahathir berketurunan India hingga menjadi Perdana Menteri Malaysia selama 22 tahun.
      
Macam-mcam tanggap dan tafsir orang atas ucapan dan keterlanjuran Zahid itu. Ia dikira menanamkan kebencian, mengungkit usul asal tok nenek seseorang, tidak benar Melayu dan lain-lain.
       
Banyak mengiranya hal berat yang saya anggap lucu bila datangnya dari TPM. Ia tidak wajar datang dari mulut Zahid.
      
Apapun saya suka mengiranya sebagai satu kisah politik jenaka tambahan kepada kisah Nujum Pak Belalang, Luncai dan labu-labunya, Lebai Malang dan lain-lain.
      
Semuanya adalah sindirin politik jenaka, bernilai politik tinggi tetapi lucu.
      
Zahid sudah membuat lucu, menyusahkan dia, dan sukar untuk membelanya. Apa jua dalih bagi membelanya tak lepas. Orang membelanya dilihat lebih sudu dari senduk. Ada lebih baik ia didiamkan. Lagi banyak Zaid dibela, lagi banyak pula orang mengungkit tentangnya.
      
Lucu antara Mahathir dengan Zahid yang mengungkit keturunan bekas Perdana Menteri itu, jika tidak silap, pernah timbul dalam surat peribadi antara Tunku Abdul Rahman Putra dan Mahathir. Surat peribadi itu dibocorkan dan Mahathir dipecat dari Umno selepas 13 Mei dulu.
     
Betapa asal dari India disebut dan Tunku berbondakan Siam juga ditimbulkan. Ia kisah politik tinggi tetapi saya kira ia adalah jenaka politik.
      
Sehingga ini belum ada Perdana Menteri Malaysia yang betul-betul tulen Melayu hinggalah Perdana Menteri itu Orang Asli.
      
Tunku tidak ditakwil Melayunya kerana dia anak raja, tapi bondanya wanita Siam. Darah campur.
       
Tun Razak sekali dari bangsawan Pahang tetapi usul asalnya Bugis. Bugis itu ada yang pelayar, dan ada juga yang lanun.
      
Tun Hussein Onn pula sebagai bangsawan Johor bukan Johor asli. Tok nenek Dato' Onn dulu asalnya dari Turki. Tiada yang mengkaji Turki apa? Turki dulu adalah empayar Islam yang besar. Tenteranya berada dalam segala ceruk rantau. Maka antaranya tersangkut dengan bangsawan. Dan Turki juga dulu ada orang Gypsy iaitu orang yang pindah randah dari setempat ke setempat, tidak diketahui susur galur keturunannya.
       
Dr Mahathir pula dari keluarga Kutty. Bunyinya dari keturunan Yaman yang berdagang dan  dakwah ke India sejak sebelum kedatangan Inggeris ke India. Orang Yaman yang menetap di India itu menguasai bahasa Inggeris, maka datuknya Iskandar Kutty dikirim oleh Inggeris untuk mengajar bahasa Inggeris kepada anak-anak raja Melayu. Iskandar kahwin dengan orang Johor, mungkin Jawa kerana di Johor ramai Jawa. Anaknya Mohamad jadi pengetua Sekolah Sultan Abdul Hamid di Alor Setar.
      
Mahathir anak Mohamad ada generasi ketika keluarga Kutty dan Melayu mengatasi Indianya. Mungkin cakap Karala pun dia tidak tahu.
      
Tun Abdullah Badawi pula datuknya Syeikh Abdullah Pahim dipercayai Arab. Ayah Abdullah, Haji Ahmad Badawi lahir di Mekah. Ibu Abdullah pula ada suku sakat keturunan Yunan di Bayan Lepas. Maka Perdana Menteri itu bukan Melayu tulen.
      
Kalau Zahid jadi Perdana Menteri dia jati juga Melayunya kerana dia Jawa.
      
Oleh kerana Dato' Onn, Tunku, Tun Razak, Mahathir, Dollah Badawi dan Zahid besar dengan bercakap Melayu di rumah, dalam masyarakat dan lain-lain maka yang berbudaya, bercakap Melayu dan beragama Islam pula maka mereka itu Melayu.
      
Bagi Dr Burhanuddin al-Helmy dulu asal berbahasa dan berbudaya Melayu sekalipun Cina, Tamil dan Sikh adalah Melayu. Apa lagi Mahathir Kutty. - HARAKAHDAILY 3/8/2017