BAHKAN setelah PAS kalah di Kelantan hujung tahun 1970-an ketika ia mampu meraih dua DUN saja setelah 19 tahun berkuasa, diikuti pula ia hanya mampu beroleh satu kerusi sahaja dalam PRU 1986, maka ada yang menyarankan agar PAS turun dari status sebuah pertubuhan politik kepada sebuah NGO dakwah saja.
      
Masa itu orang tidak tahu bahasa relevan.
       
Maksudnya PAS sudah tidak relevan lagi sebagai parti politik. Baik jadi sebuah NGO yang bergerak dalam dakwah. Tak habis-habis ada lagi sampai hari ini orang yang berotak, PAS elok jadi NGO dakwah saja.
       
Justerunya orang-orang yang lulus pengajian Islam dan bergerak dalam persatuan pelajar Islam di kampus-kampus, yang jiwanya penuh PAS semasa belajar, lalu selepas graduan membentuk NGO belia Islam dan belajar di luar negeri memikirkan digantikan PAS dengan parti Islam baru bila tamat nanti.
      
Kerana politik itu mendesak, PAS dikira tidak lagi relevan, maka antaranya masuk UMNO supaya politik Islam diterapkan dalam UMNO dan bergerak mengambil alih pimpinan UMNO, jangan biarkan UMNO diambil alih oleh Dr.Mahathir dan Musa Hitam.
      
Maka serentak budak-budak yang berjiwa Islam tadi bersama UMNO dan NGO yang pekat Islamnya masa itu menjauhkan diri dari PAS kerana PAS dirasakan tidak relevan lagi dalam politik masyarakat majmuk di Malaysia.
       
Tetapi politik itu bergerak dan berubah. Yang melarikan diri ke dalam UMNO itu akhirnya bercempera, hingga yang akhir berada di anak tangga teratas di ambang puncak tinggal Datuk Zahid Hamidi yang menjadi Timbalan Perdana Menteri sekarang.
       
Tetapi PAS itu degil dan liat dengan cita-cita perjuangnya ketika diasaskan tahun 1951 dulu untuk memperjuangkan sebuah masyarakat dan kerajaan yang mesra Islam di Malaysia sekalipun ia tinggal beberapa orang saja seperti kaum Nuh sebelum dunia dicurah banjir.

Bila ia tinggal dua DUN di Kelantan oang kata sudah ada dua batu nisan. Matilah ia!
      
Ia bangun tahun 1982 dengan konsep kepimpinan ulama, yang retak sebelumnya jadi satu balik. Pada PRU 1982 itu ia dapat sepuluh DUN Kelantan dan lima di Terengganu. Tahun 1986 ia kekal 10 lagi di Kelantan tetapi tinggal satu Parlimen dari lima sebelumnya.
       
Dibuktikannya ia tidak sekadar layak jadi NGO tetapi dirampasnya semula Kelantan hingga hari ini dalam PRU 1990. Tak berbangkit lagi turun status kepda NGO kerana dalam 20 tahun kebelakangan ini ia berkuasa di Terengganu, memugut beberapa kerusi Parlimen di Kedah dan mula ada DUN di Perlis, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Johor dan Pahang.
      
Sebagai BN pernah kalah di Terengganu, ia kalah balik di negeeri itu. Tetapi dalam dua PRU yang lalu ia mengekalkan jadi pembangkang yang kuat di Terengganu menjadi negeri tinggal beberapa majoriti saja.
       
Ia jadi relevan semula. Faktor Anwar menjadikan ia tambah relevan hingga merasa jadi MB di Perak. Sebagaimana kerajaan campuran di mana-mana di dunia jarang kekal, maka PAS adalah  sebahagian dari politik dunia yang ada pasang surutnya.
       
Kerana sekutunya sepuluh tahun terakhir ini mengiranya seperti melukut perjuangan Islamnya tidak diiktiraf dalam pakatan pembangkang kononnya ia tidak termasuk antara yang sepakati semasa pembentukan muafakat dulu, maka ia keluar untuk jadi blok ketiga Gagasan Sejahtera.
      
Siapa akan jadi melukut? Ia kekal tidak jadi NGO, tapi politik dakwah dan tarbiyah mengejar kemenangan dan pemerintahan. - HARAKAHDAILY 1/8/2017

SUKA saya menarik perhatian para pendokong Parti Islam Se-Malaysia (PAS) kepada suatu penghakiman Mahkamah Rayuan yang melibatkan permohonan pendaftaran seorang anak kepada ibu bapa biologinya. Oleh sebab kes yang melibatkan Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 “Akta 299” ini membabitkan mereka yang beragama Islam, sangat perlu untuk kita beri perhatian secara khusus dan terfokus.

Bagi mereka yang mengikuti kes-kes melibatkan Islam dalam perundangan, kes ini sekali lagi mendatangkan rasa gusar yang bukan kepalang. Sekali lagi ia menunjukkan betapa perundangan yang membabitkan Islam dan umat Islam itu bukan lagi dalam tangan umat muslim semata-mata.

Saya tidak bercadang menyentuh dari aspek kedudukan hukum itu sendiri dalam kes-kes sebegini. Yang lebih menjadi perhatian saya dan ingin saya kongsikan adalah bagaimana kita melihat kes-kes sebegini dalam kerangka mendaulatkan Islam dalam perundangan negara.

Suatu yang sangat jelas, kes ini sekali lagi memberi pemahaman kepada kita betapa adanya suatu asakan yang berterusan bagi melonggarkan pengangan nilai-nilai Islam dalam perundangan. Hal ini bukanlah suatu yang asing apabila adanya pentafsiran perundangan negara berasaskan prinsip-prinsip sekular iaitu pemisahan perundangan daripada nilai-nilai agama.

Prinsip sekular ini akan menjadikan perundangan itu terus berkuatkuasa tanpa suatu nilai-nilai kerohanian yang sangat dititikberatkan dalam Islam. Ia akan menjadikan perundangan itu hanya tertakluk pada kewujudannya di atas kertas sebagaimana ia digubal yang diistilahkan sebagai “the creature of the statute”.

Tiada unsur-unsur spiritual, kerohanian, seumpama nilai-nilai keyakinan dan kepercayaan yang beriirngan dengan perundangan. Dengan perkataan lain, perundangan yang berprinsipkan sekular akan sama sekali mengenepikan nilai-nilai selain lahiriah sebagai pemutus.

Dalam usaha mengislahkan perundangan semasa yang ada, tanggungjawabnya adalah terletak pada bahu setiap muslim. Demikianlah pernah ditegaskan oleh Tun Saleh Abas dalam sidang tiga hakim Mahkamah Agong pada awal tahun 1990-an.

Selain individu muslim dalam ruang lingkup akademik, dan aktivis, golongan politikus adalah antara mereka yang jelas punyai tanggungjawab langsung bagi mendaulatkan Islam dalam perundangan. Ini disebabkan sistem negara yang mengamalkan demokrasi berparlimen, ahli-ahli politik adalah mereka yang terlibat langsung dengan penggubalan dan penerusan system perundangan dalam negara.

Sebagai parti yang meletakkan Islam sebagai teras perjuangan, bagi pendokong PAS sesungguhnya ia suatu amanah yang sangat besar. Keberadaan kita di medan politik bukanlah sekadar menang pilihan raya.
Lebih dari itu, kita punyai tanggungjawab sangat besar bagi membebaskan sistem perundangan dari cengkaman sekularisme.

Dalam mendepani cabaran medan pilihan raya, mahu tidak mahu setiap individu rakyat itu begitu sekali bernilai bila diukur dari sudut undinya. Dalam hal inilah kita punyai tanggungjawab yang begitu sekali mustahak bagi memastikan setiap rakyat mampu memahami dan terus bersama mendokong aspirasi perjuangan.

Islam yang telah cukup segala macam panduan bagi membina masyarakat sewajarnya telah memberi kita kelebihan tersendiri agar kita menguasai medan ini. Yang perlu hanyalah berusaha menterjemah dan memastikan panduan dari sumber-sumber nas itu dapat dirasai oleh setiap rakyat.

Harus kita insaf, bagi golongan anti-Islam, mereka hanya perlu memastikan sistem perundangan yang ada terus kekal pada tempatnya. Sedangkan bagi kita yang mencintai Islam, kita punyai tanggungjawab yang sangat penting bagi mengubah sistem kenegaraan sesuai dengan ketentuan syariat. Menyedari hakikat itulah seharusnya setiap dari pendokong parti perlu memahami Islam dan syariat siasahnya sambil memperkuatkan lagi pergantungan kepada Allah SWT.

Moga catatan ringkas ini mampu memberi kita suatu rangsangan bagi memastikan rahmatnya Islam dirasai secara nyata dan tidak lagi dilihat sebagai suatu polimik dan retorik semata. – HARAKAHDAILY 31/7/2017

TELAH datang seorang bertanya, ekonomi kita teruk mengapa orang ramai berdiam saja?
      
Yang bertanya itu adalah orang awam yang tidak diketahui peka dan ambil peduli tentang politik. Ditanyanya saya kononnya saya orang yang tahu politik.
      
Saya tahu ramai orang resah dengan suasana politik dan kedudukan ekonomi negara keseluruhannya dan kehidupan rakyat yang amat terhimpit.
      
Tetapi kumpulan yang menguasai kuasa dan politik diam seribu bahasa. Kumpulan yang sedikit ini yang menguasai pengaruh atas majoriti yang besar tidak menyatakan resahnya atas petaka yang berlaku, sebaliknya membela kuasa dan pengaruh yang membiarkan keperitan ekonomi itu.
       
Mengapa semuanya senyap atas yang berlaku? Tidak bising dan bangkit seperti orang-orang yang menuntut kemerdekaan dulu.
       
Orang dulu bangkit dan menuntut kemerdekaan kerana mereka berjiwa merdeka dan mereka bukan hamba. Sekalipun antaranya buta huruf, mereka tahu mereka adalah tuan kepada wilayahnya dan mereka tidak mahu terus menjadi hamba penjajah.
       
Orang yang berjiwa merdeka 60 tahun kebanyakannya sudah mati dan mereka meninggalkan anak-anak yang mati jiwa merdekanya. Orang-orang yang mati jiwanya adalah orang yang tidak merdeka dan yang tidak merdeka lazimnya adalah hamba.
       
Kaum Quraisy jahiliyah adalah kaum yang merdeka yang menguasai Mekah. Bangsa Quraisy yang berkuasa itu memiliki hamba. Satu rumah pembesar Quriasy punya lebih daripada seorang hamba. Yang jadi hamba itu orang Quraisy juga.
      
Kalau pembesar Quraisy memilik hamba antaranya Qurisay  juga, maka tidak ganjil bagi penguasai Malaysia merdeka menjadikan rakyat Malaysia yang diperintahnya sebagai hambanya.
      
Orang Malaysia itu tidaklah dilahirnya sebagai hamba, tetapi sistem yang dikuasai oleh penguasa berjaya menggunakan demokrasi yang diamalnya menjadi anak-anak selepas merdeka hamba kepada penguasanya sendiri.
       
Demokrasi sepatutnya melepaskan rakyat daripada belenggu perhambaan, tetapi  demokrasi standard dunia ketiga menjadikan rakyatnya hamba kepada penguasa dan bukan  rakyat kepada negara yang merdeka.
       
Sama seperti Mesir purba di bawah Firaun. Siapa kata pemerintahan Firaun bukan wilayah yang mereka daripada kuasa asing. Tetapi rakyatnya, Qibti sebagai majoriti adalah hamba yang bukan kelas hamba kepada Firaun, bukan  rakyatnya. Rakyat yang juga hamba tadi adalah pula hamba daripada kelas hamba iaitu Bani Israel.
      
Sekalipun Bani Israel makan daripada sisa makanan tuannya Qibti, tetapi tuannya juga adalah hamba kepada Firaun yang terpaksa terima apa juga yang Firaun kata, termasuk menerima Firaun sebagai tuhan. Mereka tahu Firaun itu zalim. Jika tidak diakui dia sebagai tuhan, maka mereka akan dimatikan.
      
Kerana sistemnya adalah menjadikan rakyat sebagai hamba, apa jua yang Firaun buat tetap mereka pertahan. Samalah seperti China di bawah Mao Zedung. Rakyat yang seperti hamba seolah-olah menerima senang susah, ada rezeki atau tidak semua kerana Mao.
       
Kalau perhambaan itu tidak semasa Firaun saja tetapi ada pada zaman hidup kita di Tanah Besar, maka apa yang menghalang ia ada di mana-mana termasuk di wilayah kita.
      
Semua  tahu kehidupan  masing-masing sesak. Firaun menggunakan tenaga hamba membangunkan Piramid dan China purba menggunakan hamba membangunkan Tembok Besar. Klik pemerintah menggunakan duit rakyat membangun projek-projak mega hingga rakyat papa kedana dan di ambang papa kedana.
      
Kendatipun semua sesak dengan himpitan ekonomi yang mendengkam, tetapi suka, diam dan menderita. Semuanya bisu gara-gara rakyat berstatus hamba. – HARAKAHDAILY 28/7/2017

SAYA gembira, mengucapkan tahiah dan syabas kepada seniman Norman Hakim, bekas suami Abby Abadi kerana menghantar anaknya belajar tahfiz di salah sebuah Kuran Kursu di Turki sejak beberapa bulan lalu.
     
Dari berita yang saya baca,  anaknya itu sudahpun mengikuti kelas hafazan dalam negeri dan antara 20 orang yang Turki tawarkan menyambung pelajaran di sana.
       
Sebagai pelakon, Norman bertuah kerana anaknya Allah pilih belajar menghafaz Quran dan ia tentulah dari tuah anaknya juga yang Allah pilihan mengikuti pengajian yang paling penting bagi kanak-kanak Islam.
       
Jika anak-anak ustaz dan tok lebai memilih belajar tahfiz, tiada yang menakjubkan, tetapi seorang seniman yang puluh tahun lalu dikira sebagai oang wayang, menghantar anak belajar tahfiz sedang di sekelilingnya penuh dengan pilihan pengajian berbagai bidang. Semua pengajian itu adalah mengambil kira masa depan kehidupan anak masing-masing.
       
Sekolah dan pendidikan agama bukanlah pilihan ibu bapa selama 50 tahun selepas merdeka. Sekolah agama tidak menjanjikan anak jadi doktor, jurutera atau pegawai awam. Sekolah agama dikira kilang mengeluarkan lebai, belum tentu berkesudahan sebagai ulama.
      
Tetapi orang-orang wayang sudah berubah kebelakangan ini. Setahun lalu jenazah Datuk Aziz Singah diimamkan oleh anaknya yang hafaz Quran. Saya kenal Aziz semasa mudanya orang wayang. Tapi dia menghantar anaknya menimba ilmu al-Quran.
     
Amat bahagia roh Aziz Singah moga-moga, beroleh anak yang hafiz, bermula  dengan solat jenazah ke atasnya oleh anak sendiri, dipercayai terus mendoakan kebahagiaannya di akhirat.
      
Sebelum itu kita mengikuti biduanita Sharifah Aini ada anak belajar di Madinah. Perkembangan ini moga-moga membuka kesedaran kepada penggiat  seni, betapa masyarakat orang wayang berakhir dengan dunia dakwah.
       
Anak Norman Hakim belajar bidang dan ilmu paling penting bagi umat Islam dan belajar di negara yang terbaik sistem pengajian hafazan. Dan umat Islam Turki, meskipun dibelenggu kehidupan sekular berpuluh tahun tetapi sejak beberapa dekad terakhir ini kuran kursu tumbuh di merata-rata, dan sekrang mereka dipercayai mengeluarkan hafiz dan hafizah antara 5,000 dan 10,000 setahun.
      
Subki 1Hampir 20 tahun lalu, sebelum Erbakan menjadi Perdadna Menteri dan sebelum Tayyib Erdogan menjadi Datuk Bandar Istanbul, saya telah menghantar anak dan beberapa orang lagi ke Kuran Kursu di Istanbul. Beberapa orang pulang sebagai hafiz dan hafizah.
       
Kerajaan Turki pra Erdogan tidak mengeluarkan visa pelajar bagi bukan pelajar universiti. Penghantar itu secara haram. Kerajaan mereka datang secara sah atau tanpa izin. Tetapi pelajar asing dilihat ramai, ia mula buka mata, penghantaran seperti tidak boleh diteruskan.
      
Erdogan tahu kedatangan anak-anak saya tanpa visa dan apabila sekarang pelajar asing bukan peringkat ijazah mudah belajar di Turki seperti anak Norman Hakim, peraturan imigresen tentu sudah berubah.
      
Anak-anak saya dulu tidak dikenakan yuran. Makan dan pakaian ditanggung pihak sekolah. Masyarakat Turki memang memperuntukkan sebahagian besar dari zakat untuk pengajian agama kerana sebelum era Erdogan, urusan Islam bukan sebahagian dari tanggungjawab kerajaan, tetapi ia tanggungjawab umat sendiri.
       
Dengan seniman Rosyam Nor dan beberapa artis lain berjinak dengan World Quran Hour, moga-moga dunia wayang dan warganya sedang menuju dunia baru. Jika kesedaran menembusi tembok masyarakat wayang amat malanglah dunia di luar lingkungan itu tidak merebut ilmu wahyu yang bermukjizat itu.
      
Norman sudah membuat pilihan terbaik untuk anak-anaknya. Moga-moga dilimpahi bahagia! - HARAKAHDAILY 27/7/2017
      

SEKONYONG-konyong Datuk Jamal Yunus yang banyak membuat gempar dalam politik semasa kita bersuara untuk mencabar Khairy Jamaluddin sebagai Ketua Pemuda Umno dalam pemilihan akan datang.
      
Apakah Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar itu bersungguh atau bergurau? Hal-hal seperti ini tidak berapa boleh digurau. Terutama pada ketika UMNO berdepan dengan cabaran yang amat getir dalam sejarah.
      
Tidak semua wajar digurau. Kita ketahui talak tidak boleh digurau. Sama ada suami bergurau atau bersungguh mentalakkan isterinya, maka talak telah jatuh. Jika seorang wali bergurau menikahkan anaknya dengan seseorang dan orang itu mengaku menerimanya, baik berlakon atau tidak, ia sah.
      
Jamal ada menimbulkan kerusi Parlimen Sungai Besar dalam PRU14 sudah diperuntukkan calonnya. Demikian juga dengan Dun-Dun di kawasan itu semuanya dikatakan sudah dicalon dengan orang lain.
      
Maka dia sebagai Ketua Bahagian dikatakan tidak termasuk dalam senarai. Maka apa untuknya sebagai Ketua Bahagian?
      
Maka diapun hendak mencabar Khairy. Tiada sebab-sebab yang jelas mengapa dia hendak menggantikan Khairy. Dan Khairy sekarang adalah seorang yang popular di kalangan UMNO.
      
Memang di peringkat awal pemerintahan Datuk Najib, Khairy mungkin kerana dia menantu Tun Abdullah Badawi yang masa itu amat tidak disenangi oleh Dr Mahathir, maka dia dijauhkan dari sisi Najib termasuk lain-lain yang diketahui dekat dengan Tun Abdullah dulu.
     
Nasib Khairy sebagai Ketua Pemuda UMNO sama dengan nasib Datuk Zahid Hamidi, sebagai Ketua Pemuda, tidak diberi apa-apa oleh Perdana Menteri Mahathir.
      
Mungkin kerana Najib kian tidak popular termasuk di sisi Dr Mahathir, maka barulah Khairy dapat jadi menteri. Sekalian yang dirasakan orang Pak Lah seperti Mahdzir Khalid dan Reezal Merican pun dijadikan Menteri Pelajaran mengganti TS Muhyiddin dan Timbalan Menteri Luar.
      
Tun Abdullah pula dijadikan Pengerusi Petronas.
       
Khairy sekarang dirasakan amat akrab dan ngam dengan Najib. Begitu ramai menteri kanan, Najib jadikan dia pengapit kunjungan Presiden Obama ke sini. Dan semasa Najib mempromosikan program NT50 bagi menggantikan Wawasan 2020, maka Khairylah yang terserlah di depan mendekatkan Najib dengan publik.
      
Setakat ini tidak nampak Khairy banyak masalah. Dalam masa Najib yang amat tidak popular dalam dan di luar UMNO, bila orang hendak bercakap tentang pimpinan UMNO masa depan, orang nampak Khairy lebih popular dari yang lain-lain.
      
Ada suksiknya jika Zahid Hamidi dan Datuk Hishamuddin hendak dijadikan pengganti Najib, tetapi orang tidak nampak Khairy banyak masalah.
     
Tiba-tiba Jamal Yunus hendak cabar Khairy yang kurang masalah dibandingkan dengan Najib sendiri.
      
Masa ini segala yang buruk itu adalah dilonggokkan kepada Najib. Semuanya bercakap Najiblah yang patut digantikan jika UMNO hedak bercakap tentang masa depan. TS Muhyiddin Yassin yang terpinggir dari UMNO sekarang ialah banyaknya di kalangan UMNO yang mengharapkan Muhyiddin berbuat sesuatu bagi menyelamatkan UMNO dan kerajaan.
      
Tidak kisah apa nasib Muhyiddin tetapi ia adalah potret Najib yang bermasalah.
      
Pada saat begini jika Jamal hendak membela dan menyelamatkan UMNO, ketika orang tidak berani berkata apa-apa tentang Najib, maka Jamal mesti beranikan diri cabar Najib. Jika Khairy dapat dikalahkan, dan Najib masih Presiden UMNO, Jamal akan jadi pak angguk juga.
       
Tiada sebab Khairy yang dicabar melainnya atas anjuran orang iri hati kepadanya. Yang orang hendak ubah ialah Najib. Najiblah yang Jamal mesti cabar! - HARAKAHDAILY 26/7/2017

BETAPA hebatnya sokongan Umno dan rakyat dihujung pentadbiran Perdana Menteri Dr. Mahathir bukan alang kepalang.
      
Dia menangis ketika mengumumkan persaraannya daripada politik dalam perhimpunan Umno. Wanita Umno menangis. Yang jantannya mengesat mata. Mereka tak terima persaraannya. Demikianlah sayang dan santun sekaliannya terhadapnya.
      
Tidak diduga kebanyakan yang kasih tak terhingga kepadanya itu mencercanya dan jamaah menteri sudahpun bersedia untuk mentribunalnya dalam Suruhanjaya Siasatan Diraja.
       
Nilai Mahathir pada Umno mungkin lebih teruk daripada apa yang Dato’ Onn terima daripada Umno.
       
Kesnya dia tidak puas hati dengan pimpinan PM Najib, satu sikap yang dikongsi ramai termasuk setengah pembesar Umno. Tak senang Umno hanya tersimpan di hati, tak terkeluar di mulut seperti Mahathir dan Tan Sri Muhyiddin.
        
Memang Mahathir pun banyak disunguti termasuk dalam kalangan Umno. Tetapi menjelang persaraannya, dia bagaikan dewa kepada Umno. Jika pun ada pebezaannya dengan Umno lepas bersara, tak terfikir sesiapa yang dikira dewa tadi dilihat Umno sebagai hantu.
       
Jika Mahathir dimaki hamun umum oleh Umno, maka apa yang boleh difikirkan tentang Najib sesudah tidak jadi Perdana Menteri dan pemimpin Umno nanti?
      
Mungkin Mahathir sebagai manusia tidak bebas daripada dosa dan banyak dosanya kepada Umno dan negara.
      
Akan tetapi Najib juga bukan malaikat. Untuk mengata Mahathir dalam pemerintahannya lebih teruk daripada Najib belum tentu disepakati oleh semua. Bahkan Najib juara daripada Mahathir sekalipun jadi Pedana Menteri belum sampai  sepuluh tahun.
       
Mungkin Umno tidak bangkitkan kelemahannya selepas bersara nanti jika dia membisu seribu bahasa terhadap pimpinan masa itu. Seperti beberapa bekas Perdana Menteri yang tak berdetik langsung akan apa yang Perdana Menteri selepasnya.
       
Setiap yang jadi Perdana Menteri ada pemimpin politik yang terbaik pada zamannya. Orang politik yang sebenar tidak boleh diam atas apa kecurangan sebelum dan sesudah jadi PM. Dia mesti kata sesuatu seperti yang Tunku Abdul Rahman buat.
       
Jika ulama diam terhadap sebarang kemungkaran di depan mata, dia dikelaskan sebagai syaitan bisu, maka mantan PM yang tak berkata apa-apa sama dengan makhluk ghaib tanpa suara. Bukanlah orang politik yang sempurna jika tengok dan dengar saja kepincangan yang berlaku. Yang macam ini adalah politikus kelas rendah.
       
Jika Najib  orang politik seperti Dato’ Onn, Tunku dan Mahathir, dia mesti tegur dan tegur tak jadi juga, dia mesti cabar. Bukan amalan manusia yang baik membenarkan orang berkuasa merosakkan muka bumi. Yang begitu adalah standard hamba.
       
Kelemahan Umno ialah mendengar saja sabda ketuanya, buruk atau baik. Jika Mahathir itu rosak ialah  tiada Umno selain  Ku Li dan Musa Hitam dan Anwar yang sanggup menegurnya. Yang lain termasuk Najib, kipas saja. Sikap Najib itu ikut merosakkan Mahahir.
       
Jika Najib mulia seperti Musa Hitam dan Anwar, dia akan tegur juga ada kecurangan orang selepasnya. Memberi peluang kepada yang salah membetul diri sendiri bukan sifat elok pimpinan dan negarawan.
       
Jika Najib mahu mempertahankan diri sebagai orang bestari dia mesti  buat macam Tunku dan Mahathir tegur dan tentang bapak penyelewengan selepasnya.
       
Nak tahu Najib terpuji atau hina, dia jangan jadi ulama bisu. Tegur berpada-pada. Jika Najib berani menempuh cabaran itu, dengan persepsi buruk yang ada sekarang, baru Umno akan cercanya pula lebih teruk daripada mencerca Mahathir. - HARAKAHDAILY 25/7/2017

LUIZ Inácio Lula da Silva, bekas Presiden Brazil dijatuhkan hukuman penjara 9 tahun 6 bulan kerana disabitkan menerima suapan sebuah pangsapuri mewah. Nyonya Presiden Dilma Rousseff yang menggantikannya yang digulingkan menunggu nasib kerana dikatakan curang.
     
Nyonya Park Geun-hye yang dilucutkan daripada Presiden Korea Selatan merengkok di penjara sekarang kerana rakan karibnya yang akses terhadap rahsia kerajaan hingga pelanggan-pelanggan rasuah menangguk peluang secara tidak sah daripada kerajaan. Rakan karibnya tidak dapat membersihkan dakwaan curang Presiden Pak.
      
Sebelum ini dua Presiden Korea Selatan telah dipenjara kerana salah laku semasa menjadi Presiden.
      
Biasalah di negeri-negeri di atas angin Presiden atau Perdana Menterinya diseret ke mahkamah atas tuduhan melanggar peraturan sekalipun mereka sedang berkuasa.
     
Maka sekalian yang menjadi MO1 di negara-negara undang-undang dan berdaulat tidaklah dikira orang bertuah apabila beroleh peluang berkuasa di negaranya. MO1 ditujukan kepada orang Malaysia, tetapi dalam tulisan ini MO1 itu adalah orang berkuasa di setiap wilayah.
     
Tidaklah seperti di Malaysia yang sentiasa seronok menjadi Perdana Menteri. Pernah Perdana Menteri pertama Tunku Abdul Rahman mengenang nasib yang dihadapi oleh setengah MO1 di dunia berdepan nasib malang semasa bekuasa atau selepas berkuasa.
       
Tunku mendakwa di tengah umum, dialah Perdana Menteri paling gembira di dunia atau the world happiest prime minister. Sekalipun selepas mengalami tragedi pahit beliau ditanya adakah dia mengira PM dunia paling gembira lagi, jawabnya, mengikut tahap masalah yang dialaminya, masih merasa PM bertuah lagi.
       
Mungkin PM Tun Hussein Onn dan PM Tun Abdullah Badawi tidak menikmati apa yang Tunku nikmat, justeru gangguan politik Dr. Mahathir, masing-masing berundur sebelum tempoh perkhidmatan tamat, tetapi dikira semua PM kita tidak akan menerima nasib seperti Presiden Brazil dan Korea Selatan itu setakat ini.
       
Kita tidak tahu besar mana nilai pangsapuri mewah yang diberi kepada Presiden Brazil itu?
       
10 jutakah? 2.6 bilionkah? Atau dia mintakah atau dia dihadiahkankah?
        
Tetapi dia tidak meyakinkan mahkamah, 7 tahun selepas tidak lagi jadi Presiden, dia dijatuhkan 9 tahun campur 6 bulan penjara.
       
Mungkin mengikut nilai kita di Malaysia pangsapuri mewah itu tidak jadi kudis kepada orang-orang besar tertentu. Dakwaan yang dikenakan kepada KM Lim Guan Eng kerana membeli banglo rendah daripada harga pasaran hingga PRU14 hendak tiba belum dibicarakan lagi.
      
Setakat ini baru Dr. Khir Toyo baru bebas daripada hukum penjara dan Exco Abdul Latif di Johor Bahru dimahkamahkan. Tetapi mereka bukan MO1 yang ada kekebalan.
      
Hakikatnya MO1 itu tidak kekal. Dicucuk jarum kulitnya lut juga, berdarah juga. Tetapi jawatan PM itu dikira kebal saja tak telus oleh saman dan dakwaan.
      
Mungkin kalau Presiden da Silva dan Presiden Pak jadi Perdana Menteri Malaysia, masing-masing dipercayai boleh terus jadi Presiden atau boleh jadi calon Presiden lagi. Malangnya mereka orang Brazil dan orang Korea Selatan.
       
Di Malaysia asal bernama Perdana Menteri baik pada zaman siapa saja, baik hendak runtuh langit dan rosak bumi oleh pemerintahan dan kelakuannya, runtuhlah langit, rosaklah bumi, tetap Perdana Menteri orang yang seronok.
     
Perdana Menteri hanya tak seronok oleh timbalannya saja. Tunku tidak seronok oleh Tun Razak. Tun Hussein tak seronok oleh Mahathir. Mahathir oleh Musa, Anwar dan Ghafar. Tun Adullah oleh Najib.  Najib oleh Muhyidin. Tiada Muhyidin Najib pun seronok. – HARAKAHDAILY 18/7/2017

USAHA ROS menghalang DAP bertanding dalam PRU13 digagalkan oleh PAS.
     
PAS menyerahkan surat tauliah calon yang ditandatangani oleh Setiasuaha Agung kepada DAP untuk bertanding atas nama PAS dalam PRU13 di mana-mana saja yang Pakatan Rakyat diperuntukkan kepada DAP.
     
Syarat dikenakan oleh ROS kerana DAP dikatakan tidak memenuhi syarat arahan mengadakan semula pemilihan Jawatan Kuasa Pusatnya.
      
Mungkin kerana Barisan Nasional yang berkuasa masa itu tidak mahu melihat ramai calon PAS menang di sana sini termasuk di bandar-bandar, maka sekatan itu tidak diteruskan. DAP dibenarkan bertanding dan menggunakan simbol Roketnya.
      
Untuk PRU14 ini ROS mengugut untuk menyekatnya semula jika ROS dan DAP gagal menyelesaikan isu pemilihan semula Jawatan Kuasa Pusat DAP itu.
      
DAP sudah berkerat rotan dengan PAS. Tidak mungkin DAP dalam meminjam lambang Bulan Penuh Purnama PAS itu.
      
Kata ROS, kalau tuntutan ROS itu tidak dipenuhi, ROS tidak akan layan  surat tauliah calon yan ditandangi oleh partinya.
      
Adakah usaha ROS menyekat calon DAP itu akan beerjaya?
      
ROS boleh buat syarat dan DAP  tidak dapat bertanding. Tetapi calon DAP tidak akan dapat disekat menyertai PRU13 itu.
      
Mungkin tidak calon yang memakai lambang Roket, tetapi Pakatan Harapan sudahpun bersetuju pada dasarnya untuk menggunakan satu lambang baru untuk semua parti. Tiada lagi yang bertanding atas nama DAP, PKR dan lain-lain.  Semuanya atas nama Pakatan Harapan dan tauliah akan Setiausaha Pakatan Harapan.
      
Apa lambangnya tidak diketahui, tetapi dengan syarat yang dikenakan oleh ROS kepada DAP dipercayai akan menyegerakan Pakatan Rakyat simbol bersama itu.
      
Tiada dalih bagi ROS untuk menyekat pendaftaran simbol baru itu.
      
Jika pendaftaran DAP ditamatkan oleh ROS sekalipun tetap organ yang dinamakan oleh Lim Kit Siang sebagai calonnya bertanding juga atas nama Pakatan Harapan dengan lambang yang baru itu.
      
Jika ROS mahu menggunakan syarat DAP mesti memenuhi tuntutannya jika hendak bertanding atas nama partinya, maka perlu memenuhi syarat yang dibuat itu kerana  DAP tidak bertanding atas nama partinya kali ini.
      
Krisis atas ROS dengan DAP tidak mungkin diselesaikan dengan taktik tidak membenarkannya bertanding atas nama  DAP. Mereka akan cari formula lain bagi menyelesaikannya.
     
Isu itu sudah berlarutan lama. ROS belum berpuas hati dengan respons DAP selama ini. Apa yang menyebabkan ROS begitu payah untuk mendapatkan apa yang dikehendakinya dari DAP? Tentulah kedua-duanya berdegil dengan prinsip masing-masing.
      
Apa jadi jika kedua-duanya terus bertelagah?
      
Apakah akhirnya ROS akan membatalkan pendaftaran DAP?
      
Jika ia dibatalkan, bukanlah pengalaman yang bertama bagi parti itu. Ia mulanya adalah sebahagian dari PAP yang berpusat di Singapura. Apabila Singapura tidak lagi menjadi sebahagian dari Malaysia, maka ia tidak lagi  boleh menjadi sebahagian dari parti yang didaftarkan di Singapura. Ia pun didaftarkan sebagai DAP.
      
Kalau ia diharamkan ia boleh beri nama baru. Bila diharamkan mungkin ada masalah unuk mendapatkan balik esetnya dari kerajaan. Biasanya di mana-mana bila parti diharamkan, esetnya diambil oleh kerajaan. Malaysia pernah mengharamkan Umno, kerana kerajaan yang mengharamkannya Umno juga, tiada masalah bagi Umno mendapatkan hartanya semula.
      
Tentunya kebuntuan ROS-DAP tidak sampai ke situ.
      
Tetapi mengapa isu pertikaian tentang pemilihan pimpinan pusat DAP itu jadi panas     semula menjelang pilihan raya? Tidak PRU ia senyap. - HARAKAHDAILY 17/7/2017

DR MAHATHIR yang  sudahpun diancam dengan pembentukan Suruhanjaya Siasatan Diraja atas kerugian Bank Negara semasa pentadirannya dulu, diberi kata dua pula oleh para pembesar PM. Najib dalam Umno.
      
Diam atau pekungnya didedah!
      
Persepsi kebanyakannya sejak dia masih berkuasa lagi, tidaklah seorang yang bersih  sangat. Dia tidak maksum. Ada cacat celanya. Sedang kerajaan dalam semua masa, dan Perdana Menteri dalam semua masa dituntut bersihnya.
       
Kita tidak mahu kata Dr. Mahathir Perdana Menteri yang bersih. Sebagai Perdana Menteri sebelum ditanya malaikat di akhirat nanti apa yang dibuatnya tentang pimpinannya, maka negara dan rakyat boleh tanya tentang pimpinannya seperti yang baru saja Korea Selatan lakukan kepada Presidennya yang  baru dilucutkan.
      
Dia sedang diadili. Maka Dr. Mahathir sedang diancam untuk disiasat atas peranannya menggalakkan Bank Negara berniaga matawang asing.
      
Dan sekarang ada kata dua pula untuknya; diam atau semua pekungnya akan didedahkan.
       
Jika dia seorang yang curang, dia wajar diadili.  Islam sendiri dalam menguatkuasakan undang-undang yang semuanya faham ia syariah, seperti sabda Nabi SAW yang bermaksud, jika Fatimah binti Muhammad mencuri, nescaya baginda akan kerat tanganya.
       
Dalam menegak dan melaksanakan keadilan dan kebenaran, puteri Nabi sendiri  tidak dikecualikan. Anak Saidina Umar al-Khatab dijatuhkan hukuman sebat/rejam oleh Khalifah itu  sendiri.
      
Ia adalah demi keadilan dan kebenaran, tiada pilih kasih dan pilihan.
      
Dr. Mahathir tidaklah dikecualikan. Tetapi apakah yang dihadapkan kepadanya sekarang demi keadilan dan kebenaran?
     
Apabila kata dua diberi kepadanya supaya tutup mulut atau pekungnya akan didedah, maka ada unsur tidak kerana keadilan dan kebenaran. Kalau dia diam, maka pekungnya jika ada akan didiamkan. Jika dia bising, maka dia akan didakwa dan dihukum.
     
Sekalipun menghukum pejenayah itu adalah melaksanakan keadilan, tetapi menghukumnya kerana marah sudah tidak melakukan keadilan.
      
Saidina Ali bin Abu Talib dalam pergelutan dengan musuh, telah menewaskan musuh itu. Hukuman bagi musuh yang ditewaskannya itu ialah bunuh di tempat kejadian dan di masa kejadian itu. Ketika beliau mengangkat pedang untuk memenggalnya, musuh itu meludah mukanya.
     
Saidina Alipun bangun  dan tidak jadi memenggalnya. Dibebaskannya musuh itu.
     
Bertanya musuh itu kepadanya, mengapa tidak membunuhnya sedang tiada halangan baginya memancungnya?
      
Jika musuh itu tidak meludah mukanya, nescaya dia sudah tentu dibunuhnya. Demi keadilan. Tetapi kerana mukanya diludah, jika Saidina Ali bunuh dia, maka bunuh itu bukan kerana keadilan dan kebenaran, tetapi kerana marah. Menghkum kerana marah atau balas dendam, tidak dinamai menjalan keadilan bahkan bahkan ia satu kezaliman.
      
Musuh tadi jika tidak silap ialah Yahudi. Justeru terpesonanya keadilan Saidina Ali tegakkan, dia pun menerima Islam.
     
Perhatian sekarang adakah tindakan yang bakal dikenakan kepada Mahathir itu demi menegakkan keadilan dan kebenaran, atau ia justeru marah dan peras ugut kepada Mahathir. Kata dua itu adalah satu peras ugut. Jika lepas ini Mahathir membisu, dia dilepaskan. Jika dia terus bercakap, maka dia akan diaibkan.
     
Jika sebelum Mahathir mengata itu dan ini kepada PM Najib, mentribunalnya ada demi keadilan. Tetapi kerana marahkan dia menuduh macm-macam kepada Najib, bukan keadilan sebenarnya lagi. Apa lagi dengan kata dua itu, melahirnya yang tidak adil.
      
Ia jadi adil semula jika Najib juga ditribunal. Maka kedua-duanya mesti ditribunal. - HARAKAHDAILY 13/7/2017

SAMA ada Pakatan Rakyat masih wujud di Selangor atau tidak, tiada yang menghalang kerajaan Selangor tidak boleh menjalankan tanggungjawab dan pentadbiran hariannya.
      
Menteri Besar, Datuk Seri Azmin Ali masih mendapat sokongan majoriti ADUN partinya adalah minoriti di kalangan parti-parti yang menyokong kerajaan.
      
Sekalipun mengamat politik mengira Pakatan Rakyat sudah tidak wujud, antara sesama parti – PAS, PKR dan DAP - sudah tidak sama mimpi lagi, masing-masing memikirkan apa yang masing-masing boleh capai selepas PRU nanti, semua perbezaan tidak menggugat kerajaan Selangor untuk terus mentadbir hingga DUN dalam PRU14 nanti yang dijangka tidak lama lagi tetapi tidaklah sudah dekat sangat.
      
Apakah Azmin dan parti ada moral atau tidak dan PAS bermaruah atau tidak,  demikian juga DAP, ia tidak jadi penentukan kerajaan Selangor sekarang patut bubar atau tidak.
      
Semua komen yang mengira sekalian yang memerintah Selangor yang dikatakan sudah tiada taring dan tidak mampu menjamin masa depan Selangor dan rakyat selepas ini, tidak lebih dari pandangan ilmiah dan perbincangan dalam bilik kuliah.
      
Azmin, partinya PKR, PAS dan DAP sendiri tidak memikirkan lagi unuk mengekalkan dan menyambung kerajaan yang ada. Yang ada sekarang adalah sementara PRU14 belum diadakan.
      
Jika PM Najib hendak melanjutkan kerajaan yang  ada hingga beberapa  tahun lagi pun, maka kerajaan Slangor yang ada sedia bertahan dalam keadaan yang ada sekarang.
      
Yang penting bagi  sebuah kerajaan dalam masyarakat demokrkasi ialah kerajaan boleh berfungsi dan kepentingan rakyat tidak tersekat.
      
Mungkin PAS dan PKR bimbang dengan keadaan selepas PRU disebabkan perpecahan PKR dan keadaan politik yang tidak menentu  selepas ini, tetapi DAP dirasakan tidak  bimbang untuk mengekalkan kekuatannya yang ada, dan semuanya tidak berani memperkecilkan keupayaan lebih menyerlah. DAP dalam keadaan demikian, tidak mendesak Azmin dan PKR menolak PAS dalam tempoh sekarang.
      
Mungin semuanya mahu mendenda PAS apabila ia berpisah dengan DAP. Tetapi memandangkan PRU sudah tidak lama lagi dan kerajaan boleh berjalan, maka menunggu PRU14 itu adalah langkah yang bijak.
       
Yang penting bagi sebuah kerajaan yang berkuasa mempunyai sebuah parti yang kuat dan ada majoriti, ialah bagi memastikan kerajaan mendapat sokongan majoriti. Kerajan campuran dan krajaan minoriti biasanya tidak stabil dan goyang. Payah bertahan lama.
      
Tapi Selangor di bawah Azmin sekalipun parti-parti yang mendapat mandat dalam PRU13 dulu sudah tiada pakatan politik lagi bekas kedua ADUN Pakatan Rakyat dulu boleh duduk bersama dalam kerajaan dan tiada halangan unuk melulus bajet dan rang undang-undang yang kerajaan bentang.
      
Sudah dua tahun Pakatan Rakyat ditawakuf, belum ada bajet yang ditolak dan belum ada undi tidak percaya kepada kerajaan dan Menteri Besar dikemukakan.
       
Di luar kerajaan semua parti itu bersiap untuk menumbangkan antara satu sama lain. Tetapi dalam kerajaan ADUN dari berbagai parti itu tidak sama seperti di luar kerajaan.
       
Maka kalau Menteri Besar dan kerajaan sudah tidak bermasalah untuk meneruskan pentadbiran, tiada keperluan Azmin berhenti dan kerajaan dibubarkan. Tukang komen dari semua universiti tiada kuasa dan tidak berupaya untuk menyuruhkan kerajaan bubar dan MB meletak jawatan.
      
Hanya ADUN dapat menentukan nasib MB dan kerajaan. Apabila ADUN tidak ada apa-apa, apa yang hendak disusahkan sementara menunggu PRU? - HARAKAHDAILY 12/7/2017

SIAPAKAH agaknya paling gembira dengan reaksi Umno atas dakwaan DOJ – Jabatan Keadilan Amerika dan Amerika terhadap gelora yang dialami 1MDB?
     
Tentulah Myanmar. Kerajaannya dan rakyatnya yang bersama gerakan sami Buddha di negara itu.
      
Apa yang mereka suka sangat dengan Umno itu?
      
Justeru rata-rata pemimpin tinggi Umno dan orang yang tergila-gila dengan Umno mengira dakwaan DOJ yang sedang mengambil tindakan untang-undang terhadap orang-orang yang dipercayainya berbelanja mewah di Amerika dengan menggunakan duit yang dikatakan dilarikan daripada 1MDB.
       
Lebih lagi DOJ mengaitkan apa yang dipanggilnya MO1 – pegawai nombor satu Malaysia – ada peranan dalam angkara itu. MO1 itu disahkan oleh Datuk Abdul Rahman Dahalan, menteri di Jabatan Perdana Menteri ialah Perdana Menteri sendiri.
       
MO1 DOJ Malaysia dan rata-rata pemimpin Umno mengira tindakan DOJ tidak berasas sambil menempelak Amerika campur tangan  dengan urusan dan politik Malaysia.
      
Maka serentak semuanya menyelar apa yang dikatakan campur tangan asing dan menggesa sekaliannya menentang campur tangan asing itu.
      
Campur tangan asing boleh menjejaskan kemerdekaan dan kedaulatan negara. Paling ketara campur tangan asing ia konfrantasi Sukarno dulu. DOJ ini mungkin yang kedua.
      
Habis, bagaimana Myanmar boleh suka isu DOJ atas gelora 1MDB itu? Kerana yang mengaitkan DOJ dikatakan campur tangan atas kedaulatan Malaysia dan kerajaannya.
      
Myanmar adalah menolak sikap dunia termasuk Malaysia atas penindasan kerajaan dan majoriti rakyatnya terhadap umat Islam Rohingya. Hak kerakyatan Rohingya dinafikan, kampung mereka dikepung, dibakar, dibunuh, diusir dan lain-lain.
       
Malaysia adalah antara pihak yang lantang agar PBB, OIC dan ASEAN campur tangan atas penyembelihan dan pengusiran Rohingya itu. Malah Malaysia mengirim kapal keamanan membawa makanan dan bantuan ke Myanmar untuk Rohingya yang ditindas.
       
Tindakan Malaysaia dan rakyatnya itu ditentang oleh kerajaan dan gerakan sami Buddha, bahkan rombongan keamanan itu disekat. Semua tindakan kemanusiaan Malaysia dan pejuang kebebasan-kemanusiaan dunia itu dikira oleh mereka satu campur tangan asing terhadap kebebasan dan kemerdekaan Myanmar.
      
Malaysia, umat Islam dan pejuang keamanan dunia pernah memainkan peranan penting membantu perjuangan kebebasan pimpinan nyonya Myanmar daripada belenggu dan penindasan junta tentera yang berpuluhan tahun itu.
       
Tindakan dunia itu termasuk orang Malaysia telah membantu pimpinan nyonyanya membebaskan Myanmar daripada penindasan tentera. Sekarang tindakan sama yang diberi terhadap Rohingya itu mereka kira sebagai satu campur tangan yang tidak dikehendaki kerana ia kononnya mencampuri urusan kemerdekaan dan kedaulatannya.
       
Malaysia adalah paling aktif membela Rohingya itu. Tindakan Malaysia itu ditentang Myanmar kerana campur tangan asing.
      
Sedang mereka menempelak Malaysia campur tangan dalam urusan Myanmar, maka Umno dan  MO1-nya berhadapan dengan dakwaan DOJ. Tindakan DOJ itu adalah untuk mendapatkan kembali duit yang dilarikan dan telah dibancuh di Amerika. DOJ mahu memulangkan duit kepada Malaysia.
      
Umno kata, ia adalah percubaan campurtangan Amerika atas politik dan kemerdekaan Malaysia. Yang Umno dan apa yang dikatakan MO1 tohmah DOJ dan Amerika itu samalah dengan tohmah yang pimpinan nyonyanya, kerajaan dan orang Myanmar terhadap Malaysia.
      
Myanmar mendakwa menolak campur tangan asing atas kedaulatannya. Umno pun tolak apa yang didakwanya DOJ  campur tangan urusan Malaysia.
     
Nampaknya sama saja MO1 dan nyonya, Umno dan regim Myanmar. Sama-sama menggunakan campur tangan asing bagi menolak seruan keadilan/kebenaran. – HARAKAHDAILY 10/7/2017

JUSTERU Datuk Azmin Ali ingin bertanding di Pekan demi berdepan dengan Perdana Menteri Najib, maka Tan Sri Noh Omar mencabarnya datang menentangnya di Tanjung Karang.
       
Suatu yang saya kira tidak akan dilayan oleh Azmin, justeru keinginannya adalah untuk mencabar Najib. Kecuali kalau Najib mahu ke Tanjung Karang. Sekadar untuk menghadapi Noh di Tanjung Karang, PKR akan hantar orang lain.
       
Tetapi yang amat geramkan Azmin sekarang ialah Noh. Tiada sah politik Noh barang satu hari jika dia tidak menyasarkan Azmin.
       
Sasaran Noh terhadap Azmin bukan terhadap kerusi Parlimennya, tetapi adalah Menteri Besar Selangornya. Noh tidak peduli sangat Azmin sebagai ahli Parlimen, kerana pada sifir politiknya Azmin tidak bisa sangat sebagai MP dalam pemerintahan pusat yang dikuasai oleh Barisan Nasional.
      
Jikapun Azmin kalah dengannya di kerusi ParlimnTanjung Karang tapi menang di mana-mana DUN yang Pakatan Harapan menguasai Selangor, maka Azmin akan jaadi Menteri Besar saja.
      
Maka keutamaan Noh ialah melenyapkan politik Azmin di Negeri Selangor. Itulah kerja besar Noh yang Najib beri sekarang.
      
Noh dipercayai tidak suka ke DUN.  Sekalipun dia boleh pilih mana-mana DUN yang UMNO boleh menang dan dia boleh menang, tetapi dengan kerajaan Selangor masih pada PKR/Pakatan Harapan, Noh akan jadi Ketua Pembangkang saja. Noh lebih mahu jadi menteri kerajaan pusat dari menjadi pmbangkang di  Selangor.
      
Azmin  dengan kedudukannya sebagai Timbalan Presiden PKR tidak direstui PKR bertanding di DUN yang tidak cerah baginya. Maka dia tidak akan ke Tanjung Karang sebaliknya akan pilih DUN yang terjamin kemenangannya.
      
Persepsi pegawai kerajaan Selangor tidak mengira Noh calon MB yang terbaik buat BN. UMNO dikatakan sedang mencari seorang calon MB yang boleh membawa kemenangan kepada BN.  Tetapi setakat ini Noh saja terserlah di kalangan UMNO dan kalau adapun orang UMNO yang partinya boleh kerah untuk mencabar Azmin hanya Noh. Yang masyhur selain Noh ialah Datuk Jamal Yunus. Masa dia ditugaskan mencabar Azmin.
       
Maka peranan Noh sekarang ialah mengeluarkan Azmin dari politik Selangor. Maka Noh jangan tunggu Azmin datang ke Tanjung Karang tapi Noh mesti kejar di mana saja Azmin bertanding sekalipun di kubu kuat Azmin.
        
Jangan suruh orang lain menandingi Azmin. Noh sendiri mesti mempertaruh nasibnya mengejar DUN mana Azmin bertanding. Jangan buru Parlimen mana Azmin pilih. Cari DUN mana pilihan Azmin. Kemenangan Azmin di Parlimen, pada Noh dan UMNO tidak jadi strategi utama UMNO Selangor dan Noh, tetapi keutamaannya ialah Azmin kalah di DUN.
      
Jika Azmin kalah kepada Noh di DUN barulah Noh jadi anak jantan, tapi  kalau Azmin kalah pada Noh di Parlimen Tanjung Karang, tapi tak jadi  MB Selangor, tidaklah  sama dengan Noh sendiri menjadi Menteri Besarnya.
       
Kalau Noh jadi ADUN dan Azmin tidak lagi jaadi Menteeri Besar, orang PKR lain jadi MB, maka lebih senang Noh sebagai ketua pembangkang tonyoh kerajaan Pakatan.
      
Jika Noh mahu hebat dan menjadikan UMNO Selangor lebih hebat dalam politik PRU14 nantu, Noh jangan  tunggu Azmin ke Tanjung Karang tapi buru Azmin di mana saja sekalipun Noh tumbang kepada Azmin.
     
Saya tidak kata siapa lebih kuat. Tapi itu saja caranya Noh dapat berdepan dengan Azmin. Bagi saya biar Noh kalah. - HARAKAHDAILY 9/7/2017