SAYA telah tanya kononnya ada pembesar PAS dikatakan berkata, PAS tidak bertanding di mana UMNO bertanding.
      
Yang bertanya itu berang akan konon itu justeru sayangnya dan cinta tak berbelah baginya pada PAS.
       
Jelas saya ia konon yang karut.
      
Subki 1Yang bertanya amat tidak gembira kerana konon itu ditularkan. Dengan konon dia percaya dan amat marah pada PAS. Dengan tular itu, ayahnya dan saudara mananya yang bersama PAS sejak usia masing-masing boleh berpolitik dikatakan sudah ikut rakan-rakan PASnya yang mengadakan parti sendiri.
      
Dia tidak ikut ayahnya tetapi menggantung penyertaannya dalam politik.
       
Saya kata orang PAS tidak berkata begitu dan tidak percaya orang PAS akan kata begitu apa lagilah pembesarnya.
       
Dikatanya, Mursyidul Am (TG Hashim Jasin) pun kata begitu. Lagilah saya tidak percaya. Ia adalah berita palsu dan diputar belit. Ia sah konon dan konon itupun palsu. Jika ia sudah ditular, itulah tular palsu.
      
Ia cakap yang tidak dasar PAS.
       
Bukan sekadar strategi PAS bertanding di mana UMNO bertanding, bahkan menjadi dasar menandingi UMNO di mana-mana saja. Malah di tempat yang UMNO tidak berani bertandingpun PAS sedia bertanding.
      
PAS sudahpun menularkan sekurang-kurangnya akan meletak 80 calan Parlimen dalam PRU14 nanti. 80 itu minimum.
      
Di mana 80 calon itu hendak PAS letak jika bukan di kawasan yang ditandingi UMNO? Adakah betul propagandanya 80 calon itu bertanding dengan DAP saja di bandar-bandar besar seperti Ipoh, Batu Gajah, KualaLumpur, Pulau Pinang dan lain-lain?
       
Kalau pun demi propaganda, biarlah msuk akal.
       
80 yang disebut PAS itu tentulah ahlinya – yang Islam dan Melayu. PAS mara atas semangat Gagasan Sejahteranya ada rakan-rakan Islamnya – Dewan Himpunan Penyokong PAS, Ikatan dan NGO. Tidak mustahil semua kerusi di Semenanjung, bahkan di Sabah dan Sarawak nescaya mereka penuhi.
       
Maka pada dasarnya mana-mana kawasan yang Barisan Nasional bagi pada UMNO, nescaya UMNO akan jumpalah PAS di situ.
      
MCA yang mengira hak istimewanya di kawasan yang UMNO benarkan ia bertanding selama ini sejak ia rampas DAP beberapa PRU dulu mulai sedia menganugerahkannya kepada UMNO. DUN Sekincan di Selangor misalnya, MCA tidak harap lagi. Jika UMNO hendak, ambillah.
       
Sama ada UMNO ambil atau tidak, PJ PAS Selangor, Ustaz Sallehen Mukhyi tetap sediakan calonnya.
       
Maka tular yang banyak itu adalah guna mengelirukan semua rakyat supaya membenci PAS, lebih bencinya dari UMNO dan DAP.
      
Ia sebahagian dari usaha melumpuhkan PAS. Biar orang PAS yang sudah dikelirukan kononnya ia bersekongkol dengan UMNO akan meninggalkan PAS dan rakyat yang menyokong PAS selama ini mencari calon lain dalam PRU.
       
Kita tidak dapat menghalang menularnya tular, tetapi orang PAS jangan mudah terperangkap dengan dakyah yang melanda itu.
      
PAS adalah satu dari banyak calon yang akan menandingi UMNO. Pembangkang yang banyak itu akan mengagih kawasan untuk melawan UMNO. PAS tidak perlu agih. Ia calon tetap berdepan dengan BN. - HARAKAHDAILY 24/5/2017

SELURUHNYA bersyukur kepada Allah dan lapang dada mendengar pembedahan pintas jantung ke atas Tok Guru Haji Abdul Awang berjaya dan seluruhnya berdoa moga-moga dari semasa ke semasa proses pemulihan bertambah dan pulih seperti sedia kala dengan izin Allah.
        
Sekalian kemajuan rawatan jantung seperti yang dijalani oleh beliau bertambah maju dari semasa ke semasa, berjaya lebih banyak daripada tidak berjayaa, bahkan yang tidak berjaya mulai jadi kes yang terpinggir, tetapi semuanya cemas dan gugup apabila seseorang terpaksa melalui rawatan seperti itu.
        
Kita tidak tahu apa perasaan orang yang menjalani rawatan itu, tetapi semua yang mendengar dan menunggu orang yang dikasihi menjalani rawatan itu amatlah cemas dan teruji.
       
Sekalipun kes yang tidak berjaya bertambah kecil sekarang, pembedahan seperti itu memang berisiko. Risiko menjalani rawatan seperti itu mungkin kurang risikonya dengan tidak menjalani rawatan itu atau menangguhkan rawatannya. Dirawat risiko, tidak dirawat lagi risiko.
       
Maka Allah memberi pilihan, memilih yang kurang risiko adalah yang terbaik. Ternyata yang berani dan tabah menerima ujian berjaya meneruskan usia dan berbakti kepada kepada semua. Tetapi yang tidak berani menempuh ujian, tidak dapat dipastikan usianya dapat dilanjutkan.
       
Pintasan jantung memang berisiko. Bagi setiap doktor mereka berpegang pada prinsip, jika satu-satu rawatan yang  tinggal bagi seorang pesakit ialah membedahnya, sekalipun dengan membedahnya itu ia tidak dapat diselamatkan, ia tetap dibedah dan doktor tidak teragak-agak membedahnya.
       
Berita beliau hendak menjalani pintasan jantung itu disampaikan sendiri kepada saya dalam pertemuan kami kurang dari dua minit semasa Muktamar di Kota Sarang Semut yang lalu.
      
Ada perkara lain yang saya hendak cakap kepadanya. Biasalah setiap orang apabila berjumpa bertanyakan tentang  kesihatan. Saya tanya tentang kesihatannya, terus diberitahunya beliau akan menjalani pintasan jantung lepas muktamar ini. Berdegup juga hati mendengarnya. Tetapi saya tunjukkan senyum sebagai isyarat ia kini sudah kurang risiko dengan izin Allah kecuali Allah menentukan sebaliknya.
      
Insya-Allah, kata saya, ia moga-moga selamat.
       
Ujarnya, doakan ana selamat!
       
Saya ulangi, Insya-Allah anta selamat.
       
Memang saya nampak wajah keuzurannya. Memang dalam masa beberapa tahun terakhir ini beliau uzur, berulang alik antara tinggal di wad dan di rumahnya. Selalunya saya mendengar berita uzurnya saja dari  jauh. Tetapi inilah pertama kali saya bertemu dengannya dalam masa lebih dari setahun. Memang banyak perbezaannya.
      
Sekalipun saya acap menerima berita uzurnya, tetapi beliau tetapi ligat berpusing seperti gasing berada di mana-mana saja  di pentas politik  seolah-olah sihat seperti orang yang tidak pernah sakit. Seolah-olah lebih banyak masa di luar rumah daripada di rumah.
      
Mengetahui beliau hendak menjalani pintasan jantung, lupa segala yang hendak ditanya, orang lain pun ramai, maka masa kurang  dari dua minit itu kami bercakap tentang pembedahannya saja.
     
Pagi esoknya beliau akan menyampaikan ucapan dasar. Saya tidak mengganggu dengan pertanyaan lain. Orang uzur jangan diganggu sangat.
     
Saya bimbang bagaimana beliau hendak menyampaikan ucapan dasar esok? Cukup tenaga dan kudratkah?
     
Esoknya beliau berdiri di hadapan beribu orang, tidak nampak macam orang sakit. Cukup satu jam beliau membentangkan ucapan dasar dengan penuh semangat. Begitulah pemimpin sekalipun uzur, apabila di depan pembesar suara, lupa akan keuzurannya.
     
Sekarang beliau lepas ujian pertama. Insya-Allah apabila ujian pertama selamat, beliau akan segara ke tengah gelanggang semua mudah-mudahan. – HARAKAHDAILY 23/5/2017

JUSTERU ketegasan saya mempertahankan PAS dan pemimpin semasanya atas isu-isu yang ditular, maka ada netizen menyifatkan saya  lembu  tua.
       
Saya pun cermin diri untuk menentukan betulkah saya macam lembu tua? Di cermin itu saya hanya dapat lihat saya macam saya. Orang lain yang boleh melihat apakah saya macam saya juga atau betul macam lembu tua.
      
Dengannya saya berpeluang memuhasabah diri. Betapa semua oang tidak terlepas daripada perhatian orang dan reaksi orang.
      
Jika menyifatkan saya sebagai lembu tua, maka lembu tua yang jantan cukup umur dijadikan binatang korban dan akikah. Orang beriman yang beramal demikian dijanjikan ganjaran dengan ibadat itu. Maka lembu demikian lebih bernilai di sisi Allah daripada Firaun dan Haman yang menentang Allah dan lain-lain orang yang tak berotak.
      
Jika mengata orang lembu baik muda atau tua disabitkan suatu yang tidak baik, maka yang mengatakan berdosa dan yang kena kata itu dapat pahala.
      
Apa hikmah orang yang kena kata dapat pahala? Supaya dia tidak berang dan tidak hilang akal atas yang menimpanya. Dia terus tenang dengannya kerana dia dapat pahala.
      
Kira-kira ia pahala dapat terpijak. Dia tidak beramal tapi dapat pahala percuma.
      
Jika saya dapat pahala secara demikian saya bersyukur kerana ia anugerah Allah. Tetapi kita tidak boleh bergantung pahala daripada ibadat yang kita tidak buat. Yang terbaik ia pahala daripada  amal soleh kita. Mulianya orang-orang beriman ialah banyak amal solehnya.
      
Jika orang kata kita lembu sedang kita tidak patut dikatakan begitu, kita dijanjikan satu pahala dan yang mengata dapat dosa.
      
Sekarang moga-moga diperkenankan saya dapat pahala. Kerana pahala itu bukan dari yang saya kerjakan, ia hanya dapat akibat dosa orang lain kepada kita, maka kita beroleh pahala daripada dosanya. Tidakkah itu satu sumbangannya kepada saya sedang sumbangan itu membinasakannya?
      
Kerana perbuatannya saya dapat pahala, maka dengan segala senang hati saya maafkan dia atas dosa yang disabitkan ke atasnya. Lalu terlepaslah dia dari dosanya kerana ia saya maafkan.
      
Saya teringat atas satu hadis seorang sahabat yang menuju masuk ke majlis perkumpulan baginda. Baginda memberitahu mereka yang datang itu adalah ahli syurga. Lebih dari sekali kejadian itu berlaku. Maka seorang sahabat minta dari orang itu untuk bermalam di rumahnya supaya dia dapat mengetahui apakah ibadatnya.
       
Tiga hari sahabat itu menginap di rumah ahli syurga itu. Tidak didapatinya sahabat itu melakukan ibadat yang istimewa. Dia tidak bangun qiamulil. Lalu dia bertanya sahabat itu apa amalannya hingga Nabi beritahu dia ahli  syurga. Dia kata dia tidak ada ibadat yang istimewa.
      
Mesti ada sesuatu yang dilakukannya. Maka yang dia ingat jika ia dikira ibadatnya, antaranya sikapnya menjaga hubungan baik dengan  semua orang – tidak memutuskan hubungan. Dan mengampun semua dosa orang terhadapnya.
     
Rupanya mengampun dosa orang pada kita besar pahalanya.
     
Dengan ini saya ampunkan dosa orang yang mengata saya lembu tua. Dia kata saya lembu tua, saya dapat satu pahala. Apabila saya ampunkan dosanya saya dapat satu pahala lagi. Maka saya dapat  dua pahala daripada netizen itu.
      
Maka saya tidak marah akan katanya pada saya itu sebab dia memberi saya peluang dapat dua pahala. – HARAKAHDAILY 18/5/2017

SEPATUTNYA saya tarik perhatian kerajaan yang diperintah PAS dan kerajaan Selangor yang PAS sebahagian dari kerajaan apatah lagi Datuk Iskandar Samad, Naib Presiden PAS jadi exco perumahannya.
      
Iaitu meletakkan konsep seni bina Islam dalam perancangan pembangunan perumahan, taman perumahan dan perancangan Bandar.
     
Biar semua perancangan itu dengan kehidupan seharian masyarakat Islam yang tidak dirasakan bermasalah bagi sekalian komuniti masyarakat majmuk.
     
Justeru Tan Sri Noh Omar adalah menteri pusat yang menjaga dasar perumahan dan pembangunan bandar seluruhnya, adalah wajar dia memikirkannya sebelum mengambil kuasa pemerintahan bila-bila masa saja selepas ini.
      
Jangan tunggu PAS berkuasa baru difikirkan. Siapa jua yang berkuasa patut melaksanakannya.
      
Konsep seni bina Islam itu bukanlah pada kubah bangunannya, tetapi susunan aturnya selesa  untuk umat beribadat dan dapat menghindarkan dosa.
      
Saya terfikir mengenainya kerana semasa berada di Australia dapurnya sebelah ruang tamu, suri rumah masak depan tamu yang bukan muhrim. Manakala selama 11 hari saya jadi tetamu satu keluarga Turki di Istanbul, apartmennya yang ada satu pintu saja, saya jarang jumpa isteri dan anak perempuannya, orang laki-laki yang datang ke rumah orang perempuan tak nampak,  dan orang perempuan yang datang, orang laki-laki tak jumpa.
       
Pintunya satu tetapi orang dalam rumah itu terhindar dari dosa yang tak sengaja. Ia justeru susun ruang dan biliknya yang sempurna.
      
Dengan pengalaman di Ausralia dan Turki itu, indahnya jika masyarakat Islam mendiami rumah yang selesa dalam kehidupan sehariannya.
     
Rumah selesa Islam itu dapurnya mesti tidak mendedahkan pemasak yang jantina  tidak terdedah kepada tetamu dari lain jantina, mestilah rumah yang satu pintu dan satu bilik air tidak mudah bertembung dengan yang tidak sejantina yang bukan keluarganya.
      
Sebagai yang sudah difahami ada bilik tidur bagi bapa/emak, bilik asing bagi anak laki-laki dan anak perempuan. Ada bilik bagi tetamu lengkap dengan bilik air.
      
Dipastikan kiblat tepat ke dinding, tidak menyerong ke kanan atau ke kiri. Pembuat pelan mesti tahu kiblat yang tepat supaya jimat ruang berjemaah dan supaya tetamu solat tepat arah kiblat. Ada bilik air yang tetamu tidak pergi ke dapur dan terserempak orang bukan muhrim tak menutup aurat dalam rumah.
       
Tandas tidak mengadap dan membelakang kiblat. Ia disusun kemudahan orang mencangkung semasa buang air, demi kesihatan sebelah kaki tinggi dari yang lain. Dapatkan nasihat ahli fekah kaki mana yang mesti tinggi.

Bagi rumah mewah yang tak mahu jenazah dimandikan di masjid sediakan ruang selesa untuk mandi mayat dan mengkafannya.
       
Perancang bandar dan taman perumahan rancang tong sampah letak di belakang rumah, ada lorong mudah bagi lori pengangkut sampah. Ada yang kata tong sampah di depan rumah adalah cara Yahudi. Cara Islam elok di belakang.
      
Biar taman perumahan baru dan perancang bandar yang baru dirancang lorong sesuai dengan kiblat supaya setiap rumah tepat kiblat ke dinding.
      
Sekalipun Mekah dan Madinah tidak ikut susun itu, yang baru dirancang di mana saja biarlah ikut konsep selesa dengan Islam dan bukan Islam tidak tersinggung.
     
Biar sekalian jurubina tahu peraturan itu dan jadikan ia syarat lulus bagi layak pakai.
     
Apabila konsep seni bina ini dapat dilaksana, rumah masing-masing membawa barakah bagi mencapai matlamat masyarakat matang dan sejahera. – HARAKAHDAILY 15/5/2017

PAS menjadi tarikan pesona terbesar bagi peminat politik negara ini serta terus menerus menjadi objek perbincangan samada pada sisi putih atau hitam. Ahli-ahli PAS dan masyarakat awam juga seperti tertunjal-tunjal akal untuk mengenali siapakah dan apakah latar belakang pimpinan PAS. Cukupkah dengan sekadar menggalang gelaran akademik dan status sosial untuk memimpin sebuah pertubuhan massa bernuansa Islam ini? Adakah mereka mempunyai latar belakang yang mapan dan piawai untuk mentarjih perjalanan gerakan Islam ini?.

Ustaz Nik Mohamad Abduh, antara tokoh PAS yang popular, bukan sekadar mewarisi watak ayahandanya, namun bekas pelajar Maahad Muhammadi yang pendiam ini juga mewarisi minat ayahandanya. Ulat buku ini pada asalnya meminati bidang perubatan namun almarhum Tuan Guru mahukan anakandanya menjadi ulama besar dan mewarisi perjuangan Islam. Beliau dihantar belajar ke Deoband dan Mesir.

Nik Abduh, pulang ke Kelantan dan menjadi Ketua Dewan Pemuda PAS Pengkalan Chepa dalam tempoh yang panjang dan juga Timbalan Ketua DPP Kelantan. Nik Abduh mengalahkan Datuk Ibrahim Ali dalam PRU ke-13 di konstitusi Pasir Mas. Beliau ialah penulis yang prolifik dan juga  kontroversi kepada pembenci-pembenci PAS.

Datuk Mohd Amar ialah Naib Presiden PAS yang gemar berkain pelekat, mantan Pensyarah Kanan UIA itu yang juga Koordinator Kursus di Jabatan Ilmu Wahyu Pusat Matrikulasi UIA. Beliau daripada darah keturunan ulama pejuang iaitu Tok Ayah Kedah,  manakala ayahanda, Ustaz Nik Abdullah Nik Arsyad telah mendekam dalam tahanan ISA semasa beliau berumur empat tahun. Meminati politik kerana pergulatan hidup bapanya dalam politik turut diwarisi kepada Nik Amar yang cergas dalam persatuan semenjak zaman sekolah. Di kampus, beliau terlibat dengan PMUKM, juga memimpin Persatuan Mahasiswa Fakulti Pengajian Islam UKM. Datuk Mohd Amar juga menyertai PALAPES di kampus dan ini banyak membentuk disiplin beliau dalam perjuangan Islam.

Semasa berada di pemukiman ilmu di negara penjajah, beliau aktif dalam Persatuan Masyarakat Melayu Birmingham. Beliau pernah menjadi Exco Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Naib Ketua Pemuda PAS Kelantan serta Exco Dewan Pemuda PAS Pusat. Menjadi Ahli Parlimen Pengkalan Chepa pada tahun 1995 dan seterusnya melepaskan kerusi Parlimen untuk bertanding di DUN Pachor. Beliau telah dilantik menjadi Timbalan Menteri Besar Kelantan dan sering menjadi "punching bag"  pembenci-pembenci PAS.

Dr Azman Ibrahim, anak jati Terengganu ini merupakan mantan Presiden Persatuan Pelajar Malaysia Iraq. Beliau merupakan mantan pegawai pergigian di Kementerian Kesihatan Malaysia dan mantan Pensyarah Pelatih di USM. Dalam parti, beliau pernah memikul amanah sebagai Pengarah Majlis Tindakan Dun Jabi, Timbalan Yang Dipertua PAS Setiu, AJK Perhubungan dan Ketua Lujnah Kebajikan PAS Terengganu dan Pengarah Jabatan Kecemasan dan Pengurusan Bencana Terengganu yang bertanggungjawab mengendalikan operasi banjir di Terengganu.

Dr Azman merupakan calon PAS di Dun Jabi dalam PRU 2008 dan 2013. Beliau pernah memimpin NGO i-BANTAH untuk menangani isu kolam udang i-SHARP di Setiu dan sekarang merupakan Pengerusi NGO Media, Kumpulan Aktivis Media Independen. Beliau juga terlibat dalam dunia penulisan dengan menghasilkan empat buah buku beliau, Travelog di Lembah Sungai Dajlah dan Furat, Solat dan Sains, Air Mata Kassala dan Travelog 2, Epilog Seorang Doktor Gigi Pendakwah dan Ahli Politik, di samping bergiat aktif sebagai pendakwah dan penceramah motivasi. Beliau turut terlibat dalam misi kemanusian peringkat antarabangsa di Mindanao, Sudan dan Sempadan Jordan-Syria.

Dr Ahmad Fakhruddin Sheikh Fakhrurazi, antara tokoh PAS Kedah yang berjaya yang obses dengan dunia pendidikan Islam. Beliau anak kepada ilmuwan Islam di Kedah pernah berkhidmat sebagai Pengetua sekolah Agama Rakyat daripada tahun 2000 sehingga tahun 2015. Di antara individu yang berusaha mewujudkan Majlis Guru Besar Sekolah Rendah Islam Negeri Kedah (MERSIK) dan diberi amanah sebagai Setiausaha, di samping pernah menjawat jawatan setiausaha di dalam Majlis Pengetua Sekolah Agama Rakyat Negeri Kedah.

Beliau merupakan Setiausaha MTD Tanjung Dawai bagi dua penggal. Pengarah DUN sepenggal, begitu juga Pengarah JPRK Merbok. Pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Dewan Ulamak Kedah sebelum dipilih sebagai Ketua Dewan Ulamak Kedah. Pernah dilantik pemegang jawatan Timbalan Pesuruhjaya III sesi 2013-2015 sebelum ke jawatan Pesuruhjaya Negeri Kedah. Beliau juga merupakan Calon PRU13 DUN Tanjung Dawai.

Dr Halimah Ali yang berketurunan Cina merupakan penasihat International Islamic Academy of Life Sciences and Biotechnology. Beliau yang juga mantan Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Kerajaan Selangor juga merupakan pengasas Jejak Ilmuwan Selangor, di samping menjadi Pengerusi Lembaga Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor, yang mana perbadanan ini merupakan perbadanan perpustakaan terbaik di seluruh negara.  Dr Halimah yang juga merupakan aktivis bantuan kemanusiaan tanpa sempadan merupakan Chairman Founder Yayasan Pendidikan Islam Selangor (YAPIS) dan beliau merupakan pengasas Kolej Integrasi Tahfiz Tunas Ilmuwan Selangor (KITTIS).

Bekas pimpinan pelajar Universiti di Australia ini merupakan Pengasas Quranik Botanical Garden SRA dan SRI Farabi.  Beliau yang meminati kerja-kerja kesukarelawan ini merupakan pengasas Briged Amal Selangor dan Pasukan Bomba Sukarelawan Selat Klang. Dalam NGO,  Dr Halimah diamanahkan sebagai Ketua Amalnita Malaysia yang telah banyak keluar negara melakukan misi-misi bantuan kemanusiaan. Beliau yang terkenal sebagai seorang tokoh pimpinan muslimat merupakan Pengasas GeMS iaitu Generasi Idaman Selangor dan jawatankuasa induk menangani gejala sosial Selangor.

Kamaruzaman Mohamad dilahirkan di Rantau Panjang, Kelantan. Beliau merupakan aktivis pelajar kampus di mana pernah mewakili Majlis Perwakilan Pelajar (MPP UPM) selama tiga tahun pada tahun 1994-1997. Anak muda kelahiran Kelantan ini merupakan Timbalan Presiden Persatuan Silat Gayong UPM dan telah mewakili UPM dalam Silat Seni dan Silat Olahraga, dan pernah mendapat tempat kedua dalam Silat Olahraga di Pertandingan antara universiti-universiti Malaysia. Kamaruzaman pernah terlibat dalam bantahan Akta Pengkorporatan Universiti dan juga membantah Kriket Israel pada April 1997.

Mantan Ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan dan mantan Ketua Pemuda PAS Lembah Pantai ini,  adalah antara penggerak dalam semua bantahan awam mega seperti BERSIH 1, BERSIH 2 dan BERSIH 3. Begitu juga perhimpunan anti TPPA, perhimpunan membantah DLP, perhimpunan membantah ISA, dan perhimpunan membantah kenaikan harga minyak dan GST. Ini juga menyebabkan beliau sentiasa berdepan dengan pihak keselamatan dan beberapa kali telah dilokapakan akibat himpunan bantahan awam di negara ini.  Kamaruzaman adalah Pegawai Khas Presiden PAS sejak 2013 dan beliau merupakan Timbalan Pesuruhjaya Wilayah Persekutuan 2013-2017.

Datuk Dr. Mohamed Fadzli Datuk Hassan merupakan Pensyarah di Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, UIAM. Beliau merupakan Penolong Profesor Undang-undang Ahmad Ibrahim daripada tahun 2002-2008. Anak kepada mantan pimpinan PAS iaitu Ustaz Hassan ini merupakan Penolong Pengarah di Pusat Undang-undang Harun M. Hashim, UIAM semenjak tahun 2004-2008. Beliau juga merupakan Penasihat Syariah, Standard Charted Bank 2005-2008 dan sekarang menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Temangan 2008 sehingga kini.  Beliau juga dilantik menjadi Exco Kerajaan Negeri Kelantan oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat semenjak tahun 2008 sehingga kini.

Semasa belajar di kampus UIAM, beliau adalah Amir Jamaah dan merupakan Presiden Hizbi United Kingdom dan Eire pada tahun 1999-2001 (sebuah persatuan pelajar Islam terkemuka di United Kingdom). Beliau merupakan Pengerusi Forum Malaysia United Kingdom dan Eire 1999-2001 (FMUKE merupakan sebuah persatuan induk yang dianggotai oleh lebih dari 20 buah persatuan pelajar Malaysia di United Kingdom dan Ireland), juga Pengerusi Gabungan Pelajar Islam Malaysia Sedunia 2000-2001 (GPIMS – Sebuah gerakan pelajar yang menggabungkan persatuan-persatuan pelajar dari United Kingdom, United States of America, Timur Tengah, Pakistan, India, Indonesia dan Jepun). Beliau pernah menjadi Ahli Lembaga Pengarah Pusat Strategik PAS dan memegang jawatan sebagai Penolong Setiausaha Kerja Lajnah Tarbiyyah PAS Pusat. Beliau juga pernah menjadi AJK Institut Latihan dan Kepimpinan PAS Pusat (ILHAM) dan diamanahkan memegang jawatan sebagai Timbalan Pengarah ILHAM.

Berlatarbelakangkan  pendidikan beliau dalam undang-undang Syariah,  beliau telah dipilih sebagai salah seorang Konsultan Syariah kepada institusi perbankan dan jabatan kerajaan, juga menjadi Ahli Majlis Kebangsaan PERKIM dan seterusnya memegang jawatan sebagai Timbalan Pengerusi II PERKIM Negeri Kelantan. Alumni Kolej Islam Kelang (KIK)  ini juga kini dipertanggungjawabkan  untuk memikul pelbagai amanah dalam kepimpinan PAS antaranya sebagai Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Machang, Ketua Penerangan PAS Kelantan, YDP PAS Kawasan Machang, dan Timbalan Pesuruhjaya III PAS Negeri Kelantan.

Ustaz Misbahul Munir Masduki ialah mantan Presiden Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya. Tokoh PAS Perak ini mantan Naib Ketua Pemuda PAS Perak serta mantan Ketua Pemuda PAS Perak. Pernah menjadi Johan Debat Antara Guru Peringkat Kebangsaan selama dua tahun berturut-turut.

Misbah dianugerahi anugerah guru cemerlang pada tahun 1999 serta menjawat pelbagai jawatan dalam parti semasa masih menjadi penjawat awam. Antaranya Ketua Pemuda Bagan Dato, YDP PAS kawasan Bagan Dato serta pernah tiga kali bertanding di DUN Rungkup. Anak Jawa ini juga aktif dalam gerakerja dakwah dan misi bantuan kemanusiaan, pernah menjadi setiausaha Politik Menteri Besar Perak pada tahun 2008 apabila PAS bersama rakan politiknya berjaya menawan negeri tersebut.

Dr Shamsuri Mokhtar merupakan Pengarah Pilihanraya PAS Pusat yang baru merupakan anak kelahiran Besut. Beliau mula mengunjungi kuliah pengajian Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang di Rusila dan Ust Awang Jidin (Tukul Besi) di Batu 6, sejak dari berada di Tingkatan Satu semasa bersekolah di sebuah sekolah asrama penuh yang berhampiran pada zaman kehangatan ceramah dan kuliah, era tahun 1983 - 1987. Beliau memulakan pengajian Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanik dan Bahan di UKM pada sesi 1989/90 dan menjadi Exco PMUKM Sesi 1990/91 di era Islam Penyelamat Ummah menjadi peneraju PMUKM, di mana beliau menang tanpa bertanding pilihan raya kampus untuk kerusi fakulti.

Beliau pernah menjadi SU Cawangan Changkat Batu Gajah (Perak) sekitar tahun 1994 ketika bekerja di USM Cawangan Tronoh pada masa itu. Beliau seterusnya menyambung pengajian ke Leeds, England pada Oktober 1995 dalam peringkat Masters in Combustion and Energy, dan tamat PhD dalam kajian "High Altitude Aero-engine Ignition and Combustion" di universiti yang sama pada tahun 2001. Kajian PhD itu juga antara lainnya sebahagian dari kajian besar bersama Rolls Royce Plc. yang juga pengeluar enjin kapal terbang terkemuka dunia. Sepanjang berada di UK, Dr Shamsuri pernah menjadi Timbalan Presiden al-Hizbul Islami UK & Eire, dan Ketua Komuniti Melayu Leeds.

Beliau pulang ke tanahair pada tahun 2001, dan kemudiannya bertugas di sebuah IPTA sehingga akhirnya beliau tekad melepaskan jawatan pada tahun 2009 sebagai Professor Madya untuk berkhidmat sepenuh masa sebagai Setiausaha Politik Presiden PAS. Sepanjang dalam perkhidmatan di universiti, Dr Shamsuri pernah menjadi Pengerusi Jemaah Dekan Aeroangkasa IPTA Malaysia, Penasihat Bidang Aeroangkasa kepada Menteri Pengajian Tinggi dan Ketua Pengarah Pengajian Tinggi pada tahun 2006-2007.

Beliau pernah mengetuai delegasi Kementerian dan IPTA untuk mengadakan perbincangan teknikal di China - Korea - Jepun iaitu dengan China National Space Agency, Korean Space Agency dan Japan Aerospace Exploration Agency. Beliau juga pernah mewakili negara ke Persidangan Teknikal Teknologi Aeroangkasa anjuran National Aeronautics and Space Administration (NASA) di Washington sekitar 2006.

Akhirnya pada awal tahun 2009 beliau melepaskan jawatan akademik di IPTA. Bermula pada tahun 2001 sehingga beberapa tahun kemudiannya, Dr Shamsuri dilantik menjadi Ketua Modul, Ahli Lembaga ILHAM di bawah Lajnah Tarbiyah PAS Pusat, di samping sebagai salah seorang tenaga Think Tank Tuan Guru Abdul Hadi Awang. Beliau juga turut diundang memberikan ulasan semasa berlaku tragedi MH370 & MH17, di dalam Astro Awani, TV1, TV Hijrah, TV2 dan Radio IKIM. – HARAKAHDAILY 14/5/2017

DATUK Hishammuddin Hussein, Naib Presiden Umno mempunyai hak dan sebab mendakwa apa yang dikatakannya kebijaksanaan memimpin parti itu sejak zaman datuknya Dato’ Onn Jaafar lagi, tapi dia mugkin tidak cerdik menempelak pimpinan pembangkang yang rata-rata mempertikai kebijaksanaaan Umno itu termasuk apa yang datuknya kata tentang Umno dan pemimpin-pemimpinnya.
   
Hisham secara borong merasakan apa yang pembangkang dari semasa ke semasa buat itu adalah tidak bijaksana.
      
Dia mungkin betul tetapi dia tidak dapat kecualikan datuknya dan dia mungkin tidak tumpangkan datuknya dalam kebijaksanaan pemimpin Umno semasa memimpin Umno dulu.
      
Mungkin datuknya bijaksana semasa menubuh dan memimpin Umno. Kalau pimpinannya juga bijaksana, mengapa dia tinggalkan parti yang ditubuhkannya dan membentuk dua parti dalam masa yang berbeza menentang Umno hingga mati? Mula-mulanya IMP – Parti Kemerdekaan Malaya – dan Parti Negara.
      
Jika datuknya bijaksana dia tidak tinggalkan Umno yang dikatakan bijaksana itu. Adakah  bijaksananya semasa memimpin Umno dan apabila meninggalkan Umno bagi jadi pembangkang, maka datuknya sudah tidak bijaksana lagi?
      
Dato’ Onn tentu tidak setuju dia dikatakan tidak bijaksana meninggalkan Umno dan tidak bijaksana menentang Umno hingga ke akhir hayatnya.
       
Hisham jangan kata pembangkang yang membangkang Umno serba serbi itu tidak bijaksana kerana ia menempelak datuknya sama. Dia tidak boleh kecualikan datuknya saja. Semasa memimpin Umno  dia bijaksana dan semasa menentang Umno juga dia bijaksana.
      
Selepas dia meninggalkan Umno, tidak ada apa yang Umno buat itu betul. Tidak sama langsung dengan PAS dan TG Haji Abdul Hadi sekarang yang mengaku betul apabila pimpinan Umno buat betul dan mengata tidak betul apabila mereka tidak bijaksana, dan tidak bijaksananya lebih banyak daripada bijaksana.
      
Umno tetapkan tarikh kemeerdekaan 31 Ogos 1957. Dato’ Onn kata terlalu cepat, patut dilambatkan sikit. Kedudukan orang Melayu selepas merdeka yang Umno kata terjamin, Dato’ Onn kata tak terjamin. Rangka Perlembagaan yang digubal oleh Suruhanjaya Reid dikatakan terbaik oleh Umno, Dato’ Onn kira hampas. Kemerdekaan yang dicapai itu terbaik bagi Umno, Dato’ Onn kata kosong.
      
Panitia sambutan kemerdekaan memberi 150 pas menyaksikan penyerahan kemerdekaan daripada British kepada Tunku Abdul Rahman Putra di Stadium Merdeka kepada setiap parti pembangkang, Dato’ Onn pulangkan balik semua pas itu. Dia tidak iktiraf kebijaksanaan kemerdekaan yang dianugerah British itu.
       
Bolehlah dikira legasi Dato’ Onn ialah apa yang dilakukannya selepas meninggalkan Umno. Macam-macam orang Umno tempelak Dato’ Onn setelah dia menenetang Umno.
     
Boleh dikira setiap orang Umno itu menyampah kepada Dato’ Onn. Yang terus baik dengan Dato’ Onn masa itu, kata Tunku kepada saya ialah Tun Razak. Ketika Umno memutuskan sekalian pimpinan Umno meninggalkan jawatan kerajaan yang pimpinannya. Sekalian pemimpin Umno meletak jawatan. Yang tidak meletak jawatan, kekal sebagai Setiausaha Kerajaan Pahang  ialah Tun Razak.
      
Kata Tunku, ‘…. Dia dok baik dengan Dato’ Onn. Sebelah kakinya bersama saya, sebelah lagi bersama Dato’ Onn.
       
Tiada kajian tentang sikap Kapten Hussein Onn selepas ayahnya menentang Umno. Yang sah, dia hilang daripada Umno. Apabila semua peguam Melayu menandatangan memorandum menentang Akta Bahasa 152, Kapten Hussein menandatangan sama. Dalam PRU 1969 dia jadi calon Perikatan.
      
Ada waris Dato’ Onn tidak senang kerana mereka sayangkan Dato’ Onn. Legasinya tidak hormatinya. – HARAKAHDAILY 13/5/2017

KEPUTUSAN sebelah pihak PAS memutuskan tahaluf dengan PKR yang Muktamar 63 parti itu di Kota Sarang Semut 30 April lalu lihat hukumnya harus.
       
Muktamar sebagai pembuat dasar tertinggi dalam parti adalah  wajib. Tidak dapat tiada mesti dijalankan tetapi muktamar itu pula menyerahkan muktamadnya kepada Majlis Syura Ulamak.
       
MSU tentunya tidak akan melanggar keputusan muktamar. Tidak salah MSU membuat keputusan lain kerana muktamar telah memberi  kepercayaan kepadanya. Ia boleh buat keputusan lain – tolak, terima atau tawakuf.
      
Apabila ia diserahkan kepada MSU, selagi MSU belum membuat keputusan, maka logik hukumnya ia sudah jadi harus. Sesuatu yang harus tidak mestinya dilaksanakan. Ia boleh laksana dan boleh tidak laksana. Ia boleh tangguhkan kepada suatu masa yang difikirkan sesuai. Apa jua yang MSU putuskan adalah sesuai dengan mandat yang muktamar beri kepadanya.
      
Semasa Muktamar membuat keputusan itu ia tidak menyatakan berkuatkuasa serta merta. Tidak ada tempoh dinyatakan bila ia dimulakan.
      
Ketika rencana ini dibuat, MSU belum mengadakan mesyuarat. Ketika ia tersiar mungkin keputusan sudah dibuat. Sebelum MSU membuat keputusan, maka tidak wajar mana-mana pihak mendahuluinya. Berilah kepada kebijaksasnaan TG Hashim Jasin, Mursyidul Am membuat apa yang terbaik untuk parti itu. TG Presiden dan Ketua Dewan Ulamak pun tidak mengenakan tekanan kepadanya.
     
Membatalkan tahaluf dengan PKR itu tidak sama dengan membatalkannya dengan DAP. Dengan DAP tiada perbahasan dan pelaksanannya dibuat serta mereta. Dengan PKR dibentangkan kepada Muktamar dan perwakilian diminta mengundi sekalipun Pengerusi Tetap tidak bertanya siapa yang menentang.
      
Yang muktamar putuskan itu adalah keputusan politik. Sifir politik tidak seperti sifir matematik. Sifir matematik dua campur dua jadi empat. Sifir politik, dua campur dua belum tentu empat. Ia boleh jadi lima atau tiga.
      
Sebagai keputusan politik, kerana ia dalam rangka berpolitik matang demi kesejahteraan semua, ia  tidak memberi tarikh akhir kepada tahaluf itu. Ia boleh dilaksanakan sekarang dan boleh dilaksanakan bila-bila masa sebelum Dun dan Parlimen dibubarkan.
      
Setakat ini sama ada  MSU membuat keputusan atau tidak membuat  keputusan,  tamat tahaluf itu adalah bermula dalam PRU14 nanti.
      
Jika ia cenderung untuk mengakhirinya pada PRU itu, ia adalah untuk memberi peluang kepada PKR membuat persediaan untuk menghadapi PRU itu tanpa PAS. PAS tidak letakkan PKR dalam keadaan terperangkap. Ia diberi masa yang  cukup untuk membuat apa yang terbaik untuknya dan apa yang terbaik untuk  rakyat Selangor sebelum Dun dibubarkan.
      
Kerana Datuk Azmin Ali itu jadi Menteri Besar adalah politik PAS yang semua orang tidak faham masa itu dan sekarang, maka PAS tidak mahu susahkan Menteri Besar yang ia turut naikkan.
       
Jika Azmin gantikan mana-mana Exco PAS dengan parti lain dalam kerabat Pakatan Harapannya, maka bermulalah pelaksanaan Muktamar itu serta merta. Jika PKR tolak PAS daripada kerajaan Selangor sekarang, maka boleh dikira yang memutuskan tahaluf itu adalah PKR, bukan keputusan muktamad dari Muktamar PAS.
      
Azmin banyak membuat reaksi politik yang bijak dan tidak membenci PAS. Dan PJ PAS Selangor yang baru YB Sallehen Mukhyi berdiplomasi seadanya mahu terus menghulur tangan kepada PKR Selangor bagi memelihara kerajaan yang diberi mandat oleh rakyat pada PRU 13 dulu.
      
Banyaklah yang meracau dengan politik matang dan sejahtera PAS dengan keputusan harusnya itu. – HARAKAHDAILY 11/5/2017

PAS pasca Muktamar 63 membuat rombakan dalam pentadbirannya dengan mewujudkan tiga zon pentadbiran – utara, selatan dan timur yang masing-masing diketuai oleh seorang Naib Presiden.
      
Zon Utara diketuai oleh Naib Presiden Ustaz Idris Ahmad, yang meliputi Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak. Selatan di bawah Datuk Iskandar Samad untuk Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Wilayah Persekutuan (termasuk Labuan) dan Selangor, manakala Datul Nik Amar bertanggungjawab atas Zon Timur yang mengandungi Kelantan, Terengganu, Pahang, Sabah dan Sarawak.
      
Dalam  rombakan itu Datuk Mustafa Ali yang tidak putus-putus berada dalam Jawatankuasa PAS Pusat sejaktahun 70-an setelah menjadi Ketua Dewan Pemuda pertama kali tiada dalam JKKKP dalam rombakan ini. Dia telah berada dalam badan tertinggi itu lebih lama daripada Presiden TG Haji Abdul Hadi Awang dan mungkin orang paling lama berada dalam barisan pimpinan utama itu.
      
Turut dirasakan oleh setengah orang diundurkan ialah Datuk Iskandar Samad, yang dipilih semula menjadi Naib Presiden tetapi tidak lagi menjadi Pesuruh Jaya Selangor yang digantikan oleh Sallehen Mukhyi  Adun dan bekas Exco kerajaan Selangor.
       
Dia diundurkan bagi meringankan tanggungjawabnya sebagai Naib Presiden yang terpaksa memantau lima buah negeri zon selatan dan tengah, satu keduduakan yang penting dalam usaha PAS memenangi semua negeri itu dalan PRU nanti khususnya Selangor, negeri yang menjadi sasaran PAS.
       
Maka pentadbiran Selangor diserahkan kepada Pesuruhjaya lain sambil ia dipantau oleh Iskandar sendiri. Ini bererti Selangor dijaga bersama oleh Iskandar dan Sallehen.
      
Dalam rombakan itu PJ Johor dan Terengganu juga bertukar. Datuk Dr. Mahfodz Mohamed digantikan oleh Ustaz Abdullah Husein, Adun Johor yang juga ahli JKKK pusat sejak 2015. Dr. Mahfodz sebagai Ketua Dewan Ulama pernah melepaskan PJ Johor itu sebelum Muktama 61 di Kuala Selangor dulu. Beliau kembali menjadi PJ kerana ramai pimpinan penting Johor terlibat dalam usaha mengubah konsep kepimpinan ulama dalam PAS.
       
PJ Tereangganu, Datuk Husein Awang adalah bekas Speaker Terengganu, seorang ulama seangkatan dengan TG Haji Hadi dan Ustaz Harun Taib,
     
Sebagai PJ inilah pertama kali beliau masuk dalam mesyuarat pimpinan tertinggi itu sekalipun tidak jadi anggota JKKK kerana PJ lazimnya menghadiri mesyuarat JKKKP  Pusat.
      
Yang betul-betul baru dalam pimpinan parti itu ialah Dr. Samsuri, Setiausaha Politik Presiden sejak beberapa penggal lalu yang kini menjadi ketua urusan pilihan raya yang menjadi seorang dari anggota jawatan kuasa harian dan lajnah politik PAS Pusat. Dia menggantikan Datuk Mustafa Ali yang pertama kali tiada dalam barisan depan sejak lebih 40 tahun.
      
Demi beliau adalah orang dihormati oleh semua dalam parti, saya tidak fikir dia sengaja digugurkan justeru kemahirannya dalam politik parti itu. Tetapi dalam pertemuan singkat saya dengannya dan TG Haji Abdul Hadi Awang dalam muktamar baru-baru itu, dia mengaku sakit lutut yang sukar untuk cergas. Kesihatannya dari lutut ke atas terkawal. Dari lutut ke bawah terganggu.
      
Itulah masalah saya menyebabkan saya berundur tahun 2006 dulu. Ditanyanya saya tentang masalah saya dari lutut ke bawah. Jawab saya sudah lebih 10 tahun tidak bermasalah lagi.
     
Apa ubat saya? Tanyanya. Jawab saya, semua yang dikatakan ubat, saya makan. TG tergelak dan saya faham Tok Guru mengetahui keuzurannya.
      
Kepantasan berfikirnya dan memahami politik tinggi masih tidak terganggu. Masalah kaki dan lutut dululah yang menghalang saya cergas.
     
Rombakan PAS ini strategi kabinet perang dan budaya politik matang dan sejahtera. – HARAKAHDAILY 9/5/2017

CARA Brexit selesaikan hubungannya dengan Komuniti Eropah telah kita ketahui iaitu Britain mesti menyelesaikan hutangnya dulu.
      
Yang jadi perhatian sekarang ialah cara mana PAS dan PKR hendak mengakhiri hubungannya kerana mereka terikat dengan kerajaan di Selangor.
      
Adapun soal tahaluf siyasi antara kedua parti itu tidak berbangkit lagi kerana Muktamar PAS ke-63 telah melulusnya kira-kira sebulat suara.
      
Yang dikatakan sebulat suara itu ialah perwakilan yang berdiri menyatakan sokongan penuh Dewan Muktamar. Pengerusi Tetap lepas itu tidak pula minta perwakilan yang tidak setuju berdiri. Jika dia minta yang tidak setuju berdiri tahulah kita berapa orang saja yang tidak setuju.
      
Memang usul itu amat popular. Cuma saya tidak puas hati kerana tidak banyak maklumat mengapa tahaluf siyasi itu ditamatkan. Sesuatu usul yang dibawa ke muktamar, bukan sekadar mahukan keputusan setuju atau tidak, tetapi adalah untuk mendapat sebanyak maklumat yang boleh.
      
Kita tahu bahawa payah hendak mengekalkan tahaluf itu, tetapi bawa sesuatu usul unuk dibahas ialah bagi mendapatkan sebanyak-banyak maklumat. Maklumat itu boleh didapati melalui perbahasan terbuka. Keputusan yang baik ialah kita berpeluang mendengar hujah mengapa ia mesti putus dan apa pula maklumat ia tidak putus-putus. Ia boleh memberi pencerahan politik kepada semua baik dalam parti mahupun di luar parti.
       
Kerana yang mahu putus dikira menyeluruh, maka muktamar yang mendengar hujah pembentang usul dan penyokong saja. Lepas itu diundi. Jika ia dibuka kepada perbahasan, nescaya kayalah kita dengan maklumat politik. Dan nescaya ia meringankan kerja penyelidik membut kajian.
       
Soal pecah tidak  dapat dihalang lagi. Ibarat suami isteri yang sudah ramai anak tetapi hidup tidak serasi. Jalan terbaik ia keluar dari rumah lebih baik daripada hidup dalam rumah yang pecah.
       
Soal pecah sudah tidak timbul lagi. Ia sudah diputuskan oleh muktamar. Yang jadi perhatian ialah cara mana dan apabila ia hendak ditamatkan.
      
Secara teknikalnya ia mesti diluluskan oleh Majlis Syura Ulama. Tiada cara Majlis Syura mungkin membuat keputusan yang berbeza setelah ia diputuskan oleh Muktamar. Muktamar secara umumnya adalah pembuat dasar yang terpenting. Kuasa yang diberi kepada Majlis Syura adalah sebagai satu adab dan menapis keputusan yang diambil justeru ia adalah badan pakar dalam parti.
       
Sekarang adalah masa bagi kedua parti itu meneliti kerja-kerja  teknikal bagi memulakan tamat tahaluf itu kerana membabitkan kerajaan Selangor. Apakah ia dilaksanakan bila-bila masa saja sekarang atau tunggu sehingga tamat apabila Dun dibubarkan dalam pilihan raya umum serentak dengan pembubaran Parlimen?
       
Keputusan yang dibuat oleh muktamar itu adalah sebahagian daripada ciri-ciri politik matang dan sejahtera yang jadi wawasan PAS sekarang. Dan kerja menamat tahaluf dan masanya sudah tentu mencerminkan pengisian budaya poitik matang dan sejahteranya.  
      
Semuanya sedang memerhatikan pengisian awal BPMS itu menyuluh cara mana akan dilaksanakan kiranya PAS menawan Selangor selepas pilihan raya  nanti. Ia akan jadi panduan kepada pengundi untuk bersama dalam pilihan raya itu nanti.
      
Secara mudah PAS boleh keluar daripada kerajaan Selangor hari ini juga. Tetapi ia akan meninggalkan kesan kepada kerajaan dan PKR tentu ada langkah persiapan bagi menghadapinya. Apa ia hendak buat?
     
Pecah tetap pecah tetapi cara pecah itu hendak bermula dan bila? – HARAKAHDAILY 8/5/2017

PAS telah meluluskan usul menamatkan tahaluf siyasi dengan PKR. Ia satu cara yang baik bagi memudahkan PKR menghadapi PRU14 tanpa PAS. Ini membolehkan PKR meletakkan calonnya di mana-mana. Tidak memerlukannya berbincang dengan PAS.
       
Adalah lebik baik PKR dimaklumkan dulu. Mereka tidak terperangkap pada saat terakhir.
       
Ramai yang susah hati dengan keputusan PAS khususnya dari orang PAS yang beruzlah dengan PAS. Ia dirasakan PAS mengambil tindakan kamikaze – bunuh diri.
       
Tapi saya ada cerita yang menyenangkan hati.
       
Semasa di Kedah kerana muktamar PAS 63, saya bercakap dengan seorang awam yang saya rasa dia bergaul dengan semua orang. Dia dengan kerjanya, tidak mengikut muktamar.
      
Katanya, kebanyakan orang Kedah tidak mengundi Umno/BN dalam pilihan raya kali ini. Tetapi dia tidak tahu siapa yang menang antara PAS dengan Bersatu.
      
Orang yang menyokong Bersatu sekarang ramai. Dia tidak ceritakan mengapa orang tidak mahu undi Umno. Tetapi dia kata, ramai orang suka Mukhriz. Orang tak suka Menteri Besar sekarang.
     
Antara yang menyebabkan mereka suka Mukhriz, dia dikatakan tidak mengambil gaji. Elaun wakil rakyatnya habis dibagi kepada masjid.
     
Peluang bagi PAS sekarang sama banyak dengan Bersatu.
     
Saya bercakap juga dengan orang-orang Kelantan yang hadir di muktamar. Ancaman pada PAS di Kelantan sekarang bukan Umno dan Pakatan Harapan. Tetapi Bersatu.
     
Lain-lain parti pembangkang dalam Pakatan Rakyat tiada pengaruh di Kelantan, tetapi Bersatu lebih kuat daripada yang lain-lain. Untuk kata Bersatu boleh mengalahkan PAS adalah terlalu laju.
     
Dalam suasana sekarang bertanding lebih daripada dua penjuru menguntungkan PAS. Pembangkang PAS di Kelantan sekarang, kata mereka tidak bersatu. Mereka berpecah antara Umno dan Pakatan Harapan.
    
Sekalipun Bersatu lebih pengaruh daripada Pakatan, masih disangsikan ia cukup untuk mengalahkan PAS.
    
Seorang perantau Kelantan di Kuala Lumpur memberitahu saya, Umno di Kelantan bukan saja tidak mahu ada pilihan raya, tetapi mereka juga tidak mahu hari raya.
     
Jika boleh, biar puasa dalam bulan Ramadhan ini tidak berakhir pada hari raya. Biarlah orag lain semuanya berhari raya, tetapi mereka mahu terus berpuasa.
      
Semua yang saya dengar di Kedah dan Kelantan itu cerita yang menyenangkan hati orang PAS. Saya belum dengar apa-apa cerita orang di Perak, di Johor dan di Pahang.
     
Jika betul di Kedah dan Kelantan Bersatu boleh muncul bagi mengikuti PAS dari belakang, maka tidak mustahil di negeri-negeri lain juga Bersatu menjadi tenaga yang penting mengancam Umno.
      
Kelebihan Bersatu daripada sekutu Pakatan Harapan yang lain ialah ia meraih sokongan orang Umno yang tidak sukakan Najib dan tidak lagi yakin Umno masih memperjuangkan perjuangan Umno. PKR mungkin berupaya meraih lagi sokongan pengundi Cina dan India tetapi sebahagian daripada kekuatan PKR dulu adalah kekuatan PAS.
      
Jika PAS yang sabar bulat di belakang PAS, maka penyokong PKR tidak sekuat dulu lagi.
       
Apabila orang PAS semuanya jadi seperti sirih pulang ke gagang, maka harapan Pakatan Harapan bergantung kepada harapan saja.
      
Maka dengan semua penglipur lara yang menyenangkan hati orang PAS, jika betul sebagai yang diceritakan, saingan PAS selain Umno sekarang ialah Bersatu. Jika Bersatu tidak memikir untuk meraih undi Cina dari DAP, bertahaluf PAS dengan Bersatu boleh jadi pukulan maut kepada Umno. – HARAKAHDAILY 5/5/2017

SAYA amat cemas apabla Rafizi Ramli, MP PKR Pandan hendak mendedahkan ada orang penting yang rapat dengan pimpinan PAS dikatakan menerima duit daripada syarkat 1MDB yang menggelorakan politik Umno dan kerajaan sekarang.
       
Apabila didedahkan nanti matilah PAS menghadapi fitnahnya.
        
Siapalah gerangan orang yang dikatakan oleh Rafizi itu.
        
Sedang dilamun susah hati itu saya terbaca berita Pesuruhjaya PAS Perak menziarahi Ustaz Taliban, ahli Jawatan Kuasa PAS Pusat yang dimasukkan ke Hospital Taiping. Sakitnya tidak diketahui tetapi apabila dimasukkan ke hospital tentulah keadaannya kecemasan.
       
Fikiran saya terus tersentak, jangan-jangan dia orang yang dimaksudkan oleh Rafizi itu.
       
Banyak orang yang segar dan dipercayai sihat tiba-tiba diserang penyakit mengejut seperti pitam, diserang jantung dan lain-lain disebabkan gangguan fikiran. Daya tahan badan tak terdaya melawan serangan gangguan fikiran. Ada yang mati.
       
Serangan Rafizi terhadap PAS itu memang teruk. Jika ia benar alang-alang pak lebai tidak terdaya menghadapinya.
      
Saya tidak tahu daya tahan badan Ustaz Taliban. Dalam keadaan PAS terancam itu, dia saja seorang PAS yang segar, uzur mengejut dan diburu serta merta ke hospital. Sangka saya dialah agaknya yang menerima duit 1MDB itu.
      
Syak saya itu kerana terasa dia banyak duit.
      
Sebelum itu dia diamanahkan oleh PAS Perak menganjurkan makan malam bagi perantau PAS Perak di Kuala Lumpur. Kata Pesuruhjaya PAS Perak, dia diberi masa kurang daripada sebulan untuk mengadakan majlis itu.
      
Saya hadir. Ramai yang hadir antaranya datang khas dari Perak. Saya kira ia amat berjaya dan pujian boleh diberi kepadanya kerana berjaya mengumpulkan ramai anak Perak malam itu.
      
Antara yang menarik perhatian saya ialah cabutan bertuah. Biasalah cabutan bertuah itu diadakan dalam mana-mana majlis.
      
Tetapi bilangan cabutan bertuah yang diadakannya banyak. Hadiahnya pun banyak. Lebih RM500 tiap-tiap satu. Saya anggarkan jumlah untuk cabutan bertuah itu besar juga. Jika jumlah itu diberi kepada derma pilihan raya, tentu ia meringankan.
      
Saya tertanya, dari mana dia dapat yang banyak itu?
      
Biasanya orang yang senang memberi duit yang banyak kepada orang kerana dia senang dapat duit.
      
Saya teringat seorang pembesar USNO dari Sabah kira-kira 40 tahun lalu. Dia ajak saya berbual-bual tentang politik di hotel di Kuala Lumpur. Sebelum kami berpisah dimasukkannya ke poket baju saya sekeping not wang kertas.
       
Banyak mana agaknya? Seribu ringgit!
       
Apa ni Dato? Banyaknya?
       
Ujarnya, Saya senang dapat duit. Saya tidak patut makan seorang. Saya mesti kongsi dengan oang lain.
      
Saya sangka, kalau betul ada orang yang rapat degnan pemimpin PAS menerima duit dari 1MDB, tentulah dia Ustaz Taliban.
      
Apabila Rafizi umumkan namanya, bukan Ustaz Taliban, saya senang hati kerana ia bukan Ustaz Taliban. Tetapi saya telah berdosa kepadanya kerana menyangka yang bukan-bukan terhadapnya. Saya harapkan beribu-ribu ampun daripadanya. Tiada cara terlepas daripada dosa itu kira dia enggan mengampunkan saya.
      
Saya jumpa dia di Muktamar PAS di Kota Sarang Semut. Dia ketawa sakan mendengarnya.
     
Apa sakit anta?
     
Jawabnya, ‘Tak cukup tidur. Ana tiga hari saja di hospital.’
     
Sekarang dia tidak apa-apa. Tapi kena cukup tidur.
     
Saya harap dia ampunkan saya. Besar pahalanya mengampunkan orang lain.
     
Apapun, saya rasa dia banyak duit, bukan dari 1MDB. – HARAKAHDAILY 4/5/2017

MENJELANG detik 10:00 pagi, 2 Syaaban 1438H bersamaan 29 April 2017, hati saya berbunga kesyukuran sebaik Tuan Guru Presiden memulakan ucapan dasar bagi Muktamar Parti Islam Se-Malaysia PAS kali ke-63. Hati saya meratap hiba dengan kurniaan dari Allah SWT dalam liku-liku perjuangan PAS selama 66 tahun.

Mengapa tidaknya? Pertama kali ucapan dasar Tuan Guru Presiden dalam muktamar kali ini telah juga disampaikan dalam bahasa isyarat bagi manfaat sahabat-sahabat OKU pendengaran. Tanpa sebarang pengumuman, dan tanpa hebahan publisiti, takdir Allah menentukan julung-julung kalinya bahasa isyarat mengiringi ucap tama Muktamar kali ke-63.

Apa yang jelas, ia adalah suatu kelangsungan usaha PAS dalam memperkasakan gerak kerja parti bagi keperluan dan manfaat golongan OKU. Golongan OKU pendengaran adalah salah satu dari tujuh katagori OKU yang diiktiraf di Malaysia.

Negara dan dunia memperakui 15% populasi penduduk adalah terdiri dari komuniti OKU. Dalam suasana penduduk Malaysia yang mencecah 32 juta orang, tidak kurang dari 4.5 juta adalah warga OKU.

Sehingga kini sebahagian dari 400,000 OKU yang berdaftar adalah terdiri dari OKU pendengaran. Sebagai sebuah gerakan yang berteraskan Islam, kecaknaan PAS dalam membangunkan komuniti OKU termasuklah dalam usaha mendekatkan komuniti ini kepada keimanan dan ketaqwaan.

Apatah lagi bagi golongan OKU pendengaran, kecacatan yang mereka alami amat sukar dikenalpasti oleh masyarakat umum. Di sebalik fizikal mereka yang tampak sempurna sebenarnya tersembunyi rahsia akan kebesaran dan kekuasaan Allah SWT dengan kurang upaya pendengaran yang ditakdirkan.

Kecacatan yang dialami oleh golongan ini amat sukar dikesan dengan mata kasar. Demikian pula cabaran mereka dalam memahami Islam hanya mereka dan sahabat yang rapat mengerti situasinya. Tidak hairanlah apabila dikatakan golongan ini mendepani cabaran yang cukup unik dalam mempelajari dan memahami Islam itu sendiri.

Menyedari cabaran tersebutlah pihak PAS melalui Sekretariat Prihatin OKU Malaysia dan jaringan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan yang ada terus mengatur gerak usaha bagi mendekatkan golongan ini kepada syariat. Penampilan bahasa isyarat dalam Muktamar kali ke-63 ini hanyalah usaha kecil peringkat pusat yang sengaja direncanakan agar ia mampu merangsang setiap pendokong parti agar terus mendekatkan diri dengan komuniti OKU pendengaran di tengah-tengah masyarakat.

Buat Tuan Guru Presiden, seloka serangkap ini kami titipkan:

Al-Quran dan sunnah sedaya mampu kami turut,
Ucapan terima kasihmu kami sambut,
Bimbingan mu Tuan Guru kami paut,
Tak akan dilupakan Kota Sarang Semut. – HARAKAHDAILY 29/4/2017