MUNGKIN Perdana Menteri Najib benar-benar tidak tahu tanah Felda di Jalan Semarak, Kuala Lumpur yang nilai semasanya kini sekitar RM270 juta telah ditukar milik kepada satu syarikat yang dikatakan orang penting Felda ada kepentingan.
      
Dia adalah bukan sekadar Perdana Menteri bahkan pegawai besar paling berkuasa di Felda yang statusnya boleh dikira seperti raja Felda. Cuma ladang negara itu tidak distatuskan sebagai Felda Diraja.
      
Maka amat ajaiblah jika sungkelap tanah Felda itu tidak diketahuinya. Bukan pula mustahil dia tidak tahu seperti sindiran cerita rakyat barat yang popular iaitu Raja Berbaju Baharu. Raja tidak menyangka dia ditipu penyangak yang mengaku boleh sediakan pakaian ajaib yang tidak dapat dilihat oleh orang bebal.
     
Digayanya pakaian yang tidak nampak oleh semua di badan raja. Maka yang tak nampak raja berpakaian kata ajaibnya pakaian itu. Pakaian itu sebenar dongeng dan raja tidak sedar dia ditipu.
      
Dalam keadaan raja tertipu seperti ini saja Najib boleh ditipu oleh penyangak mencuri tanah Felda itu. Sebagai pemimpin berwibawa, Perdana Menteri dibekalkan dengan semua maklumat dan nasihat oleh sekalian pegawainya. Maka tiada sesuatu dirahsiakan kepadanya. Jika mungkin PM ditipu seperti pencurian dalam 1MDB, maka amat rendah wibawanya unuk menjadi Perdana Menteri dan hilang kelayakan menjadi Raja Felda.
      
Tidak tahunya itu mungkin, tetapi tarafnya sudah sama dengan raja yang sangka dia berbaju tadi.
      
Tanah Felda itu dalam usaha untuk diambil balik. Semua setuju siasatan diambil dan penyangak mesti dikenakan tindakan. Menteri Ismail Sabri Yaakob mahu siasatan hingga ke akar umbi. Jika siasatan demikian, Najib tentu tidak terlepas daripada disiasat. Setujukah menteri itu dan sekalian pacal dalam UMNO memasukkan Najib dalam siasatan?
      
Jika boleh disiasat dan ditakdirkan ada kes setujukah dia dikenakan tindakan?
     
Setakat ini Najib bebas daripada tohmah. Sama ada dia bersubahat atau penipuan dirahsiakan daripadanya, tidak terlepaslah dia daripada pertanggungjawaban dan akauntabiliti.
      
Bagi mana-mana pemimpin yang bermaruah dalam amalan politik yang bermaruah akan mengambil tanggungjawab memelihara maruahnya dengan melepaskan jawatan.
    
Willy Brandt, Censelor kafir Jerman Barat tahun 1970 meletak jawatan kerana skandal seorang menterinya. Bukan salahnya. Demi menjaga maruah politik, dia letak jawatan.
     
Malulah Melayu/Islam tidak peka dengan maruah politik. Orang kafir pekakan maruah, orang Islam  persetankan maruah.
      
Najib telah banyak mencatutkan maruah yang dikira rendah. Menggelapkan tanah Felda ini adalah yang terakhir daripada banyak kekacauannya. Sama ada dia selamat atau tidak, dia patut lepaskan jawatan atas nama maruah Melayu/Islam/UMNO dan lain-lain. Biarlah ada dalam UMNO itu seorang Perdana Menteri yang bermaruah.
      
Biar TPM Zahid Hamidi teruskan pimpinan menghadapi PRU.
      
Sekalian Melayu/Islam dan Malaysia sudah penat dengan politik kacau bilau PM Najib dan tipuan demi tipuan, skandal demi skandal. UMNO tidak mampu selamatkan Melayu dengan timbunan skandal. Jika UMNO rasa hendak selamatkan Melayu, mesti setuju dulu gantikan Najib.
      
Tengok dulu apa Zahid boleh buat bagi menyelesaikan kecurian tanah Felda dan hadapi Dr. Mahathir dalam PRU14.
      
Bukan kita hendak menghukum sesiapa. Tetapi Malaysia perlu keluar daripada timbunan skandal. Tidakkah kecurian tanah di Jalan Semarak itu satu puaka semua. Maka kita mahu keluar daripada puaka itu. – HARAKAHDAILY 26/12/2017

SAMA ada Lim Kit Siang berpura-pura tidak mahu jadi Perdana Menteri bukanlah suatu yang perlu didebat.
      
Isunya bukan Kit Siang tetapi kemungkinan Perdana Menteri Malaysia satu hari nanti orang Cina.
      
Sekalipun pemimpin senior DAP itu tidak jadi Perdana Menteri, apakah orang UMNO reda seorang Cina yang lain jadi Perdana Menteri?
      
Suka atau tidak suka tiada cara ia dapat dibantah. Mungkin orang UMNO dapat menghalangnya. Sekali atau 10 kali. Tetapi ia tidak mungkin terhalang akhirnya. Kalau tidak dalam masa 50 tahun ini, dalam masa 100 tahun lagi atau 200 tahun lagi.
     
Siapa yang tidak terliur untuk jadi Perdana Menteri. Orang yang jadi sultan pun jika boleh teringin juga kerana banyak yang sultan tidak boleh buat tapi Perdana Menteri boleh buat.
     
Bukan satu dosa besar atau dosa kecil jika Kit Siang teringin jadi Perdana Menteri. Ia tidak dilarang oleh perlembagaan. Perlembagaan yang disediakan oleh UMNO 70 tahun dulu membenarkan siapa saja warganegara boleh jadi Perdana Menteri. Yang tidak boleh untuk jadi sultan saja.
     
Kit Siang dengan usianya, pertengahan 70-an sekarang masanya tidak sempat. Menangis air mata darah pun dia tidak jadi Perdana Menteri. Bukan dihalang perlembagaan, politik masa ini tidak memberi laluan kepada selain Melayu jadi Perdana Menteri. Bukan semua Melayu boleh jadi Perdana Menteri. Setakat ini Melayu UMNO saja.
     
Melayu Sarawak sekalipun kerabat Barisan Nasional, tiada peluang. Kena jadi UMNO dulu. Lainlah setelah tiada lagi UMNO.
      
Masa 10 tahun ini tidak selesa bagi Kit Siang unuk jawatan itu. Selepas 10 tahun usianya lewat 80-an. Bukan usia yang logik lagi. Yang 90-an boleh jadi PM, Mahathir saja.
      
Kalaupun Kit Sing terliur, dia tahu masa tidak memihak kepadanya. Maka tidak berbangkit baginya jadi PM.
    
Jika dengan kemahiran politiknya, dia dapat gunakan Dr. Mahathir atau Anwar Ibrahim jadi Perdana Menteri, itu adalah kelebihannya. Bodohlah dia jika tidak menggunakan siapa saja - Melayu, Mahathir atau Anwar – untuk bekerja demi kepentingan kumpulan yang diwakilinya.
     
Jangan sangka Mahathir dan Anwar saja jika jadi PM diperalatkan oleh Kit Siang atau mana-mana Cina jua. Jangan kata Tunku dan Tun Razak bebas langsung daripada diperalat Cina dan India.
     
Selain Tunku dan Tun Razak memperalat Cina dan India untuk jadi PM, mereka juga bagi persepsi setengah orang, diperalat saudagar Cina. Banyak yang kata mereka pernah jadi alat MCA.
     
Bahasa politik terbuka Melayu dan Cina, UMNO dan MCA bekerjasama bagi mencapai kemenangan demi kekuasaan. Bahasa tidak diplomasinya iaitu Melayu diperalat Cina dan UMNO diperalat MCA dan sebaliknya.
     
Tunku pernah kata pada MCA, jangan tuntut banyak sangat. Setakat yang diberi itu orang sudah kata dia jual negeri pada Cina. Dari mula MCA tidak boleh menang di kawasan pengundi Cina. MCA menang sampai sekarang di kawasan Melayu. Ertinya UMNO jual kawasannya pada MCA.
     
PM itu baik dari DAP atau MCA sama saja iaitu Cina. Bukan PM dari DAP saja UMNO  tidak suka. Mana-mana Cina saja UMNO tidak senang. Jika Anuar Tan, Cina PAS Kelantan jadi PM, UMNO tidak suka juga.
     
Tiada jaminan Cina tak boleh jadi PM. Itulah sebab TG Nik Aziz pernah kata, Cina yang menguasai Islam lebih layak daripada Melayu yang jahil. - HARAKAHDAILY 21/12/2017

PERHIMPUNAN Agung UMNO boleh apa keputusan jua seperti tiada pertandingan bagi Datuk Najib dan Dr. Zahid Hamidi untuk jadi Presidennya dan Timbaln Presidennya sekalipun ia kurang indah untuk roh demokrasi dan parti dan transformasi politik parti itu.
      
Perhimpunan Agung adalah kuasa tertinggi parti dan apa jua perlanggaran tidak boleh diadukan ke mahkamah. Sekalipun ia berlawanan dengan semangat perlembagaan, kerana kekangan untuk ke mahkamah itu ia adalah agung.
    
Adakah ia demokrasi? Tidak berbangkit. Banyak amalan dalam dunia komunis diragui sebagai amalan demokrasi, tetapi semua negara komunis menamakan ia wilayah demokrasi.
      
Jika Najib hendak jadi Presiden UMNO seumur hidup dengan keputusan itu dia akan jadi Presiden hingga mati.
      
Tetapi ia tidak sesuai dengan semangat transformasi yang diperkenalkan oleh pimpinan Najib. Layaknya politik transformasi itu meliputi semua bidang.
     
Dengan keputusan itu ada cacat pada demokrasi UMNO dan transformasi Najib. Ia tidak pernah berlaku dalam UMNO sejak 70 tahun lalu.
    
Dr. Mahathir membuat peraturan. Sepuluh undi bonus untuk satu pencalonan bagi Presiden dan Timbalan Presiden. Dalam demokrasi parti yang terkawal, tiada terbuka peluang sewajarnya bagi calon lain bertanding. Dengan ini Presiden dan timbalan tidak bertanding. Masing-masing boleh bertanding, tetapi payah bagi pencabar dapat memenuhi syarat.
     
Bagi Najib dan Zahid tiada ruang lagi untuk bertanding sehinggalah perhimpunan membuat satu keputusan yang lain.
     
Keputusan yang baru dibuat itu bagi mengelakkan berulang perpecahan UMNO seperti yang berlaku  apabila Tengku Razaleigh mencabar Dr. Mahathir. Gara-garanya ia berpecah dan UMNO diharamkan oleh mahkamah.
      
Perpecahan itu bukan kerana adanya pertandingan, tetapi masing-masing  tidak sabar menerima keputusan dan kegagalan pentadbiran parti menjalankan keadilan.
     
PAS dengan sistem syuranya juga jika boleh mengelakkan pimpinannya dicabar, tetapi ia tidak menutup pintu kepada pertandingan. Ia mengelakkan pertandingan kerana Islam dan membenarkan pertandingan kerana Islam.
     
Mengharuskan pertandingan adalah satu langkah terbuka dan terbaik. Demikianlah UMNO selama ini harus jawatan itu dicabar. Harus tidak semestikan dicabar. Ia boleh dicabar dan boleh tidak dicabar. Tetapi zaman Najib ia tidak jadi harus lagi.
     
PAS yang lebih 60 tahun baru sekali dicabar Presidennya tahun 2015 dulu. Memang berlaku pertembungan sengit. Dan memangnya berlaku perpecahan. Kerana Islam mengharus pertandingan, maka pertandingan itu sewajarnya kerana Islam. Masing-masing wajar menerima keputusan. Walaupun ada yang tidak dapat menerima keputusan dan kekal dalam parti, justeru pertandingan tadi kerana Islam, hikmat niat Islamnya, sekalipun ada tidak menerima keputusan, tidaklah ia menjadikan parti itu lumpuh.
      
Perpecahan UMNO atas pertandingan antara Mahathir dan Ku Li, bukan kerana pimpinan dicabar, tetapi keengganan yang menang menerima yang kalah terus berada dalam UMNO. Walaupun pengendalian pertandingan itu ada kelemahan dan kelemahan itu diadukan ke mahkamah, ia tidak dibuat untuk mengkhianati parti, tetapi manusia itu dibenarkan mengadu atas yang ia tidak puas hati bagi menentukan keadilan dan kebenaran ditegakkan.
      
Jika yang menang dapat melayan yang kalah sewajarnya, Ku Li tidak menubuhkan parti lain. Ia menubuhkan parti sendiri kerana mereka tidak diterima lagi dalam UMNO.
      
Mengapa Najib tutup pertandingan? Kerana  takut dikalahkankah? Dengan sokongan yang dirasakan besar sekarang, payah dia kalah. Tetapi dia tidak yakin sokongan kepadanya. Bukan takut perpecahan tapi takut dikalahkan. - HARAKAHDAILY 19/12/2017

NEGERI Sembilan adalah negeri kedua melancarkan Assabiqun menjelang senja 26 November di Seri Menanti.
     
Saya sebagai Pengerusi Sidang Assabiqun melancarkannya yang dihadiri sama Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Ustaz Mustafa Harun, Ketua Penerangan Assabiqun Pusat dan Pengerusi Assabiqun Negeri Sembilan, Haji Alias Tijat.
     
Pelancaran itu satu daripada acara sambutan 50 tahun penubuhan PAS Negeri Sembilan.
     
Negeri pertama melancarkannya ialah Pahang pada 4 November lalu.
     
Pelancaran itu adalah muqadimah awal kegiatan Assabiqun bagi menggerakkan wadah dalaman PAS itu bagi menyegarkan semangat dan keberadaan warga berjasa PAS yang berusia 55 tahun ke atas yang dalam buku induk keahlian PAS yang berusia 60 tahun ke atas berjumlah lebih 300 ribu dari sejuta ahlinya sekarang.
     
Jika dimasukkan yang 55 tahun ke atas, maka jumlahnya lebih besar.
     
Golongan ini rata-rata tidak cergas lagi untuk bergiat dalam politik yang aktif kerana faktor usia, sebahagiannya uzur dan yang lain tenaga tidak mengizinkan dan ramai yang solat dengan kerusi.
      
Bagi menyegar semangat dan istiqamah dengan PAS, maka PAS bentuk wadah dalaman dinamakan Assabiqun bagi mengekalkan rasa senang kepada perjuangan PAS demi mendaulatkan Islam dan merangsang orang PAS yang lebih muda meneruskan azam mewujudkan tertegaknya sebuah pemerintah di Malaysia yang terlaksana di dalamnya aturan dan peraturan Islam.
      
Jika orang-orang tua yang berjasa ini tidak pernah putus asa menunggu kemenangan PAS, dengan semangat tingginya untuk melihat kemenangan, maka tentulah ia dapat membakar semangat sekalian aktivis yang lebih muda meningkat jasa juang bagi memacak bendera PAS di puncak kejayaan.
     
Ia dinamakan Assabiqun mengambil barakah peranan dan sumbangan Assabiqun pada zaman Nabi menyambut kedatangan Islam di tengah masyarakat jahiliyah Quraisy Mekah dulu. Sahabat-sahabat yang awal menerima Islam sebagai agama dan menerima Nabi Muhammad sebagai Rasul dirakam dalam al-Quran sebagai Assabiqun.
      
Antara yang al-Quran rakamkan ialah Allah meredhai mereka dan mereka meredhai Allah.
      
Dengan menamakan demikian, ia adalah menghormatan tinggi PAS kepada golongan ini dan saya sendiri terharu dan bersyukur atas panggilan PAS mengepalai mereka.
     
Bagi menggerakkan wadah dalaman ini pertamanya mengadakan pelancaran di peringkat negeri. Pada 9 Disember pelancaran di Kelantan dan 22 Disember di Muar, Johor. Assabiqun menunggu lain-lain negeri menetapkan tarikh pelancaran.
      
Kerana yang dinamakan pemimpin Assabiqun adalah warga emas keupayaan bergeraknya terhad. Maka Pesuruhjaya Negeri, Yang Dipertua dan Setiausaha Kawasan mestilah menggerakkan tenaga dulu bagi Assabiqun tiba ke sasarannya.
    
Atas bantuan itu barulah Assabiqun dapat mendekati 300,000 orang itu. Atas sokongan itu nescaya pembentukan Assabiqun dapat dicapai.
     
Menjelang PRU14 yang sudah dekat, sekalian Assabiqun boleh berperanan berpesan-pesan untuk kemenangan sebagai sampingan kepada berpesan-pesan kepada kebenaran dan kesabaran. Manusia itu sentiasa dalam kerugian. Dengan berpesan-pesan dengan kebenaran dan kesabaran dapat meminimumkan kerugian.
      
Dan berpesan-pesan kepada kemenangan selepas itu nescaya dapat mendekat kepada kemenangan. Maka berpesan-berpesanlah kepada anak menantu dan isteri, kepada adik-beradik dengan SMS, kepada jiran-jiran dan orang sebelah menyebelah dalam saf solat berjemaah pastikan kemenangan dan jangan lepaskan lagi peluang kemenangan.
     
Dengan berakah memuliakan para Assadiqun-al-awalun mempermudah pesan kemenangan itu. Allah berjanji kemenangan itu. Carilah melalui kemulian Assabiqun. Janji Allah adalah benar. Jika kemenangan terlepas juga, jangan salahkan Allah, tetapi kajilah kelemahan sendiri. Kepada-Nya sekalian berserah. – HARAKAHDAILY 18/12/2017

PERISYTIHARAN Presiden Donald Trump menjadikan Baitulmaqdis ibu negara Israel dan akan memindahkan segera kedutaan Amerika ke situ dari Tel Aviv dalam waktu segera bukan sekadar membakar roh umat Palastin, bahkan ia membakar hati dan roh umat Islam seluruhnya.
      
Bumi Palestin itu memangnya sudah terbakar sejak Perang Dunia Pertama, dengan pembentukan negara Israel atas sebahagian besar bumi Palestin memarakkan lagi nyala bakaran itu. Tetapi menukar ibu kotanya ke Baitulmaqdis mengesahkan pengambilan semua  bumi umat Islam di Timur Tengah bermula.
      
Ketika pencabulan itu dibuat Trump, memang semua negara Islam Arab berperang sama sendiri. Iraq dan Syria masih belum reda, Saudi mengebom Yaman tak henti-henti dan tindakan terbaharu Saudi itu mengancam  keselamatan rantau teluk itu.
      
Secara tidak langsung ini membantu Israel mara ke semua bumi umat Islam, bukan saja Baitulmaqdis jadi pusat bagi orang Yahudi, bahkan Mekah dan Madinah akan masuk dalam bubunya.
      
Memang sebelum kiamat berlaku, dunia akan dikuasai Dajjal dulu. Imam Mahdi yang muncul semasa dunia diharung Dajjal tidak dapat menundukkan Dajjal. Itu adalah tanda kiamat itu sudah dekat.
      
Tiada berlaku kiamat selagi belum datangnya Dajjal dan diikuti turunnya Nabi Isa al-Masih. Kedatangan Dajjal itu meletakkan dunia di bawah kuasanya. Dengan pengaruh dan kuasa Israel di rantau itu, tidak  nampak Palestin dapat ditebus semula. Israel bukan saja ada kehandalan pertahanan dan kelengkapan senjatanya, tetapi ia sentiasa dilindungi Amerika dan Amerika itu sendiri dikuasai Yahudi yang mahukan bumi Islam diambil semuanya.
      
Amerika selama ini melindungi Israel dan Yahudi. Ia tidak menentang Baiulmaqdis dijadikan miliknya. Tetapi bedebah Trump mengisystiharkan ambillah sepenuhnya kota suci daripada umat Islam. Apabila Presiden Amerika itu mengesahkan ia milik zionis dan mulai sekarang Yahudi sudah dapat memulakan peluasan kuasa dan bumi Israel itu seperti yang bakal dikuasai Dajjal nanti.
     
Maka tidakkah tindakan Trump itu menjadi muqadimah kedatangan Dajjal? Makhluk Dajjal yang memusnahkan bumi itu difahami bermata satu. Trump masih seperti manusia lain bermata dua. Tidaklah Trump itu sendiri Dajjal yang sebenarnya, tetapi dia telah memulakan kerja-kerja Dajjal dan menyediakan tapak untuk didatangi Dajjal.
      
Trump itu akan jadi Dajjal jika sebelah matanya buta. Jika ini berlaku, maka dia tinggal sebelah mata. Ia menjadikannya  bermata satu. Dajjal memang bermata satu, maka mungkin dialah permulaan turunnya Dajjal.
      
Sah Dajjal itu sudah ada apa diketahui Imam Mahadi sudah ada. Imam Mahadi itu dikatakan seorang yang namanya Muhammad bin Abdullah, sama dengan mana Rasulullah SAW. Imam Mahdi itu tidak tahu dirinya Imam Mahdi, tetapi apabila tiba waktunya orang bernama Muhammad bin Abdullah akan jadi Imam Mahdi yang peranan besarnya adalah menghadapi Dajjal.
      
Kerana Imam Mahdi itu belum ada, maka tidak dapat dikatakan Presiden Trump itu adalah Dajjal yang menunggu itu.
     
Setakat ini dia menyediakan dirinya untuk jadi Dajjal. Dia sudah melancar perang ke atas Korea Utara dan dengan arahannya dipindahkan kedutaan Amerika di Israel ke Baitulmaqdis, ia menaja perang meluaskan persempadanan Israel.
      
Sekalian sekutu Amerika di Eropah dan Amerika utara adalah cemas dengan pentadbirannya yang sepuluh bulan itu. Sekalipun mereka sependirian dengan polisi politik Amerika tetapi mereka juga cuakkan  Dajjal. Sasaran Dajjal bukan Islam saja bahkan kemanusiaan. – HARAKAHDAILY 15/12/2017

MASYARAKAT Islam Amerika khususnya dan lain-lain di luar Amerika bangkit atas kenyataan anti Islam Presiden Donald Trump dalam twitternya.
     
Hingga ada yang mahu Trump diimpeach iaitu dibicara dan dipecat.
      
Memang Presiden Amerika bedebah itu diketahui benci Islam sejak sebelum jadi Presiden lagi dan apabila jadi Presiden dia bertindak tidak memberi visa kepada rakyat beberapa buah negara Islam untuk mengembara ke Amerika. Bahkan yang sudah menetap di Amerika keluar Amerika pernah tidak diizin kembali ke Amerika.
       
Akan tetapi ada orang Malaysia rasa yakin Donald Trump ada perubahan terhadap Islam setelah didatangi Perdana Menteri Najib di Rumah Putih beberapa bulan lalu.
      
Menteri luar Anifah Aman yang menemani PM Najib bertemu Trump itu rasa positif ada kesan penjelasan Najib atas Islam kepada pemimpin Amerika itu khususnya tentang pegangan umat Islam di Malaysia.
     
Dalam petikan video Najib pada Trump tentang amalan Islam kita itu adalah Islam Progresif. Pendirian yang bukan pengganas agaknya bahkan kerajaan yang dipimpin orang Islam Malaysia adalah memerangi keganasan dalam kalangan orang Islam yang  sama-sama Amerika dan dunia hadapi sekarang.
      
Sekalipun Anifah Aman tidak selesa Trump dalam ucapan sulung di Perhimpunan Agung PBB selepas itu tidak ada pembelaan terhadap Rohingya yang Najib hajat sangat agar Trump sentuh. Pengungsian setengah juta umat Rohingya ke Bangladesh adalah antara yang Najib bangkitkan dengan Trump.
      
Bagaimanapun sebelum dia menempelak Islam yang terbaru itu, dia menyelar regim Myanmar dan nyonya yang memimpinnya atas isu tidak peri kemanusiaan. Tidak dipastikan marah Trump kerana kezaliman Myanmar terhadap Islam atau kezaliman sesama manusia?
     
Apapun Malaysia boleh berpuas hati atas sikap terbaru Trump tentang Rohingya. Ia sesuai dengan yang Najib kata semasa menemuinya itu.
     
Malaysia amat positif dengan petemuan Najib - Trump itu. Jika seruan itu justeru dakwah, logiknya dakwah Najib positif. Indahnya pertemuan mereka justeru telah berkenalan lama.
      
Tetapi dakwah itu tidak mengubah isi perut Trump tentang Islam. Dilanyaknya Islam melalui twitternya. Tidak pasti akan sikap Trump itu tetapi umat Islam Amerika amat menyayat hati.
      
Kesemua Presiden Amerika dulunya adalah tidak mesra Islam. Tetapi munafiknya tidak dinyata kepada umum benci dan anti Islam. Kerana Israel kata Yasser Arafat dan PLOnya pengganas, merekapun jadi tiong juga. Benci di hati di mulut dan jari tidak kata benci.
     
Adapun Trump bedebah ini, bencinya  di hati, di lidah  dan di hujung jari.
     
Dia ibarat Kaisar Parsi yang diseru Rasulullah SAW agar menerima Islam. Jika tidak terima bukan dia saja berdosa, dia tanggung dosa sekalian rakyatnya yang kekal kafir. Lain-lain raja juga tidak terima tapi tidak koyak mesej baginda. Kaisar Parsi koyak. Gara-garanya putera Kaisar bunuh ayahnya.
      
Trump mungkin macam hati Kaisar itu. Tidak mustahil kuasanya dikoyak dan bangsa Amerika dan terus dibayangi Islam.
      
Memandangkan Najib dikira positif dalam misi semi dakwahnya pada Trump, Trump suka padanya dan mendengar pandangannya, apa kata kalau Najib pergi jumpa Trump lagi, ceritakan lagi Islam progresif itu kalau-kalau terbuka pintu hatinya tidak anti Islam lagi.
     
Tidak pasti apa Islam progresif itu. Adakah ia seperti Islam syumul macam yang Islam faham terhadap Islam? Tentunya tidak sama progresif dengan Islam sebagai addin. – HARAKAHDAILY 13/12/2017

DEMI mengatasi krisis pembantu rumah oleh setiap/kebanyakan keluarga Bajet 2018 Perdana Menteri Najib menyarankan masing-masing tidak perlu lagi bergantung pda agensi, tetapi boleh ambil terus dari negara asal dan kemudian selesaikan urusan rasminya dengan pihak berwajib kerajaan.

Ia mungkin satu langkah awal bagi mengatasi masalah itu, tetapi masih terlalu banyak karenah birokrasi menjadi penghalang.

Pegawai di pihak terbabit belum disediakan dengan kaedah membereskan urusan rasmi bagi calon pembantu rumah yang masing-masing sudah perolehi sendiri. Pembantu rumah sudah ada tetapi urusannya masih payah. Sehingga urusan rasminya selesai semua terpaksa menggunakan pembantu rumah haram.

Kemajuan yang Malaysia alami, sama ada ia pesat atau di tahap dunia ketiga soal pembantu rumah adalah krisis getir yang dihadapi oleh semua orang. Boleh dikatakan setiap rumah dan setiap keluarga memerlukan perkhidmatan pembantu rumah.

Kebanyakan isteri tidak lagi jadi suri rumah. Sama ada makan gaji dengan kerajaan atau swasta atau berusaha sendiri di luar rumah. Isteri bekerja atau ada pendapatan sendiri adalah penting bagi setiap keluarga bagi menampung keperluan hidup zaman ini. Pendapatan suami tidak mencukupi keperluan rumahtangga.

Ini memerlukan pembantu bagi mengasuh anak. Boleh anak diserahkan kepada pengasuh sambilan yang terdiri dari suri rumah, tetapi biaya bagi seorang anak sudah mahal. Jika ia adalah lebih dari dua anak, maka tak berbaloi gaji yang diperoleh dengan bayaran mengasuhi anak-anaknya.

Dan anak-anak sudah tidak lagi dapat menjaga dan melayan ibu bapa yang memerlukan bantuan dalam semua perkara.

Maka pembantu rumah sudah jadi satu keperluan sebagai mana dulu semua memerlukan kediaman, pakaian dan makanan, tetapi pembantu rumah adalah keperluan yang baru.

Bukan orang berada saja perlukan pembantu, orang yang tiada pendapatan pun perlukan pembantu. Itulah cara hidup sekarang.

Pembantu yang dibekalkan oleh agensi selain dari bayarannya tinggi, tetapi tiada jaminan mereka akan kekal. Banyak kejadian belanja mendapat seorang orang gaji mencapai belasan ringgit. Baru sebulan dua mereka lari. Banyak kejadian duit habis, pembantu tidak kekal.

Ia satu krisis yang kerajaan hadapi, ia gagal membekalkan ketenangan dan keselesaan kepada rakyat.

Apa yang menyebabkan krisis itu ialah kerana pengambilan pembantu rumah asing itu adalah sebahagian dari perniagaan orang dan ia juga satu bentuk perhambaan. Lesen membawa masuk pekerja asing adalah satu industri yang lumayan. Lesen itu hampir sama dengan cara saudagar Amerika mengambil hamba dari Afrika itu.

Perniagaan orang mesti dihentikan dan sistem pengambilan pekerja asing khusus pembantu rumah mesti mengikut kehendak transformasi dikatakan itu.

Pengambilan sendiri adalah betul. Berbelanja mencari orang ke Indonesia misalnya lebih murah dari mendapatkannya dari agensi.

Dan jika PAS berkuasa sistem itu mesti dirubah. Jangan jadikan ia terlalu mahal dan terlalu susah. Yang memerlukan pembantu itu adalah susah-susah belaka. Urusan itu mesti diringankan.

Jika pengambilan itu dari Indonesia, kerajaan PAS mesti berunding dengan Indonesia supaya urusan jangan dipersusah. Pengambilan itu bukan lagi atas dasar perniagaan orang tetapi atas dasar persaudaraan serumpun.

Mereka tidak dilihat seperti buruh yang ada pemisahan antara tuan dan pekereja, tetapi ada saudara satu keluarga.

Jika Nabi tidak melihat hamba sebagai kuli, tetapi sebagai saudara sesama Islam, mengapa tidak dijadikan contoh. Upah tetap dijamin.

Indonesia tidak dapat memberi pekerjaan cukup untuk rakyat. Malaysia memberikan pekerjaan/rezeki kepada mereka. Apakah ia bukan tolong menolong? – HARAKAHDAILY 30/11/2017

SARANAN Islam buat seluruh ummah, hendaklah hari ini lebih baik dari semalam dan esok lebih baik dari hari ini. Ia dikongsi oleh semua tamadun.

Pesanan itu tidak berlaku untuk rakyat kita di bawah pentadbiran yang ada ini.

Yang terjadi kepada sekalian pacal, dua tiga minggu sudah lebih senang dari hari ini. Payah hendak memikirkan esok akan lebih senang. Kerana akhir-akhir ini pacal tidak pernah senang, ertinya kita semua susah. Jika semalam cukup susah, maka hari ini lebih susah.

Tinjauan yang dibuat oleh media atas pasaran basah harian, semuanya mengaku yang mahal dua minggu dulu tidak semahal yang mahal sekarang.

Antara keperluan harian seperti ikan dan sayur lebih dari dua kali naik dalam masa kurang dari sepuluh hari. Ikan kembung adalah lauk hari orang awam selama-lamanya. Bawal, gegerut, senangin bukan lauk mereka. Ia lauk orang berada.

Mereka tidak beli bawal kerana harganya tinggi. Tetapi ikan kembung hari ini lebih mahal dari bawal awal tahun ini. Saya tidak mahu sebut berapa harganya sekarang. Kalau saya sebut nescaya makan tak berlauk sekarang.

Keadaan barang mahal, tidak padan dengan pendapatan semua, amat ketara di bawah pentadbiran Najib yang mewawasankan pendapatan tinggi. Pendapatan tak tinggi-tinggi. Yang tinggi dan tinggi harga barang.

Bila PM Najib mewawaskan pendapatan tinggi tentulah dia hendak melihat dicapai dalam masa pentadbirannya. Tentulah tempoh pentadbirannya tidak sampai 22 tahun seperti dia dan rakan-rakannya selalu jejek sekarang.

Pendapatan itu sudah diinjak untuk rakyat dalam TN50. Masa itu mungkin 40 peratus orang yang ada hari ini sudah tidak ada lagi. Khairy Jamaluddin kalau ada lagi sudah bertongkat.

Suasana serba payah sekarang adalah takdir selepas pembentangan Bajet 2018. Sebelum pembentangan bajet Oktober lalu sumuanya sudah susah, tetapi tidak serba susah.

Sekalipun bajet itu guna mengadakan peruntukan supaya kerajaan boleh berbelanja, bukan itu saja tujuannya. Ia adalah untuk merangsang keadaan yang lebih senang untuk semua dan jangka panjang kesenangan tahun-tahun muka.

Agong tidak dapat mimpi seperti Raja Mesir semasa Nabi Yusuf dipenjara. Mimpi Raja Rayyan ditakbir Nabi Yusuf bahawa wilayah sekitar Laut Mediterranean akan subur selama tujuh tahun dan akan diikuti tujuh tahun kemarau tanaman tidak menjadi.

Maka Nabi Yusuf membuat bajet, mengisi sebanyak stok makanan semasa subur bagi bekalan masa kemarau.

Najib tidak menunggu mimpi Agong menyediakan bajet 2018 dan TN50. Makanya yang dia sendiri dakwa ibu segala bajetnya sejak dulu menjanjikan agihan peruntukan besar untuk semua. Tun Ghafar Baba dulu suka menyebut juta-juta. Najib pula suka bilion-bilion. Semua syok kerana masing-masing dapat bahagian dari bilion yang diguruhkan. Tiada yang tidak dapat apa-apa.

Semua keluar berpusu-pusu setelah mendengar guruh di Parliman untuk menyambut hujan di luar Parliman. Bajet menjanjikan rahmat untuk semua. Rahmat hanya dari Allah. Ia belum datang.

Kaum Aad mengharapkan langit gelap membawa hujan setelah lama tidak hujan. Yang turun taufan membinasakan kaum Aad dan segala tamadunnya.

Rahmat bajet pada pembentangannya. Hujan di luar Parliman membawa kenaikan harga minyak beberapa kali seminggu dan harga barang yang melambung tiap-tiap minggu.

Selepas bajet dibentang semuanya tidak seronok lagi. Negara keluarkan minyak, rakyat tiada duit hendak isi minyak motokar. Laut lambakkan ikan kembung, rakyat mampu beli seekor dua untuk satu keluarga. Bajet tak dapat beri lauk. Takut masa TN50 makan tak berlauk. – HARAKAHDAILY 29/11/2017

BETAPA kepala bapak kau telah dikatakan kepada Dr Mahathir oleh Perdana Menteri Najib, tidak nampak ada reaksi emosi dari Dr. Mahathir dan tiada juga reaksi luar biasa orang ramai dan media akan yang bukan sekadar keras sikit tetapi memang keras.

Mungkin masa ini giliran orang mengherdik Dr. Mahathir, maka juga kejadian dan perkembangan yang boleh menarik simpati umum kepada Dr. Mahathir cuba dikecilkan, tetapi kalau yang merugikannya akan jadi benda besar.

Mahathir memang selama-lamanya dikenali sebagai orang yang berwatak keras dan kata-katanya pun biasa kasar. Berbeza dengan Najib yang lahirnya dilihat lembut, jarang emosi dan tidak kepala angin. Orang kata apa pun dia, tidak diketahui dia melenting dan seolah-olah dia bo layan. Selalunya isu terhadapnya mati begitu saja.

Bila orang kata kasar terhadapnya, yang melenting bukan dia tetapi orang di sekelilingnya.

Lain Mahathir, sekali orang ketuk kepalanya, dia balas dua kali ketuk.

Tetapi bila dia diberi kepala bapak kau, dia tidak melenting. Reaksi yang disiarkan dikatakan dia sekadar senyum sinis.

Tiada sebarang mengatakan patutlah dia dikata begitu kerana dia selalu kata keras pada orang lain. Yang terbaru sebelum dia diberi ‘kepala bapak kau’ dia kata sinis keturunan lanun Bugis yang semua orang kata ditujukan kepada Najib.

Saya tidak pasti apa balasan Najib terhadap sindirin itu. Tapi banyak Najib melenting, semua media mengetuk kepala Mahathir kerananya, dan orang-orang bergelar berdarah sesudu Bugis pun rasa tersinggung.

Bahkan bahananya sampai ke Turki. Suku Bugis, Naib Presiden Indonesia yang berada di Sidang Kemuncak di Tuki masa itu pun naik angin dengan sindiran Mahathir atas keturunan Bugis itu.

Memang riuh orang dengan katanya yang dikira tidak patut terhadap Najib itu. Bukan saja patut atau tidak patut dikatakan begitu, tetapi negarawan ulung tak patut kata begitu. Jika Mat Rempit tak wajar kata begitu, apa lagi pembesar yang terbilang.

Sebelum Mahathir kata begitu, dia dikata Kutty dulu oleh si Zahid Hamidi. Banyak orang kata Zahid yang berdarah Jawa selalunya Jawa itu halus bahasanya tidak wajar mengkuttykan orang lain. Banyak yang marah pada Zahid, tetapi marah orang kepada Mahathir lebih banyak marah orang kepada Zahid.

Mungkin Mahathir sindir begitu, lanun Bugis kepada Najib kerana geram dia dikata Kutty. Dan agaknya Najib kata ‘kepala bapak kau’ mungkin marah sangat kepada Mahathir kata dia begitu.

Tidak tertahan sabarnya, diletupkannya ‘kepala bapak kau’. Semuanya, Zahid, Mahathir dan Najib jadi tidak sabar. Yang jadikan sabar itu menjadi kerana sabar diikut dengan solat. Sabar itu terpuji jika diikuti solat. Jika tidak diikut dengan solat sabar nescaya pecah.

Setelah acap tersiar iklan ‘kepala bapak kau’ dan reaksinya senyum sinis, maka Najib pun kata dia cakap kasar sikit.

Sekalipun ia dikatakan cakap kasar sikit, tetapi kata kepala bapak kau itu kira-kira lebih kasar dari kata Kutty dan lanun Bugis.

Biasanya Najib itu dirasakan sentiasa dingin. Tapi pengaruh marah sangat dikata lanun Bugis, jika tidak diletup melalui mulut, ia mungkin pecah di perut. Walaupun kasar sikit tapi perut tak pecah.

Kata kepala bapak pada orang memang tidak rasional sekalipun kasar sikit. Kata Kutty kurang rasional, kata lanun Bugis pun kurang rasional. Senyum ada rasionalnya. Bahkan ia sedekah. – HARAKAHDAILY 28/11/2017

SIDANG Assabiqun Pahang yang dilancarkan 4 November lalu menjadikan membaca al-Quran beramai-ramai pada malam Maulud Rasul sebagai kegiatan pertamanya.
      
Ia terbuka kepada semua anggota masyarakat semua lapisan pada malam pertama maulud itu dengan masing-masing membaca surah pilihannya mengikut waktu yang ditetapkan.
      
Assabiqun menerima pakai kaedah yang dianjurkan oleh Karangkraf yang menerbitkan Sinar Harian mengaji beramai-ramai dalam program yang dinamakannya Rumah Ngaji dan kemudian dikembangkannya World Quran Hour pada hari Arafah serentak di seluruh dunia.
     
Masing-masing mengaji satu jam surah pilihan sendiri rating yang didapati tahun kedua World Quran Hour itu disertai oleh 100 juta pembaca.
     
Assabiqun menyambut baik dan menyambung ibadat itu sebagai langkah mendekatkan umat dengan al-Quran. Kegiatan itu bukan buah fikiran Assabiqun tetapi ia adalah dipelopori akhbar yang menerbitkan Sinar Harian dan ia kekal sebagai kegiatan tetap Karangkraf. Assabiqun tumpang menjayakan kegiatan yang baik itu.
      
Ia bermula dengan mengaji beramai-ramai dulu. Setelah masing-masing lekat dengan kegiatan itu, maka terserahkan kepada tindakan setempat mengembangkannya dengan membetulkan tajwid, bertadarus di luar bulan puasa, mendalami dan menghayati kandungannya hingga seluruh umat menjadi generasi al-Quran.
     
Sebagai adab yang bertemu dengan Penasihat Editorial akhbar itu minta izinnya untuk menyambung kegiatan itu. Ia boleh dilaksanakan tanpa izinnya. Tetapi memaklum dan minta izinnya adalah adalah sopan sebagai mana seorang murid minta izin guru mengajarnya mengaji.
      
PAS ada hampir 8,000 cawangan di seluruh negara. Jika 3,000 cawangan saja menyambutnya sebagai kegiatan tetap, maka masyrakat kita sudah mula memakmurkan kitab suci itu dan terbukalah dunia ini untuk kebajikan  dan keamanan.
      
Jika diizin Allah, Assabiqun hendak mengambil kegiaan ini bagi disertai oleh semua cawangan +-8,000 itu.
     
Assabiqun sudah membincangkannya dan menyerahkan kepada Speaker Negeri Kelantan, Datuk Abdullah Yaakub untuk mengepalai operasinya supaya setiap negeri mengambil  tindakan.
     
Pahang telah mengambil tindakan awal, tanpa menunggu arahan dari Assabiqun Pusat menganjurkan majlis mengaji itu sebagai sambutan maulud Rasul tahun ini. Jika biasanya umat di Malaysia menyambut malam maulud Rasul itu dengan ceramah pengkisahan Nabi SAW, salawat dan lain-lain kegiatan ibadat, Assabiqun Pahang kali ini menyambutnya dengan mengaji.
     
Maka kita berikan syabas kepada Ayah Ngah, Ustaz Ismail Mohamad sebagai Pengerusi Assabiqun Pahang atas tindakan cepat dan segeranya, moga-moga dengan izin Allah daya usahanya itu diikut jejak oleh rakan-rakan yang lain.
      
Assabiqun belum terbentuk di semua negeri. Langkah-langkah sedang diambil bagi tiap-tiap negeri mengadakan pelancaran. Sekalipun menjelang malam maulud ini ia belum sempat dibentuk, penggerak Assabiqun yang ada di banyak tempat bolehlah mengadakan kegiatan yang sama mengikut keupayaan masing-masing.
      
PAS kawasan dan PAS cawangan boleh memulakannya dulu dan bila unit Assabiqun terbentuk nanti, boleh ia diserahkan kepadanya.
      
Apa jua kegiatan ibadat – mendekatkan diri kepada Allah – nescaya Allah beri pertolongan memakmurkannya. Setiap satu kegiatan kebajikan dalam satu masyarakat, maka dengan sendiri mengurangkan satu kejahatan. Apabila kebajikan itu jadi pegangan kepada semua dalam satu masyarakat, maka dengan sendirinya transform kepada masyarakat yang berkebajikan.
     
Dan jika masyarakat itu berpecah hingga mencemaskan semua, duduk mengaji beramai-ramai yang Assabiqun cuba galakkan, nescaya bermulalah ia ke arah msyarakat yang satu.
      
Kita mulakan dengan mengaji di Pahang dulu! - HARAKAHDAILY 22/11/2017

ELOK juga dasar hotel Yahudi antarabangsa menguatkuasakan larangan bertudung bagi pekerja wanitanya di front depannya di Malaysia.
     
Tindakan itu menyirap semangat beragama orang Islam termasuk yang kurang peduli beribadat selama ini.
     
Menteri Nazri Aziz, Menteri Pelancongan tidak diketahui zuhudnya, sekadar orang awam Islam yang berpendirian liberal – bukan Islam liberal – telah memberi reaksi keras kedepan. Baiklah bertudung dari mereka bertelanjang. Satu sindiran tajam dan mantik yang tinggi.
      
Jika mufti dan tok guru begitu reaksinya adalah biasa. Tetapi kalau umat awam yang tidak diketahui isteri dan anak-anaknya bertudung bangkit mengherdik orang atau dasar mencabar hak umat Islam beramal dengan agamanya, maka ia tanda pantang agamanya dicabar.
     
Semua naik semangat. Peka ia melanggar semangat perlembagaan, menyanggah hak asasi Islam, tdak peduli amalan kebebasan beragama dan lain-lain.
     
Kita tahu rangkaian hotel besar dunia adalah milik Yahudi atau Yahudi ada kepentingan. Yahudi ini bukan saja Islam dikacaunya. Kristian, Budha, Hindu dan lain-lain pun dikacaunya. Bukan ia tidak tahu, Islam marah dengan tindakannya. Akan tetapi fahaman agamanya adalah mengacau sekalian yang bukan Yahudi. Bila semua bercelaru, maka senang ia menguasai dunia.
      
Pengacau macam itu tidak makan saman, tak indah protes, tiada peduli akan kecaman. Padannya diketuk saja kepalanya.    

Islam ini dikacaunya sejak Nabi SAW menjadi Rasul. Bukan ia tidak tahu nabi itu telah disebut dalam Taurat. Tapi ia lebih suka jadi pengacau. Iblis ada bagi mengacau Adam dan manusia, Yahudi ada bagi mengacau Nabi Muhammad SAW dan Islam. Maka semuanya jadi ujian dan ingatan bagi orang beriman.
      
Bagusnya hotel pengaruh Yahudi buat begitu kepada pekerja wanita Islamnya menyebabkan terpanggil semangat Islam kepada semua termasuk umat Islam yang nipis imannya. Ia mencabar tanggungjawab dakwah masing-masing. Memberi kesempatan kepada semua termasuk bukan Islam betapa bertudung bagi wanitanya bukanlah pilihan tetapi ia wajib.
     
Umat Islam mesti bertudung. Bukan ia untuk umat awam saja. Bukan bagi isteri dan anak-anak Nabi saja. Isteri-isteri sultan, puteri-puteri raja apabila baligh dan mumayiz. Neraka tidak bakar wanita awam yang tidak bertudung saja. Isteri-isteri sultan dan puteri-puteri yang tidak bertudung nescaya jadi bahan bakar api neraka.
      
Tok-tok guru sudah sampaikan dakwah itu di masjid-masjid sejak masjid ada. Tetapi bila dakwah itu hendak disampai ke istana-istana. Mufti-mufti sejak selepas Khalifah ar-Rasyidin tidak berani buka mulut bila isteri dan anak khalifah tidak bertudung. Apa lagilah zaman Raja Melayu yang tidak jadi khalifah. Tidak siapa berani tegur raja yang isterinya tidak bertudung.
      
Ustaz Zamihan, ketua persatuan ahli sunnah wal jamaah pun tak berani.
      
Dengan hotel milik Yahudi dunia yang banyak di Malaysia buat zalim pada pekerja wanita Islam, maka terbuka peluang bagi menyampai dakwah kepada semua bahawa bertudung bagi wanita Islam adalah wajib dan nerakalah tempat pulang kekal bagi yang tidak bertudung. Itu juga sebabnya gereja menetap petugas wanita gereja beruniform menututp aurat.
      
Semua orang alim dan orang jahil kata bertudung wajib bagi wanita. Wanita itu termasuklah isteri-isteri raja, anak-anak raja, bonda dan sekalian waris-warah raja.
      
Maka terbuka menolong mufti menyalurkan mesej itu ke istana.
      
Peluang sekarang terbuka bagi Dato Jamal Yunos, ketua Umno Sungai Besar, jika betul anak jantan pergi ke pejabat MAS dan AirAsia suruh pramugari bertudung. - HARAKAHDAILY 21/11/2017

POLITIK matang dan sejahtera yang digagas TG Haji Abdul Hadi Awang dipraktik oleh Perdana Menteri Najib dengan mengujungi musuh politik ketatnya TS Anwar Ibrahim yang menjalani rawatan di hospital.

Perdana Menteri dan isterinya disambut oleh Ketua Pembangkang, Dr. Wan Azizah Ismail di wad suaminya Anwar.

Memang politik tinggi, dan matang pada pandangan setengah, seorang ketua kerajaan ziarah seorang yang mahkamah sabitkan layak jadi banduan, seorang politik besar yang uzur di hospital. Mungkin boleh disamakan dan tindakan matang al-Marhum Sultan Kedah ziarah pusara as-syahid Ibrahim Libya dan rakan-rakan yang jamaah ulama rasmi Kerajaan Kedah dapati bughah – penderhaka.

Mana mungkin Sultan ziarah pusara penderhaka dan di mana kunjung banduan yang mahkamah sabitkan jenayah yang tak terkata? Melainkan matang yang payah difaham.

Hikmahnya mungkin ada, menenangkan suasana yang tegang.

Besar pahala tak terkira ziarah orang yang uzur.

Saya mendengar kaset riwayat TG Haji Abdul Hadi Awang puluhan tahun dulu, betapa 70 ribu malaikat sentiasa berada di sisi seseorang pesakit. Apabila datang pelawat, maka sekalian malaikat mendoakan keampunannya.

Melupakan segala yang terjadi, logiknya besar pahala Najib dan isteri beroleh dari ziarah ke atas seteru politik utamanya.

Tuhan yang tahu ziarah itu ibadat atau semata-mata suka-suka?

Akan tetapi sesiapa yang didoakan keampunannya oleh malaikat tentu beroleh bahagia. Doa malaikat tentulah diterima Allah kerana malaikat itu tidak buat hal-hal yang tidak diizin Allah.

Maka sedap membanyak takwil atas apa jua yang dilihat ibadat.

Yang jelas kunjungan Najib itu tidak memberi apa-apa kesan kepada politik Anwar Ibrahim. Itulah hebat dan lebihnya Anwar dengan yang lain.

Tiada siapa akan kata keduanya sudah berpakat. Tiada akan kata Anwar akan masuk UMNO dan akan kembali bersama kerajaan.

Belum tentu tiada spekulasi sekiranya Najib ziarah juga yang selalu masuk hospital itu. Adalah yang orang akan desuskan.

Tok Guru Haji Hadi, dengan zuhudnya patutnya kebal dengan unsur fitnah. Tapi beliau tidak sekebal Anwar. Orang tak akan ada apa-apa bila Najib mengunjungi Anwar.

Tapi apabila Najib mengunjungi Haji Hadi di hospital dan mengunjungi al-Marhum Dr. Haron Din di hospital dulu, heboh orang kata PAS hendak masuk UMNO dan Guan Eng pula yakin sangat PAS sudah bersatu dengan Najib.

Tidak sekadar yakin sangat TG sudah dan PAS sudah masuk UMNO, percaya juga PAS telah dibagi duit RM90 juta.

Percaya pula kebanyakannya PAS sudah dijual kepada UMNO. Semua penafian tidak dipercaya. Katakanlah TG Haji Hadi bersumpah junjung Quran, pun mereka tidak percaya.

Mungkin sampai mati pun mereka tidak percaya.

Najib pun tidak pernah percaya dan tidak penah memikirkan PAS dan Tok Gurunya Haji Hadi akan membawa penyokongnya masuk UMNO. Apa yang Najib mahu bukan PAS dan TG masuk UMNO, tetapi kalau semua orang boleh kata dan percaya beliau sudah bersama UMNO, maka itulah yang Najib suka.

Tidak perlu PAS berbaik dengan UMNO. Cukup dengan semua orang kata PAS sudah bersama UMNO.

Akan tetapi Najib tahu dan tak mahu Anwar bersama UMNO, dia percaya orang tidak percaya Anwar akan masuk UMNO, tetapi dengan dia mengunjung Anwar dia dapat melihat Anwar, ketuanya dulu. Lepas rindu. – HARAKAHDAILY 20/11/2017