SEWAJARNYA Perdana Menteri Najib diberi syabas kerana mengarahkan jabatan bomba di seantero wilayah kita memberi perhatian terhadap aspek keselamatan semua sekolah tahfiz.

Mana-mana yang tidak memenuhi syarat diminta menyempurnakannya dan jika ia gagal akan diperintah tutup.

Menyempurnakan sistem keselamatan itu adalah tanggungjawab semua dan tanggungjawab agama yang yang dikehendaki maqasid syariyah yang perdana menteri selalu sebut. Menjaga nyawa adalah satu rukun maqasid.

Mana-mana kerajaan yang mengutamakan rakyat kerana agama mesti mengambil tanggungjawab bersama masyarakat menyempurkan semua keperluan maahad tahfiz. Umumnya kebanyakan maahad adalah berdikari, ditaja orang/pihak tertentu dengan sokongan sekalian yang prihatin yang keupayaannya tidak menentu.

Kerajaan yang sudah 60 tahun merdeka belum menjadikan pengajian tahfiz sebagai tanggungjawabnya seperti sekolah kebangsaan, sekolah Cina dan sekolah Tamil. Rakyat pun tidak menuntut seperti yang pengajian Cina dan Tamil tuntut.

Tetapi ia tumbuh atas semangat umat. Jika tidak dapat memenuhi semua syarat, ada guru, ada murid dan ada atap yang melindungi dari panas dan hujan cukup bagi memulai tuntutan menguasai ilmu al-Quran itu seperti zaman assabiqun dulu orang mengaji di bawah lindungan bayang pokok kurma.

Dengan apa yang ada, tahfiz mesti diadakan sekalipun berdangau. Jika ia diterbang ribut atau terbakar, tahfiz mesti diteruskan. Sejak 30 tahun kebelakangan ia tumbuh meliar seperti lalang tidak kira panas atas hujan. Tanpa setitik hujan lalang tumbuh juga.

Tiada ia di bumi sendiri, kanak-kanak lepasan UPSR dihantar ke Pakistan, Yaman, Turki hatta ke Afrika Selatan. Dalam negeri mereka tegakkan sekolah sendiri sekalipun daif. Maka acap tahfiz terbakar. Pelajarnya rentung hampir menjadi lumrah. Ia tidak menghalang ibuibapa menghantar anak ke situ.

Satu tahfiz terbakar, ia diganti dengan sepuluh tahfiz baru. Percayalah selepas Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah Datuk Keramat terbakar 14 September lalu puluhan tahfiz baru tumbuh macam lalang atas mana-mana tanah terbiar.

Tanggungjawab umat ialah mengadakan tahfiz. Seperti Islam sebelum ada kerajaan yang sistematik dulu. Ada kampung, ada penduduk 40 lelaki mereka dirikan masjid sekalipun beratap rumbia dan tak berdinding. Tempat tak cukup 40 lelaki mereka adakan surau. Dengan menggunakan duit sendiri.

Bila kerajan takut kalah pilihan raya orang tak perlu bina masjid. Kerajaan cari mukim untuk diri masjid baru.

Tahfiz adalah cahaya bagi setiap lokaliti sekalipun di malam yan gelap pekat. Orang tak nampak cahaya itu, tetapi ia ada bagi menerang penduduknya dengan barakah. Ketenangan dan kesejahteraan kampung itu terangkat.

Bahagialah mereka yang berjiran dengan sekolah tahfiz. Setiap yang dapat mendengar orang mengaji, suaranya masuk ke hati masing-masing.

Sekarang tidak memadai tahfz diarah melengkapkan sistem keselamatannya. Semua tahu ia hidup atas saku orang kampung. Apa kerajaan boleh buat supaya masing-masing dapat memenuhi keperluannya. Jka kerajaan belum bercadang menjadikannya satu dasar, ia mesti mengajak rakyat bersama mewujud dan memeliharanya.

Menutupnya lebih senang dari mengasaskannya. Jika kerajaan rasa ia miskin, di sekitar Datuk Keramat ada masjid-masjid yang pungutan derma hari Jumaat belasan ribu seminggu. Jika setiap masjid menyumbang sebahagian daripadanya, dengan bantuan kerajaan keperluan melengkapkan keselamatan itu boleh ditunaikaan.

Menutupnya adalah memadam cahaya syiar di situ. Kerajaan jangan sekadar arah apa yang tahfiz patut buat, tapi tanya apa yang ia boleh buat supaya ia sempurna. – HARAKAHDAILY 27/9/2017

SAYA akui tersilap bodoh atas satu tulisan dan ia saya tarik balik. Bukanlah kehendak saya membuat silap itu tetapi saya telah disilapkan syaitan.

Justeru saya sebutkan syaitanlah yang menyilapkan saya, lalu ada yang menegur saya bongkak, tidak mengaku kelemahan sendiri tetapi menyalahkan syaitan.

Bila kita mengaku salah dan kesalahan itu gara-gara perdaya syaitan dan menerima sendiri segala kesan dan natijahnya, tidaklah ia perbuatan bongkak. Ia dikira bongkak kalau tidak mengambil tanggungjawab atas kesilapan itu dan tidak mengaku ia adalah gara-gara tipu daya syaitan laknatullah.

Dan tahu ia angkara syaitan, kita tak mahu menerima dosanya, biar segala dosa kerana ia yang menyebabkan kita silapnya ditanggung syaitan sendiri. Itu bukan sekadar bongkak tapi bongkak bodoh.

Bila kita disoal Munkar dan Nakir di alam kubur mengapa dosa itu dilakukan, malaikat tidak terima jawapan itu ia adalah gara-gara hasutan syaitan dan syaitanlah yang mesti disalahkan dan disiksa.

Memang semua dosa anak Adam sudah ada dalam pakej dosa iblis, tetapi manusia yang salah justeru godaan iblis tetap tidak dilepaskan sekalipun dosa itu sebesar zarah atau lebih kecil dari zarah.

Adam sudah diingatkan iblis adalah seteru yang nyata. Siapa jua yang dapat diperdaya syaitan nescaya menerima balasan siksaan. Pesan dan ingatan Allah itu disampaikan kepada turun temurun Adam. Malah diutus para anbia beagi mengingatkannya kepada manusia. Bahkan dimuatkan dalam al-Quran supaya selepas Rasulullah saw wafat umat akhir zaman waspada hasutan iblis itu.

Manusia itu kejadian suci, baik, adil dan benar. Macam malaikat juga. Tetapi manusia itu disediakan satu komponen bernama nafsu sedang malaikat tiada komponen itu. Nafsu mendedahkannya untuk berlaku mulia dan hina. Kemudian Allah sediakan bagi menguji manusia jadi mulia atau hina. Malaikat yang tidak bernafsu itu tiada pula disediakan musuh yang nyata baginya.

Manusia boleh jadi sebersih malaikat jika tiada yang menghasutnya. Ia jadi bersih, suci, adil, benar jika tiada yang menggodanya. Ibis diberi permit unuk menyesatkan Adam dan anak Adam sejak lahir hingga nyawa sampai ke halkum. Syaitan memenuhi otak, hati dan darah yang mengalir dalam tubuh manusia. Semasa tidurpun ia tidak dilepaskan.

Kerjanya adalah melalai supaya terlupa tanggungjawabnya, supaya silap dan berbuat salah, berdosa, derhaka, syirik dan lain-lain.

Hanya orang yang punya talian hubungan yang tinggi dengan Tuhannya, kasihkan nabinya, citakan iman, bencikan maksiat selamat dari hasutannya.

Apabila pengiring Nabi Musa mencari Nabi Khidir lupa memaklumkan ikan bekal melompat ke gigi air, dia memberitahu Nabi, syaitanlah yang melupakannya. Jika tidak dilupakan syaitan, awal lagi dimaklumkannya ikan itu melompat ke laut.

Silap mungkin tidak berdosa. Salah juga ada tidak berdosa. Silap boleh menyebabkan salah. Jawapan peperiksaan yang silap dikira salah. Jawapan yang salah tiada markah. Kerja jadi sia-sia.

Semua calon peperiksaan tidak mahu membuat kesilapan. Jika tidak diganggu iblis nescaya mereka tidak lupa dan tidak mereka membuat kesalahan. Orang yang dilupakan iblis, yang disesatkan iblis, yang digelapkan matanya tidak boleh menyalah iblis yang kerjanya untuk membinasakan anak Adam.

Apabila kita sedar dilupakan dan disesatkan syaitan, kita akui, kita menyesali diri sendiri, segera bertaubat, minta pertolongan/perlindungan Allah dari syaitan yang direjam, berdoa supaya kesilapan sama tidak berulang.

Ia bukan bongkak tetapi membantu berwaspada angkara laknatullah itu. – HARAKAHDAILY 25/9/2017

TAN Sri Muhammad Muhd Taib, bekas Menteri Besar Umno Selangor dan Naib Presiden parti itu telah membuat pilihan yang betul apabila menyertai PAS  atas kehendak sendiri pada 14 April 2013.
       
Mungkin ada yang mengajaknya menyertai PAS tetapi siapa yang boleh mempengaruhi seorang Umno berkedudukan tinggi sepertinya. Sama seperti tiada siapa boleh memaksa seseorang untuk masuk Islam, melainkan atas pilihan sendiri, maka umat yang menyertai PAS adalah atas pilihan sendiri.
       
Sebagai mana Islam tidak membenarkan orang Islam meninggalkan Islam, maka demikianlah pilunya apabila seorang PAS, baik baru atau lama dalam PAS meninggalkan PAS. Saya tidak mahu samakan orang meninggalkan PAS seperti orang Islam meninggalkan Islam, tetapi PAS itu adalah jemaah Islam yang ditubuhkan untuk memartabatkan Islam, maka setiap orang Islam berkewajipan bersatu memertabatkan PAS supaya Islam dapat dimartabatkan. Maka meninggalkannya atas apa sebab jua adalah tidak dikehendaki.
      
Meninggalkan jemaah Islam itu tidaklah boleh dientengkan seperti meninggalkan pertubuhan lain.
       
Kita tidak mahu kata Mat Taib dipengaruh oleh sesuatu yang lain selain daripada Islam apabila menyertai PAS. Seperti seseorang yang jadi Islam kerana Allah pilih dia jadi Islam, maka menyertai PAS juga kerana Allah memilihnya jadi PAS. Ramai ulama Allah tidak jadikan PAS, tetapi ramai yang tidak berlulusan pengajian Islam Allah pilih jadi PAS.
      
Masuk ke sesuatu yang baik itu adalah atas pilihan Allah, tetapi keluar suatu yang baik kepada suatu yang tidak baik sekalipun atas kada’ dan kadar Allah, ia adalah bukan kemahuan Allah.
      
Dengan izin Allah, Mat Taib telah tinggalkan Umno untuk menyertai PAS. Semua orang PAS dan penyokongnya menyambut pilihannya itu. Apabila seseorang masuk PAS, maka dia tidak boleh harap akan diberi layanan istimewa dalam PAS.  Keadaannya adalah sama dengan orang-orang PAS yang lain bekerja dan berjuang untuk mengagung dan memenangkan PAS supaya PAS dapat memberikan apa yang dicita-citakannya untuk semua.
      
Orang PAS banyak kerja untuk memartabatkan PAS, kadang-kadang ia tidak cukup masa untuk seorang individu. Saya selalu kata kepada aktivis, jangan ziarah saya sebagai warga emas jika banyak kerja yang hendak dibuat. Singgahlah jenguk saya kalau tidak ada kerja. Sekalipun mereka jarang singgah, tapi saya tahu mereka sayangkan saya sebagai orang PAS.
      
Semua seronok apabila Mat Taib masuk PAS. Sifat PAS ialah mesti menyayangi sekalian masuk PAS, istimewa pula dia bekas ahli Umno, sekalipun sumbangannya amat minimum. Sumbangan minimum itu amat besar ertinya bagi PAS.
     
Saya pilu kerana sebagai orang lama tidak dapat memberi tumpuan kepada Mat Taib kerana sibuk berjuang, kita juga sibuk cari makan.
     
Penyertaan Mat Taib dalam PAS amat penting. Dia boleh jadi contoh dan ikutan kepada orang Umno yang lain untuk menyertai PAS. Orang PAS yang kempen siang malam adalah untuk mengajak orang Islam dan bukan Islam untuk menyokong PAS. Jika orang Umno tidak menyertai PAS bagaimana PAS boleh mengatasi Umno.
      
Kita syukur Mat Taib menyertai PAS dulu. Kita rasa sayang apabila dia keluar PAS. Sayang itu sama dengan sayang kepada yang lain meninggalkan PAS. Sebagaimana kita tidak mahu orang meninggalkan Islam, maka begitulah kita tidak mahu orang meninggalkan PAS.
     
Sebagaimana Islam cegah orang keluar Islam, maka kita wajar cegah orang tinggalkan PAS. Sedih Mat Taib sudah bersama PAS terlepas jadi Umno semula. – HARAKAHDAILY 20/9/2017

TIADA dalam pemikiran dan pengetahuan manusia putera atau anak kessembilan al-Marhum Sultan Badlishah, Tunku Sallehuddin akan naik takhta sebagai Sultan Kedah yang baharu.

Allah saja yang mengetahui, yang makhlukNya tidak mengetahui. Allahlah yang menaikkan sesiapa yang dikehendakiNya dan Dia juga yang menurunkan dari kekuasaan sesiapa yang dikehendakiNya.

Kebanyakan takhta di dunia dulu dan sekarang putera sulunglah yang mewarisi takhta sebagaimana Al-Marhum Sultan Abdul Halim sebagai putera yang tertua dari al-Marhum Sultan Badlishah yang mangkat setahun selepas merdeka dulu.

Tuanku Abdul Halim sebagai waris pertama takhta Kedah memang dalam pengetahuan semua, justeru baginda adalah putera tertua dan sudah jadi Raja Muda.

sallehudinSetelah baginda tiada putera bagi mewarisi takhta, maka adinda Sultanlah mewarisinya. Tunku Sallehuddin bukanlah waris terkanan. Al-Marhum Sultan Badlishah adalah beberapa putera sebelum Tunku Sallehuddin. Ditakdirkan semua putera antara Al-Marhum Sultan Abdul Halim dan Tunku Sallehuddin mangkat belaka.

Tunku Sallehuddin baru jadi Raja Muda beberapa tahun lalu saja. Sebagai putera yang kesembilan baginda pun tidak mengharapkan akan naik takhta. Demikianlah kehendak Allah, ada putera yang menunggu giliran naik takhta, tak naik takhta, yang tidak pernah memikirkan untuk naik takhta naik takhta.

Jika kita perhatikan takhta Perak, Al-Marhum Sultan Azlan Shah bukan calon yang disediakan oleh almahum ayahanda Sultan Yusuf Izzudin Shah dalam salur galur takhta. Putera Sultan Yusuf yang disenaraikan ialah Raja Ikram, kekanda Raja Azlan Shah.

Raja Ikram sempat jadi Raja Di Hilir. Maka al-Marhum Sultan Idris perkenan mengangkat Raja Azlan menjadi Raja Kechil Bungsu supaya ada zuriat Sultan Yusuf dalam salur waris takhta di Perak setelah mangkat Raja Ikram sebagai Raja Di Hilir. Raja Azlan tidak jadi Raja Di Hilir tetapi masuk dalam waris terakhir dalam senarai raja bergelar.

Raja Azlan dipercayai tidak memikir giliran sempat naik tahkta memandangkan waris yang kanan ramai dan usianya pun tidaklah muda sangat. Usianya dengan Sultan Idris tidak banyak beza. Ditakhdir satu demi satu waris yang kanan pergi, Raja Azlan sudah tinggal beberapa tangga saja lagi. Ketika baginda jadi waris yang ketiga Raja Muda Musa mangkat. Sultan Idris tiak memperkenan Raja Hisham untuk jadi Raja Muda, kerana dikatakan baginda lebih tua dari Sultan dan tidak begitu cergas untuk menghadiri majlis rasmi, sedang Sultan menunggu giliran untuk jadi Yang di-Pertuan Agong. Maka baginda mahukan seorang Raja Muda yang cergas untuk menjadi pemangku Sultan.

Maka Raja Azlan yang jadi Ketua Hakim Negara masa itu ditabalkan sebagai Raja Muda. Raja Hisham kekal di tempatnya.

Tidak lama Sultan Idris pula mangkat. Sultan Azlan Shah mengekalkan Raja Hisham di tempatnya memperkenan adinda Sultan Idris menjadi Raja Muda dan memasukkan puteranya Raja Nazrin masuk dalam kerabat waris takhta. Raja Nazrin tidak melalui tangga di bawah kerana ada peruntukan Sultan boleh mengangkat seseorang di tempat yang kanan.

Tidak lama mangkat lagi Raja Muda yang orang Kuala Kangsar mengenalinya sebagai Tengku Chik semasa ziarah Terengganu. Raja Nazrin yang setangga di bawah Raja Hisham pun jadi Raja Muda atas cara yang sama Sultan Idris memilih Raja Azlan dan Sultan Azlan mengangkat adinda Sultan Idris jadi Raja Muda.

Demikian tuah Sultan Azlan yang tak tefikir jadi Sultan menaiki takhta sama seperti tuah Tunku Salehuddin. – HARAKAHDAILY 19/9/2017

SAYA ikuti sepenuhnya siaran langsung permakaman al-Marhum Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim dari beberapa setesen TV.

Ada yang cuba mengingat sejarah, apakah benar Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman Putra berundur justeru mengelak dari menjadi penasihat kepada Sultan Kedah itu naik takhta Yang di-Pertuan Agong kali pertama tahun 1970 dulu?

Memang ada yang berkata, Tunku pernah berkata begitu. Tetapi sejarah itu tidak begitu sekalipun betul Tunku pernah berkata begitu.

Adalah betul Tunku mengumumkan perletakan jawatan Perdana Menteri sebelum Sultan Abdul Halim menjadi Yang di-Pertuan Agong. Tetapi sejarah yang tepat ialah Tunku telah menjadi Perdana Menteri yang tidak berkuasa lebih setahun sebelum Sultan Abdul Halim jadi Yang di-Pertuan Agong.

Masa itu Tunku jadi Perdana Menteri saja, tinggal di kediaman rasminya juga, Residensi, terus menerima elaun Perdana Menteri, tetapi kuasa Perdana Menteri sudah terlucut pada malam 13 Mei, 1969.

Belum sempat al-Marhum mengangkat sumpah bagi menyambung jawatan Perdana Menteri sebaik usai Pilihan Raya Umum dua hari sebelumnya. Apabila 13 Mei tercetus, Tunku masih berada di Kedah, belum pulang ke Kuala Lumpur bagi memulakan penggal baru Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri Tun Razak mengisytiharkan pemerintahan Mageran dengan beliau sendiri menjadi pengarahnya.

Tun Razak sebagai Pengarah Mageran mengambil alih kuasa Perdana Menteri sepenuhnya, demokrasi digantung, Parlimen hanya ada bangunan tapi kosong ahli kerana calon yang menang belum mengangkat sumpah.

Selama setahun Tunku begitu, dipanggil juga Perdana Menteri tetapi kuasa sudah diambil alih oleh Tun Razak. Kuasa yang tinggal padanya hanya sebagai Presiden Umno. Oleh kerana demokrasi digantung, parti politik pun tidak bergerak.

Tunku dipercayai didesak untuk melepaskan jawatan Perdana Menteri yang sudah tidak dapat menjalankan tugas Perdana Menteri, tetapi beliau hanya bersedia dengan syarat dikembalikan demokrasi dan pulihkan Parlimen.

Dengan sejarah yang comot itu, Tunku dilucutkan secara tidak demokrasi, bahkan mungkin ikut pintu belakang perlembagaan, maka tidak menjadi sejarah Tunku berundur kerana anakanda saudaranya jadi Yang di-Pertuan Agong.

Tuanku Abdul Halim adalah putera kekandanya, Sultan Badli Shah. Jika Tunku dikatakan mengelak jadi penasihat anak saudaranya yang menjadi Agong, ia adalah satu dalih bagi mengindahkan rekod bangsawannya bahawa bangsawan sewajar berjiwa besar.

Jika Tunku membuat alasan itu adalah mengelakkan beliau dari dikata digulingkan dari jawatan oleh partinya dan oleh orang kepercayaannya. Jika Tunku takwil pembentukan kerajaan Mageran itu tidak dirujuk kepadanya dan partinya Umno, nescaya kelam kabutlah Tun RAzak dan bergolaklah Umno.

Tegang 13 Mei itu adalah untuk beberapa minggu saja. Kehidupan harian rakyat, peniagaan dan ekonomi, dagangan dalam dan luar negeri pulih seperti sedia kala. Jika dipulihkan demokrasi dan politik boleh bergerak bebas, dipeercayai pasukan keselamatam boleh mengawal keamanan.

Jika Tunku jenis hendak mempertahankan kuasanya, beliau ada hak. Tetapi darah bangsawan berjiwa besar dipercayai bersabar, menerima takdir.

Mungkin Tunku ada memikirkan anakanda saudaranya bakal jadi Agong, dan supaya Agong bebas dari pengaruh bapa saudara sebagai Pedana Menteri, mungkin sesuai baginya berundur dalam keadaan beliau berkuasa penuh dan berwibawa. Peralihan kuasa kepada penggantinya dibuat secara demokrasi dan bersopan.

Dengan demikian barulah tepat sejarah beliau berundur kerana mahu memberi kebebasan kepada Agong baru yang berkerabat dengannya. – HARAKAHDAILY 18/9/2017

ADUH! Hebatnya sekalian ibu dan bapa yang anaknya terbakar di Maahad Tahfz Darul Quran Ittifaqiah Datuk Keramat, Kuala Lumpur hingga meragut nyawa 21 murid dan dua guru.

Tiada yang tidak sedih. Tiada ibu mahu anak yang dilahirkannya terbakar, bahkan tiada ibu bapa mahu anak mati dulu dari mereka atas apa sebab jua. Sekaliannya jika mahu mati dulu dari anak-anak. Pilu ibu bapa yang anak mati dulu lebih terasa dari anak kematian ibu/bapa.

Setakat sakit anak, ibu bapa cukup cemas, inikan pula mati terbakar.

Sekalian ibu bapa yang anak kematian terbakar itu menyatakan kata-kata berpahala dan sikap berpahala atas tragedi yang menimpa anaknya. Semua berkata redha atas kehendak Allah itu tak kira didaftar atau tidak, tak kira cukup ciri keselamatan atau tidak.

Itulah ajaran Allah dan RasulNya, syukur atas rahmat dariNya dan redha dengan segala ujian pedihNya. Orang beriman tidak berputus asa atau meninggalkan agama atas kesudahannya.

Sebagai yang Islam janjikan ganjaran syahid bagi yang mati terbakar apa lagi anak-anak itu adalah pelajar agama dan mengaji menghafaz al-Quran. Banyak syafaat untuk ibu bapa yang anaknya hafiz/hafizah. Syafaat bagi pelajar tahfiz adalah berganda dari orang biasa mati terbakar.

Anak yang mati terbakar dijanjikan Allah syurga. Moga-moga 23 murid dan guru itu tergolong ahli syurga. Sebagai syuhada mereka berpenghulukan Saidina Hamzah, bapa saudara Rasulullah yang gugur dalam Perang Uhud.

Ahli syurga itu harum semerbak yang manusia hidup tidak dapat mengidunya. Sebaik roh mereka terpisah dari jasad yang rentung, para malaikat menyambutnya dari madrasah yang harum diarak ke langit sebagai tetamu Allah.

Seluruh ruang dan isi antara langit dan bumi penuh harum dari roh ahli syurga itu. Pintu gerbang setiap lapisan langit bermandi wangi semasa roh mereka diarak naik dan turun dari langit. Mereka sudah nampak mahligai masing-masing di syurga. Dari dalam kubur tempat mereka direhatkan sehingga hari kiamat masing-masing mencium bau syurga yang dipancarkan ke situ.

Puteri Nabi, Fatimah Zahrah menangis apabila baginda memaklumkan kewafatannya sudah dekat. Tetapi tersenyum pula setelah baginda memberitahunya anaknya menyusulnya tidak lama selepas itu.

Jika Fatimah dapat menemui bapanya di akhirat selepas kematiannya, tiada halangan bagi para pelajar tahfz yang gugur itu untuk menemui baginda sebelum kiamat.

Dengan segala berita gembira yang ahli syurga dapat nikmati sebelum pintu syurga dibuka kepada penghuninya, memang wajar ibu bapa yang kematian anak itu redha atas rahmat yang anaknya boleh dapat setelah kematiannya.

Setiap ibu dan bapa yang meredhai cara kematian anaknya, sebagai orang yang beriman moga-moga akan bertambah tebal imannya, menyatakan keredhaannya nescaya memberi pahala kepadanya. Dengan sikap itu moga-moga mereaka memungut pahala hingga hari akhir hayatnya.

Sebagai ibu bapa ahli syurga dan para syuhada pula tentu mereka mengharapkan rahmat dari keistimewaan anaknya. Dengan iman yang bertambah, moga-moga kekal jadi ahli ibadat istiqamah supaya dapat bertemu anaknya di syurga.

Meskipun mereka kehilangan anak, kerana redha dan tabahnya, Allah boleh gantikan dengan anak yang lebih baik dan cucu yang membahagiakan.

Jika tiada anak untuk dihantar ke tahfiz, bantu dan sokong perbanyakkan kelas tahfz, biar seorang tahfz yang gugur diganti dengan sepuluh pelajar baru. – HARAKAHDAILY 17/9/2017

TAKZIAH untuk sekalian ibu bapa dan waris murid 21 murid dan dua guru maahad Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah Datuk Keramat, Kuala Lumpur yang mati terbakar 14 September lalu.

Seluruh penduduk khususnya umat Islam pilu dan terharu atas musibah itu dan masing-masing mmmpu menyampaikan kata perangsang Inna lillah wainna ilahi rojiun.

Moga-moga waris sekalian menerimanya dengan sabar dan membanyak solat. Inilah ubat terbaik bagi menenangkan hati dan perasaan yang rawan.

Murid-murid itu tidak rentung begitu saja. Mereka hangus di dunia dan yang pasti mereka tidak akan terbakar lagi di akhirat. Yang tidak terbakar di dunia belum tentu idak terbakar di akhirat.

Sekalian yang terbakar itu adalah pelajar tahfiz al-Quran. Mereka ahli syurga. Di syurga mana ada api.

Sesudah waris berduka seketika, tidak wajar berduka selama-lamanya kerana Allah menawarkan bagi setiap murid agama yang mati semasa menuntut sebuah istana besar bagi seorang yang luasnya sejauh antara rumahnya dan madrasah tempat mereka belajar. Kalau rumah mereka di Ampang dan sekolahnya di Datuk Keramat, maka istana untuknya di syurga itu adalah adalah sebesar jarak antara Ampang dan Datuk Keramat.

Istana itu jauh lebih besar dari Istana Negara dan lain-lain istana dalam negara.

Ketika anak Ustazah Nuridah Salleh, Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat mati semasa belajar tahfiz di Afrika Selatan beberapa tahun lalu, saya telah menulis anaknya itu mendapat istana besar sebesar antara Malaysia dan Afrika Selatan. Bayangkan istana putera Nuridah terbentang memenuhi Lautan Hindi, bahkan lebih besar dari Lautan Hindi kerana pangkal di Malaysia belum termasuk dalam Lautan Hindi dan hujungnya Afrika Selatan sebelah sana Lautan Hindi.

Kerana murid-murid yang terbakar itu tinggal di Lembah Kelang, maka istana tidaklah sebesar istana untuk anak Nuridah, tetapi ia cukup besar untuk ibu bapa masing-masing bersantai di syurga nanti.

Anak Nuridah mati kerana sakit. Sekadar mati sakit dapat syurga sedemikian besar dan indah, mati terbakar adalah syahid yang tentunya ada kelebihan tersendiri.

Anda mungkin ada anak selain dari mati terbakar itu. Kalau dia penuntut agama, dia munkin jadi qari, ulama, pembesar dan lain-lain. Tetapi matinya belum tahu lagi. Sebaliknya anak yang rentung itu telah diketahui ahli syurga dan ada istana besar di syurga.

Yang terbakar itu tiada gantinya di dunia, tetapi ibu bapa tentunya boleh bergembira dengan segala anugerah yang Allah sediakan untuknya di syurga. Maka apakah ibu bapa masih terus gundah juga dengan segala nikmat yang anaknya dapat di syurga?

Seorang itu di zaman Rasulullah s.a.w. tidak menangis apabila anaknya seorang mati syahid. Mati syahid seorang lagi tidak juga dia menangis. Apabila ada lagi anaknya gugur dalam perjuangan dia pun menangis. Dia ditanya apakah dia tidak suka anaknya yang terbaru itu mati syahid?

Jawabnya dia tidak bangga anaknya itu mati syahaid, tetapi dia menangis kerana sudah tidak ada lagi anak yang hendak dihantar ke medan perang untuk mati syahid.

Kita nampak anak-anak itu kepanasan kerana mati terbakar. Tetapi dengan segala anugerah yang Allah sediakan untuk mereka di syurga, tentulah perut ibu-ibu yang semasa mengandung anak-anak yang terbakar itu adalah bahagia sesejuk rasa. – HARAKAHDAILY 16/9/2017

ALAM siber berdecak hebat hari ini dengan euforia kesedihan akan peristiwa tragis yang mengorbankan 25 orang dalam kebakaran asrama Tahfiz di Keramat.

Pelbagai komentar bergentayangan di alam siber, bukan sekadar menghulur simpati, malah ada yang berbaur kebencian pada pusat pengajian tahfiz al Quran.

Pengajian tahfiz menjadi fenomena baru tanah air kita dalam dua dekad ini, apatah lagi dengan kegagalan sistem pendidikan arus perdana.

Namun, tak ramai yang sedar akan peranan Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam mengupayakan dan mengarusperdanakan sistem pendidikan al-Quran di negara ini.

Sosok ini berjaya membudayakan al-Quran dalam masyarakat, bukan sahaja dengan pengajaran tafsir al Quran, namun berjaya menggalakkan masyarakat Melayu menghafal al Quran.

riduan1Semenjak pulang dari Asia Barat setelah bermukim ilmu, beliau sangat obses dengan pendidikan Islam.

Tak lengah dan tak lelah, terus menceburi bidang pendidikan Islam dan bercita-cita untuk membentuk generasi al-Quran di tanah air ini.

Sekolah agama Darul Anuar adalah manifestasi keseriusan beliau dalam membangun pendidikan al-Quran, juga dengan zuriat beliau yang ditekankan pendidikan al-Quran.

Menjadi Menteri Besar Kelantan pada tahun 1990, telah membuka ruang yang luas untuk almarhum merealisasikan cita-citanya.

Beliau memberikan fokus kepada sekolah-sekolah agama di Kelantan, terutama maahad tahfiz yang akhirnya berkembang menjadi fenomena negara ini.

Hasrat beliau agar Kelantan kekal dengan reputasi sebagai ‘Serambi Mekah’ yang meranum subur dengan ilmu-ilmu pengajian Islam dan al-Quran.

Di antara institusi pendidikan Islam yang semakin berkembang di Malaysia khususnya di Kelantan ialah sekolah tahfiz al-Quran.

Di negara ini kewujudan tahfiz menjadi fenomena dalam dekad 1990-an akibat kesedaran Islam yang semakin meluas dalam kalangan kelas menengah Melayu dan juga aktivis pendidikan Islam di negara ini.

Kelantan menjadi tapak subur kepada sekolah tahfiz al-Quran sama ada yang ditubuhkan oleh kerajaan ataupun yang ditubuhkan oleh pihak persendirian dengan bantuan daripada pihak kerajaan negeri yang diterajui oleh PAS.

Kerajaan Kelantan memandang serius keperluan untuk menubuhkan sebuah sekolah tahfiz berasrama penuh di mana kemasukan pelajarnya ditapis dengan syarat yang ketat.

Kerajaan Kelantan akhirnya melalui idea Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat telah menubuhkan Maahad Tahfiz Pulai Condong (MTAQ) pada tahun 1992, pelajar-pelajar yang  mendapat sekurang-kurangnya empat ‘A’ dalam UPSR dengan kemampuan membaca al-Quran dengan baik akan diterima belajar di sini.

Maahad ini akhirnya menjadi sebutan negara apabila sentiasa muncul cemerlang dalam keputusan peperiksaan awam seperti PMR dan SPM.

Matlamat penubuhan Maahad Tahfiz Pulai Condong ialah untuk melahirkan generasi yang celik al-Quran secara bersistematik, melahirkan pelajar-pelajar yang berpegang kepada al-Quran dan juga memberi kesedaran betapa pentingnya pendidikan al-Quran bagi mengimbangi tuntutan semasa.

Matlamat lain yang ingin dicapai ialah melahirkan ulama hafiz yang mampu memahami isi kandungan al-Quran serta memelihara al-Quran daripada sebarang bentuk penyelewengan.

Sehingga kini Kelantan mempunyai lebih daripada 100 buah sekolah tahfiz akibat rangsangan dan pemupukan yang berterusan daripada kerajaan negeri.

Antara sekolah tahfiz yang telah beroperasi ialah Maahad Tahfiz Darul Quran Wal Qiraat di Repek Pasir Mas, Maahad Tahfiz di Kampung Slow Machang Pasir Mas, Al-Imam International Institute di Kubang Kerian, Kota Bharu, Maahad Tahfiz Ummu Qura di Kampung Kolam Kota Bharu, Maahad Tahfiz Sains dan banyak lagi yang didirikan di setiap daerah di Kelantan. Maahad Tahfiz Pulai Chondong merupakan sekolah tahfiz paling cemerlang, bukan sahaja dalam peperiksaan awam, tetapi juga kerana menjadi model untuk kurikulum bagi sekolah-sekolah tahfiz di Brunei, Johor, Selangor, Terengganu dan Pahang.

Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat telah mengasaskan juga Maahad Tahfiz Nikmatillah yang terletak di Pulau Melaka dengan matlamat ‘sebuah keluarga seorang hafiz’ bagi rakyat Kelantan.

 Tahfiz ini mula beroperasi pada tahun 2004 dan menerima pelbagai latar belakang akademik (tidak semestinya cemerlang dalam UPSR).

Ini bertujuan supaya ruang yang luas dapat diberikan kepada pelajar yang berminat mendalami pengajian al-Quran.

Almarhum telah meninggalkan kita semua dengan jasa yang besar, menjadi cermin keteladanan yang memantulkan keseimbangan watak siasah, dakwah dan tarbiah.

PAS wajar  melanjuti apa yang almarhum tinggalkan, menggerakkan jihad ta’lim sepenuh hati sehingga kefahaman Islam meratai seluruh sektor masyarakat.

Menghasilkan para huffaz yang juga sebagai kelompok profesional dan aktivis Islam, bukan sekadar memimpin solat berjemaah tetapi memandu manusia ke arah menegakkan pemerintahan berlandaskan al-Quran. – HARAKAHDAILY 15/9/2017

Penulis ialah AJK PAS Pusat, AJK Tarbiah Pusat.

DUNIA tidak kira agama dan bangsa jika binatang, baik binatang liar, ternakan dan binatang peliharaan seperti kucing, anjing dan burung dibunuh sesenangnya nescaya riuh rendah seluruh alam kerana ia kekejaman kepada binatang.    

Terutama binatang liar yang dilindungi bagi menjamin spesiesnya tidak pupus. Tindakan akan dikenakan kepada sesiapa yang menceroboh dunia peri kebinatangan.

Demikianlah manusia, sesiapa yang menderita sakit terlantar menunggu ajal, dipecayai tidak akan sembuh, tetap tidak mati-mati, bagi mengelakkannya dari menderita berpanjangan tamatkan usianya ssekalipun dengan teknik yang paling peri kemanusiaan, nescaya bangkit tentangan dari semua kerana ia dikira satu kekejaman paling tidak berperi kemanusiaan.     

Sekalipun pembunuh kejam jika dibunuh idak mengikut saluran undang-undang, pembunuhnya nescaya menghadapi tindakan undang-undang.     

Apa lagilah satu bangsa kerana bangsa dan agamanya disembelih beramai-ramai dengan apa cara jua, maka zalim yang tidak terperi namanya jika membiarkan saja penyembelihan ke atas manusia di mana saja tidak kira dekat atau jauh.     

Maka tindakan penghapusan etnik terhadap Rohingya oleh kerajaan dan orang Myanmar, tidak kira Rohingya itu sebahagian dari warga Myanmar atau tidak ia tidak boleh didiamkan saja  oleh tamadun manusia yang ada pada masa ini.

 Manusia hari ini bukan dari jenis manusia yang makan daging manusia, tetapi adalah manusia yang menjaga nyawa manusia yang lain. Maka semua bangsa di dunia tanpa mengira agama mesti bangun membela Rohingya sesuai dengan ajaran hak asasi manusia dan perikemanusiaan, bukan pembelaan kerana agama tetapi pembelaan terhadap manusia yang dizalimi manusia lain.   

Maka itulah sikap dan harapan semua Negara Islam tidak melihat Rohingya itu sebagai isu agama tetapi adalah isu kemanusiaan. Tetapi kalau yang peduli hanya orang Islam saja, yang beragama lain seperti Yahudi, Kristian, Hindu, Budha dan lain-lain diam seribu bahasa, maka ia akan menjadi isu agama juga.     

Maka dunia jangan jadikan isu Rohingya ini masalah bagi Bangladesh, Malaysia dan Turki saja, tetapi Thailand, India, Rusia, Inggeris dan Ghana wajar merasa sakit atas kekejaman yang dideritai Rohingya.     

Yang terasa sakit dan lebih sakit dari yang lain ialah orang Islam di mana-mana saja, tetapi semua oang Islam yang terasa sakit itu suka membelanya atas sikap manusia sejagat. Dunia bukan Islam wajar bangun supaya penganut semua agama dapat dirapatkan dengan penganut Islam, bagi mengelakkan dunia ini terus bertembung antara Islam dan bukan Islam.    

Semua tahu Myanmar khususnya penganut Buddha jadi kejam itu bukan sekadar Rohingya itu satu suku minoriti di kalangan bangsanya, tetapi lebih didorong oleh nafsu agamanya.    

Jeneral Nee Win yang mengetuai junta tentera Burma lebih enam dekat lalu dan mengasingkan negara itu dari dunia luar, bukan sangat kerana fahaman sosialismanya yang berjiran dengan China, tetapi adalah justeru fobia yang melangit terhadap Islam.

Dia dihantui oleh Islam sedang dia mahu Myanmar kekal sebagai dunia Budha. Dari sejarahnya mereka tahu Asia Tenggara ribuan tahun adalah rantau penganut berhala – Hindu dan Budha. Empayar Rom dengan Kristiannya tersebar di Eropah dan utara Afrika, tetapi ia tidak sampai ke Asia Tenggara. Apabila Islam sampai ke rantau itu ia semua penyembah berhala menjadi Islam.    

Bagi mengelakkan Myanmar jadi Islam, ia bertindak menghapuskan etnik Rohingya yang Islam. Takutkan Islam ia sembelih Islam. Sepatutnya ia tunjukkan kebaikan Buddha supaya tidak jadi Islam.     

Myanmar bertindak kerana  agama, kita bertindak kerana kemanusiaan. – HARAKAHDAILY 14/9/2017

KETUA Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar telah tamat perkhidmatan pada 4 September lalu dan digantikan oleh seorang yang saya tidak ingat namanya sekalipun sudah seminggu memegang jawatan.
      
Saya baca namanya ketika diumumkan sebagai pengganti Tan Sri Khalid serentak mengambil alih jawatan. Esoknya saya terbaca sekali lagi namanya atas kata-katanya mengambil alih tugas KPN.
     
Kerana selepas itu saya tak jumpa namanya dalam akhbar yang saya langgan, maka saya tidak ingat namanya. Terasa sunyi berita polis kerana dia tidak seperti KPN yang digantikannya, setiap hari nama dan gambar terpampang di akhbar-akhbar.
      
Sebagaimana PM Najib dan TPM Zahid nama mereka ada saja dalam berita, maka KPN Khalid ada saja beritanya tersiar. Tidak salah tapi terasa macam orang politik pula.
      
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Zahid Hamidi memberi penghargaan atas tugas profesionalnya dan kebebasannya melaksanakan profesionalisma perkhidmatan polis secemerlang mungkin, hingga apa saja yang menteri itu fikir patut polis buat, maka ia dilaksanakannya.
      
Rasanya dia memang pemimpin polis yang cergas. Maka patut banyak puji diberi kepadanya terutama banyak kes jenayah besar seperti bunuh dan rompak dapat dicekup dalam masa yang singkat. Patut diberi syabas kepada pimpinannya.
      
Cuma dirasakan tidak dapat dipenuhinya ialah desakan bertubi-tubi MP Tony Pua dari DAP supaya bertindak menyiasat dan menangani kes 1MDB dan pembabitan PM Najib dengannya. Semua mahukan penyiasatan polis tetapi Tony Pualah banyak ke depan.
     
Kerana KPN itu tidak dilihat peduli atas tuntutan itu, maka tidak henti-hentilah gesaan terhadapnya dibuat.
      
Tuntutan supaya PM dan 1MDB disiasat bermula sejak terbongkarnya apa yang dikira skandal paling besar oleh seorang pembesar sejak merdeka. Rugi niaga buluh kasap Bank Negara dalam mata wang asing cukup besar, tetapi 1MDB adalah lebih besar kerana ia mengaitkan pula pembabitan lain-lain agensi menanggung beban bagi menutup pekung 1MDB itu.

KPN Khalid telah dinamakan dari awal dalam penyiasatan itu. Itulah cabaran besar menguji kebebasan profesionalismanya. Tidak diketahui umum apa yang dibuatnya. Kerana orang  tak tahu apa yang dibuat, maka orang sangka tidak apa yang dibuat.
      
Kalau apa yang berlaku dikatakan diketahui semua oleh DOJ, Jabatan Kehakiman Amerika yang beribu batu jauhnya, bagaimana gajah di depan mata Bukit Aman polis tak nampak. Peribahasa itu sendiri menempelak idak percaya tak nampak gajah di depan mata.
      
Seribu kerja profesional dapat diselesai, jenayah sebesar Bukit Uhud depan mata tidak nampak menyebabkan seribu jasa berkecai tidak berharga.
       
Dengan seribu kecemerlangan profesional, patutnya KPN Khalid yang segar dan berinovasi tidak dilepaskan dari perkhidmatannya. Kalau Mahathir dikira amat pintar cuba dihalang bersara sekalipun terlalu lama jadi Perdana Menteri, justeru tidak senang beroleh orang dinamik sepertinya. Atas dinamik Najib itulah idak sedia melepaskan pimpinnya sekalipun macam-macam orang kata padanya, maka bukan senang dapat KPN seperti Khalid. Boleh idak dilepaskan supaya khidmat cemerlang dapat diteruskan.
     
Tapi gesaan Tony Pua bertubi-tubi terhadapnya, mungkin bersara dapat menyelesaikan masalahnya. Senang  tiada beban lagi.
      
Jangan fikir tuntutan siasatan atas 1MDB dan Najib hapus dengan tiada Khalid. Justeru ia    tidak ditangani Khalid, beban itu terpaksa dipikul oleh KPN baru. Kesianlah pada orang baru atas beban yang ditinggalkan orang yang pergi! - HARAKAHDAILY 13/9/2017
     

SAYA terharu seronok dan terkedu seronok serta bertahniah dari jauh kepada seorang biduan kesukaan ramai di zaman mudanya di Singapura di hari tuanya jadi imam di Melaka. (Foto hiasan)
       
Setelah lama berkelana di Singapura sebagai seorang penyanyi bersama isterinya, mereka pulang ke Melaka untuk menjaga orang tua yang uzur dan memulakan kehidupan baru yang sama sekali asing dari kehidupan selebriti seorang penyanyi. Dia menjadi tukang gunting rambut yang pendapatannya tidak seberapa.
      
Suara emas yang Allah anugerahkan kepadanya dimanfaatnya melung azan bila masuk waktu  di musalla di tempat tinggalnya. Penyanyi yang merdu memang boleh menjadi halwa teling yang  menarik. Jika dulunya suaranya jadi buruan penagih hiburan, tiba-tiba jadi rinduan orang-orang tua dan para lebai. Jadilah dia bilal kesukakan semua.
      
Terbiasa menjadi bilal dia pun menjadi salah seorang imam. Dan sekarang terkenal sebagai  tukang gunting yang menjadi imam.
       
Demikianlah penggiat seni suara yang tergolong sebahagian dai anak wayang, Allah pilih menjadi orang surau sebagai imam dan bilal. Ada anak Felda yang biasa melung azan bila masuk waktu hendak dicadangkan jadi bilal tetap di suraunya, datang pilihan uji bakat temasya laku. Dia menyertai uji bakat dan terpilih jadi penyanyi pujaan ramai.
      
Setelah Allah pilih dia jadi penyanyi tersohor, tidak dipastikan azan lagikah bila masuk waktu.
     
Tidak diketahui latar belakang pendidikan agama, tetapi penyanyi yang jadi tukang gunting dimuliakan Allah menjdi imam. Sebaliknya ada orang belajar di Mekah musim Jepun dulu, Allah tak pilih jadi imam tapi jadi orang wayang.
      
Ramai orang belajar agama yang boleh jadi calon ulama memilih jadi penyanyi nasyid profesional. Maka masanya banyak di majlis hiburan dari di majlis ibadat. Nasyid mulanya cara dakwah, tetapi ia juga boleh jadi cabang hiburan. Hiburan tetap sebahagian dari wayang. Bukan menyanyi tidak mulia, tetapi menjadi imam dan bilal tetapi mulia di sisi Allah dan masyarakat.
      
Kurang mulia kalau ustaz jadi penyanyi, tapi bahagialah seorang penghibur menukar hidupnya menjadi pengunjung tetap surau yang sentiasa berjamaah, apa lagilah kalau menghadiahkan suaranya untuk azan dan jadi imam pula.
      
Ada yang bertanya,  tidak rindukah dengan alam nyanyian? Biarkanlah pengalaman lama jadi sejarah, moga-moga menguatkan takwa. Jangan sesudah Allah letak di tempat tinggi, turun pula di tempat rendah walaupun sekali sekala.
      
Jika suara merdu perlu dilepas untuk peminat, manfaatkan untuk pelanggan ketika menggunting rambut. Mana tahu lagu-lagu dakwah dan patriotik disampaikan ke teling Mat Rempit semasa bergunting moga-moga bersara mereka dari rempit untuk acap ke masjid, atau perompak yang bergunting dialunkan lagu Selimut Putih berheni merompak.
      
Kalau sekadar hendak melepas rindu dan gian.
      
Bertuahlah orang wayang yang Allah pilih jadi imam dan dimuliakan juga mencari rezeki sebagai tukang gunting. Ia adalah pekerjaan yang boleh memegang kepala semua orang tak kira raja atau hamba, penyangak atau pendidik. Semulia orang adalah yang taqwa. Kepala orang takwa pun tukang gunting pegang.
      
Paling taqwa adalah para nabi. Kita dimaklumkan ada hikayat nabi bercukur. Tentu Nabi idak cukur sendiri. Tukang cukurlah mencukurnya. Kepala nabi pun dia boleh pegang.
     
Kepala ada anggota badan paling mulia. Orang idak pegang kepala kita melainkan tukang gunting. Penyanyi itu moga-moga Allah muliakan sebagai imam dan dapat memegang kepala semua orang. - HARAKAHDAILY 12/9/2017

LEGASI Tun Abdul Razak yang meninggalkan kita 40 tahun dulu adalah Perdana Menteri yang ada nama dan ada jasa.
      
Dia wajar dihayati, tetapi tidak sempurna penghayatan itu jika seseorang tidak menghayati legasi Tunku Abdul Rahman Putra yang banyak peranan menjadikan Tun Razak sebagai seorang pemimpin dan ahli politik yang tersohor.
      
Jika kita terima Tun Razak adalah seoang pemimpin, maka legasi Tunku adalah  pemimpin kepada Tun Razak selama menjadi Timbalan Presiden Umno dan Timbalan Perdana Menteri kepada Tunku Abdul Rahman.
      
Sebagai pemimpin Umno dan Perdana Menteri Tunku adalah pemimpin yang mencetuskan itu dan ini, dan segala yang dicetuskannya itu kebanyakannya Tun Razaklah yang menjadi dan melaksanakanya sebagai dasar dan arah tuju negara.
      
Mungkin perbezaan yang ketara sebagai pemimpin dia mencetus sesuatu tetapi yang menjadikan sesuatu ialah orang di bawahnya yang diamanahkannya. Tetapi Tun Razak sebagai pemimpin, dia cetuskan sesuatu dan dia mengepalai orang-orang di bawahnya dan yang diamanahnya melaksanakannya. Dan keadan demikian, mungkin Tun Razak mengetahui secara terperinci di bawahnya dibanding dengan Tunku.
      
Semua merasakan Tun Razak lebih berwibawa dari Tunku. Nampak besar Tun dibandingkan dengan penggantinya Tun Husein Onn. Tetapi ada orang dalaman UMNO mengira Tun Husein kepada Tun Razak, maka begitu perbandingan bagi Tun Razak kepada Tunku.
      
Tunku mengambil UMNO dari Dato Onn bin Jaafar dalam keadaan UMNO tidak ada apa-apa dan parti prasarananya tidak teratur.  Tunku memindahkan pejabat agungnya dari Kuala Lumpur ke lokasi antara Butterworth dan Kepala Batas, Seberang Perai dengan dibantu oleh seorang yang bernama Khair Taib.
      
UMNO terpaksa disusun semula dan dihidupkan dari situ sebelum ia dipindahkan ke Johor memandangkan sambutan UMNO di Johor lebih menggalakkan selain Tunku mahu menghadapi pengaruh Dato Onn di Johor.
     
Belum tentu UMNO yang tidak memperjuangkan kemerdekaan sebelum boleh dihidup suburkan jika yang menggantikan Dato Onn itu lain dari Tunku.
      
Bagi meyakinkan rakyat UMNO benar-benar bertentangan dengan British dalam menuntut kemerdekaan, Tunku memutuskan semua pemimpin UMNO memegang jawatan kerajaan dalam pentadbiran British yang menteri kanannya adalah Dato Onn. Semuanya mengikut langkah yang meninggalkan jawatan besar bagi memimpin UMNO.
      
Tun Razak saja yang idak meletak jawatan. Dia kekal sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang. Kata Tunku kepada saya, mungkin dia kurang yakin UMNO boleh berjaya, maka dia mungkin mahu menjaga hubungan dengan Dato Onn yang menjadi Menteri Dalam Negeri di bawah British.
      
Patut dikaji sejarah tentang kuasa rakya diserahkan semula kepada rakyat bagi menggantikan kerajaan Mageran selepas darurat 13 Mei, 1969. Masa itu Tun Razak adalah Pengarah Pentadbiran Mageran kerana jawatan Perdana Menteri yang disandang Tunku digantung bersama Parlimen.
      
Suasana menghendaki Tunku meletak jawatan Perdana Menteri yang tiada kuasa bagi digantikan dengan Tun Razak. Tetapi Tunku hanya sedia berundur jika Parlimen dan demokrasi dipulihkan. Jika kuasa dipulang kepada rakyat, ia justeru tekanan Tunku.
      
Bagi mengetahui dan menghayati legasi Tun Razak semua patut mengkaji semua tulisan Tunku di Sunday Star dari semasa Tun jadi Perdana Menteri hingga permit penerbitannya digantung oleh Perdana Menteri Mahathir.
       
Menghayati legasi Tun Razak hanya sempurna jika semua memahami tulisan mingguan Tunku di bawah tiga Perdana Menteri itu. - HARAKAHDAILY 10/9/2017