Memaknakan hijrah dalam perjuangan

Pimpinan
Typography

FIRMAN Allah SWT (bermaksud): “Jika kamu tidak menolongnya (Nabi Muhammad SAW), maka Allah menolongnya iaitu ketika kaum kafir (di Makkah) mengeluarkannya (dari Makkah), dia adalah salah seorang daripada dua sahabat yang berlindung dalam gua, dia berkata kepada sahabatnya, “Janganlah engkau berdukacita, sesungguhnya Allah bersama kita”. Lalu Allah turunkan perasaan tenang kepada (Nabi Muhammad SAW) dan menguatkannya dengan bantuan tentera. Dan Allah menjadikan seruan orang-orang kafir ke bawah (hina sehina-hinanya) dan kalimah Allah  (Islam) tinggi selamanya kerana Allah Maha Berkuasa, Maha Bijaksana” (Surah at-Taubah, ayat 40)

Nabi Muhammad SAW telah menempuh pelbagai dugaan dalam melebarkan dakwah. Golongan musyrikin Makkah merancang untuk membunuh Nabi SAW, lalu Allah memerintah baginda untuk meninggalkan tanahairnya dan berhijrah ke Yathrib. Hijrah telah mengajar umat Islam mengenai konsep sebenar ikhtiar, tawakkal, nusrah dan kemenangan yang hakiki dalam perjuangan Islam.

Lantaran itu, dalam ayat ini juga, Allah telah menyinggung mereka yang merasa keberatan untuk berjuang kerana melayani rasa selesa dengan kehidupan dunia. Orang yang tidak mahu berjuang akan rugi kerana perjuangan Islam tetap didukung oleh hamba-hamba Allah yang taat dan mereka pasti akan dibantu oleh Allah SWT. Kuantiti ahli, wang ringgit dan kelengkapan canggih tidak menjamin kemenangan.

Perjuangan Islam pada hari ini berdepan dengan pelbagai perancangan musuh. Di seluruh dunia, umat Islam di Palestin, China, India dan Syria diratah hidup-hidup. Sebahagian umat Islam di negara-negara lain pula diracuni pemikirannya dengan ideologi sekularisme, liberalisme, populisme dan sebagainya. Jika umat Islam terus berpecah, maka ikatannya akan longgar dan mudah terlerai.

Maka, Parti Islam Se-Malaysia (PAS) telah bersama-sama merintis usaha penyatuan ummah di negara ini. Ia bertujuan untuk mengukuhkan semula kekuatan dengan menjadikan Islam sebagai teras yang paling utama. Umat Islam mesti menjadi umat contoh dalam segenap bidang kehidupan. Namun, banyak ruang yang perlu diperbaiki dan hanya Islam yang mampu menggarap solusi yang hakiki.

PAS optimis untuk menterjemahkan solusi Islam supaya difahami dan diikuti oleh rakyat. Semoga peristiwa hijrah tahun 1441 menjadi tekad baharu buat seluruh ahli PAS untuk terus berjuang dengan lebih bersungguh-sungguh menegakkan kalimah Allah SWT di Malaysia yang tercinta. Mudah-mudahnya setiap amal juang yang dilakukan akan diganjari oleh Allah SWT.

Ulamak Memimpin Penyelesaian Islam

YB DR NIK MUHAMMAD ZAWAWI SALLEH
Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat
1 Muharram 1441 | 1 September 2019 – HARAKAHDAILY 1/9/2019