21
Fri, Jul

Bagaimana negara adil boleh runtuh?

Pimpinan
Typography

SEBAGAIMANA negara yang zalim akan berakhir dengan keruntuhan, begitulah juga ia boleh berlaku ke atas negara yang adil. Tetapi ia berlaku dengan faktor yang berbeza.

Jika negara yang zalim, keruntuhannya adalah disebabkan oleh kezaliman demi kezaliman yang dilakukan oleh pemerintah di dalam negara mereka, bagi negara yang adil pula, keruntuhannya boleh berlaku jika rakyat tidak lagi mensyukuri nikmat Allah tersebut.

Negara yang adil adalah nikmat kehidupan. Kesejahteraan hidup rakyat adalah melalui pakatan bersama antara pemerintah dan rakyat. Penguasa akan sentiasa bertanggungjawab terhadap Allah dan amanah yang ditaklifkan, menjaga kepentingan dan maslahat rakyat, lalu rakyat memperteguhkannya melalui sokongan mereka.

Tetapi ada kalanya rakyat mula membelakangi pemerintah dan mula mendengar hasutan daripada kalangan mereka sendiri yang menyebarkan pembohongan dan fitnah ke atas pemerintah. Mereka berjaya menyebarkan ketidakpuasan melalui fitnah dan pembohongan sehingga tidak lagi mensyukuri nikmat keharmonian hidup sedia ada.

Maka terjadilah pemberontakan terhadap pemerintah. Negara yang baik akhirnya runtuh dan berganti dengan negara baru yang terbina di atas kezaliman yang dicipta. Negara ini akan sentiasa di ambang bahaya akibat asas binaannya yang rapuh. Pemerintahnya akan terus menjadikan fitnah sebagai senjatanya mempertahankan kesalahan mereka. Akhirnya ketidakamanan menggantikan keamanan sedia ada.

Rakyat yang membuka telinga terhadap fitnah dan memakan rezeki yang haram (سماعون للكذب اكالون للسحت) adalah satu kemalangan untuk negara. Ia lambang nikmat Allah yang tidak disyukuri. Ia berulang-ulang di dalam sejarah manusia sebagaimana kisah al-Quran mengenai Bani Israel yang tidak mensyukuri nikmat Allah ke atas mereka.

Justeru rakyat sayugialah sentiasa menjunjung kebenaran dan mempertahankannya, sensitif terhadap api fitnah dan bersegera memadamkannya, sentiasa mendengar peringatan daripada al-Quran dan para ulamak serta menasihati dan mendukung pemerintah yang adil.

Kenalilah pemerintah dengan mengenali dan membezakan kebenaran daripada kebatilan. Tiada mungkin kebenaran yang dicampur baur dengan fitnah akan mencetuskan kesejahteraan dan keadilan dalam kehidupan.

"Dan janganlah kamu campur-baurkan kebenaran dengan kebatilan dan kamu menyembunyikan kebenaran sedangkan kamu mengetahuinya." - al ayat