Mengenang Almarhum Sheikh Mehdi Akef

Pimpinan
Typography

SOSOK besar dunia Islam ini telah meninggalkan kita dengan seribu keteladanan, terutama abnaul harakah yang pernah mendapat sentuhan tarbiah daripadanya. Kehilangannya telah meninggalkan kenangan yang indah dengan sifatnya yang suka membina pelapis perjuangan. Beliau menjadi tetamu kami, pimpinan Dewan Pemuda PAS Pusat dalam program perkaderan mega yang dikenali sebagai Ijtimak Tarbawi 2011. Figura tarbiah ini menyemangati anak-anak muda yang datang daripada seluruh negara, berkampung di KUIZM Taman Melewar. Usianya saat itu awal 80-an tetapi seperti mengobar semangat daripada podium seperti berusia 30an.

Beliau ialah Mohammed Mehdi Akef atau lebih senang dipanggil di kalangan anggota Ikhwan dengan Mehdi Akef. Dilahirkan pada 12 Julai 1928M/24 Muharram 1347H di Kufr Awad as-Sanitah, mukim Aga Daqahlia (Mansoorah). Beliau mendapat pendidikan awal di peringkat rendah di kampungnya, sementara peringkat menengah pula beliau belajar di Sekolah Fuad I di Kaherah. Kemudian beliau menyambung pengajian di Kolej Tinggi Pendidikan Sukan dan keluar sebagai graduan pada 1950. Selepas menamatkan pelajaran di kolej berkenaan, Mehdi memulakan kerjaya sebagai guru pendidikan jasmani di sekolah menengah lamanya iaitu Fuad I. Walaupun demikian, minatnya kepada Gerakan Ikhwanul Muslimin telah berputik pada awal tahun 40-an dan mengenali pimpinan seperti Sheikh Imam Hassan al-Banna di samping Sheikh Muhyuddin al-Khatib yang merupakan penceramah rohani Ikhwan ketika itu.

Tidak lama kemudian, Mehdi melanjutkan pelajaran di Fakulti undang-undang pada tahun 1951, dan beliau mengetuai kadet tentera di Universiti 'Ain Syams yang diarahkan untuk mempertahankan Mesir melawan Inggeris di Terusan Suez hingga berlaku revolusi antara Ikhwan dan kerajaan Mesir pimpinan Gamal Naseer. Beliau juga pernah memimpin gerakan pelajar semasa menuntut di universiti yang cenderung kepada gerakan Ikhwanul Muslimin pada tahun 1954. Dengan keterampilannya yang memberangsangkan ini, beliau telah dilantik sebagai Ketua Unit Pendidikan Jasmani di Markas Umum Ikhwan di Kaherah.

Pada tahun yang sama, beliau ditahan oleh pihak berkuasa Mesir dengan tuduhan bersubahat dengan Jeneral Abdel Mun'im Abdel Rauf yang merupakan antara pegawai tinggi tentera merangkap salah seorang tokoh gerakan kerana mahu menggulingkan kerajaan pimpinan King Farouq. Kedua-dua mereka dijatuhi hukuman gantung sampai mati, tetapi akhirnya hukuman diringankan dengan hanya dimasukkan ke dalam penjara dan melakukan kerja-kerja berat selama beberapa tahun.

Selepas bebas pada tahun 1974, iaitu pada era pemerintahan Presiden Anwar Saddat, Mehdi ditawarkan berkhidmat sebagai Ketua Jabatan Belia di Kementerian Pembangunan. Pengalaman yang diceduk di kementerian berkenaan, menjadikannya sebagai aset berguna untuk menimba pengalaman apabila beliau berangkat ke Arab Saudi menjadi penasihat kepada Himpunan Belia Islam Sedunia (WAMY) yang bertanggungjawab mengadakan perkhemahan, persidangan dan motivasi agama terhadap golongan belia di pelbagai pelosok dunia.

Penglibatannya dalam WAMY menjadikannya lebih serius menjana keperibadian golongan belia. Kesempatan bersama belia diutamakan kerana merekalah golongan yang akan mencorakkan masa depan negara masing-masing, baik mereka maka baiklah negara atau sebaliknya. Justeru beliau telah melakar strategi untuk menganjurkan perkhemahan demi perkhemahan di negara-negara umat Islam seperti di Arab Saudi sendiri, Jordan, Malaysia, Bangladesh, Turki, Australia, Mali, Kenya, Cyprus, Jerman, Britain dan Amerika Syarikat.

Bagi memantapkan lagi tanggungjawab selaku motivator, Mehdi meletakkan jawatan sebagai penasihat di WAMY dan berpindah ke Munich, Jerman sebagai Pengarah Pusat Islam di sana. Setelah beberapa tahun menetap di Eropah dan telah banyak menimba pengalaman yang tidak ada di nota-nota kuliah, Mehdi akhirnya pulang ke tanah airnya di Mesir untuk memperkasa Ikhwan dengan pengalaman yang ditimba.

Politik Mesir yang diperintah oleh beberapa presiden termasuk Hosni Mubarak, merupakan politik kotor dengan diselaputi pembohongan dalam pilihan raya kerana mahu mengekalkan kuasa, para pengundi yang berpihak kepada Ikhwan dihalang dan dinafikan hak mereka untuk mengundi. Maka, berlakulah pertembungan antara parti pemerintah pimpinan Hosni Mubarak dengan anggota Ikhwanul Muslimin. Berlakunya campur tangan secara terancang bagi melakukan pertuduhan terhadap wakil-wakil rakyat dan ahli parlimen Ikhwan. Ramai antara mereka ditangkap dan disumbatkan ke dalam penjara termasuk Mehdi Akef selama tiga tahun dari 1996-1999.

Pelbagai cara digunakan pemerintahan pimpinan Hosni Mubarak untuk menjatuhkan Ikhwan dan jaringannya, pada 23 November 1995, Mahkamah Tinggi Tentera Mesir mensabitkan 54 ahli Ikhwan termasuk Dr Essam al Din Aryan yang telah menerima hukuman penjara lima tahun.

Mehdi merupakan seorang yang pintar dalam mencorakkan strategi Ikhwan dalam mengumpulkan sokongan masyarakat, apatah lagi dengan merosotnya tahap kehidupan rakyat akibat pemerintahan kuku besi rejim Mesir serta budaya rasuah yang melingkari pemerintah. Kemahatololan rejim Mesir telah menyebabkan negara yang pernah bertakhta di hati umat Islam dunia sebagai mercu ilmu kini diserkap dengan masalah kemiskinan dan keterpurukan.

Penulis ialah AJK PAS Pusat, AJK Tarbiah Pusat.