Jumlah kerusi PRU14

Pimpinan
Typography

SAYA hampir pasti dan yakin bahawa dalam PRU ke14 nanti, PAS akan bertanding sehingga 100 kerusi Parlimen atau lebih. Begitu juga PAS akan bertanding di sebanyak mungkin kerusi DUN di seluruh negara.

Saya tidaklah terlibat di dalam urusan pilihan raya dan gerak kerjanya di peringkat pusat dan negeri. Portfolio saya ialah perihal dakwah Islamiyah di mana saya telah diberi amanah oleh parti sebagai pengerusi Lujnah Dakwah PAS Pusat (LDPP). Ini setelah saya tamat tugas sebagai Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat beberapa bulan yang lepas.

Maka keyakinan saya itu bukanlah berdasarkan atau merujuk kepada maklumat daripada sumber dalaman parti, tetapi ia berdasarkan dua isyarat yang nyata juga.

Pertama, presiden PAS sendiri telah memberi isyarat yang jelas di dalam beberapa kenyataannya bahawa PAS akan bertanding sebanyak mungkin kerusi. Ya, bukan semuanya, tetapi ia akan menjadi jumlah kerusi terbanyak yang ditandingi oleh PAS sepanjang sejarah pilihan raya di negara kita.

Kedua, lawatan dan pertemuan saya dengan ramai pemimpin dan jentera PAS kawasan di seluruh negara memberi petunjuk jelas bahawa hampir semua PAS kawasan mengharapkan pimpinan parti mempertimbangkan dan memberi lampu hijau kepada mereka untuk bertanding sama ada di kedua-dua kerusi parlimen atau DUN.

Itu harapan mereka walaupun semua tahu bahawa keputusan adalah bergantung kepada ketetapan PAS Pusat. Wala' dan taat adalah kekuatan utama parti PAS. Selagi tiada arahan, selagi itulah mereka bebas merancang ke arah impian yang diidamkan.

Saya sendiri pun amat berharap PAS terus melangkah gagah untuk bertanding di seberapa banyak kerusi yang termampu dan strategik. Bagi saya ia amat penting atas beberapa faktor:

1) Ia akan lebih mengukuhkan jentera parti dari semasa ke semasa. Ia juga akan menambahkan jumlah jentera parti yang lebih mahir.

2) Ia akan lebih mendedahkan ahli PAS dan penyokongnya kepada ilmu dan selok belok pilihan raya yang tidaklah mudah. BN dalam sejarahnya sentiasa datang dengan tipu daya dan penipuan licik akibat kelompangan yang dibiarkan wujud di dalam sistem dan peraturan pilihanraya oleh SPR. Maksudnya adalah pertandingan berat sebelah yang memihak kepada BN.

3) Ia mempercepatkan proses pengenalan parti PAS kepada masyarakat dan para pengundi. Pilihan raya adalah satu saat di mana masyarakat akan memberi tumpuan terbaik untuk mengenali parti-parti politik yang bertanding.

4) Gerakan dakwah akan lebih cergas dan semakin subur di mana pun kawasan yang PAS bertanding di dalamnya. Ini adalah kerana ilmu dan iman adalah senjata utama PAS untuk menarik masyarakat menyokongnya.

5) Ia akan mengurangkan cengkaman BN sedikit demi sedikit di dalam masyarakat. Walaupun matlamat adalah kemenangan, namun ia hanya akan berlaku dengan penghakisan terhadap pengaruh UMNO yang begitu tebal di dalam masyarakat.

6) Menjauhkan masyarakat daripada terpedaya dengan si mulut manis DAP dan rakan PHnya tanpa penerangan dan jawaban yang benar daripada PAS. Tanpa PAS bertanding, rakyat akan terperangkap untuk memilih. BN dan PH kedua-duanya bukanlan pilihan untuk Malaysia.

7) Cara terbaik mengumpulkan anak muda dan melorongkan mereka kepada matlamat hidup yang sebenar. Pilihanraya amat digemari oleh anak muda yang penuh bersemangat dan beridealistik.

Ini adalah di antara faktor utama yang saya lihat memestikan PAS untuk bertanding di banyak kerusi dalam PRU14 nanti.

Ayuh rakan-rakan seperjuangan, siap siaga menuju jihad pilihan raya..