27 tahun mempersada pemerintahan Islam di Kelantan

Pimpinan
Typography

HARI ini genaplah 27 tahun PAS memerintah Tanah Serendah Sekebun Bunga yang terkenal dengan keunikan budaya dan merupakan jantung hati orang Melayu negara ini. Menghampiri tiga dasawarsa yang penuh dengan kekangan dan serangan bertali arus daripada musuh dan pesaing. Serambi Makkah ini mendapat reputasinya kerana menjadi pusat pendidikan Islam yang tersohor dalam abad ke-19 dan awal abad 20. PAS berjaya merengkuh Kelantan dalam Pilihan raya Umum pada tahun 1959 dengan tokoh-tokoh besar besar PAS bertanding di Kelantan seperti Prof. Zulkifli Mohamad, Haji Ahmad Prai dan tokoh-tokoh lain. PAS kehilangan Kelantan dalam pilihan raya tahun 1978, bahkan hanya berjaya bertahan hanya dengan dua kerusi DUN sahaja. PAS terus bergerak, merancang, mengukuhkan pentarbiahan ahli, menggerakkan kesedaran awam untuk kembali menyokong PAS.

nik azizAktivis PAS Kelantan dengan pelbagai latar belakang pendidikan dan sosioekonomi terus menggempur Kelantan, negeri yang juga terkenal dengan bangsal tomoi, kemeriahan kedai kopi dan keunikan budaya. Nama-nama seperti Tuan Guru Nik Abdul Aziz, Tuan Guru Zakaria Ismail, Ustaz Yahya Othman, Ustaz Mawardi Ahmad, Ustaz Wan Jamil Wan Mahmud, Ustaz Bunyamin Yaakob, Ustaz Wan Mustapha Wan Rusdi, Ustaz Omar Mohamad, Pak Suhail, dan ratusan tokoh-tokoh penggerak parti. Kelantan disuburkan dengan kuliah-kuliah ilmu, apatah lagi dengan simbahan kebangkitan Islam yang sedang merajai fenomena permulaan abad 15 Hijrah. Tidak sedikit aktivis PAS yang mendekam dalam ISA di zaman Dr Mahathir dalam dekad 80-an, antaranya seperti Ustaz Bunyamin Yaakob,  Saudara  Zainudin Abdullah, Kamaruzaman Ismail dan lain-lain lagi. Tekanan dan penindasan kepada PAS Kelantan seolah menyuburkan baja perjuangan, ditambah dengan perisa perbalahan dalaman UMNO, krisis pemimpin UMNO dan istana Kelantan maka mempercepatkan kejatuhan UMNO dalam Pilihan raya Umum tahun 1990.

Pilihan raya Umum pada tahun 1990 telah memberikan kejutan yang besar kepada politik negara ini apabila telah berjaya menguasai semula Kelantan setelah tewas pada tahun 1978. Gelombang politik yang agak panas semenjak tahun 1987 telah menyebabkan UMNO sebagai parti teras orang Melayu telah berpecah dua apabila Tengku Razaleigh Hamzah menubuhkan Parti Semangat 46. PAS telah bergabung dengan Semangat 46 dan dua buah parti lain iaitu HAMIM dan Berjasa. Pemuafakatan politik ini dikenali sebagai Angkatan Perpaduan Ummah (APU) dan telah berjaya memenangi negeri Kelantan dengan menyapu bersih semua kerusi Dewan Undangan Negeri dan kerusi Parlimen dalam Pilihan raya Umum pada tahun 1990. PAS yang telah memenangi kerusi yang terbanyak telah mencadangkan Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, Ketua Dewan Ulama PAS Pusat  sebagai Menteri Besar Kelantan.

Perlantikan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, seorang tokoh pendidikan  telah merancakkan perkembangan pendidikan Islam di Kelantan dan negeri itu cuba dipopularkan kembali dengan gelaran ‘Serambi Mekah’. Tuan Guru Nik Abdul Aziz seorang tokoh yang sangat memberikan perhatian yang besar dalam memperkasakan pengajian Islam sama ada formal atau tidak formal. Beliau akan sentiasa bercakap tentang keperluan pendidikan Islam untuk membentuk masyarakat yang memahami Islam. Dalam pembentangan belanjawan negeri Kelantan, belanja pengurusan sekolah YIK sentiasa diberikan keutamaan.

Sebagai langkah meningkatkan mutu sekolah agama, kerajaan negeri telah memberikan peruntukan besar kepada Yayasan Islam Kelantan (YIK), berbanding dengan agensi-agensi kerajaan yang lain. Peruntukan ini ditambah dari setahun ke setahun. Apabila Tuan Guru Nik Abdul Aziz menjadi Menteri Besar Kelantan, perhatian kepada sekolah–sekolah agama diberi keutamaan. Kerajaan Kelantan memberikan perhatian istimewa kepada pendidikan Islam yang digerakkan oleh sekolah agama rakyat, pondok, tahfiz, termasuk pendidikan pra sekolah seperti PASTI.

YIK telah diberikan peranan yang besar untuk memastikan kelangsungan dan menjana pendidikan Islam di Kelantan, sesuai dengan slogan kerajaan Kelantan, ‘Membangun Bersama Islam’. Program pendidikan Islam adalah menekankan kepada melahirkan insan yang seimbang dari segi rohani, aqidah dan jasmani berdasarkan ajaran Islam. Sekolah-sekolah YIK terbukti mendapat kecemerlangan dalam peperiksaan awam seperti PMR, SPM dan STPM. Di antaranya ialah Maahad Muhammadi Lelaki dan Maahad Muhammadi Perempuan yang sentiasa berada di carta teratas sekolah cemerlang di negara ini.

Di antara institusi pendidikan Islam yang semakin berkembang di Malaysia khususnya di Kelantan ialah sekolah tahfiz al Quran. Di negara ini kewujudan tahfiz menjadi fenomena dalam dekad 1990-an akibat kesedaran Islam yang semakin meluas di kalangan kelas menengah Melayu dan juga aktivis pendidikan Islam di Negara ini. Kelantan menjadi tapak subur kepada sekolah tahfiz Al Quran sama ada yang ditubuhkan oleh kerajaan ataupun yang ditubuhkan oleh pihak persendirian dengan bantuan daripada pihak kerajaan negeri yang diterajui oleh PAS.

Kerajaan Kelantan memandang serius keperluan untuk menubuhkan sebuah sekolah tahfiz berasrama penuh di mana kemasukan pelajarnya ditapis dengan syarat yang ketat. Kerajaan Kelantan akhirnya melalui idea Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat telah menubuhkan Maahad Tahfiz Pulai Condong (MTAQ) pada tahun 1992, pelajar-pelajar yang  mendapat sekurang-kurangnya empat ‘A’ dalam UPSR dengan kemampuan membaca al Quran dengan baik akan diterima belajar di sini. Maahad ini akhirnya menjadi sebutan negara apabila sentiasa muncul cemerlang dalam keputusan peperiksaan awam seperti PMR dan SPM.

Kelantan semenjak abad ke-19 merupakan negeri yang sangat subur dengan pengajian pondok sehingga digelar ‘Serambi Mekah’. Kewujudan sekolah pondok juga adalah kerana rangsangan berterusan daripada masyarakat sekitar dan kewujudan tenaga pengajar utama yang digelar sebagai ‘tuan guru’. Tokoh pondok ini pula diketahui mempunyai ilmu yang tinggi kerana mendapat pendidikan Islam di luar negara, namun kegemilangan pondok merosot akibat beberapa faktor seperti kehilangan tokoh pondok (Tuan Guru), sikap masyarakat yang semakin berubah pandangan terhadap pondok, kecenderungan untuk menghantar anak-anak ke institusi pengajian Islam formal.

Kerajaan PAS di Kelantan telah memberikan perhatian yang besar kepada pembangunan pondok, bahkan juga oleh pemimpin PAS negeri itu sendiri di mana sebahagian besar pemimpin PAS Kelantan mempunyai hubungan secara langsung atau tidak langsung dengan institusi ini. Contohnya, Menteri Besar Kelantan sendiri merupakan pelajar pondok dan anak kepada pengasas madrasah, Baihaqi Atiqullah ialah anak kepada tokoh utama pondok Pasir Tumbuh, Abdul Latif Abdul Rahman merupakan anak kepada pengasas Pondok Sungai Durian, Kuala Krai, Ahmad Yakob iaitu Timbalan Menteri Besar anak kepada tokoh utama pondok dan madrasah, Nasruddin Daud (ADUN Meranti), Haji Abdul Fattah Harun, Dato’ Nik Amar Nik Abdullah adalah anak kepada tokoh guru pondok dan ramai lagi yang lain.

Di antara institusi pengajian tinggi yang ditubuhkan oleh Kerajaan Kelantan ialah Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS). Kolej ini terletak di Nilam Puri yang bertujuan untuk menampung keperluan pendidikan tinggi yang berteraskan ajaran Islam, melahirkan generasi berpendidikan tinggi bagi menampung keperluan golongan intelektual Islam. Antara matlamat lain penubuhan kolej ini ialah untuk memberi pendidikan tinggi yang secukupnya kepada rakyat negeri Kelantan.

Kelantan telah membangun dengan tidak meninggalkan aspek pembangunan spiritual. Negeri ini telah berjaya melakukan transformasi sosial dengan begitu efektif melalui wahana pendidikan. Legasi almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat telah diteruskan oleh kepimpinan Kelantan pada hari ini. Semoga rakyat Serambi Mekah ini terus mendukung aspirasi "Membangun Bersama Islam" untuk dekad yang mendatang, tiada sebab untuk menjatuhkan kerajaan Islam yang telah membuktikan iltizam dalam melaksanakan tuntutan Ilahi. Kelantan ialah kampus politik terbuka untuk rakyat negara ini. – HARAKAHDAILY 20/10/2017

Penulis ialah AJK PAS Pusat dan Pengerusi LESTARI.