Krisis ekonomi hasil GST, sosial seumpama arak dan judi merosakkan negara

Pimpinan
Typography

NEGARA sedang berhadapan dengan pelbagai krisis. Sejak bertahun negara berhadapan dengan krisis ekonomi yang sangat dirasai oleh rakyat marhaen hasil daripada polisi percukaian GST yang haram dan kejatuhan matawang. Susut nilai pendapatan rakyat B40 terutamanya mungkin gagal diselami keperitannya oleh golongan kaya.

Di bulan Oktober ini pula rakyat disajikan dengan kesombongan segelintir ahli politik yang menyokong dan mendukung pesta arak yang merosakkan masyarakat. Mereka tidak tahu membezakan antara hak individu bukan Islam untuk minum arak dengan hak masyarakat yang terganggu dan terancam keselamatan mereka dengan pesta memabukkan yang menghilangkan akal manusia.

Terkini rakyat juga melihat krisis sosial melibatkan judi. Sejak merdeka najis judi yang merosakkan rakyat telah menjadi industri yang dihalalkan dengan lesen oleh pihak berkuasa. Ia diparahkan lagi dengan judi yang tidak berlesen tetapi dinaungi oleh golongan berpengaruh.

Lebih membimbangkan apabila ada laporan bahawa terdapat di kalangan orang politik yang dinaungi dan dibiayai aktiviti politik mereka oleh pemain industri judi. Jika benar, bagaimana mungkin golongan berpengaruh ini boleh mewakili kepentingan rakyat di saat dedak judi telah mengalir ke seluruh urat saraf mereka?

Rakyat perlu bangkit bersama beberapa NGO yang giat membenteras gejala sosial ini termasuk terkini PPIM. Dokongan penuh perlu ditunjukkan oleh pihak penguatkuasa. Tiada kebaikan untuk judi melainkan ia hanya menguntungkan pemain industrinya dengan mengkayakan golongan yang sudah kaya hasil manipulasi kebodohan golongan yang ingin berjudi nasib mahukan kekayaan segera.

Negara ini perlu diselamatkan dengan Islam. Pemimpin dan rakyat perlu dididik untuk mempunyai perasaan takut kepada pembalasan di alam selepas kematian meskipun mereka mungkin terlepas daripada hukuman hasil perlakuan jenayah dan gejala yang merosakkan umat di dunia. Ketakutan itu menjadikan mereka pemimpin yang baik yang tidak terlibat dengan rasuah dan penyelewengan dan tidak menjadi penaung kepada penyakit sosial seperti ketagihan arak dan judi.

"Membina Negara Sejahtera"

Dato' Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri
Ahli Parlimen Kuala Nerus
Sabtu 21hb Oktober 2017 – HARAKAHDAILY 21/10/2017