Kata-kata kesat tidak mencerminkan jiwa besar pemimpin negara

Pimpinan
Typography

KATA-KATA kesat yang dihamburkan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dalam sebuah Persidangan MCA di Ibu Pejabat MCA, Kuala Lumpur beberapa hari yang lalu amat tidak sopan dan memalukan negara. Perkataan “Kepala Bapak Kau” yang diucapkan beliau itu menggambarkan sikap biadap, kurang ajar, samseng, budak nakal, dan lain-lain yang tidak beretika. Tidak disangka kata-kata sebegitu boleh terpacul dari mulut seorang Perdana Menteri Malaysia.

drriduanBayangkan ucapan beliau ditonton oleh jutaan rakyat dalam negara dan ditonton juga oleh masyarakat antarabangsa. Apakah persepsi yang boleh diterjemahkan melalui ucapan beliau selain persepsi negatif yang menggambarkan beliau dalam keadaan tertekan, terdesak, sakit jiwa dan lain-lain. Masyarakat dunia menganggap budaya dan kesopanan masyarakat Malaysia telah berubah dengan teruk oleh sikap pemimpin negara ini.

Jika sekalipun PM tertekan dengan fitnah yang dilemparkan oleh musuh politiknya, tidak wajar beliau mengeluarkan kata-kata kesat. Beliau seperti mahu membalas dendam dengan kata-kata kesat bekas PM, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menggelar beliau sebagai “Lanun Bugis”. Ucapan Tun segera dibantah dan disanggah oleh banyak pihak. Kini beliau memulangkan paku buah keras dengan mengutuk pula musuh politiknya itu. Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pula sebelum ini menyerang Tun Dr Mahathir Mohamad dengan menghina keturunan beliau sebagai anak laki-laki Iskandar Kutty. Beliau juga dibidas kerana menggunakan sentimen keturunan untuk menghina individu yang lain.

Dalam hal ini, apa yang dilihat para pembesar dan pemimpin negara tidak mampu menunjukkan contoh yang baik kepada masyarakat. Mereka dilihat oleh rakyat telah berpolitik secara tidak matang dan bersikap kebudak-budakan kerana menggunakan kata-kata yang kasar sebagai bahan ejekan dan gurauan. Sepatutnya mereka menjadi teladan yang baik kepada rakyat dengan bersikap berjiwa besar dan berlapang dada dengan pandangan, kritikan dan tohmahan. Sebagai ‘bapa’ kepada rakyat Malaysia, PM pula wajib menunjukkan perilaku yang baik dan berbudi bahasa yang tinggi untuk diikuti oleh rakyat bawahan.

Hakikat yang tidak boleh disembunyikan apabila PM mula bercakap kasar dan kesat, kata-kata rakyat akan jauh lebih kasar dan kesat. Peribahasa Melayu menyebut, “bapak borek, anak rintik”, usah merasa hairan jika yang keluar dari mulut dan tulisan rakyat Malaysia adalah kata-kata kesat penuh dengan cacian dan makian kerana mereka mencontohi pemimpin negara. Jika para pembesar negara saling bercakaran dengan kata-kata kesat, tidak dapat dibayangkan penyokong dan pengikut parti-parti politik yang bergaduh dalam politik dan pilihan raya akan datang.

Kenyataan-kenyataan kasar dan kesat sebegini menggambarkan iklim politik yang semakin panas menjelang PRU14. Ketegangan dan tekanan semakin memuncak, dengan banyak pihak mula menghamburkan kata-kata pedas, kasar dan kesat ke atas lawan politik masing-masing. Serangan demi serangan bertali arus menerjang setiap pemainnya. Jangan pula nanti kehangatan politik PRU14 diterjemahkan dalam bentuk keganasan, dan tindakan luar batasan yang akhirnya menjadikan rakyat sebagai mangsa.

DR RIDUAN MOHD NOR
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat - HARAKAHDAILY 7/11/2017