Seruan PAS: Satukan umat (1)

Pimpinan
Typography

ISLAM diturunkan melalui perutusan al Rasul sallaLlahu alaihi wasallam untuk menyatukan manusia seluruhnya. Manusia asalnya adalah satu umat dan satu ugama sebelum akhirnya mereka berpecah dan sering sahaja berbalah dan bertelingkah.

nik abduh1Mereka adalah satu umat kerana mereka adalah daripada satu keluarga dan keturunan iaitu daripada zuriat nabi Adam alaihissalam. Baginda adalah ayah kepada seluruh manusia. Mereka juga adalah satu ugama iaitu ugama Islam yang dianuti oleh nabi Adam dan zuriatnya yang terawal. Islam adalah agama pertama manusia.

Tetapi akhirnya manusia berpecah dan gagal bersatu sesama mereka. Akibat kehilangan sumber ilmu yang benar dan kekalutan menjaga kepentingan diri dan kumpulan, mereka akhirnya melupai kecantikan asal usul mereka. Mereka menjaga keluarga dan kumpulan kecil mereka sehingga melupai keluarga besar dan keturunan besar mereka.

Akhirnya mereka melupai nikmat Allah ke atas mereka yang terbesar iaitu nikmat mengenali-Nya dan menganuti ugama Islam, ugama asal datuk mereka nabi Adam alaihissalam. Mereka telah sesat sehingga sanggup mengambil tuhan dan ugama selain Allah dan Islam. Apabila manusia berpecah dalam ugama, maka perpecahan tidak dapat dielakkan lagi. Ia adalah hakikat bahawa kebahagiaan dan kecelakaan manusia kini adalah tergadai kepada keupayaan mereka untuk kembali kepada jalan asal kejadian mereka.

Kejadian dan kelahiran asal adalah daripada nabi Adam. Agama asal adalah Islam yang dianuti nabi Adam dan zuriatnya yang terawal. Kemudian, kesesatan besar terawal manusia telah direkodkan oleh Allah melalui cerita nabi Nuh alahissalam yang menyeru kaumnya agar meninggalkan syirik dan kembali menyembah Allah. Tetapi kaumnya enggan, lalu mereka dihancurkan sehancur-hancurnya oleh Allah melalui banjir besar yang melanda dan menenggelamkan segala isi bumi kecuali bahtera penyelamat yang dibina oleh baginda dengan arahan daripada tuhannya.

Dengan manusia baru yang dibimbing nabi Nuh kembali memakmurkan dunia baru dengan Islam sebagai ugama, sepatutnya manusia mengambil iktibar daripada kedurjanaan perbuatan mereka meninggalkan Islam dan tauhid. Tetapi manusia tidak beriktibar kecuali sebahagian kecil sahaja. Akhirnya mereka kembali mensyirikkan Allah. Lalu berlangsunglah pembalasan Allah ke atas mereka. Berapa banyak kaum dan negeri dihancurkan akibat keangkuhan manusia sebagaimana diceritakan oleh Allah di dalam al Quran. Tetapi malangnya, manusia tidak pernah insaf dan sedar.

Walau bagaimanapun, bahtera penyelamat terus berlayar membawa misi agung memyelamatkan manusia di sepanjang zaman. Akhirnya sebuah bahtera besar diluncurkan sejak seribu empat ratus tahun yang lepas dan dikemudikan oleh nabi Muhammad sallaLlahu alaihi wasallam. Ia datang untuk kembali menyatukan manusia menuju keridhaan Allah.

Misi Islam adalah jelas. Pertama, mendakwah dan memujuk manusia agar menerima Islam sebagai ugama yang dianuti. Kedua, memastikan agar penganut Islam kekal bersatu padu di atas ugama Islam yang dianuti. Mereka bergerak bersama-sama menyembah Allah dengan melaksanakan kewajiban sebagai khalifah Allah yang memakmurkan muka bumi ini dengan kesejahteraan Islam.

Bagi memastikan hakikat perpecahan manusia akibat keengganan menerima Islam sebagai ugama yang satu itu tidak pula membawa perpecahan yang lebih teruk, Islam menerima kekufuran manusia sebagai satu hak dan kebebasan untuk memilih. Manusia di dunia berhak memilih ugamanya dan tiada paksaan di dalam berugama. Pilih saja, Islam atau kufur.

Justeru keamanan manusia adalah dijamin oleh Islam walaupun mereka kufur kepada-Nya. Umat Islam dilarang sama sekali memerangi manusia kerana ugama mereka yang berbeza. Malah Islam melalui syariat dan pengajarannya menganjurkan kehidupan yang aman, harmoni dan saling bekerjasama di antara umat manusia tanpa mengira ugama, bangsa, bahasa atau apa sekali pun.

Ia juga satu hikmat besar agar dakwah Islamiyah yang membawa misi bahtera penyelamat untuk umat manusia dapat bergerak lebih lancar, mesra dan terbuka. Kebencian dan permusuhan adalah ibarat dinding yang menyekat cahaya Islam daripada memancarkan sinarnya ke dalam hati manusia.

Adalah jelas bahawa umat Islam tiada sebab untuk berpecah belah. Islam itu sendiri datang untuk menyatukan. Ia malah menyatukan manusia dengan slogan satu keturunan (nabi Adam) walaupun berbeza ugama. Maka bagaimana Islam pula yang dijadikan faktor perpecahan di antara penganutnya sendiri? Ia mustahil berlaku kalaulah tidak kerana perangai manusia sendiri yang tidak mensyukuri nikmat Islam.

Tetapi hakikat yang terpaksa dihadapi oleh umat Islam adalah perpecahan sesama umat. Umat nabi Muhamamd sebagaimana dipenuhi sejarah kesatuan dan kejayaan, ia juga tetap diwarnai dengan titik-titik perpecahan dan kegagalan sebagaimana yang terjadi hari ini. Justeru seruan kepada kesatuan umat Islam adalah menjadi topik paling utama pada sepanjang sejarah umat Islam.

Adalah suatu yang tidak diredhai Allah untuk terus mengekalkan sebab-sebab perpecahan. Ia haruslah dirungkai buang dan ia pastinya adalah satu usaha yang diberkati Allah. Ia bukan calang-calang untuk memadamkan perpecahan. Ia kesukaran yang dipenuhi ranjau untuk mengatasinya.

Selain gerakan terancang oleh musuh-musuh Islam untuk melemahkan Islam dengan mengapi-apikan permusuhan sesama sendiri, umat Islam sendiri terlalu naif untuk memahami kewajiban membina kesatuan umat. Di atas sebab-sebab yang terlalu kecil dan tidak munasabah, mereka sanggup berbalahan sesama mereka, bahkan sampai menganggapnya sebagai satu kerja ugama yang harus dilaksanakan.

Cuba perhatikan bagaimana perpecahan sesama umat Islam berlaku di dalam empat medan utama:

Pertama, mereka bersatu di atas asas akidah tauhid dan tuntutannya, tetapi berbalah besar di dalam perkara cabangannya.

Kedua, mereka bersatu di atas asas hukum-hakam syariat, tetapi berbalah besar di dalam perkara cabangannya.

Ketiga, mereka bersatu di atas kewajiban berdakwah, tetapi berbalah di dalam cara dan wasilah dakwah.

Keempat, mereka menerima kewajiban melantik imam atau ketua bagi menjaga urusan umat, tetapi mereka berbalah besar di dalam soal politik, pemerintahan dan kenegaraan.

Ertinya mereka sudah pun memiliki sebab-sebab kesatuan iaitu asas tauhid, asas bersyariah, asas dakwah dan asas kenegaraan. Tetapi mereka memilih untuk hidup berbalahan di atas faktor-faktor yang remeh yang mudah sahaja dileraikan jika mereka benar-benar insaf dengan kewajiban kesatuan umat.

Akibat lalainya umat daripada menumpukan perhatian kepada soal kewajiban kesatuan umat dan haramnya mengekalkan sebab-sebab perpecahan yang tidak syarie, maka ia menjadi lubang-lubang yang sedia terbuka untuk memudahkan musuh-musuh Islam menyusup masuk ke dalam benteng umat, seterusnya menaburkan racun-racun permusuhan sesama sendiri yang tiada kesudahan.

Saya akan terangkan nanti bagaimana PAS membina sikapnya terhadap isu kesatuan umat dan bagaimana PAS berperanan di dalam menggerakkan usaha besarnya di dalam menyatukan umat Islam di atas landasannya yang benar di dalam kerangka mengembalikan kegemilangan umat Islam sebagaimana ia termaktub teguh di dalam janji al Quran dan sejarah lebih seribu tahun umatnya. – HARAKAHDAILY 12/11/2017