Buat kerja, jangan peduli apa orang kata

Pimpinan
Typography

TUGAS kita bekerja dan merancang untuk kejayaan. Kalah menang serah kepada Allah SWT. Jika kita tidak bekerja, bermakna kita merancang untuk kegagalan. Perkukuhkan jati diri ahli dan parti. Yakin kepada prinsip perjuangan, patuh dan wala' kepada arahan parti. Inilah rahsia kejayaan parti.

Biar orang hina kerana kita berpegang dengan prinsip Islam. Jangan orang benci dengan peribadi kita yang buruk. Kita bukan maksum dan suci daripada dosa.

Walaupun orang kata kita parti suci, biarlah orang kata. Kita tidak pernah kata. Suci lawannya kotor. Antara kotor dan suci, sudah pasti orang yang waras akan pilih yang suci.

PRU sudah tidak lama lagi. Ia menjadi tanda tanya dan teka teki. Inilah hebatnya negara yang merdeka lebih 60 tahun tetapi tarikh pilihan raya menjadi rahsia. Diandaikan pilihan raya dalam bulan Mac 2018, bermakna masa hanya tinggal 14 kali Jumaat lagi.

Ertinya bukan lama mana dah pilihan raya akan berlangsung. Pejam celik, pejam celik sampailah waktu dan ketikanya.

Pilihan raya memerlukan jentera yang kuat. PAS sebagai sebuah parti Islam dan pembangkang sudah tentu memerlukan komitmen yang tinggi di kalangan ahli dan pimpinan. PAS bukan ada 3M (money, media, machinery) seperti yang dimiliki oleh Umno BN. Tetapi PAS ada ahli yang komited dan ikhlas.

Insya Allah PAS kaya semangat, walaupun kita miskin harta. Sebagaimana Nabi SAW bersabda bermaksud: "Bukanlah kaya, kaya harta. Tetapi kaya dengan semangat". Inilah rahsia kekuatan PAS sejak 66 tahun dan 13 kali pilihan raya. PAS mampu bersaing dengan umno.

Pilihan raya tidak cukup dengan hero di media sosial sahaja. Kita masih menghadapi masalah pengundi yang buta maklumat dan tidak berapa kisah dengan media sosial. Masih bergantung dengan media konvensional televisyen.

Pengundi perlu disantuni untuk bersama dengan PAS. Kena mengetahui pantang larang. Sosial budaya pengundi berbeza antara satu bangsa dan kaum. Pengundi bandar dan kampung juga berbeza antara satu sama lain. Latar belakang pendidikan juga berbeza mempengaruhi pola pengundi.

Kalau orang berpendapat pilihan raya hanya berasas kepada sentimen semata-mata, maka ini pandangan yang silap. Gelombang berlaku hanya bermusim seperti perpecahan di dalam Umno. Ia bukan selalu, itupun hanya mempengaruhi setempat tidak menyeluruh. Tetapi kekuatan jentera adalah perkara yang paling penting. Ia tidak bergantung kepada isu semata-mata.

Teras politik Malaysia ialah Melayu. Tembok khurafat hanya Umno sahaja yang boleh jaga Melayu perlu diroboh. Mesti yakinkan bahawa PAS mampu menjaga Melayu. Oleh itu, isu yang mengguris perasaan orang Melayu perlu dielakkan. Kena maklumkan bahawa Melayu boleh diselamatkan dengan Islam.

Pengundi bukan Melayu terutama Cina, mereka tidak ada parti. Pola undi mereka lebih kepada arahan Dewan Perniagaan Cina, Persatuan Pendidikan. NGO inilah yang berperanan menentu kepada mana-mana sokongan. Tumpuan lebih mereka ialah kepada ekonomi. Orang Cina marah kepada BN di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib kerana kos sara hidup yang meningkat.

Oleh itu, musuh PAS membuat fitnah kononnya PAS bersama Umno. Gambar pemimpin PAS bersama dengan pemimpin Umno disebar dalam masyarakat Cina. Ini yang menyebabkan orang Cina marah kepada PAS. Apabila kita tunjuk gambar pemimpin DAP bersama dengan pemimpin Umno, mereka terkejut. Tapi kita tidak katalah pemimpin DAP mahu masuk BN.

Bukan setakat gambar sebelaga pipi malahan belaga perut pun ada. Oh, akan adalah cyber trooper mereka akan bela, ini gambar kerajaan dengan kerajaan. Kalau pemimpin PAS tak boleh, kalau mereka boleh. Walaupun pemimpin PAS hadir program kerajaan tetap juga dikatakan PAS bersama Umno. Biarlah dengan mereka. Teruskan buat kerja. Tidak perlu habis masa melayan golongan ini. Banyak lagi kerja kita.

USTAZ IDRIS AHMAD
Naib Presiden PAS / Ahli Parlimen Bukit Gantang
27 Safar 1439 / 17 November 2017 – HARAKAHDAILY 17/11/2017