Lakonan air mata Adun Paloh hari terakhir sidang Dun

Pimpinan
Typography

SEMASA sesi perbahasan bajet 2018 semalam, sepuluh orang ADUN telah mengambil bahagian. Bermula dgn Melor, Gual Periok, Ayer Lanas, Selising, Gaal, Perupok, Tendong, Kok Lanas, Salor dan berakhir dengan Kelaboran.

Setelah tamat perbahasan YB Kelaboran tidak ada seorang Ahli Dewan yang bangun untuk membuat perbahasan termasuk YB Paloh.

Bahkan sepanjang tempoh perbahasan bajet tidak pula kelihatan YB Paloh bangun untuk meminta laluan samada sewaktu YB Dato' Speaker mengendalikan persidangan ataupun saya.

Seingat saya, YB Paloh ada bangun mencelah (tanpa kebenaran) sewaktu YB Tendong sedang berucap dan saya ada membuat teguran supaya tidak boleh mencelah kecuali dengan kebenaran Speaker dan meminta supaya beliau mengambil bahagian dalam perbahasan.

Sekitar jam 4.30 petang semalam YB Kelaboran menamatkan ucapan perbahasan beliau dan tidak seorang pun Ahli Dewan yang bangun. Bermakna ucapan YB Kelaboran adalah ucapan perbahasan bajet yang terakhir daripada Ahli Dewan.

Pagi tadi selepas persidangan disambung sekitar jam 11.20 pagi, YB Dato' Speaker menjemput pihak Kerajaan/Exco untuk membuat penggulungan.

Secara tiba-tiba YB Paloh bangun untuk berucap dan YB Dato' Speaker tidak membenarkan kerana sesi perbahasan sudah pun tamat.

Setelah lebih tiga kali YB Dato' Speaker meminta YB Paloh duduk, tetapi dia berkeras tidak akan duduk yang akhirnya YB Dato' Speaker terpaksa menggunakan Peraturan Dewan 51(2) iaitu “mengundurkan” Paloh dari Persidangan Dewan.

Walaupun sebelum itu YB Kelaboran telah mencadangkan supaya dirujuk kepada Peraturan Dewan 47(1) iaitu hendaklah patuh kepada Speaker dengan serta merta dan duduk dengan segera.

Jadi tidak timbul YB Dato' Speaker tidak memberi peluang kepada YB Paloh berucap, bahkan tuduhan beliau Speaker tidak berlaku adil adalah tidak benar sama sekali kerana daripada sepuluh Ahli Dewan yang berbahas, empat adalah ADUN pembangkang.

Petang ini ada satu lagi Rang Undang-Undang akan dibentangkan iaitu Rang Undang-Undang Peruhanjaya Tanah. Ahli-ahli Dewan masih mempunyai peluang dan dibenarkan untuk membuat perbahasan, tetapi semua ADUN BN telah pun keluar bersama-sama dengan YB Paloh pagi tadi, ini bermakna mereka tidak akan mengambil bahagian dalam perbahasan nanti kerana sehingga jam 3 petang ini tiada seorang pun ADUN pembangkang berada dalam dewan. Siapa sebenarnya yang tidak adil? Dan siapa sebenarnya bekerja untuk rakyat?

Ataupun ini adalah lakonan air mata YB Paloh untuk menghentam pihak kerajaan pada ceramah- ceramah selepas sidang Dun nanti atau memang sengaja kerana mahu pulang awal?

YB Abdul Latiff Abdul Rahman
Timbalan Speaker
Dewan Undangan Negeri Kelantan
Rabu, 3.00 pm,
3 Rabi'ul Awal 1439 / 22 November 2017 - HARAKAHDAILY 22/11/2017