Musuh bacul, gerun pasukan Penerangan PAS Terengganu

Pimpinan
Typography

SAYA ingin menarik perhatian rakyat Malaysia khususnya rakyat Terengganu berkenaan satu laporan berita palsu yang sengaja disiarkan musuh perjuangan Islam PAS melalui satu portal yang seakan-akan menyamai portal rasmi PAS Terengganu.

mohd norLaporan palsu yang mengaitkan PAS dengan istana Terengganu itu, cuba memperbodohkan pembaca dengan berita yang tidak ketahuan punca ditambah lagi dengan penggunaan ‘template’ yang sama dengan ‘template’ portal rasmi PAS Terengganu bagi tujuan mengelirukan pembaca. Carian menunjukkan server portal jadian ini berpangkalan di California, US.

Dengan tarikh PRU yang semakin mendekat, ada golongan yang ketakutan dengan kekuatan pasukan Penerangan PAS Terengganu, menunjukkan keberkesanan tugas-tugas yang dijalankan oleh pasukan Penerangan PAS Terengganu yang bekerja siang malam tanpa diupah itu.

palsu1Ada jiwa yang terkesan, ada hati yang berdebar, ada makhluk yang kebimbangan dan ada kumpulan yang membenci kemaraan PAS Terengganu menuju ke Wisma Darul Iman bagi mengemudi kerajaan Terengganu dengan ikatan al-Quran dan sunnah.

Tidak ada orang yang akan meniru gaya P.Ramlee sekiranya beliau tidak terkenal. Tiada orang yang berangan untuk menjadi seperti Ronaldo jika dia seorang kaki bangku. Lionel Messi tidak akan dicemburui lawan jika dia hanya pembancuh minuman.

Oleh itu, BuletinOnline terbitan Lajnah Penerangan PAS Terengganu adalah pasukan terbaik yang dicemburui, ingin dikalahkan dengan apa cara mahupun cara jahat oleh semua musuh mereka. Saya mengucapkan syabas kepada BO atas kecemerlangan ini.

Namun begitu, kita mengecam dan mengutuk taktik bacul dari pihak lawan ini. Pengacau tidak akan dibiarkan tenang beradu setelah menabur onar. Penipu tidak seharusnya berada di dalam lapangan ini.

Maka dengan itu, insya Allah PAS Terengganu mengkaji dengan serius untuk mengambil tindakan undang-undang dalam masa terdekat, bagi mereka dikenakan tindakan oleh pihak berwajib. Kepada semua pembaca BO, diharap sentiasa memeriksa berita dan alamat web BO yang betul iaitu http://buletinonline.net/v7/index.php .

Wallahua’lam

Ustaz Mohd Nor Hamzah
Ketua Penerangan PAS Terengganu
5 Rabiulawwal 1439/24 November 2017 – HARAKAHDAILY 24/11/2017