Perutusan Maulidur Rasul 1439 Dewan Muslimat PAS

Pimpinan
Typography

UMAT Islam di seluruh dunia sedia maklum bahawa 12 Rabiul Awwal merupakan Hari Keputeraan junjungan agung Nabi Muhammad SAW yang kita cintai.

Mencintai Nabi Muhammad SAW merupakan kewajipan bagi setiap Muslim. Seorang muslim yang mengaku mencintai Rasulullah SAW semestinya sentiasa berusaha untuk meneladani sunnah baginda s.a.w. dalam kehidupannya.

Tiada makna jika pengakuan cinta kita terhadap Rasulullah tanpa kita menjadikan Baginda sebagai qudwah dalam kehidupan termasuklah dalam aspek pentadbiran dan muamalah.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu teladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (balasan kebaikan pada) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah” (Surah al-Ahzaab: 21)

Sempena Maulidur Rasul kali ini, marilah sama-sama kita hayati pengorbanan baginda Rasulullah dalam memastikan Islam sampai kepada kita hari ini.

Bersyukur perjuangan Islam yang kita galas hari ini adalah kesinambungan daripada perjuangan yang terdahulunya telah dilalui oleh Rasulullah dan para sahabat.

Jadi, teramatlah rugi jika kita tidak tergolong dalam kalangan orang yang ingin menegakkan syariat Allah.

Firman Allah di dalam surah Al Hadid ayat 21 yang bermaksud: “Bersegeralah kamu mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat keampunan daripada Tuhan dan mendapat syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi yang disediakan bagi orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-Rasul Nya ; yang demikian adalah limpah kurnia Allah yang diberikanNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya; dan Allah sememangnya mempunyai limpah kurnia yang besar”.

Justeru itu, kami saff pimpinan Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) mengucapkan Salam Maulidur Rasul kepada seluruh rakyat Malaysia.

Semoga memperingati kelahiran Nabi Muhammad S.A.W dihayati dengan penuh kecintaan dan seterusnya kita membanting tenaga dalam memastikan syiar Islam yang dibawa oleh Baginda S.A.W. terus menyinar di bumi ini.

Salam Maulidur Rasul 1439H

“Sejahtera Bersama Islam”

“Muslimat Memacu Kemenangan”

USTAZAH NURIDAH MOHD SALLEH
Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia
12 Rabiul Awwal 1439 / 1 Disember 2017 - HARAKAHDAILY 1/12/2017

maulid