Kehebatan solat berjemaah terbukti dari sudut saintifik

Pimpinan
Typography

FIRMAN Allah swt dalam surah al Ma'arij ayat 19-23,

إِنَّ الْإِنْسَانَ خُلِقَ هَلُوعًا . إِذَا مَسَّهُ الشَّرُّ جَزُوعً. وَإِذَا مَسَّهُ الْخَيْرُ مَنُوعًا . إِلَّا الْمُصَلِّينَ . الَّذِينَ هُمْ عَلَىٰ صَلَاتِهِمْ دَائِمُونَ

"Sesungguhnya manusia itu dijadikan bertabiat resah gelisah (lagi bakhil kedekut).Apabila ia ditimpa kesusahan, dia sangat resah gelisah. Dan apabila ia beroleh kesenangan, ia sangat bakhil kedekut. Kecuali orang-orang yang mengerjakan sembahyang. Iaitu mereka yang tetap mengerjakan sembahyangnya."

najhan1. Semakin hari semakin lancang dan celupar golongan Liberal menyerlah sikap sebenar mereka yang selama ini menyembunyi di sebalik topeng Islamik dan norma keadilan.

2. Mereka yang dilahirkan daripada dalam rahim kejahilan dan kebencian terhadap Islam menggunakan sepenuh jiwa dan akal mereka untuk menggagalkan dan menafikan fungsi Islam sebagai petunjuk dan penyelesai masalah serta karenah manusia.

3. Atas nama kebebasan akal dan berpendapat, tiada istilah sempadan dan pendinding displin terhadap kemuliaan al Quran dan Sunnah Nabi saw, mereka bersuara dan menulis bagaikan mereka melebihi ilmu Allah swt dan Nabi saw.

4. Ya, Islam tidak pernah menyekat akal dan kebijaksanaan manusia. Tetapi Islam adalah agama dipandu dengan wahyu dan bukannya akal. Keupayaan akal amatlah terbatas dan malah mampu tergelincir. Tidak sekadar itu, kegelinciran ini juga membawa padah kepada kerosakaan aqidah yang menjadi asas keimanan dan Islam dalam diri seorang Muslim.

5. Sekiranya akal digunakan seiring dengan wahyu, nescaya akal manusia akan mengkagumi dan menghormati keunggulan wahyu Allah swt.

6. Terbaru, isu Solat Berjamaah menjadi bahan sindiran dan kutukan seorang ahli politik DAP terhadap usaha dan ketetapan Pejabat Pendidikan Daerah Kuantan yang mewajibkan pelajar menunaikan solat zohor berjamaah di sekolah sebelum pulang ke rumah. Menurut Mohd Razali Mustafar Pegawai Pendidikan Daerah bahawa usaha ini bagi tujuan pembinaan karektor pelajar yang termasuk 5 dalam pembinaan kecemerlangan yang lain.

7. Sebenarnya rahsia solat berjamaah dan solat itu sendiri menjadi resepi utama kejayaan manusia. Menerusi solat, di mana ia bukan sekadar satu kewajiban ibadah seorang hamba kepada tuhanNya, tetapi kepada kewajiban Allah itu mengandungi 1001 hikmat yang membawa kebaikan kepada ahli solat itu sendiri.

8. Satu kajian penyelidikan yang dijalankan pada tahun 2009 oleh Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan, Fakulti Kejuruteraan Universiti Malaya yang diketuai oleh Prof. Dr Fatimah Ibrahim, Prof Dr Wan Abu Bakar Wan Abbas dan Ng Siew Cheok terhadap solat dari sudut saintifik.

9. Kajian berkenaan dilakukan untuk melihat kesan kepada komposisi tubuh badan dan kolestrol menerusi ibadat solat khas solat zohor berjamaah. Kajian turut melihat sistem jantung, kardiovaskular, gelombang otak ketika solat, kekuatan otot tubuh dan kekuatan kesihatan lelaki.

10. Kajian berkenaan dilakukan terhadap 47 orang berusia 18 hingga 28 tahun dengan kaedah komposisi tubuh badan manusia meliputi parameter Bioimpedance, kuantiti air intral selular, jisim sel badan, kadar lemak dan kolesterol dalam darah.

11. Beberapa hasil kajian yang memeranjatkan antaranya ialah mereka yang menunaikan solat secara sempurna mempunyai tahap kesihatan lebih baik berbanding yang tidak.

12. Hasil kajian menunjukkan juga bahawa kedudukan rukuk dan sujud memberikan kadar kerehatan yang sangat bagus kepada jantung.

13. Tambahan lagi, kedudukan sujud dalam solat mampu menghasilkan keadaan tenang dalam otak manusia dan memberikan tahap kestabilan mental dan emosi kepada ahli solat. Kajian itu juga menunjukkan bahawa solat menambah kadar penumpuan dan daya ingatan seseorang.

Maklumat tambahan mengenai hasil kajian, sila rujuk laporan khas di laman: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0730&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm#ixzz50Usbr6Vz

14. Banyak lagi pendedahan hasil kajian tersebut berkenaan kelebihan solat dan solat berjamaah khasnya menurut saintifik. Ia jelas dan tidak perlu diragui lagi sebagai seorang beragama Islam, kita perlu mengakui kehebatan solat dan solat berjamaah yang dijadikan satu inisiatif dan yang pasti ia adalah inisiatif terbaik serta unggul bagi melahirkan insan hebat dari sudut mental dan fizikal yang didambakan pada setiap para murid dan pelajar kita.

15. Kalau sekiranya mereka mempertikaikan usaha kewajiban solat berjamaah ini dengan beranggapan ianya adalah isu agama yang tiada kaitan dengan pelajaran dan pembelajaran. Nah, kajian ini apa sebenarnya? Ini bukan sekadar kajian sembang kedai kopi, ini kajian saintifik dijalankan oleh ilmuwan berautoriti dan diiktiraf di peringkat pengajian tertinggi di universiti yang terulung dalam negara.

16. Dalam pendidikan, sudah kita sedia maklum bahawa sebahagian besar peraturan dan ketetapan kita wajibkan kepada para murid dan pelajar kita adalah kerana bertujuan didikan dan asuhan (tarbiyyah). Walaupun pada mata kasar kita sesuatu itu tidak diperlukan, tetapi dalam pendidikan ia sangat perlu.

17. Contohnya pemakaian seragam sekolah dan seumpamanya. Semuanya pada zahir tidak perlu, kerana ia tidak kaitan dengan pelajaran secara langsung dalam kelas dan bilik darjah. Tetapi kalau dilihat secara holistik dan mendalam, pemakaian seragam adalah bermatlamatkan displin dan kebersamaan yang melahirkan sikap "kerja pasukan" atau "team work". Ini juga penting dalam sistem pembelajaran. Kalau hendak dipertikai solat berjamaah, seharusnya pakaian seragam juga perlu dipertikaikan yang juga dianggap mengarut seperti sindiran mereka kepada solat berjamaah.

18. Sebagai umat Islam, kita wajib mengakui kehebatan Islam dan keunggulan hikmahnya yang terkandung dalam semua pengajaran sama ada menerusi suruhan berbentuk wajib mahupun sunat malah termasuk yang diharamkan sekalipun.

19. Keunggulan Islam diakui oleh para ilmuwan dan saintis pelbagai lapangan samada Muslim dan juga bukan Islam. Ramai saintis bukan Muslim memeluk Islam disebabkan dengan penemuan-penemuan yang memeranjatkan dunia sains dan membuka mata mereka lalu memperakui bahawa Islam bukan satu ajaran sembahan sahaja. Ia adalah satu cara hidup yang lengkap yang membawa kebaikan dunia dan akhirat.

20. Malang sekali, ada di kalangan kecil umat Islam dalam negara ini merasakan dirinya terlalu pandai, malah berasa lebih pandai daripada Allah swt sendiri sedangkan lidahnya mengaku sebagai Muslim.

21. PAS menyatakan sokongan yang penuh terhadap insiatif pihak berkenaan yang menetapkan solat berjamaah kepada para murid dan semoga usaha ini menghasilkan natijah yang baik kepada pelajaran dan didikan dalam Sistem persekolahan di negara ini.

"Sejahtera Bersama Islam"
"Memacu Negara Sejahtera"

Ustaz Muhammad Najhan Halim
Setiausaha Dewan Ulamak PAS Negeri Selangor
7 Disember 2017 / 18 Rabiul Awwal 1439 – HARAKAHDAILY 7/12/2017