Umno, perompak berlagak ehsan

Pimpinan
Typography

SAYA ingin mengajak saudara-saudari sekalian untuk mengimbau kembali sejarah hitam rakyat dan kerajaan Terengganu. Antara perkara yang melanggar undang-undang negara yang dilakukan oleh Umno ialah:

1. Umno jelas menafikan Kerajaan Terengganu pilihan rakyat 1999-2004:

Parti PAS yang dipilih secara sah iaitu melalui undang-undang negara yang diwartakan oleh Umno sendiri di parlimen melalui PRU ke-10. Secara mudahnya, parti yang mempunyai lebih kerusi dalam Dun berbanding lawan, adalah parti yang berhak membentuk kerajaan dan mendapat semua kemudahan kerajaan seperti yang termaktub di dalam perundangan negara.

Selang beberapa bulan selepas kekalahan mereka di Terengganu, mereka mengadakan Perhimpunan Agung Umno. Dan, masih diingati empunya badan yang mencadangkan kepada Presiden Umno di dalam perhimpunan itu, agar menarik royalti petroleum kepada kerajaan Terengganu yang sah ketika itu bagi mengganggu kerajaan negeri. Bayangkan, undang-undang negara, boleh diubah dalam perhimpunan agung mereka. Jelas perhimpunan itu adalah perhimpunan pengkhianatan kepada orang Terengganu yang majoritinya Melayu Islam.

Mereka memberi alasan bahawa kerajaan negeri tiada hak. Sedangkan apabila dikemukakan saman terhadap Petronas dan Kerajaan Pusat, tidak pernah pula mahkamah menolak saman tersebut menggunakan alasan kerajaan negeri tiada hak.

2. Umno cipta undang-undang langgar kedaulatan Terengganu

Bukti lain bahawa Umno merampas hak Kerajaan Terengganu ketika itu ialah, tidak berapa lama dahulu, Umno secara tergesa-gesa mewartakan pula Akta Laut 750 atas alasan darurat sudah lama berakhir. Tetapi yang jelas, ialah bagi merampas hak kepunyaan negeri-negeri ke atas segala hasil mashul yang berada tiga batu nautika di luar pantai negeri masing-masing. Jika benar royalti tidak perlu diberikan, atas alasan apa akta ini dipinda? Dan kemudian mereka menggunakan alasan akta baru ini pula bagi meyakinkan rakyat? Usul PAS untuk membincangkan isu ini di Dun, ditolak oleh Umno.

Khianat mereka belum terhenti. Bagi membuktikan kebenaran ini, Telaga Minyak Bertam telah menjadi saksi hidup yang masih boleh dilihat. Dengan pengesahan oleh syarikat yang melakukan kerja carigali bahawa Bertam terletak di dalam perairan Terengganu, ianya secara rasmi diserahkan oleh Perdana Menteri kepada Pahang. Soalan-soalan kami wakil pembangkang di dalam Dun untuk mengetahui status Bertam, tidak diberikan jawapan yang pasti. Di manakah lagi soalan berkenaan maruah negeri ini harus ditanya? Pengkhianatan oleh Umno menggadaikan secara bacul telaga minyak Bertam yang dianggarkan hasilnya sebanyak RM100 juta setahun jelas sekali.

3. Umno mengakui mereka perompak ehsan

Akhirnya, Umno mengakui mereka adalah perompak yang bukan sahaja merompak wang rakyat dari kerajaan yang sah, tetapi mereka juga cuba berbudi bahasa dengan memberikan wang rompakan itu secara ehsan kepada rakyat. Kini mereka bangun dengan suara yang lantang, mengalih perhatian rakyat dengan menuding jari kepada PAS. Malangnya rakyat tetap tahu bahawa Umno yang menghapus hak Terengganu mendapat lima peratus royalti.

Ketika Sarawak mendapat semakin banyak manafaat daripada royalti mereka, Umno Terengganu memilih sebaliknya. PAS tetap tegas mengatakan Umno pengkhianat rakyat Terengganu dengan menggadaikan royalti petroleum hak milik rakyat hasil daripada kebodohan (ini disebut oleh PM ketika itu, Tun Mahathir), kejahatan dan khianat pemimpin Umno di perhimpunan agung mereka. Ingatlah sekalian rakyat Terengganu, Umnolah punca Terengganu kehilangan maruah. Kepada Allah tempat kita mengadu. Wallahua’lam.

YB Ustaz Mohd Nor Hamzah
Ketua Penerangan PAS Terengganu
27 Rabiulawwal 1439/16 Disember 2017 – HARAKAHDAILY 16/12/2017