2018: Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera bersama PAS

Pimpinan
Typography

MENGIMBAU kembali suasana negara khususnya hal berkaitan Negeri Terengganu, membuatkan saya merasa sedikit runsing. Melihat kepada keadaan ekonomi yang dikatakan semakin baik, tetapi rakyat semakin merintih. Terngiang-ngiang laungan yang kononnya meratapi kepedihan, kesengsaraan rakyat yang bergema secara berjemaah di PWTC bulan lalu, yang kemudiannya menjadi laungan “Gajah Putih”, sama seperti projek-projek yang mereka lakukan. Retorik di dalam dewan, tidak terlaksana di luar dewan.

mOHD nORAlhamdulillah, PAS sehingga kini menjadi semakin matang, semakin diminati rakyat walau dengan gangguan, usikan nakal dan kebencian yang tidak ke mana oleh musuh. Lebih 40,000 yang memohon menjadi ahli pada 2017, isyarat jelas, laluan yang dipilih PAS, dipercayai, diyakini dan disukai rakyat. Hanya Umno yang memimpin BN serta DAP yang mengepalai PH sahaja yang tidak keruan, terpaksa membohongi diri dan rakyat dengan ceritera dan sinetron wayang palsu mereka terhadap PAS.

Berkata PM, Datuk Seri Najib Razak, PAS adalah pembangkang yang baik berbanding sekutu pembangkang yang lain. Rasanya tidak perlu diwar-warkan itu, tiada perkara baharu kerana PAS sememangnya sentiasa menjadi pembangkang yang menegur, menentang, serta memberikan contoh kepada lawan mereka. Jika BN tidak mengambil cakna perkara agama, PAS menunjuki jalannya. Jika PH merasa senang dengan Mahathir, PAS menjauhi dan mengelak tipu daya orang yang banyak merosakkan negara dengan ‘fatwa-fatwa’ karutnya. Sehingga kini masih belum dia mengaku kesalahannya.

Namun hamburan pujian yang dilemparkan kepada PAS, ibarat mencurah air ke daun keladi, kerana sehingga kini walaupun rakyat telah memilih wakil mereka yang sah, BN tetap menafikan hak sebenar wakil rakyat pembangkang. Antara tanda cakap yang tidak serupa bikin lagi oleh BN ialah masih gagal menyediakan platform yang seadil-adilnya kepada semua parti yang bertembung di dalam PRU. BN masih mengambil kesempatan menggunakan segala kemudahan kerajaan bagi kemenangan mereka.

Tidak terhenti setakat itu sahaja, BN juga menekan, mengugut kakitangan yang menyokong pembangkang. Sedangkan ada jaminan persekutuan yang rakyat Malaysia bebas memilih parti mana yang mereka sokong sebagai tanda negara ini negara demokrasi. Di manakah kematangan BN dalam hal ini bagi rakyat mengadili mereka? Kematangan PH pula, bakal menghabiskan waktu kita sahaja untuk membincangkannya. Lupakanlah.

Jelas dan tuntas, PAS sebagaimana diakui semua kawan dan lawan, sedang menerajui politik matang yang bisa membawa kemakmuran bagi negara. PAS menegur dengan berhemah, marah beradab, melawan bersebab, menunjuk bertempat, gagah mengharungi 2017 dengan jayanya walaupun dengan ketiadaan sebahagian mereka yang merasa kononnya PAS akan rebah tanpa “kepandaian” mereka. PAS menyandarkan segalanya kepada Allah setelah berusaha. Kemudian apabila sudah diputuskan mengikut kehendak Allah dan rasul, kami akan istiqamah sebagaimana yang diperintahkan. Ramuan kejayaan kami ialah kami meminggirkan perkara remeh dan bekerja keras atas hal yang pokok dan dasar Islam.

2018 telah membuka tirainya. Pastinya PRU lah agenda utama seluruh rakyat Malaysia. Kita sudah nampak dan ketahui parti manakah yang akan mara ke depan. Dengan janji PAS dan Gagasan Sejahtera untuk bertanding sebanyak yang mungkin kerusi, insya Allah 130 kerusi parlimen, maka semestinya PAS menjadi pilihan rakyat setelah mereka menyaksikan kematangan parti-parti lain, hanyalah kosmetik yang akan pudar dan cair apabila matahari terik. Insya Allah PAS akan terus kekal dengan Islam. Semoga Allah melindungi PAS dan menjadikan PAS sebagai pemandu rakyat Malaysia ke jalan yang diredhai Allah.

YB Ustaz Mohd Nor Hamzah
Ketua Penerangan PAS Terengganu
14 Rabiulakhir 1439 / 2 Januari 2018 – HARAKAHDAILY 2/1/2018