Dua pelanduk bergaduh dipijak gajah

Pimpinan
Typography

SAYA menerima satu gambar daripada seorang teman seperjuangan. Ia adalah satu keratan akhbar tempatan yang menyiarkan berita berkenaan pertikaian berkenaan hal wang royalti negeri Terengganu di antara dua pihak iaitu satu di pihak kerajaan Terengganu dengan sebuah gabungan pembangkang yang baru bertapak di Terengganu. Saya tidak berminat mengulas panjang berkenaan perbalahan mereka. Tetapi saya sangat berminat untuk menerangkan kepada rakyat bahawa kedua-dua belah pihak ini sama sahaja mengkhianati rakyat dalam isu royalti ini.

PAS sudah belasan tahun berjuang bagi mendapatkan kembali royalti petroleum iaitu hak mutlak dan maruah bagi negeri Terengganu yang kita cintai ini. Tidak kira samada PAS ketika menang menjadi kerajaan, mahupun ketika menjadi pembangkang, PAS mengira maruah ini mahu tidak mahu, wajib kita kembalikan kepada Terengganu. Sedang mereka bersedap-sedapan menyedut minyak dan gas kita, kita hanya menjadi pemerhati bisu yang lemah yang tiada dapat berbuat apa-apa.

Bagi menjelaskan kembali perkara ini, Umno pada tahun 2012, melalui penggubalan Akta Laut 750 telahpun menukar status perairan negeri-negeri dengan meletakkan sehingga tiga batu nautika sahaja. Jika royalti tidak diiktiraf bermula daripada tahun pertama perjanjian dibuat, kenapa perlu takrifan perairan negeri-negeri diubah? Setelah puluhan tahun Petronas membayar royalti itu sebagai tanggungjawab perjanjian antara negeri-negeri, kenapa tiba-tiba ia diubah tanpa persetujuan negeri Terengganu yang ketika itu ditadbir oleh PAS?

Bukan setakat itu, mereka juga mendakwa tiada royalti, tetapi yang ada hanyalah wang ehsan daripada kerajaan persekutuan melalui Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) kepada rakyat negeri Terengganu, tanpa melalui kerajaan negeri yang dipilih secara sah. Sekiranya benar tiada royalti, kenapa tidak juga diserahkan kepada kerajaan negeri sebagai pentadbir wang itu? Adakah dalam perlembagaan JPP dibenarkan berperanan mengambil alih tugas kewangan kerajaan negeri? Dan jika benar tiada royalti, kenapa telaga minyak Bertam diumumkan diserahkan kepada Pahang? Bukankah sepatutnya ia menjadi milik pusat?

Jangan kita lupa bagaimana tidak terlepas juga dari ingatan kita ketika mantan MB Terengganu Dato’ Seri Ahmad Said mengumumkan akan mendapatkan kembali wang royalti itu daripada pusat, sehinggalah beliau diturunkan dengan cara yang memalukan. Menunjukkan bahawa sememangnya royalti itu hak Terengganu. Begitulah jelasnya penipuan Umno.

Alhamdulillah sekarang MB Terengganu, Dato’ Seri Ahmad Razif Abdul Rahman jelas menyebut kembali ‘royalti’ merujuk kepada wang hasil perolehan petroleum di negeri Terengganu, tidak lagi wang ehsan. Bermakna royalti itu sememangnya wujud dan diketahui umum kewujudannya. Tiada alasan lagi, bagi Umno dan sekutu-sekutunya menafikan kebenaran itu. Sangat keji permainan Umno, sudahlah royalti tidak mahu diberikan kepada yang berhak, orang lain juga boleh menggunakan sewenang-wenangnya wang royalti kita. Maruah negeri Terengganu tercalar kerana Umno.

Oleh itu, anda semua janganlah terpedaya dengan sandiwara kedua-dua Umno dan gabungan pembangkang yang baharu bertapak ini yang kononnya berkelahi mempertahankan maruah dan hak rakyat Terengganu melalui isu royalti ini. Jelas kerana orang yang mula-mula mencadangkan untuk royalti disekat ialah wakil Umno Terengganu di dalam Perhimpunan Agung Umno, orang yang melaksanakannya pula ialah Tun Dr Mahathir, bakal PM dari Harapan sekarang dan yang meneruskan kezaliman ini ialah Datuk Seri Najib Tun Razak, Presiden Umno sekarang.

Rakyat seharusnya bertenang dan ketawa dengan cerita komedi yang dilakonkan oleh kedua-dua belah pihak. Tidak mudah bagi mereka mencari bakat-bakat pelakon yang baik untuk melakonkan watak-watak penipu dan pembelit ini. Saya yakin dan percaya rakyat Terengganu sangat bijak dalam menilai siapa yang menipu mereka. Jadi Umno dan Harapan sekarang diibarat sebagai dua ekor pelanduk yang sedang bergaduh dan di tengah-tengah sekawan gajah iaitu rakyat. Pastinya kedua-dua pelanduk itu akan dipijak gajah kerana hanya mengganggu dan tidak mendatangkan manfaat kepada gajah. Wallahua’lam.

YB Ustaz Mohd Nor Hamzah
Ketua Penerangan PAS Terengganu
4 Jamadilawwal 1439/23 Januari 2018 - HARAKAHDAILY 23/1/2018