Prinsip Islam melindungi hak orang bukan Islam

Pimpinan
Typography

PAS mengakui akan kepelbagaian agama, bangsa dan budaya yang ada di negara ini. Justeru itu, PAS menegaskan bahawa variasi masyarakat ini mesti dipelihara dan diolah menjadi sumber kekuatan bagi memacu kemajuan negara dalam pelbagai aspek.

nasrudin2. Amat tidak wajar sekali perbezaan yang lahir secara semulajadi ini diperalat dengan cara mencetuskan sentimen perkauman dan menyentuh sensitiviti agama semata-mata untuk meraih kepentingan tertentu sehingga mengancam keamanan dan keselamatan negara.

Sedang Allah swt. berfirman:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُم مِّن ذَكَرٍ وَأُنثَىٰ وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِندَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ

”Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya orang yang paling mulia dikalangan kamu pada sisi Allah swt ialah insan yang paling bertaqwa dari kalangan kamu. Sesungguhnya Allah swt Maha Mengetahui. (Al-Hujuraat : 13)

3. Islam dengan syariatnya yang sejagat telah menggariskan hak terhadap orang bukan Islam yang mesti diberikan dan dilindungi oleh pemerintah Islam. Betapa pentingnya menjaga hak bukan Islam sehinggakan Rasulullah s.a.w. bersabda:

مَنْ ظَلَمَ مُعَاهِدًا أَوْ انْتَقَصَهُ أَوْ كَلَّفَهُ فَوْقَ طَاقَتِهِ أَوْ أَخَذَ مِنْهُ شَيْئًا بِغَيْرِ طِيبِ نَفْسٍ فَأَنَا حَجِيجُهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ

“Ketahuilah bahwa orang yang menzalimi bukan Islam sedang ia menjalin perjanjian dengan kerajaan Islam atau mengurangi haknya atau membebaninya di atas kemampuannya atau mengambil darinya sesuatu yang ia tidak relakan, maka aku adalah orang yang akan membelanya pada Hari Kiamat." (Riwayat Abu Daud)

4. Islam juga melarang orang bukan Islam dipaksa meninggalkan agamanya bagi menganut agama Islam. Orang bukan Islam diberikan kebebasan untuk menganut kepercayaan dan mengamalkan ajaran agama masing-masing.

5. Orang bukan Islam juga berhak untuk menganggotai badan eksekutif dalam pemerintahan Islam terutamanya bagi mentadbir pelaksanaan sesuatu dasar dan juga penggubalan dasar-dasar yang melibatkan kepentingan orang awam secara umum.

6. Sama ada orang Islam atau bukan Islam, semuanya wajib bekerjasama menjaga keamanan dan keselamatan negara terutamanya daripada ancaman musuh negara.

7. Selain itu, cukai yang dikutip daripada orang bukan Islam yang menetap di bawah pemerintahan Islam seperti jizyah adalah bagi menjamin orang bukan Islam mendapat hak perlindungan dan penjagaan yang sebaiknya terhadap nyawa, harta dan maruah mereka.

8. Sekiranya tidak berupaya menjamin perkara ini, pemerintah Islam wajib mengembalikan semula cukai yang telah dipungut itu kepada mereka.

9. Demikianlah betapa prinsip Islam memberikan perhatian yang sangat istimewa terhadap orang bukan Islam. PAS komited dan konsisten untuk memperjuangkan dan menterjemahkan prinsip-prinsip ini sehingga menjadi dasar penting negara.

Sejahtera Bersama Islam

Nasrudin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat
26 Jamadil Akhir 1439 / 14 Mac 2018
https://m.facebook.com/bayaanulmubin/ - HARAKAHDAILY 14/3/2018