Memahami dua petunjuk Ilahi

Pimpinan
Typography

ISLAM adalah agama berteraskan akal. Jika akal tiada atau akal itu belum matang (baligh), maka Allah tidak akan menghukum hamba-Nya itu sebagai sesat sekiranya dia menolak Islam dan al Quran.

Pergantungan kepada akal adalah kerana agama Islam itu berintikan kepercayaan-kepercayaan yang berstatus 'ghaibiyyat' atau di luar capaian lima panca indera manusia. Manusia tidak mungkin mampu menilai benar atau salah pengajaran agama Islam kalau hanya bersumberkan penglihatan, pendengaran dan panca indera yang lain.

Untuk mengenali Allah dan ciptaan-Nya di alam ghaib seperti dosa pahala, syurga neraka, malaikat iblis dan sebagainya, manusia memerlukan kekuatan mencerap yang tinggi. Ia tidak dimiliki oleh panca indera lima itu. Tetapi kekuatan yang tinggi itu hanyalah milik akal. Akal pula di dunia ini hanyalah milik istimewa manusia.

Justeru agama Islam adalah taklifan Allah ke atas manusia. Haiwan dan tumbuhan tidak ditaklifkan kerana mereka makhluk tidak berakal. Tetapi mereka tidak sesat, bahkan beriman dan meyembah Allah kerana mereka terdedah dan melihat perkara ghaibiyyat  yang dihijabkan daripada manusia.

Manusia ditutup daripada melihat ghaibiyyat adalah kerana faktor 'ujian terbesar kehidupan' daripada Allah iaitu adakah mereka bersedia menggunakan akal untuk mengenal Allah dan menyembah-Nya atau membiarkan dan mensia-siakan nikmat akal yang besar itu.

Justeru peranan akal adalah begitu besar di sisi Islam. Ia adalah asas kebahagiaan dan kecelakaan manusia.

Akal peranannya adalah merumuskan segala maklumat yang diperolehi melalui panca indera. Apabila manusia melihat alam raya, akal mestilah merumuskan dengan tepat. Apabila manusia mendengar al Quran, akal mestilah merumuskan dengan tepat.

Oleh kerana agama Islam itu tinggi untuk dicapai maklumat-maklumat ghaibiyyatnya, wahyu Allah melalui al Quran diturunkan sebagai cahaya untuk akal melakukan pencerapan yang benar dan berpetunjuk.

Memahami dengan sempurna, tepat

Ertinya untuk memahami agama Islam dengan sempurna dan tepat, manusia perlukan gabungan telinga untuk mendengar wahyu, mata untuk melihat alam raya dan kejadiannya serta akal untuk memahami dengan baik. Gabungan inilah yang pasti mengangkat darjat manusia ke tingkatan-tingkatan yang tinggi di sisi Allah. Ia adalah perlumbaan menuju pengabdian terbaik di sisi Allah.

Malangnya, manusia hanya mementingkan kesihatan mata dan telinga. Akal pula digunakan hanya semata-mata untuk mencapai dan memuaskan apa yang dimahui oleh hawa nafsu mereka yang bertaraf rendah dan hina.

Mereka membiarkan hawa nafsu menakluki dan merajai diri mereka dan membiarkan akal yang bernilai tinggi itu menjadi hamba yang bekerja demi kepuasan nafsu duniawi semata-mata.

Di situ peranan akal terbengkalai. Ia seperti menggunakan jentera berat hanya untuk melakukan kerja-kerja yang boleh saja dilakukan oleh tangan dan cangkul. Akal langsung tidak digunakan untuk melonjakkan manusia ke tingkatan atas dan samawiy, seterusnya menggerakkan segala anggota tubuh untuk mengejar ketinggian di dalam kehidupan.

Petunjuk Allah pada saat ini amatlah penting. Ia adalah proses memandu manusia dan akalnya dengan sinar cahaya kepada jalan yang benar. Apabila manusia tidak berfikir dengan betul, dia tidak akan melihat gelap sebagai gelap, dinding sebagai dinding, bahkan dia tidak pernah sedar bahawa dia sedang bermain-main di tepian lubang yang dalam.

Proses menunjuki ini dinamakan hidayat Allah atau petunjuk Allah. Ia proses memperlihatkan dan meletakkan manusia di atas jalan benar menuju Allah. Ia seperti kegelapan malam yang dihadiahkan dengan sinar siang. Sudah pasti jalan-jalan menjadi nyata dan perjalanan meraba-raba dan tanpa hala tuju akan berakhir.

Cuba anda perhatikan bagaimana Allah memberi hidayat-Nya kepada orang-orang kafir yang tidak beriman. Ia adalah dengan pelbagai cara dan jalan. Tetapi persamaannya adalah pencerahan akal. Akal ditarik untuk berfikir kepada soal ketuhanan dan perihal ghaibiyyat.

Akal dimudahkan, sifat kehambaan

Akal juga dimudahkan untuk menerima kehadiran Allah dalam diri dan juga sifat kehambaan dirinya. Maka dengan tiba-tiba keyakinan menerjah dirinya bahawa dia sedang memijak jalan yang jelas yang belum pernah dipijaknya sebelum ini. Itulah al Siratul Mustaqim atau jalan yang lurus iaitu Islam. Dia lalu mengucap dua kalimah syahadah dan menjadi muslim.

Berapa ramai manusia yang berfikir tetapi kegelapan adalah teman hidupnya. Semuanya adalah dengan kehendak Allah yang maha mengetahui. Jika Dia mahu, maka dibuka-Nya jalan hidayat. Jika sebaliknya, maka ditutup-Nya jalan hidayat dan tiada manusia mampu membukanya. Itulah kehendak Allah yang maha agung. Itulah juga rahmat-Nya yang maha luas.

Al hidayah atau petunjuk ini lawannya adalah 'al dhalalah' atau kesesatan. Ia adalah cahaya yang menghapuskan kegelapan. Ia adalah permulaan kepada sebuah perjalanan di atas jalan Allah yang lurus.

Tetapi di atas jalan yang lurus itu ada ujian seterusnya. Ujian Allah tidak berhenti hanya apabila seseorang itu telah meletakkan kakinya di jalan-Nya yang lurus itu. Pendek kata, kaki manusia masih boleh tersadung walau sudah dekat dengan pintu syurga. Jalan yang istiqamah lurus juga memerlukan kaki yang istiqamah lurus di atasnya. Jika tidak, si hamba tetap gagal.

Tidakkah anda perhatikan atau rasakan bahawa kita ini, walaupun sudah muslim dan beriman, tetapi masih melakukan kesalahan dan dosa? Adakah apabila kita sedang melakukan dosa dan maksiat, kita merasa berada di atas jalan yang lurus itu? Sudah tentu tidak bukan? Ya, kita akan merasai bahawa kita sudah tersasar dan tersadung.

Semakin banyak dan berulang-ulang kita melakukan dosa dan maksiat, kita akan merasa semakin jauh daripada-Nya. Bahkan anda perhatikan, orang-orang Islam yang melakukan kezaliman dan kejahatan, mereka seolah-olah lupa kepada Allah dan balasan-Nya. Jalan lurus apakah ini?

Apakah yang akan menyelamatkan kita daripada tersadung di atas jalan ini. Ya, sudah pasti dengan petunjuk daripada Allah jua. Tetapi ia bukan lagi sebagaimana petunjuk pertama yang merupakan permulaan kepada sebuah perjalanan di dalam cahaya iman. Petunjuk kedua ini adalah lebih merupakan satu kekuatan dan kesediaan dalam diri untuk kekal dengan arahan dan petunjuk-Nya.

Mengapa? Ya, tiada yang mampu menghalang seseorang yang telah beriman kepada Allah daripada terus mengikuti arahan dan larangan-Nya selain hilangnya azam atau lemahnya diri di dalam menanggung kesukaran. Apabila diri lemah, dia akan memilih untuk berhenti atau melalui jalan yang cepat walaupun salah.

Halangan adalah banyak. Ia adalah ujian Allah di perjalanan sukar ini. Musuh-musuh agama daripada syaitan, orang-orang kafir, para munafikin bahkan saudara-saudara Islam sendiri yang berpenyakit akan menjadi sebab yang melemahkan jiwa dan memesongkannya daripada mengikuti jalan agama. Malah, musuh utama setiap muslim adalah nafsunya sendiri.

Nafsu yang gagal dididik untuk tunduk kepada Allah akan sentiasa meronta-ronta untuk memburu kehendak syahwat duniawinya. Daripada punca-punca inilah, kita melihat ramai umat Islam yang tewas, bahkan sebahagiannya melawan dan menentang agamanya sendiri.

Petunjuk kedua yang merupakan kekuatan dan kesediaan untuk teguh di jalan yang lurus ini dinamakan al rusyd atau al rasyad. Al Hidayat dan al rusyd kedua-keduanya bermakna petunjuk atau hidayah. Ia disebut berulang kali di dalam al Quran dan al Sunnah. Para ulama tafsir telah memahaminya sebagai dua jenis petunjuk Allah yang amat diperlukan oleh setiap hamba.

Kegelapan memerlukan cahaya, manakala kelemahan memerlukan kekuatan dan kesediaan. Justeru walaupun muslim itu tetaplah muslim, tetapi di jalan Allah tetap berlangsung pertarungan yang mengalahkan atau memenangkan. Kepada Allah jualah tempat kita memohon petunjuk dan pertolongan.

"Ya, Allah, kurniakanlah kepada kami rahmat daripada sisi-Mu dan sediakanlah untuk kami 'rasyada' (petunjuk) dalam segala urusan kami." (Surah al Kahfi: 10)

Penulis adalah Pengerusi Lajnah Dakwah PAS Pusat. - HARAKAHDAILY 18/3/2018