Calon N.14 Teruntum yang saya kenali

Pimpinan
Typography

BELIAU adalah bonda kami di PAS Kuantan, kami semua memanggilnya dengan panggilan Mak Itam. Saya tidak ingat sejak bila saya mengenali beliau, namun seingat saya sejak saya berada di dalam PAS Kuantan beliau telah aktif di dalam Dewan Muslimat PAS Kuantan sehinggalah dipilih sebagai Ketua Dewan tersebut.

Setelah PAS Kawasan memutuskan N.14 Teruntum mesti diletakkan Calon PAS yang sebelum ini belum pernah PAS bertanding, PAS Kuantan telah kemukakan tiga orang calon lain di kalangan Muslimin dua darinya pemilik ijazah dan seorang darinya calon dari Dewan Pemuda PAS Kawasan.

Masih saya ingat, ketika kami bermesyuarat untuk memutuskan calon N.14 Teruntum, keempat-empat nama yang dicadangkan sebagai Calon N.14 Teruntum hadir dan sememangnya PAS Kuantan memiliki stok calon yang agak ramai, dari kalangan Muslimin, pemuda dan Muslimat.

Sebagaimana biasa semua mereka menolak namun akan patuh jika itu adalah arahan parti termasuklah Mak Itam. Lalu keputusan mesyuarat meminta sayalah yang memutuskan siapakah Calon N.14 Teruntum dan berjanji akan patuh apa juga keputusan saya. Saya meminta tempoh tiga hari untuk istikharah dan membuat sedikit kajian.

Selama tiga malam saya istikharah, wajah kesayangan ahli-ahli PAS inilah yang sentiasa muncul. Saya mengambil masa lagi untuk melihat sejauh mana sokongan terhadap Mak Itam. Yang pertama-tama pastinya saya melihat sokongan dan sambutan jentera parti kerana ini adalah perkara yang sangat penting.

Alhamdulillah, jentera parti bukan sahaja bersetuju dan amat teruja bila saya katakan cadangan saya untuk meletakkan Mak Itam sebagai calon dan semua AJK PAS Kuantan juga bersetuju. Lalu saya melihat pula penglibatan beliau di tengah masyarakat untuk beliau mendapat sokongan rakyat.

Ternyata beliau adalah seorang yang popular di kalangan masyarakat kerana beliau adalah seorang Ustazah yang saban hari berkuliah mendidik masyarakat terutama Muslimat. Kuliah bimbingannya sentiasa "Full house", kuliahnya juga dihadiri oleh ramai wanita-wanita Umno. Watak lemah-lembutnya dan sifat keibuannya menjadikan beliau sangat disenangi dan disayangi.

Saya juga melihat kemampuannya untuk menarik masyarakat Cina yang menjadi majoriti pengundi Teruntum. Rumah kediamannya di tengah masyarakat Cina. Beliau juga terkenal di kalangan masyarakat Cina terutama di kawasannya. Mengambil maklumat sambutan masyarakat Cina kepadanya, ternyata masyarakat Cina di sekelilingnya sangat menyukai beliau yang disifatkan sangat baik dan lembut.

Ada yang berkata sebagai Muslimat apakah beliau mampu menggalas tugas sebagai calon dan wakil rakyat jika diberikan kemenangan? Saya katakan bahawa saya mengenali beliau bukan baru sehari dua, saya tahu beliau sangat aktif dan komitmen dengan tugasannya sebagai Ketua Dewan Muslimat PAS, sejauh mana program pun beliau hadir, inikan pula bumi Teruntum yang sekangkang kera.

Kadang-kadang kita yang melihatnya terasa penat. Namun beliau seperti tidak kepenatan langsung. Beliau sering mengikuti saya dalam program ziarah, malahan selepas bubar Parlimen ini pun beliau juga mengikuti saya. Tiada nampak pun tanda-tanda kepenatan, langkahnya tetap laju, semangatnya tetap sentiasa berkobar-kobar dalam melaksanakan kerja parti dan amal.

Keluarganya besar, Allahyarham bapanya orang terkenal. Malahan surau nama di Kampung Tengah pun dinamakan Surau Haji Ali sebagai mengenang jasa dan sumbangan Allahyarham ayahnya dalam pembangunan jiwa dan mendidik masyarakat dengan Islam.

Saya penuh yakin beliau dapat menggalas tugasan dan amanah ini dengan baik. Jentera parti kelihatan begitu semangat. Anak-anak muda Dun Teruntum kini bersengkang mata untuk hijaukan bumi Teruntum yang sebelum ini seperti kekeringan. Namun kini subur dengan bendera dan logo bulan yang bertebar dan berkibar indah dan megah mengiringi seorang Insan Solehah iaitu bonda kami Mak Itam atau Ustazah Azizah Md Ali calon N.14 Teruntum.

Ketika saya mengumumkan nama beliau sebagai calon N.14 Teruntum, saya begitu terharu hingga ianya menggerakkan jari-jemari saya untuk menulis pandangan mata hati saya terhadap Mak Itam. Moga Mak Itam diberikan kekuatan oleh Allah untuk memikul cabaran perjuangan hebat ini InsyaAllah. Takbir.

USTAZ ROSLI ABDUL JABAR
Pesuruhjaya PAS Pahang
YDP PAS Kuantan - HARAKAHDAILY 20/4/2018