PAS dari hari ini

Pimpinan
Typography

PRU14 adalah paling bersejarah. BN yang memegang tampuk pemerintahan sejak negara mencapai kemerdekaan akhirnya tumbang. Ini membenarkan sunnah kehidupan bahawa tiada pemerintahan yang akan kekal selamanya.

Tempoh 60 tahun BN kekal itu pun sudah cukup lama. Hampir semua negara jiran sudah pun beberapa kali bertukar pemerintahan, apatah negara-negara maju yang lebih matang dan berilmu rakyatnya. Perubahan hadir daripada kesedaran yang tinggi. Ia mencetuskan keberanian. Apabila berkumpul kedua-duanya, perubahan pasti berlaku.

Bagaimana BN boleh kekal begitu lama, itu bolehlah dikaji dan diselidiki. Akan adalah jawabannya. Apa yang saya ingin lontarkan di sini ialah bagaimana PAS dengan politik baru sesudah BN tumbang. Telah lahir Malaysia Baru. Bagaimana pentas perjuangan seterusnya?

PAS adalah nafas kepada perjuangan menegakkan Islam di Malaysia. Politik negara tanpa PAS akan kosong daripada laungan 'Allahu akbar'. Tiada parti politik yang istiqamah berjuang untuk menegakkan agama Islam seperti PAS. Justeru tiada siapa pun mampu menolak bahawa PAS terlalu banyak menyumbang kepada pembinaan negara Malaysia sejak dari awal penubuhan negara lagi.

Malah sejarah membuktikan bahawa PAS dan jalur perjuangan Islamlah yang memulakan perjuangan menuntut kemerdekaan daripada British. Ketika rakyat Tanah Melayu masih lesu, para ulamak bangkit menggerakkan kesedaran rakyat untuk menentang penjajah. Fatwa agama memainkan peranan besar di dalam menolak penjajahan kuffar ke atas negara umat Islam. Ia akhirnya mencetuskan gelombang rakyat bagi menuntut kemerdekaan.

Tetapi bukan PAS yang menerajui Malaysia merdeka. Umno bersama parti Perikatannya berjaya mendapat mandat untuk menerima dan mengepalai negara selepas kemerdekaan pada 1957. Itu kehendak penjajah barat. Umno lebih disenangi mereka berbanding PAS. Rakyat juga mahukan Umno walaupun ia hanyalah ditubuhkan pada 1946, jauh tertinggal di belakang perjuangan kemerdekaan yang lebih awal oleh para ulamak.

Tetapi PAS turut gembira dengan kemerdekaan negara. Buat pertama kalinya selepas ratusan tahun, negara merdeka dengan pemerintahan sendiri oleh rakyat di dalam menentukan masa depannya. Ia satu kemenangan rakyat dan mestilah disambut besar-besaran.

Justeru PAS, walau pun terpinggir, turut melaungkan keramat 'merdeka' demi melihat sebuah negara baru yang berjaya.

PAS membina negara dengan peranan sebagai parti pembangkang. Asas perjuangannya adalah sama iaitu menegakkan Islam sebagai satu cara hidup. Negara telah merdeka sebagai sebuah negara sekular sebagaimana itulah kehendak dan peninggalan yang diperkenankan oleh penjajah British. Ia meminggirkan agama sebagai teras utama pembangunan negara.

Justeru kelibat PAS dalam politik negara seawal kemerdekaan adalah menuntut sebuah negara Islam. Rakyat diseru kepada kesedaran dan kewajiban memerintah dengan cara yang diredhai oleh Allah. Ertinya PAS tidak menerima kemerdekaan negara sebagai sebuah kemerdekaan yang sempurna. Ia cacat selama mana Islam tidak berada di puncak dan dijadikan rujukan utama pemerintahan.

Selepas peristiwa hitam bersejarah 13 Mei 1969 yang meretakkan hubungan antara kaum dalam negara, PAS akhirnya bersetuju dengan plan perpaduan negara untuk bergabung dengan BN dan memerintah negara secara bersama. Tetapi PAS kekal meletakkan syarat utama bahawa mereka sebagai sebuah parti Islam tidak boleh dihalang daripada matlamat asal menegakkan agama di dalam negara.

Ia adalah sumbangan PAS yang amat penting. Negara akhirnya berjaya keluar daripada kemelut perbalahan dan rusuhan antara kaum yang memeritkan. Islam ternyata memiliki solusi amat berkesan ke arah perpaduan nasional. Ia adalah rahmatan lil alamin.

Jangka hayat PAS di dalam kerajaan tidak lama. Akhirnya, PAS kembali sebagai pembangkang. Bayarannya, negeri Kelantan di bawah PAS tumbang pada 1978. Ia cukup memberi kesan negatif kepada masa depan perjuangan PAS seterusnya.

Tetapi PAS bangkit cepat. Suara Islam yang lebih gagah terus berkembang di dalam PAS. Semakin hari semakin politik Islam difahami dengan lebih baik. Ia menepati kehendak zaman yang semakin moden.

Pada awal 80-an, Umno BN membuat kejutan dengan menerima kemasukan DS Anwar Ibrahim ke dalam Ummo. DS Anwar adalah tokoh muda gerakan Islam yang begitu terkenal dan disenangi termasuk oleh PAS. Kemasukan beliau telah berjaya mencetus fenomena Islam di dalam Umno BN dan pemerintahan. Negara bergerak laju dengan projek Islamisasi yang dicanangkan oleh Anwar dan mentor politiknya, Tun Dr Mahathir.

Penubuhan Bank Islam, Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dan Pusat Islam adalah antara projek besar yang meninggikan rating politik Anwar di persada tanah air. Umno yang berjiwa sekular kebangsaan mendapat kredit besar daripada kemasukan DS Anwar dalam pasukan mereka.

Tetapi PAS menolak kemasukan Anwar ke dalam Umno BN dan menyifatkannya sebagai jalan perjuangan yang salah dan akan gagal. Bagi PAS, ia lari daripada manhaj nabawi yang menolak perlaksanaan Islam secara terpilih atau sebahagian sahaja, apatah lagi terpaksa pula tunduk kepada bos besar atau ideologi sekular yang memimpin. Gerakan Islam tidak boleh bekerjasama dengan gerakan sekular yang enggan menghormati prinsip perjuangan mereka.

Ia adalah hari yang sukar buat PAS. Pimpinan PAS menjelajah seluruh negara untuk memberi pencerahan kepada rakyat dan penyokong PAS bahawa projek Anwar Ibrahim akan menemui noktah buntu. Ia hanyalah angan-angan untuk Islam. PAS menyeru rakyat agar terus menyokong PAS dengan alasan walaupun lambat, perjuangan PAS adalah lebih menepati sunnah RasuluLlah sallaLlahu alaihi wasallam dan pasti menemui kejayaan yang sebenar.

PAS memenangi balik Kelantan pada tahun 1990. Ia adalah malam penuh purnama buat PAS. Ia tanda 'fitnah Anwar' berakhir. PAS kembali diyakini rakyat. Negeri Kelantan betul-betul sinar permata yang menyaingi projek Islamisasi Anwar.

Lama-kelamaan, dengan kejayaan negeri Kelantan di bawah PAS memacu pembangunan negeri berasaskan Islam melalui slogan 'Islam Boleh', dasar 'Membangun Bersama Islam' dan pelbagai lagi, PAS akhirnya menimbus projek angan-angan DS Anwar Ibrahim di dalam kerajaan Umno BN. Krisis politik Mahathir-Anwar di hujung alaf baru telah turut membantu PAS mengukuhkan kedudukannya di persada politik.

Begitulah perjuangan PAS yang Istiqamah dengan Islam saat memasuki alaf baru. Umno selepas era Tun Mahathir terus melemah dan menuju tumbang. PAS menjemput dan dijemput untuk turut sama mengambil peranan di dalam usaha menjatuhkan Umno BN. Pakatan politik pembangkang dibentuk dalam usaha menyatukan kekuatan pembangkang bagi menjatuhkan BN.

Pembentukan Pakatan Rakyat (PR) adalah fasa pertama penglibatan PAS bekerjasama dengan parti-parti sekular yang lain. Ia setelah syarat-syarat tahaluf disetujui di mana semua parti mestilah menghormati prinsip perjuangan rakan masing-masing. Islam mestilah dihormati sebagai prinsip perjuangan PAS.

Pecahnya Pakatan Rakyat (PR) selepas itu adalah fasa kedua di mana PAS memilih untuk dikeluarkan daripadanya demi memelihara prinsip perjuangan. PH dan GAGASAN terbentuk daripada perpecahan itu. PRU14 adalah medan pertembungan tiga penjuru yang bersejarah. Umno BN tumbang dengan PH mengatasi parti-parti lain. PAS memperolehi sebahagian daripada matlamatnya untuk PRU14.

Kini PH dengan tiga suara. Pertama adalah suara liberal totok. Kedua adalah suara liberal yang lebih manis. Ketiga adalah suara Islam yang mesra liberal. Ini adalah istilah mudah yang saya sebut untuk pemahaman seterusnya nanti.

Suara Islam di dalam PH adalah suara di tempat ketiga. Ia adalah hakikat yang diperhatikan walaupun pada zahirnya, kesemua parti-parti di dalam PH adalah setaraf. Ya, parti-parti adalah setaraf, tetapi ideologi perjuangan adalah bertingkat-tingkat tangganya. Hakikat akan menjelma di hadapan mereka yang berfikir dan matang. Zahir hanyalah tipu daya.

Ia adalah kedudukan yang pernah dipaksakan ke atas PAS semasa di dalam PR dahulu. PAS menolak kerana ia akan meminggirkan Islam daripada ditegakkan. Apabila Islam terpinggir, maka ia adalah kemenangan dan kuasa yang rapuh yang pasti membawa kesan buruk terhadap kemajuan Islam di dalam mencorak pembangunan dan masa depan negara.

Hari ini, selepas berlalu PRU14, PAS kekal sebagaimana dahulu. PAS akan menjadi suara Islam di dalam arus politik negara. Perjuangan PAS adalah untuk Islam yang benar. Benar dalam erti Islam sebagai satu cara hidup yang sempurna, sederhana, adil, maju dan segala makna yang membawa maksud kesejahteraan untuk manusia di dunia dan akhirat.

Islam is not a part of life, but Islam is a way of life. - HARAKAHDAILY 28/5/2018